Trending

Tuesday, 6 November 2018

TANYA SAMA ITU HUD HUD M.Nasir



Maksud tersirat berkenaan perjalanan mencari diri dalam lagu
" TANYA SAMA ITU HUD-HUD – M.Nasir
Baru sahaja terdengar tadi live di "Anugerah Skrin Tv3"
🦅Tujuh puluh tiga pintu…Tujuh puluh tiga jalan…Yang sampai hanya satu jalan
~Sebuah hadith Rasulullah s.a.w menyebut tentang umat Islam yang terpecah kepada 73 golongan, dan daripada kesemua ini hanya satu golongan yang terselamat dari seksaan neraka iaitu golongan (jemaah) yang mengikuti sunnah Rasulullah dan sahabatnya.
~Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umatIslam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuksyurga, iaitu al-Jamaah. (Sunan Abu Daud no 4429)
Maknanya,yang sampai itu bermaksud yang selamat. Hanya ada satu jalan untuk selamat iaitu dengan mengikuti manhaj Rasulullah dan para sahabat atau dikenali sebagai ahlus Sunnah wal jamaah.
🦅Ribu-ribu Margasatua… Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh
~Rangkap ini diambil daripada syair Parsi - Musyawarah Burung (Mantiq Al-Tayr) tulisan Farid ud-Din Attar.. Kitab itu berisi pengalaman kerohanian yang pernah dilaluinya untuk mencari makna dan hakikat hidup. Attar menuangkan pengalamannya itu melalui ungkapan sebuah cerita perjalanan sekawanan burung agar lebih mudah dimengerti.
Dengan gaya bertutur, kitab itu mengisahkan perjalanan sekawanan burung untuk mencari raja burung yang disebut sebagai Simurgh (Muraq) di puncak Gunung Kaf yang agung. Sebelum menempuh perjalanan berkumpulah segala burung di dunia untuk bermusyawarah. Tujuan mereka hanya satu yakni mencari raja. Dalam perjalanan itu, para burung yang dipimpin oleh Hud-hud.
Bukan mudah untuk sampai ketahap tersebut kerana mereka perlu menghadapi 7 lembah.
Lembah pertama adalah lembah keinginan. Di sini semua burung diminta bertaubat dan meninggalkan kehendak duniawi.
Lembah kedua adalah lembah kerinduan di mana semua burung perlu menyelami lautan api agar tubuh mereka terbakar.
Lembah seterusnya adalah lembah makrifat, di sini semua burung harus memilih jalan sendiri lantaran “terlalu banyak jalan menuju yang satu, dan setiap satu disediakan bagi jiwa yang sesuai dengannya.”
Di lembah kepuasan, semua tuntutan, semua nafsu duniawi harus ditanggalkan dari hati.
Di lembah kesatuan, yang banyak menjadi satu.
Sebaik saja sampai ke lembah yang keenam, lembah kekaguman, burung-burung itu, yang sangat keletihan dan kebingungan, menembusi hijab berpasang-pasangan, dan mendapati jiwa mereka kosong. Hinggakan mereka menangisi, “aku tidak mampu berfikir lagi lantaran ghaibnya segala ilmu dari diriku.” “Aku curiga atas curiga ku ini, namun rasa curiga itu sendiri pun aku tak pasti, aku mendambakan, tapi siapakah yang sebenarnya aku dambakan?”
Akhirnya di hujung perjalanan, di lembah kefakiran dan fana, di mana segala sifat keakuan ditanggalkan dari diri mereka, mereka dipakaikan dengan jubah ketidaksedaran, menyebabkan mereka hanya meneguk ruh kewujudan.
Bila mereka berjaya mengharungi kesemua tujuh lembah, bila mereka berjaya meruntuhkan gunung keakuan, dan menanggalkan kecintaan terhadap segala ilmu, barulah mereka dibenarkan meneruskan perjalanan bertemu raja Si Muraq.
Dari beribu-ribu ekor burung yang memulakan perjalanan, hanya tiga puluh saja yang berjaya mengharungi segala payah jerih. Dengan kepenatan yang tak terhingga, dengan perasaan kehinaan yang tak terkata, mereka dibawa berjumpa dengan raja segala burung. tapi apa yang mereka dapati bukan raja segala burung, tapi bahkan refleksi diri mereka sendiri dalam cermin diri.
Si Muraq, ataupun sirmuragh, adalah perkataan Parsi yang bermaksud tiga puluh ekor burung. Maka di sini, di penghujung jalan, burung-burung itu berhadapan dengan realiti, berhadapan dengan refleksi diri, walaupun mereka telah mengharungi perjalanan yang panjang dan segala payah jerih, yakni, yang sebenarnya mereka cari adalah ‘diri mereka sendiri‘ dan ‘diri sebenar diri‘.
Tujuh lembah itu adalah simbolik kepada tujuh tingkatan nafsu yang perlu dilepasi manusia sehingga rohnya benar-benar mengenal Allah. Namun kemuncak kepada makrifat itu ialah tidak mengenal. Kerana Zat Allah yang dicari tiada rupa,tiada bentuk, tiada bersudut dan bersegi, tiada tertakluk dalam ruang,tempat dan masa serta tiada tertakluk diluarnya pula. Yakinlah diri bahawa akal tidak dapat mencapai Zat Allah. Akhirnya dia mengenal Allah melalui dirinya sendiri.
Ketahuilah, langkah untuk mengenal Allah ialah mengenal diri terlebih dahulu. Diri kita tidak lain adalah ayat-ayat Allah untuk menunjukkan Dirinya. Pada diri kita DIA menunjukkan sifatNya, asmaNya dan perbuatanNya.
"Dan pada dirimu,mengapakah kamu tidak melihat (tanda dan bukti kebesaranNya) (az-Zariyat:21)
🦅...Ooh... Sang Algojo…. Ooh... nanti dulu
~Algojo itu adalah orang yang ditugaskan mencabut nyawa. Atau dengan perkataan lain tukang pancung kepala dalam bilik hukuman. Tapi hakikat sebenar, yang ditugaskan mengambil nyawa itu adalah malaikat maut. Andainya dia tiba dan mahu menjalankan tugas, tidak akan dipercepatkan sesaat dan tidak pula diperlambatkan sedetik.
🦅. Lihat dunia dari mata burung…… Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih
~Dua rangkap yang atas adalah jelas dan terang, menyuruh kita berfikir antara melihat dari mata burung, dengan berpandangan jauh atau sekadar mahu melihat seperti katak di bawah tempurung. Hanya melihat tempurung dan diri sendiri. Melihat jauh adalah kehidupannya di akhirat, memandang dalam tempurung ialah kerisauannya hanyalah mengenai kehidupan didunia ini sahaja.
🦅. Dalam kalut ada peraturan…… Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri…..Di sini
~Disingkap kembali sejarah Rasullullah membawa cahaya pada Zaman Jahiliah. Rasullullah mengajarkan Islam pada masyarakat yang jahil. Maka dalam keadaan jahil itu wujudlah satu sistem yang sempurna. Namun dunia kini sudah jauh berubah, sistem yang sempurna itu sudah tidak diguna pakai. Tempatnya diambil alih oleh undang-undang ciptaan manusia sendiri yang terlalu banyak kekurangan, terkadang itu banyak kontroversi berlaku dan kita berada DI SINI!"
Semasa kekalutan jahiliyah, peraturan Islam yang dibawa oleh Rasulullah mengubah keadaan masyarakat. Namun setelah peraturan tersebut diubah-ubah, ia mengundang kekalutan. Dan di mana kita berada? Di sini,di dunia yang penuh kalut ini.
🦅. Ooh... Sang Algojo, Ooh... nanti dulu
~Berikan ku kesempatan akhir ini….. Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini….. Lai lai la lai la lai
Masa rayuan tidak akan diberikan. Waktu bertaubat telah tamat, segalanya telah terlambat jika tiba-tiba malaikat maut menjengah untuk merentap nyawa dari jasad. Samada sudah siap atau tidak, malaikat maut tidak kira, roh akan ditarik seperti yang diperintahkan Allah.
🦅Tanya sama itu hud-hud…. Lang mensilang
Kui mengsikui…. Kerana dia yang terbangkan ku ke mari
🦅Oleh kerana burung hud-hud yang mendakwa bahawa raja si Muraq itu wujud dan menerbangkan kawanan burung ke tempat yang dituju,. Lang mensilang Kui mengsikui maksudnya orang tak macam orang , jin tak macam jin. Yakni “jin” yang dimaksudkan disini ialah alam ghaib dan “orang” pula ialah alam zahir. Itulah "roh" manusia, roh itulah diri manusia sebenarnya.
Ia diterbangkan dari alam arwah ke alam dunia lalu menjadikan jasad manusia sebagai tunggangannya sementara dalam perjalanan kembali ke alam barzakh. Roh itulah yang perlu disuci dan dibersihkan ketika didunia, yang perlu dikembalikan pada kedudukan asalnya iaitu bermakrifat kepada Allah seperti di alam arwah dahulu. Dia perlu mengenal dirinya semula,dari mana asalnya,mengapa dia disini dan kemana destinasi selepas ini. Kerana mengenal diri adalah anak tangga kepada mengenal Allah.
Roh-lah merupakan hakikat dirinya. Manakala jasad akan menjadi milik ulat-ulat dalam qubur dan menjadi habuan tanah. Manakala roh itu berpindah dari satu alam ke alam yang lain. Dan akan kembali kepada Allah di akhirat untuk ditanyakan pelaksanaan amanah perjanjian Alastu Birobbikum ketika di alam arwah dahulu semasa perjalanannya didunia sementara ini sebagai tempat ujian baginya.
Wallahu a’lam.



Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts