Trending

Friday, 25 May 2018

BADI PUAKA HUTAN dan ILMU BERBURU BINATANG HUTAN



BADI PUAKA HUTAN.
ILMU BERBURU BINATANG HUTAN.
Assalam....sahabat-sahabat yang aku hormati semua, tidak kira dimana jua berada. Baik dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur ke hadirat Allah swt. Dan selawat senantiasa dihatur ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dengan mengharap ridho Allah dan dengan kerendahan hati yang paling dalam izinkan aku yang miskin ilmu lagi dhoif ini berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama para sahabat-sahabat semua. Insya Allah...
Tulisan aku kali ini, menceritakan tentang " Badi Puaka Hutan ". Kelmarin aku ada menceritakan tentang pengalaman aku ketika mengikut Tok Bomoh Karim mendekut Burung Wak Wak. Nah...Maka hari ini, badi apa pula yang aku hendak ceritakan. Nak tahu apa...? Mari ikut aku ke Segamat, Johor.
Tahun 2002, sudah seminggu aku di Kampung Pasir Panjang, seperti biasa di rumah keluarga angkat aku. Aku berada di sini kerana mengikuti Perguruan Kalimatullah, aku suka dan lebih selesa dalam suasana kampung. Dah beberapa kali aku mengikut Tok Karim atau Man Tiger meracik ayam hutan, seronok aku mengikut mereka. Tetapi kali ni, bukan ikut mereka atau siapa-siapa berburu, tetapi kisah ini di ceritakan kepada aku oleh seorang sahabat seperguruan aku yang menceritakannya. Macam mana mana ceritanya...let's go...kita pergi Segamat.
Aku bukan hendak cerita pasal pengalaman aku mengikut mereka berburu atau berperang dengan Jin, syaitan, tetapi pasal Dollah. Dia juga seperti anak-anak muda kampung yang suka ke hutan untuk berburu. Aku taklah kenal sangat dengan Dollah. Tetapi, ketika aku sampai di bulan June 2002 aku lihat Dollah merayau-rayau dalam kampung tersengih-sengih, adakalanya dia merungut-rungut, kadang dia berbual-bual sendirian.
Sudah lima bulan Dollah dalam kurungan pasung kayu, dia hanya tersengih-sengih saja setiap kali Dukun Sood datang. Ketika ini Tok Bomoh Karim tidak ada di Kampung Pasir Panjang, dia balik rumah anak saudaranya di Kelantan, terpaksalah Sarip menjemput Dukun Sood dari kampung sebelah. Kadangkala dia melambai-lambai tangan apabila Dukun Sood membakar kemenyan. Tetapi Dollah akan merungut-rungut sekiranya dia nampak Sarip abangnya tersandar pada tiang tengah. Dukun Sood sering mengingatkan Sarip supaya tidak berkasar dengan adiknya itu. Dollah sakit hilang akal, bukanlah demam biasa. Dia tidak mengganggu sesiapa, cuma tersengih-sengih saja.
Dukun Sood menyuruh dikurung dalam pasung kayu, bukan bimbangkan Dollah mengganggu orang, tetapi supaya dia terkawal tidak dapat merayau-rayau ke sana ke mari. Bila terlepas Dollah akan berjalan-jalan ke tepi sungai sambil tersengih=sengih. Perempuan-perempuan yang sedang membasuh akan bertempiaran lari bila ternampak Dollah, kerana ketakutan. Sebenarnya Dollah tidak mengusik sesiapa pun. Tetapi disebabkan takut perempuan-perempuan itu lari bertempiaran. Dollah pula akan terlompat-lompat kesukaan melihat perempuan-perempuan itu lari. Sarip pula akan menempeleng muka adiknya itu kalau dijumpainya merayau-rayau di keliling kampung. Dia akan mengheret Dollah memaksa adiknya balik semula ke rumah.
Kadang-kadang menangis juga Mak Leha melihat lutut Dollah berdarah-darah kerana diheret oleh abangnya. Kira-kira lima bulan Dollah menderita dalam kurungan pasung kayu. Kalau Dukun Sood tidak suruh demikian tentulah lebih teruk Dollah diseksa oleh abangnya Sarip. Manalah dapat menahan Dollah berjalan-jalan sambil tersengih-sengih memegang sebatang kayu, sedangkan fikirannya bukanlah seperti orang biasa.
Dia hilang akal sejak beberapa lama. Puncanya tidak siapa pun yang tahu. Tetapi seingat-ingat Mak Leha, mula-mulanya Dollah selalu duduk termenung. Dia tidak lagi mengikut kawan-kawannya memburu ke hutan atau memikat balam atau wak-wak. Di suruh makan pun, Dollah tidak mahu. Dia enggan bercakap dengan sesiapa. Kemudian sedikit demi sedikit perangainya mula berubah. Dia mula bercakap seorang diri, tersengih-sengih dan ketawa sesuka hatinya bila-bila masa saja. Dukun Sood yang dipanggil mengubatnya hanya dapat mengatakan Dollah terkena ' badi ' hutan.
" Kau tak boleh berkasar dengan adik kau, Sarip." Dukun Sood mengingatkan setelah mendengar cerita Mak Leha bagaimana Sarip melayani adiknya itu.
" Dia tu kena badi, susah nak diubati. Kena bersabarlah kita menjaga dia." nasihat Dukun Sood.
Sarip hanya mengangguk kepala. Sebenarnya dia tidak berniat untuk bersikap kasar dengan Dollah. Tetapi apabila dipujuk baik-baik Dollah tidak mahu mempedulikannya, sebab itulah dia terpaksa berkeras. Kadang-kadang disuruh makan pun Dollah sengaja terberak atau terkencing di dalam pinggan, kecuali apabila disergah barulah dia mahu menurut perintah Sarip.
" Menjaga orang macam ni memang susah." kata Dukun Sood lagi.
" Tetapi, kita kenalah sabar. Kalau tidak kita menjaga dia siapa lagi hendak diharapkan...!" ujar orang tua itu mengingatkan.
Mak Leha memang tidak dapat berkata-kata lagi sejak Dollah jatuh sakit. Sarip berkawin, hanya dengan Dollah sajalah dia tinggal di rumahnya. Dollah yang menyara hidupnya selama ini. Kalau patut menoreh getah, Dollah akan pergi menoreh getah. Kalau patut ke hutan mencari manau, damar atau petai, dia ke hutan bersama kawan-kawannya. Kadangkala Dollah memasang perangkap pelanduk, memburu denak, mendekut wak- wak. Memang Dollah anak muda yang rajin bekerja. Susuk tubuhnya gempal berambut kerenting, berkulit hitam manis. Boleh dikatakan dalam kampung itu dia merupakan anak muda yang tampan macam aku, he..he..hh...
Kalau ada kenduri kendarat selalulah dia bersenda gurau dengan anak gadis di penanggah. Tetapi semenjak dia jatuh sakit, Dollah berubah sama sekali. Tubuhnya masih gempal tetapi comot selekeh tidak terurus. Baunya hapak kerana jarang mandi. Hanya sekali sekala saja emaknya dapat memujuk menyuruh dia mandi.
" Kenapa kau jadi macam ni Dollah...!" rintih Mak Leha bila sekali sekala dia tidak dapat menahan perasaan terharunya melihat keadaan anaknya itu.
Dollah hanya tersengih-sengih melihat emaknya menangis merintih-rintih. Kadangkala dia mengaru-garu belakang badannya dengan menggosokkannya ke dinding. Atau dia berjalan dengan berligar-ligar di dalam kandang kayu yang dibuat berpasung itu. Dollah tidak akan menyahut apa-apa kalau emaknya merintih-rintih di depannya.
" Nasib kaulah Dollah, kalau pendek umur emak macam manalah kau Dollah." Mak Leha menahan sedih yang mengganggu jiwanya.
Dollah hanya tersengih-sengih. Dia tidak peduli emaknya merintih-rintih tersedu di depannya. Sama ada Dollah terkena badi binatang hutan, Mak Leha tidaklah herankan sangat kerana dia tahu Dollah memang gemar berburu. Pernah juga dia menghidap sakit telinga berdarah selepas dapat menjerat kijang. Ketika kijang meronta-ronta dia dan kawan-kawannya merebahkan binatang itu ke tanah. Dollah menekan lututnya ke pangkal telinga kijang itu bagi membolehkan Latip Beguk menyembelih. Balik dari hutan itu semua mereka yang pergi seramai 8 orang jatuh demam. Latip Beguk demam kena beguk hingga kedua-dua belah lehernya bengkak. Mat Joh yang memegangkan kaki pula kena bisul pada betis sampai sebulan lebih menghidap bengkak betis. Rasid meracau-racau takutkan orang besar mengganggu setiap kali terlena. Leman pula sakit mata sebulan biji matanya merah tidak boleh melihat. Sarip pula terberak-berak darah menghidap berbulan-bulan. Hendak dikatakan buasir bukannya penyakit buasir, tetapi duburnya (maaf sahabat tak sensor sikit) terasa seperti luka baru sembuh.
Keenam-enam mereka terkena badi kata Dukun Sood. Latip Beguk, Rasid, Mat Joh, Sarip dan Leman serik seserik-seriknya selepas dikatakan Badi Kijang itu. Baik saja dari sakit mereka tidak mahu lagi berburu binatang hutan. Latip Beguk yang menyembelih kijang terasa lehernya pedih bagaikan dihiris dengan pisau semasa menghidap beguk itu. Kalau beguk biasa dua tiga hari akan sembuh. Atau ianya boleh menjangkit pada orang lain. Sebaliknya beguk yang di hidap oleh Latip sampai lebih sebulan.
Terpaksa Dukun Sood berkibas dengan kain hitam dan mayang pinang. Semantara Mat Joh yang memegangkan kaki, betisnya pula hinggap bisul. Betis itu membengkak sampai sebesar batang pinang. Nasib baik mereka kena 'Badi Kijang', kalau kena Badi Burung Puyuh, Badi Rusa atau Badi Ayam Hutan, cerita akan menjadi lain lagi.
Dukun Sood juga mengubatnya dengan meredang bertih. Hampir sebulan dia menghidap barulah bisul itu meletus hingga keluar nanah bercampur darah pekat. Rasid cuma duduk saja diatas badan kijang yang sudah rebah ke tanah. Dia tidak melakukan apa-apa. Tetapi apabila balik ke rumah dia kena demam panas seluruh badan. Setiap malam dia merepek meracau-racau takutkan orang besar datang mencekik lehernya. Dukun Sood berkibas dengan kain hitam juga di samping air tujuh geluk dari tujuh kuala sungai di bubuh bunga tujuh warna. Sampai kurus badan Rasid menderita sakit barulah dia pulih semula.
Sementara Leman pula kerana mahu cepat dia menerpa hingga pahanya menghimpit bahagian mata kijang. Mungkin itulah sebabnya dia menghidap sakit mata sebulan lebih. Matanya merah tidak boleh celik kalau berdepan dgn cahaya. Apabila bangun pagi kedua pelupuk matanya seperti kena gam melekat tidak boleh dibuka. Terpaksa pula dibasuh dgn air embun. Kadangkala mata itu pedih seperti di bubuh pasir. Sarip yg melompat ke atas perut kijang itu berdiri dan menginjak-injak supaya binatang itu tidak dapat berkuat terkena pula sakit terberak-berak darah. ha..ha..ha.hh....Sarip Sarip, nasib kaulah Labu...
Semuanya berubat dengan Dukun Sood. Mengikut cerita Dukun Sood memang mereka terkena Badi Kijang. Begitu jugalah Dollah yang menghimpit pakal telinga kijang itu dengan kepala lututnya, menyebabkan telinganya berdarah. Dia merasa menggelegak macam dimasuki lipas. Bila di subat dengan kapas didapati kapas itu berdarah.
" Binatang hutan ada gembalanya, kalau tak tahu permainan gembalanya nanti kita yang musnah." Dukun Sood mengingatkan mereka supaya jangan lagi memburu binatang hutan.
" Yang kuat badi nya Burung Puyuh....." jelas Dukun Sood menasihati anak-anak muda yang ghairah memburu itu.
" Yang kedua Ayam Denak, yang ketiga Rusa dan keempat Kijang. Nasib baiklah awak semua terkena Badi Kijang, masih boleh ditolong." beritahunya macam memberi amaran.
Latip Beguk, Mat Joh, Rasid, Leman dan Sarip memang tidak berani lagi sebut perkara memburu di hutan. Tetapi Dollah tetap berdegil. Dia tidak mengalah walaupun dilarang oleh Dukun Sood. Kalau kawan-kawannya tidak mahu ke hutan dia pergi berseorangan saja. Dia akan memasang jerat di tempat biasa dipasangnya. Tidak lama selepas itulah dia selalu duduk termenung tidak ketahuan. Akhirnya berubah seperti sekarang. Dia merayau-rayau ke merata kampung dengan membawa sebatang kayu. Di mana ada pokok dia berhenti lantas bersandar melepaskan penat. Kadangkala dia bercakap seorang diri tidak tentu biji butir. Bila ternampak Sarip dia akan berlari terhencot-hencot ketakutan. Abangnya akan menyergah dia menyuruh dia balik ke rumah. Dia lari ke mana saja ikut suka hatinya. Mahu tidak mahu terpaksalah Sarip berkasar mengheretnya balik ke rumah.
Tetapi selepas di kurung dalam pasung kayu, tidak payah lagi Sarip mengawasi adiknya merayau-rayau ke sekeliling kampung. Dia hanya datang menjengah waktu hendak makan tengah hari atau malam. Mana tahu kalau Dollah mengencing dan memberakkan makanannya, kemudian di bancuh-bancuh sebelum di makannya. Emaknya memang sudah tidak berupaya lagi mahu menjaganya. Orang tua itu mudah menangis melihat perangai anaknya yg berubah sama sekali dari perangai biasanya. Dari seorang anak muda yg tampan, dia sudah menjadi hodoh kerana tidak terurus lagi pakainannya.
Beberapa lama menderita Dollah pun meninggal dunia secara mengejut. Ketika ditemui oleh emaknya, Dollah tertonggeng dengan tubuhnya tersandar pada palang kayu pasung. Mulutnya berdarah dan matanya terbeliak. Kematian Dollah itu seolah-olah terlepaslah beban Mak Leha menjaga anaknya yang sakit hilang akal itu. Dukun Sood menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan Dollah, kerana dia tidak berupaya untuk menyelamatkan anak muda itu.
" Inilah sakit badi binatang hutan." keluh Dukun Sood sewaktu jenazah Dollah dibawa ke kubur.
" Dia memang degil." Sarip menjelaskan.
" Sudah di larang jangan pergi mencari barang hutan, dia pergi juga. Tenguk Latip, Mat Joh, Leman, Sarip, Rasid semua dengar nasihat Dukun Sood, hah selamat...!" ujarnya seolah-olah menyesali sikap adiknya itu.
" Badi apakah agaknya Tok Dukun...?" Latip mahu tahu tentang peristiwa malang yang menimpa kawan baiknya itu.
" Entahlah." dia menggeleng kepala.
" Tak taulah pula binatang apa, tetapi biasanya yang keras macam ni Ayam Denak atau Rusa." kata Dukun Sood mengagak-agak.
" Boleh jadi Ayam Denak." Mat Joh menyampuk.
" Ada dia cakap pada aku." jelas Mat Joh mengingatkan balik cerita Dollah kepadanya sebelum kawannya itu jatuh sakit.
Semasa memasang jerat di satu kawasan lapang, dia telah dapat menjerat seekor bapak denak. Ketika dia mahu cepat menyerbu ke tempat jerat itu terpasang tangkur ayam denak itu terlepas, seekor ular hitam melintas di depannya menyebabkan dia tersentak. Dollah terkejut melihat ular melintas cepat di depannya, kemudian hilang ke dalam belukar. Dia terpaksa membiarkan ular tersebut melintas, barulah dia mengejar jeratnya yang sudah mengena. Dalam keadaan kelam kabut itu dia tidak nampak kemanakah perginya Ayam Denak yang terkena jerat itu. Tetapi di depannya berdiri seorang lelaki tua berpakaian serba hitam. Lelaki tua itu mengkelek Ayam Denak terkena jerat tadi.
" Mengapa jerat ayam Aki...?" tanya orang tua itu ramah.
" Tidak, saya jerat Ayam Denak." sahut Dollah keheranan kerana ayam yang dikelek oleh lelaki itu bukannya Ayam Denak, tetapi ayam kampung biasa.
" Ayam Aki selalu mengekas di sini, mana ada Ayam Denak dekat sini." jelas orang tua itu lagi.
Dollah heran juga kerana selama ini dia tidak pernah melihat lelaki berkenaan. Tetapi dari raut wajahnya orang tua itu sangat ramah dan baik hati. Dia tidak memarahi Dollah walaupun ayamnya terkena jerat Dollah.
" Tak ada Ayam Denak di sini. Semuanya ayam Aki yang menggekas di sini." ujarnya lagi sambil menunjukkan ke arah pondoknya di bawah bukit.
Bertambah heran Dollah kerana selama ini tidak pernah dia melihat ada pondok di situ. Kalau mahu dikatakan dia tersesat, tidak ada tanda-tanda dia sesat. Kawasan tersebut sudah biasa sangat kepadanya. Malah tempat dia menahan jerat denak itu sudah kerapkali dipasangnya jerat.
" Jangan pasang jerat lagi di sini ye, nanti terkena lagi ayam Aki." orang tua itu mengingatkan dia.
" Aki nak jual ayam-ayam tu, kalau tak jual ayam siapa nak belikan beras Aki." ujarnya menasihatkan Dollah.
Dollah mengangguk. Dia merasa tersalah tempat pada kali itu. Boleh jadi juga dia tersesat dari tempat biasa dia memasang jerat. Kadangkala kawasan pinggir hutan itu sama saja. Apabila melepasi satu bukit maka akan sampai ke kampung lain pula. Manalah dia kenal dengan orang-orang di kampung lain, terutama dengan orang tua-tuanya.
" Maaf Aki...." sahut Dollah kesal.
" Saya tak sangka pula tempat ni dekat dengan rumah Aki. Lain kali saya tak datang lagilah." dia memberi jaminan tidak akan memasang jerat di situ lagi.
" Eloklah tu, ayam Aki memang menggekas dekat sini selalunya, nanti terkena pula ayam Aki lagi." ujarnya tersenyum sambil mengkelek ayamnya dibawa balik.
Besoknya apabila Dollah datang lagi ke situ didapatinya tempat pondok orang tua yang ditunjukkan kepadanya semalam hanya belukar teberau saja. Bulu ayam yang bersepah kerana menggelupur semasa terkena jeratnya juga memang bulu ayam denak. Inilah puncanya Dollah meradang seolah-olah dipermainkan oleh orang tua itu. Dia telah mengambil ketul-ketul batu membalingkan ke arah belukar teberau yang dilihatnya ada pondok. Betul-betul meradang benar hati Dollah kerana jeratnya yang sudah mengena, tetapi ditipu oleh orang tua berkenaan.
Dollah masih berpegang kuat bahawa tidak ada badi pada Ayam Denak, sebaliknya dia telah ditipu oleh orang tua yang dilihatnya semalam. Kepada Mat Joh dia menceritakan apa yang dilihatnya. Sejak itulah dia selalu termenung, kerana teringatkan peristiwa bertemu dengan orang tersebut. Dia berdendam kepada orang tua yang berpura-pura ramah dan baik hati itu, sebaliknya telah menipu dia.
" Mengapa kau tak beritahu Dukun Sood semasa aruah ni sakit.. ?" soal Latip Beguk kesal dengan sikap Mat Joh merahsiakan kejadian tersebut.
" Dia tak beri aku cakap dengan orang lain." jelas Mat Joh mempertahankan dirinya.
" Kau tak boleh dengar cakap dia." gerutu Latip Beguk.
" Ah, sudahlah. Dah tak ada apa-apa lagi nak di ungkit-ungkitkan." Sarip memarahi mereka berdua.
" Sekarang ni dia dah tak ada, tak guna lagi sebut fasal-fasal yang sudah." tegasnya.
Dollah selamat dikebumikan. Mak Leha yang paling sedih dengan kematian Dollah, kerana itulah satu-satunya anak bujangnya yang tinggal bersama dia. Ketiadaan Dollah bererti dia tinggal di rumah Sarip, tetapi apalah gunanya memberatkan bebanan anaknya yang sudah berkeluarga itu.
Malam selepas Dollah dikebumikan terdengar sayup-sayup dari kuburnya seperti merintih-rintih semasa dikurung dalam pasung kayu. Mak Leha memberitahu perkara itu kepada Sarip. Disebabkan rumah Mak Leha memang berhampiran dengan tanah perkuburan, maka suara itu jelas kedengaran kepadanya. Pada malam kedua, Sarip bersama dengan Latip Beguk dan Mat Joh datang melihat ke kubur itu setelah Dukun Sood menyuruhnya membacakan surah Yasin di atas kubur. Mereka bertiga bergilir-gilir membaca surah Yasin sejak pukul enam petang lagi sehingga sampai Maghrib. Waktu Maghrib masuk saja terdengar lagi rintihan dari kuburnya meminta pertolongan.
Setelah di jiruskan air Yasin rintihan itu mengendur. Tetapi rintihan itu berulang lagi kalau diberhentikan membaca Yasin dan dijiruskan dengan air Yasin di atas kubur. Hingga hampir masuk waktu Isya' rintihan itu tidak kedengaran lagi. Mereka bertiga pun balik ke rumah, kerana Dukun Sood menyuruh mereka mengulangi sehingga 7 malam. Di sebabkan tidak ada lagi rintihan dari kubur Dollah, mereka mengambil keputusan untuk balik. Malam esoknya akan diulangi lagi membaca Yasin.
Sampai saja di rumah, Sarip mendapati isterinya Bibah tidak sedarkan diri pula. Kelam kabut dia kerana lepas satu, satu bala datang menimpa. Baru saja kematian adik, isteri pula sakit. Malam esoknya disebabkan Bibah sakit, terpaksalah Sarip tidak pergi membacakan Yasin seperti yang di suruh oleh Dukun Sood.
" Macam kena kelintasan Bibah ni." keluh Dukun Sood melihat buih hijau keluar dari mulut perempuan itu.
" Hus...bala apa pula ni." Sarip menggertap bibir mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya itu.
" Sabarlah Sarip." kata Dukun Sood.
Mak Leha juga menasihati Sarip supaya bersabar. Sanak saudara Bibah juga menyuruh bersabar. Tetapi Sarip tidak dapat menahan sabar. Manalah hatinya tidak remuk dengan kejadian di kubur adiknya yang merintih-rintih meminta tolong darinya, Bibah pula tiba-tiba saja kelu lidah dengan muntah hijau meleleh dari mulut.
" Bibah, kena badi juga ke...?" Sarip bertempik melepaskan geramnya.
" Sarip, sabarlah. Bawa istighfar...." pujuk ayah mertuanya yg turut bersedih kerana anaknya sendiri sakit mengejut.
Orang-orang mula menduga mungkin kerana Sarip cuba menolong adiknya, maka badi tersebut menyerang Bibah pula. Sebab itulah sebaik saja Sarip membaca Yasin di atas kubur Dollah, tiba-tiba saja Bibah tidak sedarkan diri dengan air liur meleleh keluar hijau seperti lumut, akhirnya dia mati.
Selepas Bibah mati tidak lagi kedengaran rintihan Dollah setiap kali waktu Maghrib. Latip Beguk, Mat Joh dan Rasid juga tidaklah lagi perlu membaca Yasin di atas kuburnya. Dua tahun kemudian Dukun Sood pun berpindah ke Segamat. Sampai sekarang sudah lebih 20 tahun dia tinggal di Segamat. Anak saudaranya Muhammad yang mengajak aku berjumpa dengan Dukun Sood ini. Dia berpindah ke Segamat pun kerana bekerja dengan pemborong pejabat ukur. Apabila tauke nya membuat kerja-kerja mengukur di Segamat, dia mengambil keputusan untuk menetap di sana. Sesiapa pun tidak tahu mengenai dirinya pernah menjadi dukun di Pahang. Anak saudaranya ini memang berasal dari Pahang, tetapi selalu juga dia menjengah Dukun Sood di Segamat.
Dari Muhammad inilah aku dengar cerita mengenai pengalaman Dukun Sood mengubat Dollah yang dikatakan terkena badi itu. Dukun Sood termenung bila aku bangkitkan semula cerita Dollah ini kepadanya. Kemudian barulah dia mahu bercakap. Perlahan saja dia memberitahu aku.
" Sebenarnya badi tu tak seberapa, ada rahsia lain lagi." kata Dukun Sood.
" Betul ke kubur Dollah tu ada bunyi ?" tanya aku.
Dukun Sood menganguk dengan wajah terharu.
" Dia memanggil-manggil abangnya meminta tolong. Katanya panas tak tahan." ujarnya.
" Kalau dia hilang akal, macam mana boleh minta tolong...?" aku mahu tahu lebih lanjut.
" Itu yang susah nak jawab." kata Dukun Sood lagi.
" Perkara dah berlaku dua puluh tahun, susah nak cakap." jelasnya macam tidak mahu menerangkan lebih lanjut kepada aku.
Tetapi setelah Muhammad memberitahu mengenai aku, barulah dia mahu menerangkan.
Badai tentu lebih tahu dari saya.
" HUWA AUWALU WAL AKHIRU WAL ZAHIRU WAL BATINU, WAHUWAL ALIYUL ADZIM."
Dia menatap muka aku. Aku teranggukangguk mendengarnya. Mungkin Dukun Sood tidak mahu lagi mengenangkan peristiwa tersebut. Tetapi disebabkan aku bertanya, mahu tidak mahu terpaksalah dia menerangkan. Lagipun Dukun Sood tidak mahu orang-orang di situ mengetahui dirinya pernah menjadi dukun.
" Saya tak berdukun lagi Badai, saya ni dah tua." dia merendahkan suaranya.
Disebabkan aku mahu sangat mengetahui rahsia kematian Dollah, Dukun Sood memberitahunya dengan rasa terharu.
" Sebenarnya, Sarip ternampak orang lelaki melompat keluar dari tingkap biliknya semasa baru balik dari surau." beritahu Dukun Sood.
Peristiwa ini tidak sahih, kerana Sarip hanya terdengar bunyi orang terjun ke tanah kemudian lari. Dia bertanya kepada Bibah, tetapi Bibah sanggup menjujung Quran mengatakan tidak ada siapa pun yang naik ke rumah. Disebabkan Sarip orang yang kuat belajar agama, tidak berani lah dia menuduh Bibah berlaku curang terhadap dirinya. Bagaimanapun dia terpaksa memberitahu hal itu pada Dukun Sood. Memang Dukun Sood tidak percaya Bibah boleh melakukan perbuatan demikian. Disebabkan Dukun Sood berkawan baik dengan ayah Sarip, dia menyuruh Sarip membuat sembahyang Tahajud 44 malam untuk membuktikan isteri nya berlaku curang atau tidak. Sarip melakukan seperti apa yang disuruh oleh Dukun Sood. Selepas 44 malam dia melakukan sembahyang Tahajud, didapati Bibah tidak ada apa-apa perubahan. Yakinlah dia dengan pendapat Dukun Sood bahawa Bibah tidak berdosa.
Hanya perasaan cemburunya saja yang menyebabkan dia ternampak kelibat orang terjun dari tingkap. Hatinya menerima kesucian isterinya dengan tenang dan bersyukur pada Allah. Bibah pula merasa senang hati kerana suaminya tidak lagi mengesyaki dia berlaku curang. Tidak lama kemudian Sarip sekali lagi dirundung malang bila adiknya Dollah pula kena badi binatang hutan. Dollah jadi hilang akal selepas dikatakan berjumpa orang tua ketika menjerat Ayam Denak itu. Puas pula Sarip berusaha mengubat adiknya itu, tetapi akhirnya mati dalam keadaan mengerikan.
" Itulah kesan sembahyang Tahajud dan bacaan Yasin." keluh Dukun Sood mengingat-ingatkan kembali peristiwa 20 tahun lampau.
" Memang benar Dollah yang terjun dari tingkap rumah abangnya, sementara isterinya berlaku curang dengan adiknya sendiri. Tapi saya rahsia kan ini dari Sarip...." ujar Dukun Sood dengan rasa terharu.
Sebab itulah dia berdalih mengatakan Dollah terkena badi binatang hutan semata-mata mahu menyembunyikan perkara sebenarnya. Dollah sendiri mengaku di depan Dukun Sood dengan penuh kesal, tetapi dia sudah tidak dapat menahan Sarip meneruskan sembahyang Tahajud 44 malam dan membaca Yasin yang sudah dibuatnya hampir genap 44 malam itu.
Inilah yang diceritakan oleh Dukun Sood ketika aku singgah di rumah Muhammad di Segamat. Ketika aku dan Muhammad berguru di " Persatuan Ilmu Kalimatullah " di Kampung Pandan, Johor Bahru. Muhammad lah yang mengajak aku untuk bertemu dengan orang tua ini.
SELESAI.....
ILMU BERBURU BINATANG DI HUTAN.
Ilmu semula jadi ini sangat bermanfaat bagi mereka yang suka berburu binatang liar di hutan. Insyaallah, apabila kita melaksanakan tata caranya maka hasil buruannya sangat memuaskan.
TATA CARANYA :
1.) Siapkan telor ayam kampung asli satu biji.
2.) Lalu ucapkan salam :
" Assalamualaikum.. Wr...Wb, Hai NURIYA PUTIH, bawakan kepadaku binatang peliharaanmu, yang DURHAKA kepadamu, yang paling jelek, yang paling tidak baik, yang paling halus."
3.) Lalu bacakan ayat Sulaiman. Jangan guna Bismillah, seperti ini :
INNAHU MIN SULAIMANA WAINNAHU BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM. LAA TA' LUU 'ALAYYAH WA'TUUNII MUSLIMIN. 4x.
4.) Lalu telor tadi bawa ke hutan lokasi berburu, lempar ke dalam hutan sambil ucapkan dalam hati :
" HAI NURIYA PUTIH INI UPAH KAMU."
* PENJELASAN..
NURIYAH PUTIH adalah anak Nabi Sulaiman as dan Ratu Siti Balqis yang tidak punya tangan dan kepala nya bulat seperti timun.
SELESAI....
Seperti biasa ambil sisi positif dari cerita dan keilmuan ini yang negatif jangan di ambil. Kekuatan yang tak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah s.w.t. Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat-sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI, dengan merendahkan diri memohon maaf.
TERIMA KASIH.........
DI IJAZAHKAN OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.







Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts