Trending

Tuesday, 30 October 2018

DITUSUK DURI SEMBILANG


DITUSUK DURI SEMBILANG.
Assalam wb wbt....sahabat-sahabat yang aku hormati semuanya. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Sholawat dan Salam senantiasa dihatur ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dengan mengharap ridho Allah swt. Dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, izinkan aku yang miskin ilmu ini berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat semua....Insya' Allah.
Dah lama aku tak tulis kisah-kisah mistik ni. Kerana saat ini aku sibuk sedikit. Oleh kerana ramai sahabat-sahabat yang bertanya, maka hari ini aku re-post pengalaman aku ini untuk pengubat rindu.
Masih di Kuala Terengganu, pada tahun 1998 yang lalu. Kisah ini terjadi ketika majlis perkawinan Masimah anak gadis Pak Mat Sunud di Batu Buruk. Macam mana ceritanya, mari sahabat-sahabat ikut aku ke Kuala Terengganu, kita flash back ke tahun 1998.....
Kemeriahan majlis perkawinan yang berlangsung di rumah Mat Sunud bertukar menjadi muram. Sebelum berlangsung majlis berinai pada sebelah malamnya, telah berlaku kekecohan di sebelah petangnya ketika rombongan pengantin lelaki datang dari Tangkak di Johor. Keputusan kedua pihak keluarga pada peringkat awalnya sudah dimungkiri. Semasa perundingan awal diadakan bagi melangsungkan perkawinan Masimah anak gadis Pak Mat Sunud di Kampung Pasir Panjang di Batu Buruk, memang sudah dipersetujui majlis persandingan hanya diadakan di sebelah pihak perempuan saja.
Persetujuan ini dicapai memandangkan kampung mereka berjauhan. Kalau mahu diadakan juga terpaksalah diadakan selang seminggu pula. Ketika ini sanak saudara juga ramai yang membuat kenduri nikah kawin. Pihak keluarga lelaki memanglah bersetuju majlis persandingan di sebelah pihak perempuan saja. Entah macam mana kekecohan mula berlaku sebaik saja pengantin lelakinya Jabal ditempatkan di rumah jiran pengantin perempuan sebagai tempat persinggahan, tiba-tiba saja pihak perempuan mahu juga diadakan majlis bertandang di rumah keluarga pengantin lelaki di Tangkak. Pada mulanya pihak keluarga lelaki berkeras juga, kerana tidak sanggup mengadakan dua kali kenduri. Semasa mereka menghantar pengantin lelaki memang sudah diadakan kenduri membaca doa selamat. Tentulah menjadi serba salah untuk memanggil jiran-jiran semula sekiranya mahu diadakan juga majlis bertandang itu.
" Minta maaflah bisan....." Mak Icum memeluk leher Hajah Semiah ketika menyampaikan keputusan sanak saudaranya.
" Dah kemudian pula timbulnya desakan dari bapa-bapa saudara Masimah." katanya menangis teresak-esak menahan malu apabila pihak sanak saudaranya bersikap demikian.
Sekiranya dia enggan menyampaikan keputusan tersebut, mereka semua akan memulaukan majlis persandingan berkenaan. Alasan yang mereka berikan ialah Masimah bukan janda. Sebab itulah mereka memaksa mesti diadakan juga majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki. Lagi pun semasa rundingan awal dibuat, hanya Mat Sunud saja yang memutuskan dengan tidak memanggil sanak saudara yang lain. Walaupun pada mulanya Hajah Semiah emak Jabal yang ikut sama dalam rombongan menghantar anaknya enggan menurut kemahuan pihak perempuan disebabkan mungkir janji, tetapi dia kasihan juga melihat keadaan Mak Icum yang sudah merayu-rayu mengakui akan kesilapan pihaknya itu. Terpaksalah Hajah Semiah menerima dengan tabah hati keputusan yang tidak diduganya. Semasa rombongan pengantin lelaki balik semula ke Tangkak petang itu juga, Jabal ditinggalkan bersama emak saudaranya Ngah Rupai, dan sepupunya Berahim yang menjadi pengapit pengantin.
Semasa majlis berinai hendak diadakan, Masimah yang sudah duduk di pelamin tiba-tiba tergolek ke bawah. Dia menggelepur bagaikan ikan tidak dapat air di atas riba Mak Andam. Mereka yang berkerumun di atas rumah mahu melihat pengantin perempuan di atas pelamin menjadi gempar dengan kejadian tersebut. Cepat-cepat pula Pak Mat Sunud berkejar ke rumah jirannya Bahar tempat persinggahan pengantin lelaki, memberitahu supaya ditangguhkan dulu kedatangan pengantin lelaki. Sebaliknya apabila Pak Mat Sunud sampai di rumah Bahar, beberapa orang yang menemani pengantin lelaki juga menjadi cemas kerana Jabal terlentang di hujung serambi mengerang-ngerang sakit kepala. Dia juga masih belum lagi memakai pakaian pengantin untuk majlis berinai. Sementara di khemah di hujung halaman, masing-masing belum mengetahui peristiwa yang menimpa kedua-dua pengantin. Mereka asyik mendengar permainan pancaragam yang mendendangkan lagu-lagu merdu.
" Macam mana kita nak buat ni...?" tanya Ngah Rupai berpaling pada Pak Mat Sunud. Dia memicit-micit kepala Jabal bagi mententeramkan anak muda berkenaan.
" Nantilah, saya suruh budak-budak panggilkan dukun." sahut Pak Mat Sunud lantas menghilangkan diri di celah-celah orang ramai yang berkerumun di serambi rumah Bahar.
Tidak lama kemudian dia muncul semula dengan termengah-mengah mengesat peluh pada lehernya.
" Tenguklah kejap lagi, saya dah suruh budak panggilkan dukun." ujarnya mengeluh lemah.
" Masimah, apa khabar...?" soal Bahar pula setelah diberitahu mengenai Masimah juga tidak sedarkan diri.
" Entahlah...., macam tu juga nampaknya." Pak Mat Sunud menggeleng-geleng kepala tidak keruan.
" Adakah Pak Nud syak sesiapa yang buat....?" Bahar merasakan bertanggungjawab penuh keatas pengantin lelaki, disebabkan rumahnya dijadikan tempat persinggahan.
Apa yang berlaku keatas Jabal dia tidak boleh lepas tangan begitu saja. Pak Mat Sunud menggeleng kepala. Sukar juga dia mahu menuduh sekiranya tidak ada bukti yang sahih. Lagi pun menuduh dengan tidak ada bukti mungkin menyebabkan orang marah, sehingga menambahkan musuh/lawan di dalam kampung sendiri. Perkawinan anaknya Masimah dengan Jabal pun bukanlah atas pilihannya, tetapi mereka berdua berjanji setelah bertemu di Kuala Lumpur. Mereka sama-sama bekerja di Kuala Lumpur. Di mana mereka mula bertemu, kemudiannya memadu janji hingga memutuskan untuk ke jinjang pelamin, Pak Mat Sunud sendiri tidak tahu. Setelah anaknya Masimah memberitahu Jabal akan masuk meminang, dia hanya menerima dengan dada yang terbuka.
Dalam rundingan dengan keluarga Jabal, memang Pak Mat Sunud sendiri bersetuju majlis bersanding dibuat di Batu Buruk saja kerana kalau mahu bertandang pula ke Tangkak banyak masalahnya. Setelah diputuskan perundingan, tiba-tiba saja abang isterinya yang tinggal di Felda Jengka tidak setuju majlis bersanding itu habis di Batu Buruk saja. Semua sanak saudara Mak Icum menyalahkan Pak Mat Sunud kerana membuat keputusan sendiri, apabila menetapkan hari perkawinan Masimah dan Jabal.
" Ini kerja orang dengki ni, dia sengaja nak beri malu Pak Nud agaknya." gerutu Bahar menggertap bibir.
Geram benar dia dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab semasa pengantin hendak naik ke pelamin untuk upacara berinai.
" Entahlah, Bahar....mati akal aku...!" keluh Pak Mat Sunud mengesat pelupuk matanya.
Jabal mengerang-ngerang menahan kesakitan yang menyucuk-nyucuk tengkorak kepalanya. Dukun yang dipanggil tidak juga datang lagi setelah setengah jam mereka menunggu. Ketika ini orang memanggil Pak Mat Sunud dari rumahnya kerana keadaan Masimah masih membimbangkan. Bergegas-gegas pula Pak Mat Sunud balik ke rumah dalam keadaan cemas mencengkam hatinya.
" Apa ikhtiar kita makcik...?" tanya Bahar berpaling pada Ngah Rupai.
" Tak tau laa makcik, terpulanglah pada orang sini." sahut Ngah Rupai sambil jarinya memicit-micit kepala Jabal.
Peluh membasahi belakang Jabal hingga bajunya lembab. Terpaksalah pula Ngah Rupai membukakan baju tersebut supaya suhu panas badan Jabal dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama Masimah juga tidak beransur sembuh. Dia menggelepar dengan nafasnya sesak tercungap-cungap sama seperti ikan terdampar di pasir. Sehingga jam 11:00 malam barulah Pak Mat Sunud memberitahu orang pancaragam supaya menghentikan permainannya, lantas memberitahu mengenai kejadian yang menimpa kedua mempelai. Bertambah lagi murungnya suasana setelah pancaragam memberhentikan permainannya. Hanya tinggal keluh kesah sanak saudara Mak Icum dan Pak Mat Sunud melihatkan kedua mempelai terlantar menahan kesakitan masing-masing.
" Wak Golan dah ke Ulu Selanggor, Pak Nud....." beritahu Jali Tenjot yang disuruh memanggil dukun.
Sebaik saja disuruh memanggil dukun, Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya ke rumah Wak Golan. Tetapi dia diberitahu Wak Golan sudah ke rumah anaknya di Gendangsa, Hulu Selangor. Bertambah hampa Mat Sunud setelah mendengar Wak Golan yang diharapkannya boleh memulihkan kedua mempelai tidak ditemui. Dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan. Sepanjang ingatannya hanyalah Wak Golan yang menjadi dukun di sekitar kampungnya. Kepada orang tua itulah mereka menggantung harapan sekiranya diancam gangguan demikian. Tetapi bila Wak Golan tidak ada mereka seolah-olah putus asa mencari ikhtiar yang lain.
" Kalau sakit macam ni, carilah tok imam, minta doakan....." ujar Ngah Rupai apabila diberitahu oleh Mat Sunud mengenai Wak Golan yang sudah pergi ke rumah anaknya di Gendangsa.
" Hah, elok juga tu." sahut Bahar menyetujui cadangan Ngah Rupai.
" Elok kita panggilkan Haji Madan, minta doa-doakan." katanya menggesa supaya segera diberitahu kepada Haji Madan.
Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya dengan tidak mendapatkan persetujuan dari Mat Sunud untuk memanggil Haji Madan di seberang jalan. Dia juga tahu Haji Madan guru agama di situ yang selalu di temui oleh orang-orang kampung meminta jasa baiknya mendoakan anak-anak mereka supaya lulus dalam peperiksaan. Semasa Jali Tenjot sampai di halaman rumah Haji Madan, isteri Haji Madan baru saja menghidangkan kopi kepada kami di serambi. Kebetulan aku singgah di rumah Haji Madan bersama seorang kawan lagi dalam perjalanan dari Teluk Intan. Setelah Jali Tenjot naik ke rumah, dia diperkenalkan oleh Haji Madan kepada Aku dan Tok Bomoh Karim, sambil mengajaknya minum kopi terlebih dulu.
" Apa halnya ni...?" tanya Haji Madan lantas menghulurkan cawan kopi 'O' ke hadapan Jali Tenjot.
Tergesa-gesa Jali Tenjot menceritakan kejadian yang menimpa di majlis berinai anak Pak Mat Sunud. Terbayang kegelisahan di wajahnya, disebabkan dia adalah anak saudara Mak Icum. Kejadian tersebut bukan saja memalukan keluarga dia, malah sebuah kampung menanggung malu kepada keluarga pengantin lelaki. Tentulah kejadian tersebut tidak akan lenyap dalam masa sehari dua, kemungkinan akan menjadi buah mulut kepada seisi kampung.
Majlis perkawinan adalah bertujuan untuk sama-sama memerintahkan kedua mempelai, serta menemukan mereka dengan sanak saudara. Tetapi dengan kejadian yang tiba-tiba saja diserang sakit, bukanlah merupakan penyakit turun- temurun yang datang menyerang. Sudah tentulah ada orang yang iri hati melakukan kerja-kerja sihir bagi merosakkan nama baik keluarga Mat Sunud.
" Emmm...., kita minum kopi dulu." ujar Haji Madan tersengih-sengih.
" Kopi ni, Mak Aji kau sendiri yang tumbuk." ( kopi alam kata Style.) katanya sambil mengerling isterinya yang tersenyum tersipu-sipu.
Disebabkan Haji Madan sudah dijemput orang lantas aku mengajak Tok Bomoh Karim balik, kerana aku menumpang keretanya. Tetapi kalau aku melalui jalan tersebut ke Batu Buruk, memang aku singgah di rumahnya. Kadangkala kalau melebihi jam 11:00 malam pun aku tetap singgah, kerana dia masih belum tidur lagi. Malah dia akan memarahi aku kalau tidak singgah sekiranya dia tahu aku ke Batu BUruk atau ke Kampung Pasir Panjang melawat keluarga angkat aku melalui jalan tersebut.
" Biarlah aku minta diri dulu, tuan....." aku menghulur tangan untuk berjabat salam.
" Hiss, nanti dulu Badai." katanya menepis tangan aku.
" Ini Fardhu Kifayah, Jali ni datang betul-betul berharap, marilah sama." Haji Madan tidak membenarkan aku balik.
" Tak apalah tuan, Tok Karim ni ada hal besok." aku cuba mengelak.
" Halnya besok, bukan malam ni...!" Haji Madan berkeras tidak mahu melepaskan aku pergi.
" Macam mana Tok....?" sengaja aku mencuit Tok Karim.
Belum pun sempat Tok Karim menyahut cepat-cepat Haji Madan memotong.
" Karim belum nak balik lagi tu, Badai ni aje yang pandai-pandai." dia bangun berdiri sambil meminta isterinya mengambilkan lampu picit.
Dia menarik tangan aku mengikutinya ke rumah pengantin. Tok Karim hanya tersengih-sengih melihat telatah Haji Madan yang langsung tidak memberi peluang kami mengelakkan diri mengikutinya.
Malam sudah mulai sepi, tetapi kawasan sawah luas terbentang itu nampak berbalam-balam cahaya api dari setiap rumah. Di jalan besar melintas sawah itu juga sekali sekala ada juga kereta meluncur. Semasa kami sampai di rumah Pak Mat Sunud pengantin perempuan masih berpakaian pengantin lagi, tetapi sanggulnya sudah terurai. Dia menggelepar-gelepar juga tercungap-cungap sukar bernafas seperti ikan terdampar di pasir.
" Yang lelaki di mana...?" soal Haji Madan sebaik saja duduk menyandarkan belakang ke dinding.
" Di rumah Bahar." beritahu Pak Mat Sunud.
Kemudian barulah Haji Madan memperkenalkan aku dan Tok Karim kepada Pak Mat Sunud dan keluarganya.
" Macam mana Badai...?" Haji Madan menepuk bahu aku.
" Terpulanglah pada tuan....." ujar aku menghela nafas.
" Kalau macam tu, bawa pengantin lelaki tu ke mari." Haji Madan mencadangkan.
" Di sini, boleh kita sama-sama ikhtiarkan." katanya semacam memberi arahan kepada Pak Mat Sunud.
Dengan tidak membantah Pak Mat Sunud mengajak Jali Tenjot membawa pengantin lelaki ke rumahnya. Suasana muram di rumah pengantin itu jelas terbayang di setiap wajah yang lesu berceratuk memenuhi ruang rumah. Mereka masih kebingungan dengan peristiwa tersebut, walaupun sudah diusahakan dengan berbagai jampi serapah oleh beberapa orang yang berpengalaman juga mengubati penyakit seperti itu.
Disebabkan Wak Golan tidak ada, dua tiga orang yang pernah berguru dengan Wak Golan telah mencuba kemampuan masing-masing. Namun Masimah dan Jabal tidak juga dapat dipulihkan. Ketika Jabal dipapah datang ke rumah Pak Mat Sunud, mukanya pucat. Kuku jari-jarinya lebam. Dia mengerang-ngerang juga menahan sakit kepala. Haji Madan menyuruh dibaringkan Jabal berhampiran dengan Masimah. Kemudian dia duduk di tengah-tengah pada bahagian hulu kepala. Dia menyuruh aku duduk di bahagian lunjur kaki kedua pengantin itu. Sebaik saja aku duduk tiba-tiba Masimah bingkas bangun lantas meludah aku berulang kali,(padan muka aku, nak tunjuk tererkan) menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.Pak Mat Sunud dan Jali Tenjot segera menerpa memegangkan Masimah yang tiba-tiba saja menjadi berang melihat aku duduk di lunjur kakinya. Sekali sekala dia mengerling ke arah Jabal yang terbaring mengerang-ngerang menahan sakit kepalanya yang mendenyut-denyut.
" Kenapa kau marahkan dia....!" jerkah Haji Madan menepuk dua tangannya ke paha.
" Orang ni jahat." sahut Masimah ketawa terkekeh-kekeh, menundingkan jarinya ke arah aku.
" Hah, ha....sekarang kau dah tunjukkan diri kau....." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya ke kepala Masimah. Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik-mekik kesakitan.
" His, belum apa-apa dah memekik, tadi kau tunjukkan kuat sangat....!" ujar Haji Madan tersenyum sinis.
Masimah meronta-ronta tetapi tidak dapat melepaskan diri dari pegangan Jali Tenjot dan Pak Mat Sunud. Ketika ini terdengar bunyi dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan merempuh dinding.
" Halau dia tu, halau dia....!" pekik Masimah menunding-nunding ke arah aku.
" Dia tu orang jahat, dialah yang suruh aku ke mari." katanya ketawa mengejek.
" Syaitan memang nak laga-lagakan orang." sahut Haji Madan tidak melepaskan tangannya di kepala Masimah.
" Kau fikir kami percaya dengan tipu muslihat kau tu...? Badai tu baru tiba tak sampai sejam datang." ujarnya merentap tangannya dari kepala Masimah.
Pak Mat Sunud menyangka aku tersinggung apabila diludah oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia berkali-kali meminta maaf. Tetapi aku tidak hiraukan sangat kekeliruan Pak Mat Sunud itu, kerana aku menyedari sewaktu sampai ke halaman rumahnya aku melihat seolah-olah terbayang satu cahaya seperti benang putih di bumbung rumah sampai mencecah ke awan. Oleh itu sebelum naik ke rumah aku sudah membacakan ayatul Qursi 33x ,sehingga aku duduk berhampiran dengan Masimah. Kemudian aku berzikir halus
( Hasbunallah Wa Nikmal Wakil ) di dalam hati, menyebabkan benang putih itu terputus hingga kedengaran oleh orang ramai bunyi berdegam memukul ke dinding.
" Tok Penjejak Badai ni orang jahat....!" Masimah tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa.
" Engkau yang jahat, menyusahkan orang...!" suara Pak Mat Sunud keras mengherdik.
" Kami bukan kacau kau, kenapa kau kacau kami...?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya sedang mengganggu anaknya ketika itu.
Memandangkan keadaan Masimah bertambah garang, sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan kesakitan, aku pun meminta izin untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi aku sebaik saja tangan aku menyentuh kepalanya, tetapi aku membongkok merapatkan mulut aku ke telinga kanannya. Aku melaungkan azan perlahan 5 kali di telinga kanan dan 5 kali di telinga kiri. Semasa aku melaungkan azan ini Masimah menjerit-jerit mengatakan petir dan kilat memusnahkan rumahnya.
" Ahh, rumah ni elok tak roboh pun. Tak ada pun kilat, tak ada pun petir....." Mak Icum yang mendiamkan diri sejak tadi tiba-tiba saja bersuara lesu.
" Cukup dulu....." kata aku kembali duduk di lunjur kaki Masimah.
Kalau kau berdegil, aku akan timpakan kau dengan gunung." ujar aku memberi amaran.
Masimah mulai ketakutan merenung muka aku. Tubuhnya menjadi longlai tidak bermaya.
" Nah...lawanlah sangat." sergah Haji Madan mengejek.
Ketika ini aku melihat Jabal tidak mengerang-mengerang lagi. Dia hanya keletihan terlentang melepaskan lelah. Aku bangun mengangkat kepala Jabal menghembuskan perlahan dengan membaca surah Al Ikhlas 11 kali diikuti dengan surah Al Falaq dan surah An Nas sekali. Selepas itu barulah Jabal mengosok-gosok matanya lantas meminta air untuk minum. Dia sendiri seperti orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya dan isterinya yang akan menjalani upacara berinai dan seterusnya bersanding. Mujurlah mereka berdua sempat di akad nikah kan sebelum majlis berinai itu. Setelah diterangkan kepadanya bahawa Masimah masih tidak sedarkan diri, Jabal mengangguk lemah. Dia sendiri mengadu masih terasa sengal-sengal di kepalanya walaupun tidaklah sakit berdenyut-denyut lagi.
" Haji Madan, buat apa kau bawa Tok Penjejak Badai ni... ?" Masimah menggertap bibir tetapi tidak berani merenung muka aku.
" Ah, aku tak mau layan kau, Aku beri tempuh lima minit kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah, Badai ni akan timpakan gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu...!" tegas Haji Madan memberi amaran.
" Buatlah, apa kau nak buat." sahutnya tersengih-sengeh memaling mukanya merenung ke bumbung atap.
Aku ikut merenung ke atas memerhatikan bumbung yang di renung Masimah. Lantas aku membacakan :
" INNAHU MINAL SULAIMAN WA INNAHU BISMILLAHHIR RAHMANNIR RAHIM." 10x.
Kemudian aku seolah-olah terlihat seorang perempuan tua berambut penuh uban termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai menggelepar tidak mendapat air. Duri sengat sembilang itu tertusuk kepada buah limau yang berbungkus kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari tusukannya.
" Badai, mari kita mulakan...." kata Haji Madan bangun sambil meminta air sejuk segelas.
Setelah diberikan air tersebut, Haji Madan menjulang gelas berisi air itu tinggi melampaui kepalanya dan aku mendengar dia membacakan ayat dari surah Al JIn ;
" QULUHIYYA INNAHUS TAMAA NAFARUN MINAL JIN......." hingga beberapa ayat lagi.
Kemudian aku menundingkan jari ke muka perempuan tua yang menghadap ikan sembilang di lantai itu sambil membisikkan dan makrifat.
" Sejuk kau, sejuk kau....aku kirimkan air batu...." sekaligus pula aku melupakan Masimah terbaring di hadapan aku.
Ketika ini semua orang melihat Masimah terketar-ketar menahan kesejukan, hingga bibir dan jarinya kecut seperti terkurung di dalam air batu. Dalam masa inilah orang ramai mendengar satu letupan kecil di gelas yang dipegang oleh Haji Madan. Bila dia duduk semula sambil meletakkan gelas berisi air itu di hadapannya, semua orang melihat seekor anak sembilang sebesar ibu jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya terikat dengan benang yang bersambung pada sebiji limau berbungkus dengan kain putih. Kira-kira 15 minit kemudiannya barulah Masimah sedarkan diri semula.
Hanya 5 bulan lepas kejadian itu, semasa aku dan Tok Karim singgah di rumah Haji Madan beliau menceritakan Jabal dan Masimah selamat disandingkan dengan tidak ada gangguan apa-apa. Tetapi Haji Madan sendiri terkejut bila diberitahu seorang dukun perempuan jauh dari situ, mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh tubuhnya kecut seperti terkurung di dalam air batu....
SELESAI...
Seperti biasa ambil sisi positif dari cerita ini yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt. Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI dengan merendahkan diri memohon maaf..
TERIMA KASIH.......
ILMU TARIK PUSAKA GHAIB UNTUK PEMULA.
Pusaka adalah benda-benda yang tertanam secara ghaib dan memiliki keampuhan tersendiri. Biasanya pusaka berbentuk batu akik, keris, mustika, geliga atau buntat. Nah....untuk sahabat-sahabat yang baru berjinak-jinak dengan alam ghaib bolehlah mencuba cara ini. Insya' Allah, jika memang pusaka benda ghaib ada di tempat itu, pasti dapat menariknya ke alam nyata.
Aku kasi tip sedikit tentang tempat-tempat yang di agak ada benda yang terpendam, seperti contohnya di ;
1.) Di pokok ara yang berjuntai akarnya sampai ke tanah.
2.) Di pokok yang agak ganjil, seperti di kawasan itu hanya ada satu pokok saja sekelilingnya tak ada tumbuh-tumbuhan yang lain.
3.) Di makam-makam keramat.
4.) Di air terjun.
5.) Di rumah atau pondok yang dah lama ditinggalkan.
6.) Di bawah rumpun Serai yang berbunga.
Pada pokok Senduduk berwarna putih.
Rumpun Bambu dan yang lain.
TATA CARANYA :
1.) Puasa biasa sunah pada hari Khamis.
2.) Malam Jumaat nya datanglah ke tempat yang di rasa ada pusakanya.
3.) Siapkan minyak Ponibasalwa jarum 9.
a. Minyak Apel Jin daun 9.
b. Bunga 7 rupa/jenis.
c. Kain Mori/Kapan 1x1 meter.
4.) Kirimkan al Fatihah dengan susunan berikut :
TAWASSUL :
a.) Khususon ila hadroti Nabiyil Mustafa Muhammad saw.1x.
b.) Tsumma ila hadroti jamii'il Awliyaaillahi ta'aalaa khususon Syeikh Abdul Qodir Jalaini.1x.
c.) Tsumma ilaa hadroti jami'il ulamaa 'Ishoolihiina wal ulamaa 'Irrosidiina syai'ulillahi lahumul fatihah.1x.
d.) Tsumma ilaa arwaahi jami'il Ahlil Qubur minal Muslimiina wal Muslimaati wal Mu'miniina wal Mu'minaati khususon ila hadroti ruuhi Abii wa Ummii wa jaddi wa jaddati was syaikh lahumul fatihah.1x.
e.) Tsumma khususon ilaa hadroti ruuhi Nabiyullah Khidir alaihis salamul fatihah.1x.
4) Lalu membaca Mantra melihat ghaib.
MANTRANYA :
YAA HAADII, YAA KHOBIIRU, YAA MATIINU, YAA 'ALLAAMUL GHUYUUBA. 1000x
ARTINYA :
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Penunjuk, Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Ya Allah, Tuhan Yang Maha Kuat, Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui Perkara Ghaib.
Kemudian dilanjutkan dengan membaca surah al Ikhlas 1500x.
Insya' Allah, pusaka akan muncul setelah melakukan ritual diatas dan sahabat boleh mengambilnya. Jika satu kali belum berhasil, lakukan lagi sehingga berhasil.
PRACTICE MAKES YOU PERFECT.
Sebelum penarikan pusaka, sahabat hendaklah memasang 'benteng diri' sebelum melakukan penarikan pusaka tersebut. Pendinding sahabat boleh gunakan pendinding yang aku tulis di wall FB, aku.
SELAMAT MENCUBA.
SELESAI...
SEKIAN DAHULU..
QUL HU ALLAHU AHAD. LAA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ ZALIMIN. LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH...
Seperti biasa ambil sisi positif dari keilmuan dan cerita ini, yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi adalah, kekuatan daripada Allah s.w.t. Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat-sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI, dengan merendahkan diri memohon maaf....
TERIMA KASIH......
DI IJAZAHKAN OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts