Trending

Wednesday, 14 November 2018

KEPALA DI PANCUNG BERCANTUM SEMULA




KEPALA DI PANCUNG BERCANTUM SEMULA.
ASMA' NURUL BASHIROH.
Assalamualaikum wt wbt....sahabat-sahabat yang aku hormati semua, tidak kira dimana jua berada. Baik dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Selawat dan salam senantiasa dihatur keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dengan mengharap ridho Allah swt, dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, izinkan aku yang miskin ilmu dan dhoif ini berbagi sedikit ilmu yang dititipkan dan pengalaman untuk dikongsi bersama para sahabat semua. Insya' Allah....
Surau kecil di hujung sawah hanya diterangi lampu gaslin semasa aku bersama Awang Leh sampai. Kira-kira selepas Isya' kami sampai ke situ. Cepat-cepat aku memberi salam, lalu dijawab oleh seorang lelaki tua yang berjanggut serta bermisai putih.
Sewaktu aku naik ke tangga surau dia berpaling ke belakang memerhatikan kami. Dia hanya menoleh saja tetapi meneruskan semula berzikir. Cuma dia seorang saja ada di situ.
" Hemmmm...,inilah Lebai Kidam." aku berbisik pada Awang Leh. Awang Leh hanya anggukkan kepala.
Tetapi dia tidak terus naik ke surau. Dia masuk ke bilik air di depan surau mengambil wudhu. Bilik air itu hanya dikepung dengan dinding yang diperbuat dari daun nyiur. Ianya kelihatan terlalu usang dan sudah sepatutnya diganti. Di situ pula tidak ada paip air, kecuali perigi. Air perigi itu melimpah sampai ke atas, kerana kedudukannya berhampiran dengan sawah. Di sekeliling permukaan tepi perigi di tambak dengan kayu-kayu beruti besar.
"Jaga sikit, kayu tu licin." ujar Awang Leh tatkala keluar dari bilik air. Aku mengangguk lalu masuk pula ke situ.
Aku juga mengambil wudhu, kerana belum pun menunaikan Isya'. Awang Leh meminta aku menjadi imam dan kami pun sholat berjema'ah. Selesai sholat kami pun berjabat salam dengan lelaki tua yang aku sangkakan Lebai Kidam.
" Oh, surau Lebai Kidam kat depan lagi." orang tua itu memberitahu.
" Saya ni Wak Jemadi, orang sini panggil Kyai Jemadi." katanya perlahan.
Semasa dia bercakap itu biji tasbih dikiranya juga. Dia terus berzikir walaupun sedang bercakap dengan orang. Aku agak Kiayi Jemadi ini tentu lebih hebat dari Lebai Kidam yang sedang kami cari itu. Aku diberitahu oleh Pak Long Daud mengenai gurunya Lebai Kidam di Serting dekat Kuala Jempol. Sebelum itu dia menyuruh aku menemui sepupunya di Bukit Perah di Batu Kikir. Sebab itulah aku datang dari Kuala Lumpur bersama Awang Leh yang berasal dari Temerloh.
Aku ingin sangat berjumpa dengan Lebai Kidam itu fasal dikatakan pernah berguru dengan To' Kenali di Kelantan. Banyak keistimewaan Lebai Kidam ini menurut cerita Pak Long Daud.
Awang Leh ini bukan saja kawan baik aku. Tetapi dia bolehlah dikira murid aku juga. Ini bukanlah bermakna aku layak dipanggil guru, tetapi sekadar termampu saja. Sebab itulah aku mengajak Awang Leh sama-sama mencari Lebai Kidam yang disebutkan tadi.
Sebenarnya Awang Leh juga mempunyai pertalian dengan keluarga Orang Kaya Semantan di Pahang. Sayangnya dia tidak mahu berbangga sangat dengan keturunannya. Kalau mahu dikira berkebolehan, aku agak Awang Leh bukanlah sembarangan anak muda. Mesti ada juga sedikit isi di dada.
" Jadi anak-anak ni cari Lebai Kidam....?" tanya Kiyai Jemadi.
Aku mengangguk kepala.
" Siapa nama anak-anak ni....?"
Aku pun memperkenalkan diri aku dan Awang Leh.
" Baguslah...." katanya perlahan.
" Lebai Kidam tu tinggi ilmu agamanya, eloklah muda-muda macam ni belajar." dia menambah tetapi terus menunduk mengira-gira biji tasbihnya.
Jam di tangan sudah hampir pukul 10:00 malam. Pada mulanya aku bercadang mahu cepat saja menuju ke surau Lebai Kidam. Mana tahu orang tua itu sudah tidur apabila kami sampai nanti. Bagaimana pun menurut Pak Long Daud kalau sudah pukul 12:00 pun, Lebai Kidam sanggup menerima tetamu di suraunya itu. Katanya, Lebai Kidam itu menghabiskan masanya di surau saja. Jarang dia balik ke rumah. Lagipun suraunya terletak berhampiran dengan rumahnya.
Tetapi apabila aku melihat keluar tidak ada kelihatan api rumah orang. Kawasan tersebut bolehlah dikatakan melalui tengah sawah. Ketika aku memberhentikan kereta(sebenarnya kereta Awang Leh), kami menyangka sudah sampai ke surau kepunyaan Lebai Kidam. Rupanya kami sudah tersilap. Surau itu terletak di kawasan sawah melalui jalan tanah merah. Kedudukan terpencil sedikit, kecuali di sebelah daratnya ada rumah kediaman sebuah. Jadi, seperti apa yang diterangkan oleh Pak Long Daud memang itulah surau yang kami cari.
Setelah memikirkan bahawa Kiyai Jemadi ini orangnya sudah tua memandangkan pada susuk tubuhnya, aku pun teringat saja mahu bertanyakan tentang kisah Penghulu Naam yang kononnya berlaku tidak jauh dari situ. Tujuan aku hendak bertemu dengan Lebai Kidam juga ada hubungannya dengan cerita Penghulu Naam itu.
" Saya kira To' Kiyai tau cerita Penghulu Naam tu....." aku cuba menduga.
Dia mendongak sedikit memerhatikan muka aku. Tetapi tidak lama, dia kembali menundukkan kepalanya sambil jarinya mengira-gira buah tasbih.
" Penghulu Naam tu bukan di sini, tetapi di Seri Melewar ." dia menjelaskan.
" Lama dah ceritanya tu, masa negeri perintah Yamtuan Melewar lagi." katanya terbatuk-batuk kecil.
Sudah lama juga aku mendengar cerita mengenai Penghulu Naam seorang pembesar di Seri Menanti. Rupanya Seri Menanti itu terletak jauh dari Serting, terpaksa berbelok ke Kuala Pilah menuju ke Seremban. Dari sanalah akan ditemui simpang di sebelah kiri menuju ke Seri Menanti.
Dari Pak Long Daud, aku mendapat tahu Penghulu Naam ini menjadi Penghulu Hulu Muar kira-kira lebih 200 tahun dulu. Semasa pembesar-pembesar Negeri Sembilan mahu menjemput raja dari Tanah Minangkabau merajai Negeri Sembilan, Penghulu Naam termasuklah salah seorang yang bersetuju menjemput raja berkenaan. Apabila raja di Tanah Minangkabau menghantar Raja Khatib untuk membuat persediaan di Seri Menanti sebelum kedatangan raja sebenarnya, Raja Khatib telah mengistiharkan dirinya raja lalu berkawin dengan anak Penghulu Naam.
Tidak lama kemudian Raja Melewar datang hendak menyerang, Raja Khatib pun melarikan diri tidak tahu kemana, hinggalah sekarang ini. Tinggallah Penghulu Naam berseorangan menentang angkataan Raja Melewar. Bagaimana pun tidaklah berlaku peperangan, kerana Penghulu Naam mudah saja dapat ditawan.
Penghulu Naam pun dijatuhkan hukuman bunuh dengan pancung leher. Perintah Raja Melewar ini terpaksa dipatuhi oleh pengikut-pengikut Penghulu Naam kerana mereka tidak berdaya mahu menentang. Pada waktu senja itu Penghulu Naam pun dipancung, tetapi tidak sempat dikebumikan. Esoknya pengikut-pengikut Raja Melewar terkejut melihatkan Penghulu Naam hidup dan balik semula ke rumahnya.
Perkara Penghulu Naam hidup semula walaupun kepalanya sudah terputus dari badan akibat dipancung dipersembahkan kepada Raja Melewar. Baginda menitahkan supaya Penghulu Naam ditangkap semula dan dipancung. Perintah ini dijalankan dengan tidak siapapun berani membantahnya.
" Setelah dipancung hendaklah dikebumikan....." demikian perintah yang disampaikan kepada petanda oleh seorang pembesar.
Petanda pun menjalankan hukuman pancung. Setelah kepala dan badan Penghulu Naam terputus, jenazahnya dikebumikan segera. Esoknya selepas embun turun, dia hidup semula. Kepalanya bercantum semula dengan badan. Kemudian datang titah bertanyakan kepada Penghulu Naam bagaimanakah cara mahu membunuhnya.
" Katakan pada Raja Melewar, kalau nak bunuh juga hamba, hendaklah dikebumikan kepala dan badan hamba lain-lain (maksudnya berasingan)." ujar Penghulu Naam.
" Kalau begitu jalankan titah....." pembesar yang ditugaskan Raja Melewar itu menyuruh pertanda(algojo) melaksanakan seperti yang dicakapkan oleh Penghulu Naam.
Setelah dilakukan seperti yang dicakapkan oleh Penghulu Naam, esoknya dia hidup semula. Penghulu Naam balik ke rumahnya makan dan minum. Dia hidup seperti sedia kala seolah-olah tidak ada apa-apa pun berlaku terhadap dirinya.
" Nampaknya awak pembohong To' Penghulu." utusan Raja Melewar memberitahu.
Utusan itu sebenarnya takut kepada Raja Melewar, kerana selagi Penghulu Naam tidak mati, sudah tentulah raja itu murka. Jumlahnya, tiga kalilah Penghulu Naam dipancung, tetapi kepalanya bercantum semula dengan badannya.
" Kami tak bohong." sahut Penghulu Naam macam menyindir.
" Tapi, awak buat kerja tak sempurna. Awak tak tanya kami macam mana hendak dikebumikan kami bila dah putus nyawa." katanya tegas.
Barulah utusan Raja Melewar merasa dirinya tergesa-gesa dalam menjalankan perintah raja.
" Beginilah To' Penghulu. Tolong hamba kali ni, kalau To' Penghulu tak dapat dibunuh tuanku akan murka." jelasnya merayu-rayu dengan penuh harapan.
" Dah tiga kali jumlahnya To' Penghulu dipancung tetapi tak juga mati, kalau kali ini To' Penghulu tak juga mati seisi kampung akan mendapat susah. Tolonglah hamba kali ini To' Penghulu." utusan itu sujud beberapa kali ke kaki Penghulu Naam.
Dengan tenang Penghulu Naam menghampiri Utusan tersebut. Dia berbisik sesuatu ke telinga Utusan berkenaan. Kelihatan Utusan Raja itu tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Orang-orang kampung yang melihat kejadian itu, tidak tahu apakah yang dicakapkan oleh Penghulu Naam kepada Utusan itu.
Hanya Utusan Raja mengarahkan Petanda menjalankan hukuman pancung sekali lagi. Setelah kepala Penghulu Naam bercerai dari badannya Utusan Raja memerintahkan supaya kepala dan badan itu dimandikan dan di sembayangkan mengikut aturan agama.
Kemudian kepala dan badan itu dikebumikan berasingan sebagai dua jenazah di dua buah bukit yang dipisahkan oleh sebatang anak air. Sejak itu tidak adalah lagi kedengaran mengenai Penghulu Naam hidup balik.
" Khabarnya....." jelas Kiyai Jemadi perlahan.
" Selama 44 malam orang-orang kampung mendengar suara kepala Penghulu Naam menyeru supaya badannya bercantum semula." katanya menambah cerita sama seperti yang diceritakan oleh Pak Long Daud.
" Sampai sekarang ada kuburnya di Seri Menanti tu." ujar orang tua itu menyandarkan belakangnya ke dinding surau.
" Kubur sebelah kepalanya di panggil Bukit Tempurung, dan sebelah badannya dipanggil Bukit Tabuh." dia memberitahu.
Demikian juga yang diberitahu oleh Pak Long Daud kepada aku. Kononnya nama Bukit Tempurung itu mengambil sempena kepala Penghulu Naam yang dikebumikan di situ, kerana bagi penduduk-penduduk di situ tempurung bererti tengkorak kepala.
Begitu juga dengan nama Tabuh adalah sempena dari tubuh Penghulu Naam yang dikebumikan di situ. Nampaknya cerita Kyai Jemadi itu tidak bertentangan dengan cerita Pak Long Daud. Aku juga berharap akan dapat menokok tambah lagi bila bertemu dengan Lebai Kidam nanti.
" Apa amalan Penghulu Naam tu Pak Kyai....?" Awang Leh bertanya tidak sabar=sabar.
Orang tua itu tersenyum mendengar pertanyaan Awang Leh. Dia terbatuk-batuk kecil tetapi tidak terus menjawab. Jarinya tetap tidak berhenti-henti mengira biji tasbih.
" Tentu Tok Kyai tahu apa amalannya....." desak Awang Leh lagi.
Dia tersengih-sengih sambil membetulkan duduk silanya.
" Tok tak tau apa yang diamalkannya." jelas orang tua itu tersenyum.
" Tetapi tidaklah mustahil boleh berlaku kejadian seperti Penghulu Naam itu kalau diizinkan Allah." katanya mendehem.
Orang tua berkenaan tidaklah menyebut dengan jelas akan amalan tersebut, tetapi dia ada menyebut " Lam " dan " Buntat Embun."
Aku juga mendengar tentang sejenis binatang yang hidup di air yang dikenali sebagai binatang " Lam " ini. Lam ini halus sebesar hujung lidi, bertubuh lembut seperti cacing dan panjangnya kira-kira sepanjang jari kelengkeng budak.
Kononnya bagi orang yang mengamalkannya terpaksa menggoreng serta memakannya. Ada setengah pihak mengatakan 'makruh' saja hukumnya memakan jenis binatang mamalia ' Lam ' ini. Dari Awang Leh juga dia mengatakan datuknya juga tahu mengenai " Buntat Embun " Mat Kilau(bukan M.Daud Kilau). Datuknya menerangkan memang orang yang kita lihat pada zahirnya sudah mati, akan hidup semula apabila embun turun, kalau dia mengamalkan " Buntat Embun " ini.
Kata datuk Awang Leh, memang Mat Kilau(pahlawan Melayu) memiliki " Buntat Embun " pemberian orang Bunian. Sebab itulah Mat Kilau yang dikatakan mati serta dikebumikan di Bunut Payung itu hidup semula, asal saja jasadnya terkena air 'embun'.
* Kisah Mat Kilau sudah aku tulis sebelumnya. Sahabat boleh cari di wall aku kisahnya.
" Makhluk Allah bila tiba masanya akan mati juga." Kyai Jemadi mengingatkan kami.
" Tetapi tak mustahil kalau Allah izinkan, tulang-tulang yang berselerakkan itu boleh dicantumkan semula." katanya tersenyum.
Dari Kyai Jemadi inilah aku mendapat tahu bahawa mereka yang mengamalkan " Buntat Embun " seperti Mat Kilau itu, hanya mati pada penglihatan mata biasa saja. Apabila embun turun dia hidup semula, kerana sebenarnya dia belum mati lagi. Tanda-tanda kematiannya hanya diketahui oleh orang-orang yang mengetahui petua tentang " Buntat Embun " itu saja.
Begitu jugalah " Lam " yang dimakan oleh orang-orang yang mengamalkannya. Sekalipun angotanya terputus akibat dipancung atau ditetak, ianya akan bercantum semula apabila embun turun pada sebelah malamnya. Ertinya kalau diletakkan di bumi, tentu dia hidup semula. Kecuali kalau dibawa naik ke rumah.
" Jangan anggap perkara-perkara macam ni aneh, cuba anak-anak baca Surah Al Kahfi dalam Quran....." ujar Kyai Jemadi terangguk-angguk macam batang tebu dipuput angin.
Bagi aku kata-kata Kyai Jemadi ini memang sudah difahami. Begitu juga dengan Awang Leh yang merupakan sahabat aku, walaupun dia mengaku aku gurunya. Kami memahami akan kejadian-kejadian yang dikatakan aneh oleh setengah-setengah pihak itu, sebenarnya tidak ada yang aneh. Hanya orang-orang yang tidak memahami akan kuasa Allah saja menganggap perkara-perkara demikian aneh.
" Jadi anak-anak ini nak pergi ke surau Lebai Kidam di hulu sana....?" dia bertanya.
" Iyalah, lagi pun Tok Kyai nak tidur." beritahu aku perlahan memerhatikan orang tua itu terkuap-kuap.
" Tetapi Rasulullah saw, mengingatkan banyakkan berjaga diwaktu malam itu lebih baik dari tidur." katanya sambil menghela nafas.
" Tapi bukan berjaga untuk main terup(daun judi).....berjaga untuk melakukan amal ibadat." tegasnya mengangkat muka sedikit merenung ke muka aku.
Walaupun mukanya bertentangan dengan aku, tetapi tidaklah jelas sangat rupa paras orang tua itu. Mukanya agak terlindung sedikit di sebalik bayang serbannya, walaupun lampu gaslin di tengah surau terang benderang.
" Saya faham maksud Tok Kyai....." ujar aku lalu bangun minta diri.
Awang Leh juga bangun sambil berjabat tangan dengan orang tua tersebut.
Semasa dalam kereta aku bertanya pada Awang Leh sama ada sudah pernah sampai ke Serting atau belum. Rupanya Awang Leh sama seperti aku belum pernah lagi sampai ke situ. 2x5, hehehe..
" Kalau dari Temerloh boleh ikut jalan Manchis, kemudian ke Durian Tipus dan Simpang Pertang. Dari sana lebih dekat jalan ke Serting ni....." Awang Leh menjelaskan.
" Tapi, kawan tak pernah pun masuk ikut Manchis." katanya tersengih-sengih memaut tangan ke stereng.
Aku sendiri ke Serting pun kerana mengikut pesanan Pak Long Daud. Dia yang mahukan aku menemui bekas gurunya itu. Katanya Lebai Kidam itu pernah belajar dengan To' Kenali di Kota Bharu.
Kira-kira hampir pukul 12:00 malam barulah aku dan Awang Leh sampai ke surau Lebai Kidam. Keadaan suraunya sama dengan suasana di surau Kyai Jemadi yang kami temui sebelumnya. Letaknya di tengah sawah sedikit dan terpencil dari rumah-rumah orang di darat kampung.
Sebaik kami memberi salam, kami pun dipersilahkan naik.
" Tok tak tidur lagi......?" aku menegurnya.
" Tok ni memang lambat tidur." jawabnya perlahan.
Tetapi dari cara dia menyambut kedatangan kami, dia seolah-olah sudah tahu kami akan datang ke situ. Dia sudah menyediakan kami dengan kopi 'O' panas, serta tiga buah cawan tertangkup di depan kami. Dengan tidak banyak soal jawab, dia pun menuangkan kopi 'O' ke dalam cawan di depan kami. Kami juga dihidangkan dengan rebus ubi yang masih panas lagi.
" Emmmm.....rezeki kita bersama." dia menghulurkan kepada kami pinggan berisi rebus ubi panas tadi.
" Alhamdulillah....." sahut aku lalu mencekup ubi rebus itu.
" Nak balik malam ni juga ke Kuala Lumpur.....?" tanya Lebai Kidam menghirup kopinya.
Aku agak terkejut dengan pertanyaan tersebut. Dia seolah-olah tahu kami datang dari Kuala Lumpur, di samping niat kami mahu balik malam itu juga ke Kuala Lumpur.
" Emmm.....nak balik juga....?" ulangnya apabila kami diam tidak menyahut apa-apa.
Aku mengangguk. Memang kami akan balik juga ke Kuala Lumpur malam itu. Hajat kami hanya mahu menemui Lebai Kidam. Mungkin pada lain masa kami akan datang lagi mengunjunginya.
" Bila pula nak datang lagi....?" tanyanya lagi seolah-olah faham apa yang terbendung dalam jiwa aku.
" Tenguklah dulu....." sahut aku perlahan.
" Eloknya dapat cepat sikit datang, tapi malam ni tadi kami berhenti dulu dekat surau Tok Kyai Jemadi." aku menerangkan.
" Apa buat di situ....?" dia tidak lepas merenung muka aku.
" Berhenti sembayang Isya'....." jelas aku sambil meneguk kopi O.
" Tok Kyai tu bercerita mengenai kisah Penghulu Naam." kata aku selanjutnya.
Lebai Kidam menungkat tangan ke dagunya. Sekali-sekala dia mengusap jangut sejemputnya(macam jangut aku). Dia hanya terdiam saja mendengar cerita aku tadi.
Aku juga menceritakan mengenai keanehan-keanehan yang dianggap oleh Kyai Jemadi sebagai tidak aneh. Begitu juga dengan cerita Penghulu Naam yang kononnya sudah dipenggal leher hingga kepala bercerai dari badan, tetapi masih boleh bercantum semula. Kyai Jemadi juga merasa tidak heran dengan peristiwa Mat Kilau yang mati dan dikebumikan di Bunut Payung, Kelantan 90 tahun dulu, tiba-tiba muncul semula di Pahang. Semua kata-kata Kyai Jemadi ini aku ceritakan kepada Lebai Kidam.
" Awak semua jumpa dengan Kyai Jemadi tu....?" soalnya mendehem sedikit.
" Iya....." aku mengangguk perlahan.
" Saya dan kawan saya ni, Awang Leh berhenti sekejap di surau tu. Kami sembayang Isya' di situ. Tapi dia dah selesai sembayang ketika kami sampai." jelas aku tersengih-sengih.
" Dia ceritakan fasal Penghulu Naam itu saja....?" Lebai Kidam macam mahukan penjelasan.
" Cerita fasal Tok juga, katanya elok belajar agama dengan Tok, dia suruh kami belajar betul-betul dengan Tok." Awang Leh pula mencelah.
" Dia kata Tok anak murid Tok Kenali dari Kelantan, rugi kalau tak belajar dari Tok." dia menambah tersengih-sengih juga memerhatikan Lebai Kidam.
Lebai Kidam terdiam. Dia mengusap-usap janggut sejemputnya perlahan. Kemudian dia menghela nafas macam mengeluh pendek.
" Awak semua dapat jumpa dia, dapat bercakap-cakap dengan dia....?" soalnya lagi.
" Iya....." kata aku.
" Memang, memang tak ada yang aneh. Benar cakap dia tu, tak ada yang aneh kalau memahami kekuasaan Allah....." ujar Lebai Kidam macam tergenang air di pelupuk matanya.
Bila melihat Lebai Kidam seolah-olah menangis, aku dapat memahami bahawa setiap orang yang teguh zikirnya memang mudah menitiskan air mata bila menyebut nama Allah. Dia akan jadi gementar seluruh tubuhnya bila disebutkan Allah di depannya.
" Maha Besar Allah." keluhnya sambil mengesat air mata yang mula mengalir.
Aku dapat membayangkan bagaimana Kyai Jemadi menceritakan tentang diri Lebai Kidam. Mungkin orang-orang yang tinggal di sekitar kawasan suraunya tidak menyedari akan ilmu Lebai Kidam. Malah boleh jadi kebanyakan mereka menganggap Lebai Kidam lebih banyak membuang masa di surau dengan meninggalkan tanggung jawab dalam mencari nafkah keluarganya.
Sebab itulah penduduk di situ tidak menghiraukan sangat Lebai Kidam. Sebaliknya Kyai Jemadi yang tinggal agak jauh sedikit dari situ dapat membayangkan tentang ilmu agama Lebai Kidam. Dia sendiri mengakui akan kehebatan tasauf Lebai Kidam itu. Memang Kyai Jemadi sendiri berulang kali mengingatkan kami supaya belajar sesuatu dari Lebai Kidam. Kalau sudah bertemu dengan Lebai Kidam itu, adalah rugi kalau tidak mempelajari ilmunya, demikian Kyai Jemadi menasihatkan.
Semua kata-kata Kyai Jemadi itu diberitahu oleh Awang Leh kepadanya. Aku juga bersetuju Awang Leh menerangkan kepadanya, kerana kami bimbang Lebai Kidam enggan mengajar. Setahu aku seperti yang dipesankan oleh Pak Long Daud, siapa saja datang menemuinya mahu belajar, Lebai Kidam menyatakan dia tidak berilmu.
Kami sudah datang jauh berbatu-batu dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menemuinya. Tentulah menghampakan kalau dia tetap enggan menerangkan sesuatu. Oleh itu aku sangat berharap dia tidak menolak untuk mengajar kami sesuatu.
" Maha Besar Allah." keluh Lebai Kidam tersengguk-sengguk.
" Maha Suci Allah....Laa illaha illallah Muhammadar Rasullallah....." dia menekup mukanya sekuat hati.
Aku membiarkan saja dia berkelakuan begitu. Dalam masa ini tentulah dia begitu terharu atau tidak dapat menahan perasaan. Hanya dia saja mengetahui perasaannya ketika itu, sedangkan aku dan Awang Leh hanya dapat melihat dari segi lahir saja. Teringat juga aku akan pesan Kyai Jemadi supaya jangan memberitahu Lebai Kidam yang kami singgah bersembayang di suraunya. Tetapi apa boleh buat semuanya sudah terlanjur. Awang Leh sudah terlepas cakap sambil menceritakan apa yang dicakapkan oleh Kyai Jemadi itu.
Bagaimana pun, aku berfikir kami boleh meminta maaf kepada Kyai Jemadi. Apabila kami balik nanti, kami akan singgah sebentar disuraunya. Tetapi boleh jadi dia sudah tidur sekiranya kami singgah di situ. Oleh itu aku berbisik pada Awang Leh supaya balik selepas subuh esoknya.
Apabila kami terangkan pada Lebai Kidam keputusan akan balik subuh esoknya, dia sangat gembira. Dia ajak kami bermalam di suraunya saja. Lagipun tidak ada apa-apa yang perlu untuk kami berkejar balik cepat ke Kuala Lumpur. Sebelum tidur sempat juga Lebai Kidam bercerita mengenai Penghulu Naam yang dipancung oleh Yamtuan Raja Melewar di Seri Menanti. Dia juga sependapat dengan Kyai Jemadi, boleh jadi Penghulu Naam itu mengamalkan memakan binatang " Lam "(sejenis Gamat) itu. Tetapi dia tidak dapat mempastikan sama ada Penghulu Naam itu mengamalkannya.
Binatang " Lam " itu sendiri kononnya apabila dipotong sekalipun dicincang lumat, dalam beberapa saat dia akan bercantum semula. Lebai Kidam juga menerangkan ada sejenis binatang yang terdapat di Pulau Langkawi, jenisnya sama macam bentuk pacat atau lintah tetapi besar kira-kira sebesar lengan(Gamat). Binatang ini juga akan bercantum semula sekiranya dipotong putus hanya dalam beberapa saat.
" Kejadian Allah tidak ada yang anehnya....." dia menerangkan.
" Kalau mahu dikira aneh, cuba fikirkan kejadian Adam yang tidak ada emak atau ayah seperti manusia sekarang, tetapi cuma dijadikan dari tanah dan lumpur kering yang dibentuk." jelas Lebai Kidam lagi.
Aku hanya mengangguk saja. Manakala Awang Leh pula kelihatan sudah mengantuk bercampur letih. Ini disebabkan dia memandu kereta, tentulah terasa letih. Apalagi perjalanan yang jauh berbelok-belok menempuhi jalan di Bukit Putus, kemudian memasuki jalan tanah merah menuju ke surau Lebai Kidam ini.
Walaupun aku terasa juga letih, tetapi kerana keinganan aku mahu mendengar cerita-cerita dari orang tua itu, maka aku tahankan saja.
" Tidaklah aneh pada fikiran orang yang tidak memahami kekuasaan Allah, bagaimana tanah debu dan lumpur kering itu boleh dibentuk menjadi Adam dengan tidak ada ibu yang mengandungkan, dengan tidak ada ayah yang boleh menyebabkan ibunya mengandung....." beritahu Lebai Kidam mencepak-cepak bibir.
" Sebab itu....." katanya macam mengingatkan aku.
" Jangan awak semua mengatakan itu aneh, ini ajaib, itu mengherankan, ini menakjubkan. Cubalah takjub dengan kekuasaan Allah. Siapa yang jadikan langit ini dengan tak bertiang....? Siapa jadikan laut dengan tidak payah digali....? Siapa masinkan air laut dengan tidak payah ditabur garam....? Siapa.....!" dia kembali tersengguk-sengguk sambil mengucap beberapa kali.
Subuhnya cepat-cepat aku mengejutkan Awang Leh supaya segera bangun, kerana Lebai Kidam sudah lama selesai mengambil wudhu. Subuh itu kami dapat berjemaah dengan berimamkan Lebai Kidam. Semasa menghatar kami sampai ke pintu tatkala mahu balik Lebai Kidam tiba-tiba bersuara.
" Sebenarnya Kyai Jemadi tu dah 50 tahun dulu meninggal dunia. Memang di situlah suraunya....."
Aku berpandangan dengan Awang Leh. Tetapi Lebai Kidam menepuk bahu aku.
" Itulah sebahagian dari kekuasaan Allah, tak ada yang anehnya. Kamu semua sudah bernasib baik." jelasnya tersenyum.
Untuk mempastikan kata-kata Lebai Kidam itu, aku dan Awang Leh berhenti di tempat kami bertemu Kyai Jemadi sebelah malamnya. Disebabkan sudah hampir pukul 7 pagi, keadaan sekeliling sudah terang di sinar matahari. Kami dapat melihat dengan jelas surau yang kami naiki dan bersembayang Isya' di situ.
Surau tersebut sudah hampir mahu roboh. Disana sini kelihatan sawang dan sarang labah-labah. Tempat aku duduk semalamnya berdebu dengan habuk tetapi seluar aku tidak kotor. Lantainya juga penuh dengan tahi lipas. Lampu gaslin yang terpasang tidak ada kelihatan pada alang tengah surau, tetapi kelihatan sarang labah-labah di situ. Sementara Awang Leh yang pergi melihatnya tidak ada apa-apa di situ. Yang ditemuinya hanya bekas perigi atau perigi buta yang ditumbuhi rumput-rumput memanjang. Kami dapat melihat dengan jelas kesan-kesan tapak kasut kami di tangga surau. Lantai surau itu juga kelihatan sudah reput, mungkin akan roboh kalau kami naiki.
" Kita balik sekarang....." aku memanggil Awang Leh.
Ada sesuatu yang menggerunkan hati ketika aku meninggalkan surau buruk tersebut. Aku tahu Awang Leh juga merasa takut, tetapi dia cuba pura-pura menunjukkan keberanian di depan aku..
SEKIAN DAHULU...
ASMA' NURUL BASHIROH.
Aku ijazahkan Ilmu Trawangan Sapu Jagad (Asma' Nurul Bashiroh) warisan Kanjeng Sunan Kalijaga.
ASMA' NYA :
1.) BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
YAA ALLAH YAA NUURU YAA BASHIIR. 256x.
2.) BINUURIKA YA ALLAH, NAWWIR BASHIIROTII LIKASYFI UMUURIN 'AN 'UYUNI TAGHOYYABAT. 18x.
3.) Doa dibaca 7x :
" CAHYA-CAHYAKU CAHYA NUR MURUB, MURUB MUBYAR MUBYAR PADANG TRAWANGAN, SUKMA JATI JATINING SARI, DUMADI ADOH KATON CEDHAK KATON, JAGAD IKI DAK UNGAK KATON KABEH. ALLAH NYUWUN PADANG SIR KUN FAYAKUN, MAYANE KANG ORA KATON, KATON MELOK SEJATINING URIP, KATON PADANG SEJATINE KODRATULLAH, BYAR PADANG JAGAD IKI DAK UNGAK KATON MELOK BYAR SAIKI. ALLAHUMMA RASA MULYA BADAN IMAN JENENG JOHAR, URIP KANG MENGKU, URIP MBESUK MANUNGSA KANG LUWIH SEMPURNA. YAA HUU SHOLLALLAHU ALAIHI WASSALAM."
TATA CARA RITUALNYA :
- Puasa 3 atau 7 hari mutih.
- Bila puasa 3 hari mulai puasa hari Selasa Kliwon.
- Kalau puasa 7 hari mulai puasa hari Rabu Legi.
KHASIATNYA :
Bila sudah menguasai ilmu ini dengan sempurna kita dapat melihat jarak jauh, dibalik tembok/dinding, kandungan isi bumi harta karun, mineral, sumber air, menemukan barang hilang, melihat kejadian yang akan datang, alam jin, dan manfaat yang lain.
Tetapi ilmu ini bukan ilmu Meraga Sukma, ini hanya ilmu 'Terawang', melihat dengan mata batin. Bagi pemula, mungkin melihatnya dengan mata tertutup. Tapi jika sudah biasa dengan mata terbuka pun boleh melihatnya.
Janganlah gunakan ilmu ini untuk kejahatan, apalagi sombong. Janganlah gunakan ilmu ini untuk meneropong number ekor 4D atau melihat sesuatu yang tidak sepatutnya kita lihat. Terutama sekali bagi ahli-ahli Kampus Tok Badai. Aku akan tarik balik ilmu-ilmu ini dari ahli yang melanggar amaran aku ini.
PENGIJAZAH :
Ustadz Arifin Maulana Syeikh Ainul Yaqin.
Imam Besar Masjid Babussalam Purwosari.
Seperti biasa, ambil sisi positif dari cerita ini yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt, Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI, dengan merendahkan diri memohon maaf..
TERIMA KASIH.........
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts