Trending

Wednesday, 8 August 2018

Kota Larangan 5 JELMAAN SYAITAN


Kota Larangan 5 : JELMAAN SYAITAN
Praang!...Bekas air yang dipegang oleh pembantu tabib diraja terlepas dari tangan dan hancur diatas lantai. Hang Tuah pantas memandang wajah pembantu tabib yang kelihatan sangat pucat, mulutnya ternganga tanpa suara dan gadis itu terundur-undur ke belakang dalam keadaan menggigil. Pada masa yang sama tabib diraja juga berkelakuan seperti itu memandang wajah Hang Tuah dengan cemas tanpa suara.
Ketika inilah Hang Tuah terasa ada sambaran angin panas yang menerpa pantas dari belakangnya. Sekilat HangTuah mengelak sedikit kepalanya ke kiri, dari hujung matanya Hang Tuah dapat melihat satu cakaran dengan kuku hitam yang panjang tersasar serangannya, pantas Hang Tuah menangkap pergelangan tangan tersebut lalu membuat pukulan siku kanan ke rusuk penyerang curi tadi, hentakkan yang kuat menyebabkan penyerang curi terpelanting dan terseret ke dinding.
Ketika ini barulah Hang Tuah dapat berhadapan dengan penyerang tersebut, agak mengejutkan juga Laksaman Hang Tuah apabila didapati penyerang tadi seorang perempuan dengan memiliki rambut yang panjang sehingga ke mata lututnya, lebih aneh keseluruhan rambutnya menutupi wajah. Kini perempuan aneh tersebut berdiri tegak berhadapan dengan Laksaman Hang Tuah, sungguhpuh Hang Tuah tidak dapat melihat wajah disebalik rambut yang panjang itu Hang Tuah yakin wanita itu sedang memerhatikannya dengan perasaan marah.
Perempuan aneh itu mula merunduk ke bawah, kedua tangannya diletak ke lantai. Sekali lagi Hang Tuah dihambat rasa pelik apabila wanita aneh itu bergerak mundar mandir ke kiri dan ke kanan dalam keadaan merangkak, rambutnya yang panjang mengurai di atas lantai, lagaknya seperti seekor dubuk yang kelaparan. Lama dia dalam keadaan begitu Hang Tuah hanya memerhatikan sahaja tiba-tiba tanpa di duga perempuan itu berlari kencang ke arah Hang Tuah sungguhpun dia bergerak dengan berkaki empat namun pergerakkannya pantas. Perempuan tersebut melompat melepasi kepala lalu menerkam ke arah Hang Tuah, Hang Tuah meruduk dan berguling ke sisi kanan, terkaman perempuan berambut panjang itu tersasar namun belum sempat Hang Tuah bangun mengatur nafas, lehernya terasa perit diikat sesuatu ketika ini Hang Tuah baru menyedari lehernya telah terlilit dengan rambut panjang perempuan itu, sepantas itu juga perempuan aneh tersebut menggerakkan kepalanya dan menghempas Hang Tuah ke dinding rumah rawat tersebut, beberapa papan kayu dirumah rawat tersebut kelihatan terkopak, hempasan itu benar-benar kuat.
Serasa seperti seluruh tulang-temulang Hang Tuah bagai dipatah-patah Hang Tuah berusaha untuk bangun dalam keadan bersusah payah. Dalam keadaan tubuh yang masih tidak seimbang itu Hang Tuah sempat melihat perempuan tersebut melancarkan lagi serangannya, sekali lagi kepalanya digerakkan dan serta merta juga rambut perempuan itu tiba-tiba memanjang menghala ke arah Laksamana Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah pantas mengangkat tangan melindungi bahagian lehernya, Hang Tuah tahu sasaran wanita tersebut ialah batang lehernya, ketika ini tangan kiri Hang Tuah terlilit dengan rambut perempuan tersebut sekali lagi perempuan tersebut menyentap dan cuba untuk menghempas hulubalang Melayu itu, namun sekali ini Hang Tuah berjaya membuat balik kuang dan jatuh dalam keadaan berkuda kuda serentak itu Hang Tuah mencabut keluar keris Taming sarinya dan mencantas rambut yang melilit tangannya, rambut perempuan itu putus dan berselerakkan di atas lantai tetapi sesuatu yang aneh kembali terlihat apabila rambut perempuan aneh yang putus itu bergerak ke arah perempuan tersebut dan kembali bersatu dengan dirinya. Rambut itu seperti hidup dan tahu akan tuannya.
Perempuan aneh itu sudah berhenti menyerang dia kini berdiri tegak dengan rambut yang masih menutupi wajahnya. Laksamana Hang Tuah kembali mengatur nafas sesedut, bersiap siaga- nasihat sang guru satu ketika dahulu tidak pernah dilupainya, dalam dunia kependekaran setiap musuh yang dihadapi jangan pernah dilihat dengan “sebelah mata” kalau tidak kesombongan akan menguasai jiwa lalu segala ilmu firasat akan menjadi tawar.
Tabib dan pembantunya cemas dengan apa yang berlaku dihadapan mata mereka. Mulut mereka bagaikan terkunci mereka tidak pasti makhluk apa yang sedang bertarung dengan Laksamana dari bumi Melayu ini, jembalang dari gunungkah atau manusia yang gila?
Dengan tidak semena-mena sekali lagi perempuan itu berlari kencang ke arah arah Hang Tuah, Hang Tuah sudah kejap memegang Taming Sarinya bersedia membuat tikaman kilat, namun ketika hampir dengan Hang Tuah wanita itu secara tiba-tiba melompat dan menukar haluan lariannya menghala ke arah dinding, perempuan tersebut sekali lagi mengejutkan tabib diraja dan Hang Tuah apabila boleh merangkak ke arah dinding dan melekat di atas syiling, kaki dan tangannya seperti cicak pada waktu ini.
Dalam keadaan terbalik di atas siling wanita tersebut sekali lagi membuat serangan, rambutnya dilibas, namun kali ini bukan ke arah Hang Tuah tetapi ke arah pembantu tabib diraja. Rambutnya yang panjang melilit leher pembantu tabib diraja dengan kasar perempuan tersebut merentap rambutnya, kini pembantu tabib tergantung dengan leher yang dijerut. Pembantu tabib mengelupur dalam keadaan tergantung kesukaran bernafas menyebabkan wajahnya menjadi pucat dan biru, melihat keadaan yang cemas itu Hang Tuah cuba untuk menyelamatkan pembantu tabib, namun belum sempat Hang Tuah mencantas rambut perempuan aneh yang melilit pembantu tabib diraja perempuan aneh itu lebih awal menghempas pembantu tabib ke arah dinding. Jeritan keras bergema memenuhi ruang rumah rawat tersebut, pembantu tabib jatuh tergeletak dan memuntahkan darah hidup. Hang Tuah dan Tabib diraja menerpa ke arah pembantu tabib kelihatan gadis itu dalam keadaan sangat nazak, Tabib diraja memangku pembantunya dan ketika itu pembantu tabib telah menghembuskan nafasnya yang terakhir - terdengar tangisan yang cukup menghiba dari Tabib diRaja.
Situasi yang tidak dijangka itu menyebabkan Hang Tuah terpegun seketika, ketika inilah baru Hang Tuah perasan perempuan berambut panjang tadi sedang berdiri di sisi Hei Long. Kukunya tiba-tiba menjadi lebih panjang dan tajam. Perempuan itu mendongak ke atas tidak semena-mena tingkap rumah rawat terbuka dengan sendiri angin kencang menerpa wajah wanita tersebut saat ini rambutnya yang panjang mengerbang ke belakang. Hang Tuah dan Tabib diraja dihambat rasa terkejut bukan kepalang wajah wanita itu begitu hodoh dan menakutkan matanya merah bagai biji saga ada taring bagai taring babi dimulutnya.
Saat ini perempuan aneh itu menjerit dengan nyaring dan mahu membenamkan kukunya ke dada Hei Long. Melihat situasi yang cemas dan mendesak itu Hang Tuah yakin dia tidak akan sempat bergerak untuk menyelematkan Hei Long walaupun dengan menggunakan “gerakkan guruh” , benar-benar nyawa Hei Long bagai dihujung tanduk sekarang....
Bersambung.....


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts