PEREMPUAN TETEK LABUH SAMPAI KE PAHA.
ILMU BERBURU BINATANG DI HUTAN.
ILMU BERBURU BINATANG DI HUTAN.
Assalamualaikum wt wbt....sahabat-sahabat yang aku hormati semua tidak kira dimana jua berada, baik dari dunia nyata mahupun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Sholawat dan salam senantiasa di hatur keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dengan mengharap ridho Allah swt, dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, izinkan aku yang miskin ilmu lagi dhoif ini berbagi sedikit ilmu yang dititipkan kepada aku dan pengalaman untuk dikongsi bersama para sahabat-sahabat semua. Insya' Allah....
Jalan ke Kampung Baduk berbelok-belok mengikut jalan tanah merah yang berlopak itu,menyebabkan kereta yang dipandu oleh Tamrin bergoncang-goncang.Tetapi aku dapati Osman yang duduk di belakang boleh juga melelapkan mata walaupun kereta bergoncang kuat.Boleh jadi Osman terlalu mengantuk kerana sudah jam 4 pagi.
Sebenarnya Osman yang menunjukkan jalan ke kampung berkenaan.Sudah berkali- kali Tok Imam Mat Dah mahu bertemu aku.Selalu dia berpesan pada Osman supaya mengajak aku bertemu dengannya.Osman lah yang menyebutkan nama aku di depan Tok Imam Mat Dah,sampai orang tua ingin sangat bertemu dengan aku.
Kebetulan pula Tamrin ada hal ke Temerloh.Dia mempelawa aku dan Osman ke sana.Lagi pun cuma Osman yang tahu mengenai jalan ke sana kerana dia memang asal dari ke Temerloh. Disebabkan Tamrin mahu ke Temerloh lalu Osman menerangkan kepada aku tentang keinginan Tok Imam Mat Dah mahu berjumpa aku..
Aku pun bersetuju sangat mahu bertemu dengan Tok Imam Mat Dah. Dari cerita Osman aku difahamkan Tok Imam Mat Dah mempunyai pengajian agama yang tinggi. Dia pernah menuntut di Kelantan di bawah bimbingan Tok Kenali, ulama(waliyullah) yang terkenal itu. Malah menjadi kegemaran aku pula akan segera mendapatkan orang-orang yang mempunyai ilmu agama seperti Tok Imam Mat Dah ini.
Kalau mahu mencari ahli agama memang boleh ditemui. Ustadz-ustadz yang mengajar di sekolah pun ramai menjadi teman-teman aku. Malah mereka berkelulusan dari Mesir, Mekah dan juga ramai yang menjadi teman-teman aku. Ketinggian ilmu begini hanya dari satu aspek sahaja, tetapi dari cerita Osman dapat aku fahami bahawa Tok Imam Mat Dah mempunyai ketinggian ilmu dari aspek lain pula, berbeza. Itu yang membuat aku setuju sangat mahu bertemu dengannya.
Minatnya mahu bertemu dengan aku itu, sudah dapat aku agak tentu mahu ajak aku berbual dalam aspek tersebut.
Aku bersama Tamrin dan Osman sampai ke rumahnya kira-kira jam 12:00 tengah malam, tetapi dia tidak ada di rumah. Kami diberitahu Tok Imam Mat Dah menunggu dusun duriannya.
" Hah, ada can kita cari durian. Durian sini memang bagus isinya." kata Osman yang memang berasal dari Temerloh.
Osman ini badannya kecil saja, tetapi pandai bercakap dalam banyak perkara. Dia suka bercakap mengenai politik juga. Jadi macam-macamlah cerita politik yang dibualkannya sepanjang perjalanan itu, terutama mengenai suasana politik di Temerloh. Disebabkan dia pandai bercakap maka ramailah kawan- kawannya termasuk Tok Imam Mat Dah ini.
Disebabkan terlalu asyik mendengar bualan Osman sehinggakan Tamrin memandu kereta pun kehilangan jalan. Puas memerhati di sekeliling, tetapi tidak dapat mencari kawasan dusun durian Tok Imam Mat Dah. Sebenarnya dusun durian terletak di tepi jalan saja. Mungkin disebabkan kami asyik mendengar bualan Osman, atau mungkin Tamrin mengantuk kerana malam sudah larut, maka kami tidak dapat mencari jalan ke dusun durian Tok Imam Mat Dah.
Eh, kawan cam betul jalannya, memang sampai pada lurah ni...." beritahu Osman mengaru-garu kepala.
Dia masih memanjangkan leher ke luar tingkap kereta memerhatikan lorong ke dusun durian tersebut. Tetapi sekitar kami kelihatan gelap gelita walaupun bulan terang benderang mengambang.
" Kau salah jalan agaknya Man." runggut Tamrin mulut terkuap-kuap.
" Hai...macam mana boleh salah jalan, tempat kawan main-main masa kecil dulu. Mana ceruk ke sini yang kawan tak tau....! Osman seolah-olah merasa dirinya dicabar.
Masakan dia boleh tersesat di jalan kampung selorong demikian. Sedangkan ibu kota Kuala Lumpur yang mempunyai jalan bersimpang siur itu tidak pernah tersesat.
" Jangan-jangan kita dah terlansung tak ?" aku mencelah pula.
" Tak mungkin." sahut Osman memotong.
" Kawan cam betul jalan ni, kita belum sampai lagi. Dekat sini aje, cuba perhatikan kawasan berlurah sedikit." katanya masih memanjangkan leher keluar tingkap kereta.
" Kalau kau tahu mana jalannya...." gerutu Tamrin macam menyindir Osman.
Terasa juga penat dia memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Temerloh, kemudian masuk pula ke jalan tanah ke Kampung Baduk ini. Sudah tentu dia juga rasa mengantuk.
Tetapi jalan yang dikatakan Osman itu tidak ketahuan halanya, manakala dusun durian Tok Imam Mat Dah itu juga tidak diketahui. Masa tu mana ada hp seperti sekarang boleh hantar msg atau telifon saja bertanya arah..
" Tak jumpa kita balik sajalah." kata Tamrin macam hampa.
" Sabar dulu Rim...." cepat-cepat aku mengingatkan Tamrin supaya tidak putus asa.
" Kita datang jauh dari Kuala Lumpur, tengah malam pula. Nanti penat aje kita datang tak ada hasil." ujar aku tersengih-sengih mengerling gelagat Tamrin yang cepat naik angin.
" Hari malam mana nak nampak jalan, sabarlah." jelas Osman pula meredakan perasaan Tamrin.
Memanglah pada perasaan Osman, kami berada tidak jauh dari rumah Tok Imam Mat Dah, padahal kami sebenarnya sudah jauh meninggalkan kampung tersebut. Apa yang dirasakan oleh Osman sebenarnya adalah di luar dugaan dirinya.
Tatkala ini aku teringat akan cerita Pak Uda Karib semasa dia ke hutan memburu. Pak Uda Karib diberi senapang patah oleh Tuan DO orang putih kerana jasanya pada Tuan DO itu. Di samping itu dia juga bebas masuk ke hutan, walaupun di zaman darurat.
Bagamana pun Pak Uda Karib memang memahami selok belok hutan di kampung nya. Dia tahu di mana kawasan larangan, di mana kawasan yang selalu dironda oleh askar, di mana kawasan yang sering menjadi gangguan komunis di masa darurat. Oleh itu dia sentiasa terlepas dari sebarang gangguan.
Lagi pun suasana darurat tidaklah mengancam sangat di kampung nya. Walaupun daerah tersebut merupakan sarang komunis. Hutan di pinggir kampung ketika ini memang banyak binatang-binatang hutan lagi. Tidak seperti masa sekarang di tengah hutan pun tidak ditemui pelanduk, rusa atau kijang. Aku mendapat tahu binatang-binatang seperti ini selalunya mati kerana termakan racun hijau di kebun-kebun pisang yang disembur oleh pekebun-pekebun Cina.
Biasanya Pak Uda Karib tahu mengambil hati Tuan DO dan OCPD. Kalau dia mendapat buruan, seekor pelanduk akan dihadiahkannya kepada Tuan DO dan Tuan OCPD. Mereka ini sangat sayang pada Pak Uda Karib. Oleh itu kalau ada masalah semasa pergi berburu, memang Tuan DO dan Tuan OCPD sedia menolongnya.
Pernah juga dia ditangkap oleh Jungle Squad ketika berburu di hutan. Apabila dibawa ke balai polis Tuan OCPD pura-pura memarahi dia di depan anggota Jungle Squad yang menangkapnya. Tetapi selepas itu Tuan OCPD menepuk-nepuk bahunya sambil mempelawa minum kopi bersamanya.
Akhirnya apabila pihak Jungle Squad tahu akan hubungan baik antara Tuan OCPD dengan Pak Uda Karib, mereka pun tidak mengambil apa-apa tindakan lagi.
Satu lagi Pak Uda Karib mengajak kawannya Miun mengendap pelanduk. Kebetulan sebelah malamnya hari hujan menyebabkan Miun tidak dapat menoreh getah. Miun pun memang suka mengikut Pak Uda Karib berburu. Mereka masuk ke hutan ketika matahari sudah naik segalah. Sebenarnya kalau Pak Uda Karib masuk ke hutan, dia bukan saja mengendap pelanduk atau rusa atau kijang. Kadangkala dia mengendap ayam denak juga. Kalau tidak mengendap pelanduk, rusa, kijang atau ayam denak, dia akan mencari petai saja. Tetapi jarang Pak Uda Karib masuk ke hutan balik dengan tangan kosong.
Kepandaiannya menepuk daun palas di busut mudah saja pelanduk datang menjengah. Pelanduk akan datang terlompat-lompat mendengar paluan daun palasnya ke busut.
" Menepuk daun palas tidak boleh menggunakan tempurung...." Pak Uda Karib memberitahu Miun.
" Mengapa Pak Da.?"
" Nak mampus kau....!" Pak Uda Karib mengerut dahinya.
" Bukan pelanduk yang datang, tapi Pak Belang. Berani kau bersilat dengan pak belang." katanya ketawa kecil.
Meremang bulu tengkok Miun bila mendengar harimau. Walaupun dia sudah mendengar mengenai keberanian Pak Uda Karib kalau bertembung dengan harimau, tetapi gementar juga dia sekiranya tiba-tiba saja harimau tercongok di depannya. Ketika Talip Jengket mengikut Pak Uda Karib, pernah juga bertembung dengan harimau.
Talip Jengket memberitahu Miun, dia nampak harimau itu berbaring di balik pokok lereng bukit. Pak Uda Karib bukannya mengajak dia lari, tetapi memangkas anak kayu sebesar lengan dan dikerat-kerat sepanjang satu hasta. Kemudian dibalingnya harimau sedang tidur itu. Sekaligus harimau itu melompat lalu lari ke bawah lurah.
Pak Uda Karib ketawa terkekeh-kekeh melihat harimau itu lari simpang perinang.
Itulah cerita yang didengar oleh Miun dari Talip Jengket, hinggakan sejak itu Talip Jengket taubat tidak mahu mengikut Pak Uda Karib ke hutan lagi. Puas diajak oleh Pak Uda Karib, namun Talip Jengket tetap tidak mahu mengikut. Sebab itu Miun cepat saja meremang bulu tengkuk bila Pak Uda Karib menyebut harimau akan datang kalau ditepuk tempurung dengan palas dengan ditangkup ke busut.
" Kau nak jumpa harimau... ?" tanya Pak Uda Karib mengerling ke arah Miun.
" Rimau mati bolehlah." sahut Miun bergurau.
" Rimau mati sepak pun aku berani." katanya macam menyambut cabaran Pak Uda Karib.
" Apa pula rimau mati." kata Pak Uda Karib tersengih- sengih.
" Kalau kau nak tenguk dia datang, aku panggilkan." ujarnya membetul-betulkan senapang tersandang di belakang.
" Kalau Pak Uda ada aku berani... !" sambut Miun memberanikan hatinya.
Dia pun mahu melihat sendiri akan kebenaran kata-kata Talip Jengket mengenai dakwaannya.
" Kalau kau nak tenguk sekejap lagi datang lah dia." jelas Pak Uda Karib macam mahu menduga.
Miun terdiam. Bimbang juga dia kalau Pak Uda Karib tidak bergurau. Mana tahu harimau belang tiba-tiba tercongok di depannya. Harimau liar di hutan bukan seperti anak kucing yang jinak. Bila-bila dia akan menerkam mangsanya, tidak peduli sama ada Pak Uda Karib atau siapa pun.
Memanglah Pak Uda Karib terkenal di kampung itu tentang kemahirannya berburu. Dia juga boleh dikira pawang di hutan. Cerita mengenai pengalamannya sebagai pemburu sudah banyak didengar oleh Miun.Tetapi semua cerita itu didengar oleh Miun dari mulut ke mulut saja. Selama dia mengikut Pak Uda Karib ke hutan beberapa kali, belum pernah pula dia mengalami kejadian-kejadian aneh seperti yang didengarnya selama ini.
Pernah juga orang melihatnya bertunggang di atas belakang harimau seperti sedang menunggang kuda. Orang melihatnya terlepas cakap mengatakan Pak Uda Karib hanya lebih temberang saja. Cakap saja besar sampai mengaku dirinya pawang, pada hal orang tahu kebolehannya berburu kerana dia memiliki senapang yang dihadiahkan oleh Tuan DO. Senapang itulah menjadi pawang dia kononnya.
Kata-kata orang itu menyinggung perasaan Pak Uda Karib. Bagaimana pun dia tidaklah mengambil tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan. Memang sudah menjadi kelaziman penyakit masyarakat orang melayu, mudah iri hati dengan kelebihan orang lain. Oleh itu cerita yang memburuk-burukkan Pak Uda Karib itu adalah berpunca dari perasaan iri hati tadi.
Semasa balik dari surau lepas sholat Isya' orang berkenaan balik bersama-sama dengan Pak Uda Karib dan beberapa orang jiran. Di pertengahan jalan seekor harimau sedang menunggu seperti seekor kuda menunggu tuannya. Di depan jiran-jiran itulah Pak Uda Karib terus melompat ke atas belakang harimau itu terus menunggangnya dan hilang di dalam kegelapan malam.
Mereka yang melihat kejadian itu tergamam. Mereka semacam bermimpi melihat kejadian yang berlaku di depannya. Orang yang memburuk-burukkan nama Pak Uda Karib itu tidak sedar terkencing dalam kain.
Semua cerita mengenai Pak Uda Karib memang sudah didengar oleh Miun. Sebab itu dia tidak berani sangat celupar mulut meminta supaya Pak Uda Karib memanggil harimau menjengah muka di situ. Takut juga dia kalau harimau tiba-tiba saja muncul di situ. Apa yang harus dilakukannya kalau bertembung harimau di tengah hutan demikian.
Tetapi sehingga jam 2 petang tidak ada harimau tercongok. Mereka sudah berjaya menembak lima ekor pelanduk yang sedang memakan pucuk ludai. Pak Uda Karib sendiri yang menyembelihnya. Miun hanya membawa pelanduk tersebut. Berat juga mahu memikul lima ekor pelanduk yang telah dimasukkan ke dalam karung.
" Kita balik sajalah." Miun mencadangkan kerana terasa sangat berat beban yang dipikulnya.
" Ah..., siang lagi ni....." sahut Pak Uda Karib perlahan.
" Kau nak kemana cepat-cepat balik...?" sindirnya sambil mengalas senapang di bahu.
" Cukup ni." jelas Miun, tetapi dia tidak memberitahu tentang beban berat yang dirasakannya.
Malu juga dia mahu memberitahu Pak Uda Karib fasal tidak terdaya mahu memikul karung berisi pelanduk itu.
" Kalau jumpa lagi pun tak larat nak bawa." katanya termengah-mengah.
" Ah banyak tu tak larat bawa, lebih baik tak usah makan." dia mengejek Miun.
Miun tidak menyahut. Mendongkol juga hatinya bila dengar ejekan tersedut. Tetapi dia memang tidak berdaya lagi mahu memikulnya. Terasa berat beban yang dipikulnya bukan lima ekor pelandok, tetapi berlipat ganda dari itu.
Bagamana pun Miun tidak mahu menerangkan keadaan sebenarnya. Dia tidak menyangka berat lima ekor pelanduk itu sampai tidak terdaya lagi dia memikulnya. Akhirnya dia terpaksa mencampakkannya ke tanah. Apabila Miun mencampakkan karung berisi pelanduk itu ke tanah, Pak Uda Karib melompat ke arah karung tersebut.
" Ambil senapang ni....." katanya menghulurkan senapang kepada Miun.
Cepat-cepat Miun menyambarnya.
" Sejak tadi kau ikut aku, kau ingat aku tak tau... !" bentaknya sambil menghunus parang.
Miun terpinga-pinga dengan kelakuan Pak Uda Karib yang tiba-tiba saja membuka langkah silat.
" Aku tahu kau bertengek atas bahu Miun." gerutunya lagi sambil mengertap bibir.
" Jadi, kau ingat aku tak tau ya... ! Hisss...ini Karib, turun- temurun Malim Karimun. Kalau kau nak baik, aku terima baik. Kalau kau nak jahat, aku terima jahat. Sekarang menjelma kau, menjelma kau." bentak Pak Uda Karib berdiri tegak. Sekaligus dia mencacakkan mata parangnya ke tanah.
Dia berpusing berligar-ligar di sekeliling karung berisi pelanduk tadi.Mion bertambah gementar melihat kejadian tersebut.Belum pernah dia mengalami kejadian demikian selama dia mengikut Pak Uda Karib ke hutan.Mungkin Talip Jengket tidak mahu mengikutnya lagi pun disebabkan sudah mengalami kejadian-kejadian yang diluar dugaan sedemikian.
Berligar-ligar Pak Uda Karib. Mulutnya kumat kamit membaca sesuatu yang tidak dapat didengar jelas oleh Miun.
" Sekarang menjelma kau... ! Ikut perintah aku, menjelma kau....." bentaknya nyaring menghembuskan nafas perlahan.
Miun dapat melihat sendiri seorang perempuan tua tiba-tiba terpelanting ke tanah dari atas karung berisi pelanduk tadi. Rambutnya putih menggerebang, dan teteknya labuh sampai ke paha.
" Kau rupanya Hantu Kopek(hantu tetek).....?" kata Pak Uda Karib dengan nada marah.
" Aku ingatkan Puaka Hutan, rupa-rupanya kau nak sorokkan/tutup jalan aku. Kau nak sesatkan aku dalam hutan ini. Kau nak main-main dengan aku." jerkahnya lalu melompat menyepak dagu perempuan tua itu.
Perempuan tua itu tersungkur. Mulutnya berdarah akibat disepak oleh Pak Uda Karib.
" Kau kejam Karib....." suara perempuan tua itu terketar-ketar.
" Berani kau mempermain-mainkan aku hah...!" secepat kilat Pak Uda Karib menendang dada perempuan itu.
" Dari tadi kau bertenggek atas bahu Miun. Kau fikir aku tak tau. Aku ingatkan Jembalang Rimba tadi, sebab itu aku biarkan dulu permainannya. Rupa-rupanya kau, laknat....!" dia melompat sambil menyepak kepala perempuan tua berkenaan.
" Kejam kau..kejam kau..." rengek perempuan tua itu terketar-ketar.
" Kalau kau ganggu manusia tak kejam... !" sindir Pak Uda Karib berligar-ligar sekeliling perempuan tua yang melutut meminta ampun.
" Kau bertengek atas bahu Miun tadi tak kejam....." ujarnya mengejek.
" Lepaskan aku Karib." rayunya bergetar.
" Mengapa kau berani ganggu aku....?" jerkah Pak Uda Karib.
" Sumpah...sumpah aku tak ganggu kau lagi." kata perempuan tua tersedu sedan.
" Kau nak sorokkan jalan aku. Memang kerja kau ni Hantu Kopek, suka menyorokkan jalan. Kau mahu manusia semuanya sesat meraba-raba....!" bentak Pak Uda Karib bertambah marah.
Miun terkebil-kebil mata melihat Pak Uda Karib berligar-ligar. Dia juga mendengar dengan jelas suara perempuan tua itu terketar-ketar menahan kesakitan. Kalaulah orang tua yang dilihatnya itu manusia biasa, memang terasa kesian dia apabila terguling ke tanah disepak oleh Pak Uda Karib.
Tetapi dia tahu yang disepak oleh Pak Uda Karib bukanlah manusia biasa. Sepakan dia juga bukanlah sepakan biasa seperti menyepak bola raga. Tetapi sepakan makrifat yang melintasi alam lain. Miun juga sedar beban berat yang dipikulnya sejak tadi ialah angkara perempuan tua tersebut.
Dia juga sedar bahawa perempuang tua itu adalah jelmaan Hantu Kopek yang tidak dapat melepaskan diri dari Pak Uda Karib. Apabila makhluk demikian sudah dibawa menjelma (dizahirkan wujudnya), bermakna dia sudah menjadi tawanan pada Pak Uda Karib. Barulah Miun dapat menyaksikan sendiri satu pengalaman yang tidak pernah diduganya selama ini.
" Tolong aku, lepaskan aku....tolong." perempuan tua yang dipanggil oleh Pak Uda Karib sebagai Hantu Kopek itu merayu-rayu minta belas kesian.
Pak Uda Karib tidak memperdulikan rayuan perempuan tua berkenaan. Memang Miun tahu masakan dengan hantu atau syaitan boleh menunjukkan belas kasihan. Orang yang menunjukkan belas kasihan pada hantu atau syaitan hanya mereka yang telah terpedaya saja.
Hantu adalah golongan makhluk halus yang sama sejenis dengan Syaitan dan Iblis. Kerjanya memang mengganggu Bani Adam atau manusia. Itulah janjinya kepada Allah setelah dinyahkan dari Syurga kerana tidak mahu sujud kepada Adam. Sebab itulah Pak Uda Karib tidak akan menaruh belas kasihan dengan golongan makhluk demikian.
Mereka juga mempunyai kebolehan psikologi sehingga boleh memperdayakan manusia yang tidak memahami psikologi syaitan dan iblis.Demikianlah diterangkan oleh Pak Uda Karib kemudiannya kepada Miun.
" Tolong aku....!" suara perempuan tua itu bergetar sambil mencampakkan tetek atau kopeknya yang labuh sampai ke paha itu ke belakang lalu tergalas ke bahunya.
" Huss..setan tak boleh ditolong." jerkah Pak Uda Karib keras.
" Aku bukan setan....." rayunya lagi.
" Setan, memang tak mahu mengaku setan...!" Pak Uda Karib menyindir.
" Kalau kau manusia kasihanilah aku." dia cuba mencari helah supaya Pak Uda Karib mengalah.
" Manusia tak boleh kesiankan setan." sahut Pak Uda Karib membentak.
" Mengapa... ?" tanyanya selamba.
" Sebab setan itu musuh manusia." kata Pak Uda Karib mengejek.
" Sampai hari kiamat kerja setan memang nak merosakkan manusia." dia terus menyindir perempuan tua bertetek labuh itu.
Perempuan tua berkenaan terus merayu-rayu kepada Pak Uda Karib supaya membebaskan dia dari kurungan kebatinan Pak Uda Karib. Tetapi Pak Uda Karib tidak dapat di perdayakannya. Dia berlegar-legar mengelilingi perempuan tua itu sambil mulutnya kumat kamit membacakan ayat-ayat Quran.
Jelas kedengaran pada Miun perempuan itu merengek-rengek kesakitan dan meminta belas kasihan. Suaranya bergetar tengelam timbul antara kedengaran dengan tidak, tetapi jelas biji butirnya.
Setelah berligar-ligar Pak Uda Karib menghembuskan mulutnya ke arah perempuan tua tadi. Terjerit-jerit perempuan tua itu menahan kesakitan. Dia menghempaskan badannya ke bumi seperti pelanduk terkena tembak di kepala. Kemudian merengek-rengek seperti pelanduk menendang angin. Akhirnya terkejang seperti pelanduk kena sembelih.
Selepas itu Pak Uda Karib pun mencabut parangnya yang tercancang ke tanah. Kelihatan darah pekat pada mata parangnya bagaikan baru saja menyembelih pelanduk. Setelah semuanya berakhir barulah Pak Uda Karib mengajak Miun balik. Ketika itu Miun dapati jam sudah menunjukkan hampir pukul lima petang.
Gerun juga Miun bila mengenangkan kejadian yang dialaminya itu. Kalau mahu diceritakan pada orang-orang kampung tentu tidak siapa pun mahu mempercayai. Tentu mereka akan mengatakan dia terpengaruh dengan cerita Pak Uda Karib yang dianggap oleh mereka memang kaki temberang. Tetapi Pak Uda Karib tidak pernah menceritakan kepada orang-orang kampung kejadian-kejadian seperti dilihat oleh Miun sebentar tadi.
" Pelanduk pun ada badi ke Pak Uda...?" Miun cuba meredakan kebimbangan yang mengganggu perasaannya.
" Tidak...." sahut Pak Uda Karib tenang.
" Jadi apa yang Pak Uda buat tadi...?" tanyanya lagi.
Setahu dia binatang hutan yang berbadi cuma Kijang dan Rusa saja. Belum pernah didengarnya pelanduk juga mempunyai badi.
Kalau calang-calang orang berburu memang kerap kali berlaku apabila ditembak rusa atau kijang, tiba-tiba saja binatang itu bertukar menjadi benda lain. Sekiranya dibuang saja dengan tidak menghiraukannya nescaya akan datanglah geruh kepada pemburu berkenaan. Geruh itulah yang dikatakan BADI.
Tetapi belum pernah didengarnya mengenai pelanduk yang berbadi. Sebab itu dia merasa heran ketika mengalas karung berisi pelanduk tadi terlalu berat. Setelah kejadian yang dilihatnya mengenai Pak Uda Karib dengan perempuan tua bertetek labuh tadi, beban yang digalasnya tidaklah berat lagi.
" Aku nampak Pak Uda dengan anu tu....." terasa bulu tengkoknya meremang bila terpandangkan muka perempuan tua tadi.
" Celaka...!" gerutu Pak Uda Karib sambil meludah ke tanah.
" Kalau rimau nampak juga belangnya, ni benda tak nampak. Musuh macam inilah yang lebih buruk kalau ke hutan." katanya macam menyesal kejadian yang berlaku itu.
" Aku nampak...." jelas Miun.
Sebenarnya dia cuba menghilangkan ketakutan yang menyelubungi hatinya. Selagi tidak lepas keluar dari hutan tersebut hatinya tetap diganggu ketakutan.
" Kau tak takut...?" soal Pak Uda Karib tidak menoleh langsung ke belakang.
Miun cuma tersengih-sengih. Malu juga dia mahu menerangkan sama ada takut atau tidak. Kalau mahu berbohong pun tentulah Pak Uda Karib dapat membaca air mukanya. Siapa yang tidak takut bila terpandang muka hodoh seorang perempuan tua yang menggerunkan di tengah hutan...?
" Kau takut... ?" ulang Pak Uda Karib.
" Takut jugalah...." dia mengaku secara jujur.
" Tapi Pak Uda ada, apa lagi nak ditakutkan." sambungnya perlahan.
" Hantu kopek....." terang Pak Uda Karib selanjutnya terus berjalan tidak memandang kiri dan kanan.
" Bukan badi pelanduk tadi tu, Hantu Kopek. Memang kalau ke hutan Hantu Kopek inilah yang selalu menyorokkan/menutup jalan. Itu yang menyebabkan kita sesat tak dapat cari jalan keluar." katanya menjelaskan.
Miun terangguk-angguk saja.
Dari cerita Pak Uda Karib itu dia dapati Hantu Kopek ini tidaklah merbahaya sangat. Dia cuma menyesatkan jalan orang-orang yang pergi ke hutan. Pada mulanya Pak Uda Karib menyangka Puaka Hutan yang mengganggu. Kalau Puaka Hutan, maka terpaksalah menghadapi tentangan yang berat. Sebab itulah Pak Uda Karib terpaksa buat pasung bumi untuk memerangkap.
Disebabkan dia sudah memerangkap Hantu Kopek, mahu tidak mahu dia terpaksa juga memusnahkannya. Kalau dilepaskan bererti dia sudah bertolak ansur dengan syaitan. Mengikut petua gurunya dia tidak akan digeruni lagi oleh syaitan sekiranya mengalah kepada makhluk demikian.
Memang sudah diduga dari awal perjalanannya diganggu. Sebab itu dia mencari tempat yang sesuai untuk memerangkap. Bagaimana pun dia sendiri tidak menduga yang mengganggunya cuma Hantu Tetek, yang mahu menyesatkan perjalanannya di tengah hutan itu.
" Petuanya senang kalau Hantu Tetek ini mengganggu." Pak Uda Karib memberitahu.
" Kau cari akar kayu melintang jalan, kemudian dibelah dua. Kau menyusup celah belahan akar itu. Mampus dia tak dapat lagi mengganggu kau...." dia menerangkan kepada Miun petua-petua kalau tersesat semasa berjalan di hutan.
Di samping itu Pak Uda Karib juga menerangkan petua yang lebih senang ialah menanggalkan pakaian. Hantu Kopek ini menjadi malu apabila melihat lelaki berbogel dan dia akan melarikan diri. Selepas itu mudahlah mendapatkan jalan keluar.
Tetapi sahabat-sahabat jangan buat kat tengah kota kalau sesat, aniaya nanti kalau bogel kat tengah- tengah KL, hihihi...
Semua cerita Miun ke hutan dengan Pak Uda Karib diceritakannya semula kepada aku. Oleh itu aku dapat mengagak bahawa kereta Tamrim sudah di bawa jauh entah kemana. Osman hanya terhangak-hangak memanjangkan leher keluar tingkap kereta memerhatikan lurah yang dikatakan lorong ke dusun Tok Imam Mat Dah.
" Mana jalannya Man...?" tanya Tamrin tidak sabar.
" Kawan sedang memerhati ni...." Osman mendengus.
Dia juga menjadi serba salah kerana tidak dapat mencari lorong ke dusun durian tersebut.
" Hari malam memang susah sikit nak cam jalannya." katanya masih tergaru-garu kepala.
" Kau kata kampung kau, takkanlah tak cam...." ujar Tamrin macam menyindir.
Osman tersengih-sengih. Dia sendiri tidak dapat mempastikan dimana lorong yang hendak dicarinya. Kelilingnya kelihatan seperti kabus memutih dan tidak kelihatan apa-apa. Kalau mahu dikira kabus masakan baru pukul 12:30 tengah malam sudah turun kabus demikian pekat. Lagi pun dilangit bulan mengambang terang, bagaimana keadaan kabus demikian berlaku adalah mengelirukan.
Yang dapat dilalui cuma jalan tanah merah itu. Kadangkala suluhan lampu kereta Tamrin juga tidak dapat menyuluh dengan jelas.
Memandangkan keadaan semakin rumit, aku mula mengesaki sesuatu. Aku teringat akan cerita Miun. Teringat akan pengalaman yang dilihatnya semasa ke hutan bersama Pak Uda Karib. Ketika aku membiarkan saja Osman dan Tamrin berbalah mengenai jalan yang kami cari. Aku mendiamkan diri sambil membuat persemadian yang khusuk.
Mungkin cara aku dengan Pak Uda Karib tidak sama. Dia seorang pawang besar. Sehingga akhir hayatnya semua orang tahu dia seorang pawang yang terkenal dalam hal-hal berburu di hutan. Sedangkan aku hanya bekas seorang pelajar di pondok. Bagaimana pun aku hanya mencuba-cubakan sedikit beberapa potong ayat Quran, moga-moga dapat pertolongan dari Allah.
Semasa menghadapi kebuntuan adalah digalakkan membaca Surah Wad Dhuha dengan khusuk. Ini sajalah pegangan aku apabila menghadapi suasana yang demikian. Jadi dalam masa Osman dan Tamrin berbalah aku pun membacakan Surah Waddhuha dengan penuh khusuk.
Sekoyong-koyongnya Osman memekik ;
" Huss..kita ni dah terlangsung jauh. Dah jauh sangat ni....." dia membuka ketayapnya sambil dikibas-kibas ke tepi.
" Itu sekolah hah....dah nak sampai ke Jerantut kita. Pusing ke belakang balik." katanya tersengih-sengih.
" Tadi kau kata ke depan lagi...." keluh Tamrin pendek.
" Iyalah, kawan rasa kereta awak ni perlahan aje. Sebab itu kawan ingatkan dekat aje dari rumah Tok Imam tu." jelas Osman tersengih-sengih macam rasa bersalah.
Apabila kami berpatah balik kelihatan tidak ada lagi kabus memutih. Jalan kelihatan terang dan di kiri kanan jalan samar-samar kelihatan disinari oleh cahaya bulan. Akhirnya mudahlah kami menemui lorong ke dusun durian Tok Imam Mat Dah. Hampir pukul 2:00 pagi, kami sampai ke pondok durian Tok Imam Mat Dah.
Bergegas dia bangun bila Osman memanggil namanya. Belum pun sempat aku duduk, Osman sudah membelah durian yang berlonggok di atas pondok.
SELESAI......
* ILMU BERBURU BINATANG DI HUTAN.
Ilmu semula jadi ini sangat bermanfaat bagi mereka yang suka berburu binatang liar di hutan. Insyaallah, apabila kita melaksanakan tata caranya maka hasil buruannya sangat memuaskan.
TATA CARANYA :
1.) Siapkan telor ayam kampung asli satu biji.
2.) Lalu ucapkan salam :
" Assalamualaikum.. Wr...Wb, Hai NURIYA PUTIH, bawakan kepadaku binatang peliharaanmu, yang DURHAKA kepadamu, yang paling jelek, yang paling tidak baik, yang paling halus."
" Assalamualaikum.. Wr...Wb, Hai NURIYA PUTIH, bawakan kepadaku binatang peliharaanmu, yang DURHAKA kepadamu, yang paling jelek, yang paling tidak baik, yang paling halus."
3.) Lalu bacakan ayat Sulaiman. Jangan guna Bismillah, seperti ini :
INNAHU MIN SULAIMANA WA INNAHU BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM. LAA TA' LUU 'ALAYYAH WA'TUUNII MUSLIMIN. 4x.
INNAHU MIN SULAIMANA WA INNAHU BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM. LAA TA' LUU 'ALAYYAH WA'TUUNII MUSLIMIN. 4x.
4.) Lalu telor tadi bawa ke hutan lokasi berburu, lempar ke dalam hutan sambil ucapkan dalam hati :
" HAI NURIYA PUTIH INI UPAH KAMU."
* PENJELASAN..
NURIYAH PUTIH adalah anak Nabi Sulaiman as dan Ratu Siti Balqis yang tidak punya tangan dan kepala nya bulat seperti timun.
SELESAI...
Seperti biasa ambil sisi positif dari cerita ini, yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt, Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat-sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI, dengan merendahkan diri memohon maaf...
TERIMA KASIH..
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.
No comments:
Post a Comment