Trending

Saturday, 26 May 2018

NAFSU Ada 7 tingkatan nafsu


NAFSU
Ada 7 tingkatan nafsu. Iaitu :
1. Ammarah
2. Lawwamah
3. Mulhamah
4. Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardiah
7. Kamilah
Melawan desakan nafsu ini tiada garis penamat kecuali mati dan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah. Amalan rohani ini melazimkan para pengikut-nya bersungguh-sungguh untuk menunaikan runtunan hidup selari dengan kehendak Allah dan menolak kejahatan atau maksiat yang dimurkai Allah. Di peringkat awal tarbiyah ilmu dan amalan tarekat Tasawuf sememangnya terasa berat dan menyakitkan untuk mengekang segala desakan hawa nafsu. Namun apabila seseorang terus menerus berzikir dan bermujahadah dengan bersungguh-sungguh (beruzlah) sehingga terbuka hijab hati dan dapat makrifah serta dapat menguasai diri dan menentang berbagai-bagai desakan hawa nafsu dan dapat pula mengukuhkan imannya dengan kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata.
Islam berjaya mengubah sikap manusia kerana ia berjaya mengajar, mendidik, melatih dan memimpin akal, emosi, nafsu dan hati. Nabi s.a.w. menggunakan kaedah tarbiyah Akidah al-Quran atau perintah Allah S.W.T. untuk mengubah sikap umat Arab jahiliah. Walaupun umat Arab jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (perbalahan sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi dikuasai oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (rogol, minum arak, membunuh anak perempuan, sihir, judi, dan sebagainya) tetapi Nabi s.a.w. berjaya menyelesaikan masalah mereka, dan mereka berubah menjadi bangsa yang bersatu padu, kuat, berilmu, bermoral dan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Ini bermakna untuk mengubah sikap seseorang maka kita perlu mengubah dan membaiki hati (akidah), akal (pemikiran), nafsu, dan emosi (kemahuan).
Punca setiap ketaatan, kesedaran terhadap Allah, lembut hati untuk menerima kebenaran dan musyahadah adalah sikap tidak reda terhadap desakan hawa nafsu itu. Di dalam keadaan begitu, maka tidak ada sesuatu yang lebih memberi manfaat kepada seseorang itu selain dari penyucian nafsunya. Nafsu itu dipandang dari sudut berbagai mujahadah terhadapnya adalah tujuh peringkat.
1) Pertama, nafsu al-amarah iaitu nafsu yang sentiasa cenderung kepada tabiat semulajadi tubuh badan, sukakan berbagai kelazatan, nafsu syahwat yang dihalang oleh hukum syarak dan sentiasa menarik hati ke arah kehinaan dan kerendahan.
Nafsu al-amarah inilah merupakan lubuk berbagai kejahatan, punca akhlak yang tercela seperti takbur, cintakan dunia, hasad dengki, marah, bakhil dan sebagainya lagi. Martabat nafsu yang serupa ini (an-nafs al-amarah) adalah merupakan keadaan kebanyakan nafsu sebelum berbagai proses mujahadah dilakukan.
2) Keduanya, nafsu al-lawwamah iaitu jiwa yang disuluh dengan cahaya hati sehingga ianya kadang-kadang tunduk kepada kekuatan akal dan kadang-kadang ia menentangnya pula, kemudian ia akan berasa kesal serta menyesali sikap jiwanya itu sendiri. Nafsu al-lawwamah inilah punca penyesalan, kerana ianya masih merupakan punca hawa nafsu dan berbagai sifat yang tercela itu.
3) Ketiga, nafsu al-mutmainnah iaitu nafsu yang disinari oleh cahaya hati (nur zikrullah) sehingga ia bersih dari semua sifatnya yang tercela dan menjadi tenang menuju kepada berbagai sifat kesempurnaan (al-kamalat). Maqamnya ialah permulaan bagi berbagai sifat kesempurnaan (al-kamalat). Apabila seseorang salik meletakkan kakinya di makam tersebut maka ia dikira sebagai orang ahli tarekat Tasawuf, sebab ia telah beralih makam tamkin (tetap hati dengan Allah). Orang yang berjiwa demikian (nafsu al-mutmainnah) berkeadaan mabuk terhadap tarikan asma'ullah. Pada zahirnya kelihatan ia bermuamalah dengan orang ramai, tetapi pada hakikatnya ia jauh dari mereka, kerana jiwanya sentiasa bergantung kepada Allah sahaja.
4) Keempat, nafsu al-mulhamah iaitu nafsu yang telah diilhamkan oleh Allah dengan ilmu, sifat merendah diri (at-tawaduk) puas hati dan berpada dengan apa yang ada (al-qina'ah), pemurah dan sebagainya. Oleh itu maka nafsu ter-sebut adalah merupakan sumber terbitnya sifat sabar, tahan lasak dan syukur.
5) Kelima, nafsu ar-radiyah iatu nafsu yang telah reda terhadap Allah seba-gaimana firmanNya. Maksudnya:
“Dan mereka itu reda terhadap Allah.”
Keadaan nafsu ar-radiyah ini ialah sentiasa tunduk menyerah (at-taslim) kepada Allah dan merasakan lazat untuk berta'abbudi kepada Allah S.W.T.
6) Keenam, nafsu al-mardiyyah iaitu nafsu yang direda oleh Allah. Kesan keredaan Allah itu nampak dengan jelas iaitu kemuliaan, ikhlas dan sentiasa berzikrullah. Pada peringkat ini salik tersebut telah mendapat makrifatullah dengan sebenar-benarnya. Di dalam nafsu al-mardiyyah inilah lahirnya tajalli afal.
7) Ketujuh, nafsu al-kamilah iaitu nafsu yang telah sebati dengan berbagai sifat kesempurnaan insan (al-kamalat) dan terus meningkatkan sifat kesempurnaannya itu di samping ia mendorong sifat-sifat mereka. Maqam nafsu al-kamilah ini ialah maqam tajjaliyat al-asma dan sifat. Halnya ialah baqa'billah, bergerak dengan Allah kepada Allah, kembali dari Allah kepada Allah. Jiwa tersebut tidak mempunyai tempat selain dari Allah, semua ilmunya didapati terus dari Allah.
Ketahuilah bahawa telah menjadi tabiat semula jadi sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah, perpindahan darjat seseorang salik dari satu maqam ke maqam yang lainnya yang lebih tinggi lagi itu tidak boleh berlaku kecuali di bawah pimpinan mursyid yang arif lagi tahu tentang maqam-maqam perjalanan kepada Allah dan semua perkara (al-ahwal) di dalamnya. Janganlah disangkakan bahawa jalan mujahadah memerangi nafsu (tazkiyatun-nafs) itu semudah yang difikirkan oleh akal sahaja seperti yang disangkakan oleh ahli Falsafah, ahli Batinniah, dan orang-orang yang dipengaruhi oleh ajaran Brahmin, dan lain-lain golongan lagi yang bersifat jahil itu. Dalam kejahilan mereka yang membabi buta itulah mereka memperkenalkan sistem pembersihan nafsu mereka itu dengan berbagai latihan (kerohanian) yang ditiru sehingga akhirnya mereka terhumban ke lembah kesesatan, kebinasaan dan berbagai perkara yang sangat mengelirukan.
Mujahadah memerangi nafsu (tazkiyatun-nafs) sebenarnya adalah seperti merawat penyakit fizikal juga. Sebagaimana penggunaan berbagai ubat tidak boleh dilakukan oleh pesakit kecuali dengan nasihat doktor pakar yang mem-punyai pengalaman yang cukup dalam bidang rawatan penyakit, maka begitulah juga halnya dengan mujahadah memerangi nafsu (tazkiyatun-nafs) itu tidak boleh dilakukan kecuali dengan nasihat dan pimpinan seorang shaikh mursyid yang mempunyai pengalaman di bidang tersebut.
Ketahuilah ada dua hijab bagi jiwa (an-nafs) itu, iaitu hijab nuraniyyah dan hijab zulmaniyyah. Jalan pertama yang mesti ditempuhi oleh seorang murid atau salik itu supaya ia berjaya dan dapat membersihakan hati dari pelbagai hijab ialah dengan bermujahadah memerangi nafsu (beruzlah) itu, sentiasa bersikap dan berpendirian menentangnya, dan menjauhkan diri dari desakannya. Sebab, desakan (nafsu) itulah merupakan hijab terbesar sekali yang mendinding antara seseorang dengan Tuhannya.
Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Musuh engkau yang paling sengit sekali ialah nafsu yang terletak antara dua
lambungmu itu.” (HR al-Baihaqi)
Nafsu itu mesti ditegah atau dikendalikan dengan berlapar dan haus, dihinakan dengan dipadamkan semangat bermegah dan rasa mulia, dikurangkan nafsu syahwat dan ditundukkan di bawah telapak kaki orang yang semata-mata memandang akhirat, dihancurkan nafsu itu dengan meninggalkan hiasan orang-orang kaya. Elakkan diri dari kejahatannya dengan sentiasa buruk sangka terhadapnya dan berjinak-jinaklah selalu dengan semua perkara yang tidak disukai oleh nafsu itu sehingga dalam sebuah syair Arab dikatakan:
“Jagalah nafsumu, dan janganlah engkau merasa aman dari tipu dayanya. Sesungguhnya nafsu itu lebih jahat daripada tujuh puluh syaitan.”


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts