Trending

Friday, 19 October 2018

PETIKAN SURAT SYEIKH ABDUL QODIR ALJAILANI RA


PETIKAN SURAT SYEIKH ABDUL QODIR AL-JAILANI RA.
PENGANTAR KAJIAN KITAB SIRRUL ASRAR.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh….Sahabat-sahabat yang aku hormati semuanya, tidak kira di mana jua berada. Baik dari dunia nyata mahupun sahabat-sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Selawat senantiasa dihaturkan keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Tiada setitik niat pun dihati ini untuk menggurui siapa, hanya mencari dan mengharap ridho Allah swt semata. Dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, izinkan aku yang miskin ilmu lagi dhoif ini, berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat semua.... Insha' Allah....
Sebagai pembuka kajian kitab SIRRUL ASROR, yang di susun oleh Ulama terkenal dari Baghdad yang mendapat julukan Sulthonul Auliya, ialah Syekh Abd. Qadir Al-Jailani R.A. Biografi beliau saya paparkan di sini. Di sini saya sampaikan petikan Surat dari Beliau sebagai pengantar kajian kitab-Nya.
Sahabat-sahabatku yang dikasihi. Hati kamu adalah bagaikan cermin yang berkilat. Kamu mesti membersihkannya dari debu dan kekotoran yang menutupinya. Cermin hati kamu itu telah ditakdirkan untuk memancarkan cahaya rahsia-rahsia Ilahi.
Bila cahaya dari : " Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi…", dapat menyinari ruang hati kamu, lampu hati kamu akan menyala. Lampu hati itu : " berada di dalam kaca, kaca itu sifatnya seumpama bintang berkilau-kilauan terang benderang…". Kemudian kepada hati itu anak panah penemuan-penemuan suci akan hinggap. Anak panah kilat akan mengeluarkan daripada awan petir maksud : " bukan dari Timur atau Barat, dinyalakan dari pohon zaitun yang diberkati…", dan memancarkan cahaya ke atas pokok penemuan, sangat halus, sangat kuat sehingga ia : " memancarkan cahaya walaupun tidak disentuh oleh api.". Kemudian lampu makrifat (hikmah kebijaksanaan) akan menyala sendiri. Mana mungkin ia tidak menyala sedangkan cahaya rahsia Allah menyinarinya...?
* ( Pecahan ayat-ayat dari surah An Nur ayat : 35 )
Seandainya cahaya rahasia Ilahi bersinar ke atasnya, langit malam kepada rahsia-rahsia akan menjadi terang oleh ribuan bintang-bintang. "…dan berpandukan bintang-bintang (kamu) temui jalan (kamu)…"
Bukanlah bintang yang memandu kita tetapi cahaya Ilahi. Lantaran Allah : "…menghiaskan langit rendah dengan keindahan bintang-bintang."
Sekiranya lampu rahsia-rahsia Ilahi dinyalakan di dalam diri batin kamu yang lain akan datang secara sekaligus atau beransur-ansur. Sebagiannya kamu telah ketahui sebagian yang lain akan kami beritahu di sini. Baca, dengar, cuba fahamkan. Langit ketidaksadaran (kelalaian) yang gelap akan dinyalakan oleh kehadiran Ilahi dan kedamaian serta keindahan bulan purnama yang akan naik dari ufuk langit memancarkan : " cahaya di atas cahaya ", berterusan meninggi di langit, melepasi peringkat yang ditentukan sebagaimana yang Allah telah tentukan bagi kerajaan-Nya, sehingga ia bersinar penuh kemuliaan di tengah-tengah langit, menghambat kegelapan kelalaian.
" (Aku bersumpah) demi malam apabila ia senyap sepi…dengan cuaca pagi yang cemerlang…", malam ketidak sadaran kamu akan melihat terangnya hari siang. Kemudian kamu akan menghirup air wangi kenangan dan : " bertaubat di awal pagi ", terhadap ketidak sadaran (kelalaian) dan menyesali umur kamu yang dihabiskan di dalam lena. Kamu akan mendengar nyanyian burung bulbul di pagi hari dan kamu akan mendengarnya berkata :
Mereka tidur sedikit saja di malam hari dan pada awal pagi mereka memohon ampunan Allah. Allah bimbingkan kepada cahaya-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki.
Kemudian kamu akan melihat di ufuk langit peraturan Ilahi akan matahari ilmu batin mula terbit. Ia adalah matahari kamu sendiri. Lantaran kamu adalah : " yang Allah beri petunjuk " dan kamu : " berada pada jalan yang benar ", dan bukan :
" mereka yang Dia tinggalkan di dalam kesesatan.". Dan kamu akan memahami rahsia :
Tidak diizinkan matahari mengejar bulan dan tidak pula malam mendahului siang. Tiap sesuatu berjalan pada porosnya/ laluannya (masing-masing).
Akhirnya ikatan akan terurai selaras dengan : " perumpamaan yang Allah adakan untuk insan dan Allah mengetahui tiap sesuatu ", dan tabir-tabir akan terangkat dan kulit akan pecah, mendedahkan yang seni di bawah pada yang kasar. Kebenaran akan membuka tutupan mukanya.
Semua ini akan bermula bila cermin hati kamu dipersucikan. Cahaya rahsia-rahsia Ilahi akan memancar padanya jika kamu mahu dan bermohon kepada-Nya, daripada-Nya, dengan-Nya.
* MUQODIMAH KITAB SIRRUL ASRAR.
MUQODDIMAH.
Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang mengumpulkan segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia juga Pencipta segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan bersumber dari Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan Quran yang mulia yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan yaitu untuk memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing yang memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara agama-agama. Sholawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia. Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari. Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah dikaruniakan kepada ruh-ruh mereka.
Tiada yang paling berharga di antara yang berharga, paling tinggi, permata yang tidak ternilai, barang perniagaan yang paling menguntungkan manusia, kecuali ilmu pengetahuan. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mencapai ke-Esaan Allah, Tuhan sekalian alam. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mengikuti rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah hamba-hamba Allah yang murni yang Dia pilih untuk menerima risalah Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah pewaris nabi-nabi, pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat indah dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.
Allah Yang Maha Tinggi memuji orang-orang yang memiliki hikmah kebijaksanaan :
" Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebagian dari mereka menganiayai diri mereka sendiri, dan sebagian dari mereka cermat, dan sebagian dari mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin Allah, yang demikian adalah karunia yang besar." (Surah Fatir, ayat : 32).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda :
" Pemegang hikmah kebijaksanaan adalah pewaris nabi-nabi. Penduduk langit mengasihi mereka dan di atas muka bumi ini ikan-ikan di laut bertasbih untuk mereka hingga kepada hari Kiamat."
Dalam ayat lain Allah Yang Maha Tinggi berfirman :
" Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang yang berilmu Pengetahuan." (Surah Fatir, ayat : 28).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda :
" Pada hari pembalasan, Allah akan mengumpulkan sekalian manusia, kemudian mengasingkan yang berilmu di antara mereka dan berkata kepada mereka :
" Wahai orang-orang yang berilmu. Aku karuniakan kepada kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali kamu. Tidak aku karuniakan hikmah kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan kamu pada hari ini. Masuklah ke dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu."
Segala puji milik Allah, Tuhan semesta alam lantaran Dia karuniakan makam yang tinggi kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara mereka dari dosa dan menyelamatkan mereka dari seksa. Dia berkati ahlul hikmah dengan menghampiri mereka.
Sebagian dari murid-murid kami meminta supaya kami sediakan sebuah buku yang memadai buat mereka. Sesuai dengan permintaan dan keperluan mereka, kami siapkan buku yang ringkas ini Semoga ia dapat mengobati dan memuaskan mereka serta yang lain juga. Kami namakan buku ini :
" SIRR AL-ASRAR FI MA YAHTAJU ILAHI AL-ABRAR. "
atau " Rahsia Dalam Rahsia-Rahsia Yang Kebenarannya Sangat Diperlukan."
Dalam pekerjaan ini kenyataan di dalam kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang memerlukannya.
Dalam menyampaikan hasil kerja ini kami bagi dalam 24 bab kerana terdapat 24 huruf di dalam pengakuan suci, " La Ilaha Illallah, Muhammadun Rasulullah ", dan juga terdapat 24 jam dalam satu hari.
BAB 1 : AWAL MULA PENCIPTAAN.
KITAB SIRRUL ASROR BAB 1 :
AWAL MULA KEJADIAN.
اَعُوْذُ بِااللهِ مِنَ اْلشَّيْطَا نِ الْرَجِيْم بِسْمِ اللهِ اْلَرّحْمنِ اْلرَحِيْمِ
اَشْهَدُ اَنْ لا َاِلَهَ اِلا الله وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله
اَلله ُوَحْدهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ مُحَمَّدٌ عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهْ حَقُّ الله - رَحْمَةُ الله – رِضَأ الله.
Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kemuliaan di dalam amalan-amalan yang disukai-Nya dan semoga kamu memperoleh keridhaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.
Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan Nur Muhammad dari cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman :
" Aku ciptakan ruh Muhammad daripada Nur Wajah-Ku."
Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya :
" Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada awalnya diciptakan-Nya sebagai ruh suci."
" Mula-mula Allah ciptakan Qalam."
" Mula-mula Allah ciptakan akal."
Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah penciptaan hakikat Nabi Muhammad s.a.w. Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan Nur, Cahaya Suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat Jalal Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman :
قَد جاءَكُم مِنَ اللَّهِ نورٌ وَكِتٰبٌ مُبينٌ.
" Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan." (Al-Maaidah, ayat : 15).
Dia dinamakan Akal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan Qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf. Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya :
" Aku dicipta dari Allah dan sekalian yang lain dari aku."
Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh dari roh Baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. Muhammad’ adalah nama semua kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.
Empat ribu tahun setelah diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan Arasy dari cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain dari Arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.
ثُمَّ رَدَدنٰهُ أَسفَلَ سٰفِلينَ
" Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka)." (Surah Tin, ayat : 5)
Dia turunkan cahaya itu dari tempat ia diciptakan, dari Alam Lahut, yaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi ke-Esaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, hakikat sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab milik roh yang meliputi (roh universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan " roh pemerintah." Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada Alam Malaikat. Di sana mereka dinamakan " Roh Rohani." Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada Alam Kebendaan, Alam Jirim, Air dan Api, Tanah dan Angin dan mereka menjadi " Roh manusia." Kemudian dari dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.
مِنها خَلَقنٰكُم وَفيها نُعيدُكُم وَمِنها نُخرِجُكُم تارَةً أُخرىٰ .
" Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain." (Surah Ta Ha, ayat : 55)
Setelah peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.
فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن روحى فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ.
" Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku ; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya…". (Surah Shad, ayat : 72)
Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada Alam Arwah. Dia telah bertanya kepada mereka :
" Adakah aku Tuhan kamu...? Mereka telah menjawab :
" Iya, bahkan...!."
Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.
وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِـٔايٰتِنا أَن أَخرِج قَومَكَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ وَذَكِّرهُم بِأَيّىٰمِ اللَّهِ ۚ إِنَّ فى ذٰلِكَ لَءايٰتٍ لِكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ.
" Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya)
" Keluarkanlah kaummu dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah. Iaitu " ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur.". (Surah Ibrahim, ayat : 5)
Para rasul-rasul telah datang ke dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyadarkan manusia dari kelalaian mereka. Tetapi mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka, menjadi semakin berkurang dan terus berkurang ditelan zaman.
Nabi-nabi terus diutus dan perutusan suci berterusan sehingga muncul Roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia yaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia dari kelalaian dan ketidak sadaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah. Allah berfirman :
قُل هٰذِهِ سَبيلى أَدعوا إِلَى اللَّهِ ۚ عَلىٰ بَصيرَةٍ أَنا۠ وَمَنِ اتَّبَعَنى ۖ وَسُبحٰنَ اللَّهِ وَما أَنا۠ مِنَ المُشرِكينَ.
" Katakanlah : " Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik." (Surah Yusuf, ayat : 108).
Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda:
" Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar."
Pandangan yang jelas (basirah) datangnya dari mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya dari alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir dari kesadaran Ilahi.
وَعَلَّمنٰهُ مِن لَدُنّا عِلمًا.
" Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)." (Surah Kahfi, ayat : 65).
Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya tajam, dan nasehat serta bimbingan dari orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mesti seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.
Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari...! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikaruniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah. Allah memerintahkan :
وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِن رَبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
الَّذينَ يُنفِقونَ فِى السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
" Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada Surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat : 133 - 134).
Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merusakkan dunia ini. Kita diturunkan ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu. Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda s.a.w bersabda :
" Dukacitaku adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian."
Apa saja yang datang kepada kamu datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi ; nyata dalam bentuk peraturan umum dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan lahir kita dengan mematuhi peraturan syari’at dan meletakkan batin kita dalam keadaan yang baik dan teratur dengan memperoleh hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Bila lahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan peraturan agama (syari’at) bersatu, seseorang itu sampai kepada makam yang sebenarnya (hakikat).
Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran atau hakikat tidak akan diperoleh dengan hanya menggunakan pengetahuan melalui Panca Indera dan hanya tentang alam kebendaan. Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai sumber, yaitu Zat. Ibadat dan penyembahan memerlukan kedua-duanya yaitu peraturan Syari’at dan Makrifat. Allah berfirman tentang ibadat :
وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ.
" Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (Surah Dzaariyat, ayat : 56).
Dalam lain perkataan, " mereka diciptakan supaya mengenali Aku.".
Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan beribadah kepada-Nya...?
Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, mensucikannya sehingga bersih dan mengilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahasia cermin hati. Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasul-Nya :
" Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali."
Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.
Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperoleh dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.
" Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan Roh Kudus." (Surah Baqarah, ayat : 87).
Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui Roh Kudus (suci) yang dikaruniakan kepada mereka. Kedua-dua makrifat tersebut di perolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek ; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda :
" Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita."
Pada peringkat permulaannya seseorang itu memerlukan pengetahuan syari’at. Ini memerlukan pendidikan yang mengenalkan dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang nyata dalam alam sifat-sifat dan nama-nama-Nya. Apabila bidang ini telah sempurna sampailah giliran pendidikan kerohanian tentang rahasia-rahasia, di mana seseorang itu masuk ke dalam bidang makrifat yang murni untuk mengetahui yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat yang pertama seseorang itu mestilah meninggalkan segala yang dilarang oleh syariat, kesalahan di dalam melakukan perbuatan yang baik mesti dihapuskan. Perbuatan yang baik mesti dilakukan dengan cara yang betul, sebagaimana keperluan pada jalan sufi. Keadaan ini boleh dicapai dengan melatihkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang tidak dipersetujui oleh ego diri sendiri dan melakukan amalan yang bertentangan dengan kehendak hawa nafsu. Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu dilakukan bukan untuk dipertontonkan atau diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah, demi mencari keridhaan-Nya. Allah berfirman :
فَمَن كانَ يَرجوا لِقاءَ رَبِّهِ فَليَعمَل عَمَلًا صٰلِحًا وَلا يُشرِك بِعِبادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا.
" Katakanlah : " Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku : " Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa."
Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya." (Surah al- Kahfi, ayat : 110).
Apa yang dianugerahkan sebagai ilmu makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi tingkatan yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang akan kembali ke sana. Di sanalah roh suci dijadikan. Yang dimaksud dengan roh suci adalah roh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang paling baik.
Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan nyata melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha yang benar mempelajari agama. Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila seseorang itu mengingat Allah terus menerus, mengulangi kalimah :" Laa Ilaaha Illallah.".
Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.
Sufi menggambarkan keadaan kerohanian yang demikian dengan menganggapnya sebagai bayi, yaitu bayi yang lahir di dalam hati, dibelai dan dibesarkan di sana. Hati memainkan peranan seperti ibu, melahirkannya, menyusui, memberi makan dan memeliharanya. Jika anak-anak diajarkan perkara keduniaan untuk kebaikannya, bayi hati pula diajarkan makrifat rohani. Sebagaimana anak-anak bersih dari dosa, bayi hati adalah murni, bebas dari kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya nyata dalam bentuk zahir yang cantik. Dalam mimpi, kesucian dan kemurnian bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia berharap mendapat ganjaran Surga sebagai balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-hadiah yang didatangi dari Surga didatangkan ke mari melalui tangan-tangan bayi hati.
فى جَنّٰتِ النَّعيمِ
ثُلَّةٌ مِنَ الأَوَّلينَ
وَقَليلٌ مِنَ الءاخِرينَ
عَلىٰ سُرُرٍ مَوضونَةٍ
مُتَّكِـٔينَ عَلَيها مُتَقٰبِلينَ
يَطوفُ عَلَيهِم وِلدٰنٌ مُخَلَّدونَ.
" Berada dalam Surga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. Mereka berada di atas dipan(seperti sofa katil) yang bertahtakan emas dan permata, seraya bertelekan di atasnya berhadap-hadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda.". (Surah al- Waqi’ah, ayat : 12- 17 ).
وَيَطوفُ عَلَيهِم غِلمانٌ لَهُم كَأَنَّهُم لُؤلُؤٌ مَكنونٌ.
" Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan." (Surah Tur, ayat : 24).
Mereka adalah anak-anak kepada hati, menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-anak kerana keelokan dan ketulusan mereka. Keindahan dan ketulusan mereka nyata dalam wujud zahir, dalam darah daging, dalam bentuk manusia. Oleh kerana keelokan dan kelembutan sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana dia berhubung erat dengan Pencipta sendiri. Dia adalah wakil yang benar kepada manusia. Di dalam kesadarannya tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada Hijab, tiada halangan di antara kewujudannya dengan Zat Allah.
Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan suasana demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w :
" Ada masa aku dengan Allah di mana tiada malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang diutus."
Maksud " nabi " di sini ialah kewujudan lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri. Malaikat yang paling hampir dengan Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w, kejadian pertama. Dalam suasana kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir dengan Allah sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak berkesempatan menghijabkannya dengan Allah. Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana demikian :
" Ada Surga Allah yang tidak ada mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan susu, Surga yang di dalamnya seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci."
Allah s.w.t berfirman :
وُجوهٌ يَومَئِذٍ ناضِرَةٌ إِلىٰ رَبِّها ناظِرَةٌ .
" Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat." (Surah Qiamat, ayat : 22- 23).
Pada suasana atau makam tersebut jika seseorang makhluk termasuklah malaikat mendekatinya kewujudan badannya akan terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman melalui rasul-Nya :
" Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku."
Jibrail yang menemani Nabi Muhammad s.a.w pada malam Mikraj, apabila sampai di Sidratul Muntaha, telah mengatakan jika dia( Jibrail ) melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar menjadi abu.
رَبَّنَا اَتِنَا فِى اْلدُنْيَاحَسَنَةً وَفِى اْلأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ اْلنَّارِ. وَاْلحَمْدُ للهِ رَبّ ِاْلعَالَمِيْنَ
رِضَــا يَاالله ……….. الفاتحة.
BERSAMBUNG...
SEKIAN DAHULU..
QUL HU ALLAHU AHAD. LAA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ ZALIMIN. LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH...
Seperti biasa ambil sisi positif dari keilmuan dan cerita ini, yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi adalah, kekuatan daripada Allah s.w.t. Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat-sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI, dengan merendahkan diri memohon maaf....
TERIMA KASIH......
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts