Trending

Saturday 25 November 2017

Selepas Syafiq, Hannah dampingi Aaron pula


KUALA LUMPUR: Bakat baharu yang menyerlah menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer, Hannah Delisha, kini menghitung hari untuk 'disatukan' dengan aktor popular, Aaron Aziz.
Selepas dua kali digandingkan dengan pelakon, Syafiq Kyle, masing-masing menerusi drama rantaian terbabit dan filem Langsuir, beliau akan dipadankan pula dengan bintang Ombak Rindu itu dalam I Love You Stupid.
Dijangka menjalani penggambaran mulai bulan depan, filem yang bakal diterbitkan oleh Global Station berkenaan diangkat daripada novel tulisan Melur Jelita.
Aktres yang turut dikenali sebagai penyanyi itu berkata, beliau tidak sabar menantikan penggambaran filem terbabit kerana ia bukan hanya dirakam di negara ini, malah akan turut menjalani penggambaran di Kemboja.
"Saya juga tidak kisah digandingkan dengan sesiapapun. Secara peribadi, saya memang menghormati abang Aaron sebagai pelakon berpengalaman. Kebetulan, kami berdua berasal dari Singapura.
"Saya tahu, dia pelakon yang sangat profesional dan sudah lama berkecimpung di arena seni. Pastinya banyak ilmu yang akan saya peroleh apabila berlakon dengannya. Harapnya, kami dapat bekerjasama dengan baik dalam merealisasikan filem ini," katanya kepada BH Online.
Kata pemenang kategori Artis Paling Popular Singapura, Anugerah Planet Muzik baru-baru ini, dalam filem itu nanti beliau akan menjayakan watak bernama Iris, iaitu gadis yang terlalu dimanjakan oleh keluarganya.
"Saya juga teruja kerana filem ini diangkat daripada novel yang dihasilkan oleh penulis sama dengan cerita Awak Suka Saya Tak, lakonan Alvin Chong dan Emma Maembong," kata Hannah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 27 Oktober lalu.
Gadis manis ini turut bersyukur kerana rezekinya dalam lakonan cukup murah apabila dirinya sudah diikat untuk menjayakan dua filem dan sebuah drama bersama produksi milik Datin Zaiton Muhd Jiwa itu.
Pada masa sama, Hannah, yang baru muncul dengan lagu Esok Masih Ada, berdebar menantikan tayangan filem sulung lakonannya, Langsuir, tahun depan.
"Sekalipun tayangannya masih lambat, peminat saya dan Syafiq nyata begitu teruja untuk menyaksikan gandingan kami dalam filem ini. Malah, mereka turut mewujudkan tanda pagar #Lansuri, iaitu gabungan nama watak Azlan dan Suri yang kami lakonkan dalam naskhah arahan Osman Ali itu," katanya.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts