Trending

Wednesday, 14 December 2016

PERKARA ASAS SEBELUM BINA RUMAH ATAS TANAH SENDIRI



Membina rumah kediaman di atas tanah sendiri merupakan impian setiap individu. Kalau diikutkan dari segi kos memang lebih jimat berbanding membeli rumah kediaman yang dijual oleh pemaju. Akan tetapi, ramai yang tidak mengetahui selok-belok dalam merancang kediaman jenis ini sehingga mengikis wang poket anda sedikit demi sedikit sehingga melebihi kos yang sepatutnya. Jadi disini, ambo cuba untuk berkongsi secara ringkas berkaitan perkara asas yang perlu anda ketahuinya.

1. Geran Tanah
- Geran amatlah diperlukan untuk mengenalpasti pemilikannya. Pastikan geran tanah tersebut tertera nama anda sebagai pemiliknya atau anda salah seorang, yang sorang lagi isteri/suami. Selain daripada itu, semak kategori/kegunaan tanah contohnya, pertanian/bangunan kediaman/bangunan komersial. Keluasan tanah dan pelan tanah juga perlu diambilkira dalam menentukan keluasan dan rekabentuk kediaman anda.


2. Keadaan Tanah
- Kalau kawasan tu semak samun, anda perlu membersihkan sendiri tanah dengan duit poket sendiri. Kalau tanah tu jenis tanah lembah/rendah, anda perlu tambun dahulu dengan duit poket sendiri. Pada kebiasaannya kontraktor cuma sediakan rumah sahaja, tetapi anda boleh meminta kontraktor untuk buat kerja membersih dan menambun tanah dengan kos tambahan. Kos menambun tanah ni boleh dimasukkan sekali dalam bajet bina rumah dengan syarat ianya ditulis dalam perjanjian dengan kontraktor, baru bank atau kerajaan akan kira kos tersebut.


3. Pelan Lakaran Rumah
- Bab ni menuntut anda supaya jadi pelukis handalan. Tak payah lukis cun-melecun. Asal nampak pelan susunatur yang berkenan dihati pun jadilah. Lazimnya, arkitek/pelukis pelan akan bagi beberapa 'sample' sebagai rujukan anda. Pelan tanah memainkan peranan penting dalam keluasan dan pelan susunatur rumah anda, mintalah pandangan daripada arkitek/pelukis pelan. Anda juga perlu pandai memilih dan merekabentuk pelan susunatur rumah anda agar pelan tersebut memberi keselesaan kepada anda dan memudahkan untuk anda membuat tambahan struktur rumah pada masa depan.


4. Bajet Kewangan
- Perlu ambil perhatian bahawa bajet akan menentukan keluasan, rekabentuk dan spesifikasi rumah anda. Biasanya, arkitek/pelukis pelan/kontraktor akan membuat anggaran harga berdasarkan keluasan sesebuah rumah. Kos penyediaan pelan lakaran rumah, bayaran kepada badan berkanun sehingga kelulusan pelan diperolehi dan bayaran untuk mendapatkan Sijil Kesiapan dan Pematuhan (CCC) anda perlu tanggung sendiri. Ditambah pula apabila anda bina rumah menggunakan pinjaman bank atau kerajaan, anda perlu lantik peguam untuk urus penyediaan dokumen pinjaman. Dapatkan nasihat daripada arkitek/pelukis pelan/kontraktor/peguam anggaran bajet kewangan rumah idaman anda.


5. Spesifikasi
- Tak ramai yang bertanya bab ni. Spesifiksai adalah bahan-bahan yang akan digunakan dalam membina rumah, contohnya penggunaan batu-bata samada bata simen atau bata merah untuk dinding rumah, rangka pintu dan tingkap samada kayu atau besi aluminum, kemasan lantai samada simen konkrit atau jubin seramik dll. Kadang-kadang arkitek/pelukis pelan memasukkan spesifikasi didalam pelan lakaran mereka tanpa disedari oleh pelanggan. Oleh itu, ramai di antara pelanggan merungut pasal spesifikasi yang mungkin 'tak padan' dengan bajet mereka. Akibatnya, wujud konflik antara kontraktor dan pelanggan. Kontraktor menganggap kerja mereka betul manakala pelanggan tak berpuas hati dengan apa yang disediakan oleh kontraktor. Terbaiknya, bawalah berbincang dengan kontraktor tentang spesifikasi ini dan persetujuannya hendak dibuat bertulis, jangan ikut cakap mulut je dan bila ada masalah, baru nak menyesal.


Akhirnya, bila pelan lakaran rumah telahpun siap dan telah diluluskan oleh badan berkanun, barulah anda perlu fikirkan langkah seterusnya iaitu untuk buat pinjaman bank atau kerajaaan. Bagi yang poket tebal boleh bina terus je. Ambo ingin menasihatkan anda semua supaya pilihlah pinjaman yang terbaik, peguam yang terbaik dan kontraktor yang terbaik bagi menguruskan pembinaan rumah impian anda itu.




Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts