Trending

Saturday, 4 August 2018

IKAN HARUAN MENGAJAK GADIS BERKAWIN


..............." IKAN HARUAN MENGAJAK GADIS BERKAWIN "...............
Assalam sahabat2 yg aku hormati semua, tidak kira di mana jua berada. Baik dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Selawat senantiasa dihatur keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dgn mengharap Ridho Allah dan dgn kerendahan hati yg paling dalam. Izinkan aku yg miskin ilmu lagi dhoif ini berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama para sahabat2 semua. Insya Allah....
Kalau musim turun ke sawah, mesti aku datang Terengganu, rumah keluarga angkat aku di Kampung Pasir Panjang. Bukannya apa, di S'pore mana ada suasana macam ni. Seronok aku lihat orang2 kampung di mana sawah yg berlopak akan ditimba airnya sampai kering. Ikan berlompatan kerana lopak yg kering airnya di timba.
Selepas menimba lubuk di hujung sawah Ludin Dodok terus mandi ke sungai. Kalau mandi di telaga tidak puas, disebabkan seluruh badannya habis dipalit lumpur. Sebab itu dia ke sungai supaya boleh berendam macam kerbau berkubang. Lagipun lumpur yg banyak melekat boleh di sental dgn sabut kering sampai kulitnya berbekas merah. Air sungai mengalir tidak macam air di telaga yg terpaksa diceduk dgn timba. Kadangkala sampai terbongkok2 menghulur tali timba.
Anaknya Akop yg baru berumur sepuluh tahun pun ikut sama mandi ke sungai. Budak itu juga lebih suka berendam macam kerbau berkubang. Sebab itu dia ikut ayahnya mandi ke sungai. Kalau mandi di telaga memang tidak puas sebab terpaksa mencedok air.
Bagaimana pun isteri Ludin Dodok balik terus ke rumah. Dia tidak perlu berendam macam kerbau berkubang. Di telaga pun memandai kalau sekadar mahu sental lumpur terpalit di betis. Lagi pun dia terpaksa menyiang ikan2 yg dapat ditimba di lubuk. Suaminya Ludin Dodok cukup gemar makan pindang ikan kalau musim turun ke sawah.
Musim turun ke sawahlah mereka dapat makan pindang ikan. Mana sawah yg berlopak dalam, memang tidak boleh ditanam padi. Disitulah selalunya dijadikan lubuk menampung ikan2 yg berkeliaran di tengah sawah. Bila tiba waktu mahu mengubah anak padi, dia anak beranak akan menimba lubuk terlebih dahulu.
Tenguklah bila lubuk kering ditimba, ikan sepat akan berlompat ke tengah ke tepi. Ikan haruan akan menggelupur memukul2 ekor di tengah lumpur. Ikan semilang, ikan puyu, ikan betuk juga akan menggelupur tidak ketahuan.
Ketika ini Akob akan terjerit2 keriangan menangkap ikan sepat, haruan, puyu, betuk menggelupur di tengah lubuk. Tetapi ayahnya tidak akan benarkan dia menangkap ikan semilang. Sengat semilang itu merbahaya kalau singgah menujah tapak tangan. Sebab itu Ludin Dodok tidak benarkan Akob menangkap ikan semilang tercanggut2.
Sepat2 sebesar dua jari inilah sedap dipindang. Anak2 semilang, anak2 haruan, anak2 puyu juga boleh dipindang sekali. Inilah yg menyelirakan Ludin Dodok, apa lagi kalau mengadap nasi tengah hangat.
" Midah...!" isteri Ludin Dodok, Hawa memanggil anak dara suntinya sedang masak didapur.
" Tengah hari ini kita masak pindang. Ayah kau gemar pindang." katanya sambil meletakkan tong yg berisi ikan di atas pelantar rumah.
Midah menjengah ke pelantar. Dia tersenyum memerhati tong di atas pelantar penuh dgn ikan. Sekalipun tidak ada ikan yg sebesar betis atau lengan, tetapi sudah memandai untuk menggembirakan Midah. Jarang mereka melihat ikan besar2 seperti ditangkap nelayan di laut. Ikan di sawah kecil2 belaka. Tetapi ikan2 kecil di sawah inilah yg lebih mengecurkan liur. Kalau mahu melihat ikan sebesar betis pun, tatkala ayahnya menjala di lombong. Sekali sekala dapatlah ikan haruan sebesar betis.
"Biar aku siang ikan tu mak...." Midah menawarkan diri.
Kesihan juga dia melihat emaknya keletihan baru balik dari sawah, kemudian terpaksa pula menyiang ikan. Apalah salahnya dia membantu emaknya.
"Eloklah tu....." sahut Hawa perlahan.
"Bolehlah emak terus mandi saja di telaga. Kau siang yg mana nak dipindang, cukuplah." kata Hawa mencapai kain basahan, mandi terampai dihujung halaman.
Hawa tahu anak gadis suntinya yg berumur tiga belas tahun itu memang sudah boleh diharap. Sejak tamat sekolah darjah lima, dia tidak meneruskan pelajaran. Hawa mahu anaknya itu biarlah buat kerja2 di rumah. Midah mesti di asuh memasak, menganyam tikar dan menjahit baju. Lagipun Midah bukanlah pandai sangat di sekolah. Setiap kali periksa penggal persekolahan tidak pernah dapat nombor yg lebih rendah dari dua puluh.
Apalah gunanya disekolahkan lagi kalau otaknya lembab. Ludin Dodok juga setuju supaya Midah diberhentikan saja setakat darjah lima. Akop pun bukanlah pandai sangat. Tetapi anak lelaki elok juga di sekolahkan sampai darjah enam. Kalau otaknya baik boleh juga sampai ke sekolah menengah. Namun Ludin Dodok mahu pun Hawa tidak mengharapkan Akop akan belajar sampai ke peringkat lebih tinggi.
"Ikan yg hidup tak payah siang ye mak.....!" laung Midah memerhati emaknya melenggang menuju ke telaga.
"Iyalah, cukuplah mana yg nak dipindang saja." ulangi Hawa tidak menoleh ke arah anaknya.
"Ikan puyu aku nak bela....." teriak Midah.
Tetapi emaknya sudah tidak mendengar lagi teriakan dia. Emaknya sudah sampai ke telaga di pinggir sawah yg dikepung dgn daun kelapa kering.
Memang Midah berhajat mahu membela ikan puyu di dalam botol. Sudah lama dia mahu berbuat demikian tetapi sukar mendapatkan anak puyu sebesar ibu jari. Kalau adiknya Akop memancing di lubuk pun dapat ikan puyu besar sedikit. Dia tidak suka ikan puyu yg sudah sampai sebesar tiga jari. Lagi pun ikan puyu yg terkena pancing tidak boleh bertahan lama. Mudah saja ikan tersebut terapung mati. Ikan puyu yg ditangkap dgn tangguk di lubuk memang boleh dibela. Tidak ada kesan mata pancing di bibirnya. Dia akan jaga baik2 di dalam botol. Airnya akan diganti setiap hari biar ikan puyu itu boleh hidup lama.
Pernah Midah menangis bila ikan2 puyu yg dibelanya di dalam botol mati. Kata ayahnya, ikan2 tersebut mati kerana airnya tidak berganti. Midah memerhatikan ikan2 yg menggelepar di dalam timba. Banyak yg masih hidup disebabkan ada air sedikit di dalamnya. Tidak banyak ikan semilang disitu. Dia tahu emaknya tidak benarkan dia menyiang ikan semilang. Tetapi Midah tidak takut mahu menangkap ikan semilang. Dia tahu bagaimana mahu memegang kepalanya supaya sengat pada ridik ikan tersebut tidak menujah ke tapak tangan.
Cuma emaknya saja bimbang akan kebolehan dia. Padahal emaknya sendiri sering melihat dia menangkap anak semilang di tengah lopak sawah. Belum pernah semilang dapat menyengat tapak tangannya. Kalau mahu menyiang ikan semilang mesti ketuk terlebih dahulu kepala ikan itu biar sampai lembik tidak bernyawa. Masakan dia tidak tahu menghadapi masalah demikian kalau sudah menjadi anak petani di kampung.
Bagaimana pun emaknya tetap tidak yakin kebolehan dia. Emaknya tetap melarang supaya ikan2 semilang tidak disiang. Perkara menyiang ikan semilang akan diserahkan kepada emaknya sendiri.
Dia menyalin ikan di dalam timba ke dalam besen besar. Kemudian dia memilih ikan2 sebesar ibu jari yg hendak di masak pindang, diasingkan ke bekas yg lain. Bila sudah diasingkan barulah mudah baginya untuk menyiang.
Ketika dia mengasingkan ikan2 berkenaan Midah ternampak seekor haruan sebesar lengan, sisiknya kemerah2an. Tidak sama dgn sisik ikan haruan sawah yg hitam berkilat. Dia cuba menangkap ikan tersebut di dalam besen, tetapi sukar sangat. Setiap kali tangannya dapat menggenggam ikan itu menggelepar. Akhirnya terlepas kerana terlalu licin.
Puas dia mahu menangkap ikan itu hinggakan kerjanya untuk menyiangkan terbengkalai. Kerana asyik dgn ikan haruan bersisik kemerah2an di dalam besen, Midah tertawa tersengih2. Dia tidak perdulikan lagi janjinya dgn emaknya mahu menyiang ikan mahu dimasak pindang.
Hinggalah Hawa balik dari mandi di telaga, didapatinya anaknya tersengih2 di pelantar dapur. Midah langsung tidak menyiang ikan seperti yg dijanjikan. Heran juga Hawa dgn kelakuan anaknya itu.
"Midah, apa yg kau buat tu ?" Hawa menegur dari pengampai kain di hujung halaman.
Dia berkemban saja sambil menyidaikan kain basahan yg sudah dibasuh.
Tetapi Midah tidak menyahut. Dia tersengih2 juga bermain dgn ikan haruan itu di dalam besen. Tangannya bermain2 di dalam besen mahu menangkap. Namun terlalu sukar baginya mahu menangkap ikan tersebut. Bagaimana pun ikan itu tidak pula melompat tinggi sampai melepasi permukaan besen.
"Dah siapkah kau menyiang ikan ?" tanya Hawa lagi.
Midah tidak juga menyahut. Dia tersengih2 tidak menghiraukan langsung emaknya. Dia asyik mahu menangkap haruan sebesar lengan yg ada di dalam besen.
"Cepat siang ikan tu, nanti ayah kau balik nak makan dia." gesa Hawa masih keheranan dgn kelakuan anaknya tersengih2 di atas pelantar dapur.
Setelah selesai mengampai kain, Hawa terus naik ikut tangga pelantar di dapur. Terpegun dia sebentar melihat Midah asyik bermain dgn ikan haruan di dalam besen. Cepat2 Hawa menangkap ikan tersebut. Dia mengamati2 sisik haruan yg kemerah2an itu tidak ada apa2 perbezaan dgn haruan yg lain.
Tiba2 dia terkejut bila mendapati mata haruan itu berkedip2 seperti mata manusia. Dia melemparkan semula ikan tersebut ke dalam besen. Dalam keadaan tergopoh gapah ini lah Ludin Dobok balik dari sungai. Termengah2 Hawa dalam ketakutan memberitahu segalanya kepada Ludin Dobok. Bagi Ludin Dobok memang sudah menduga sejak dari sungai lagi. Ketika dia sedang menyental betis dgn sabut kering dia mendengar debur air seolah2 ada bapak haruan melompat.
Biasanya kalau deburan demikian kuat sudah tentu bapak haruan atau bapak sebarau melompat menerkam anak ikan. Ketika inilah Akop duduk di atas pasir menyental lumpur di kakinya dgn pasir sungai. Dia tidak peduli sangat bunyi deburan tersebut.
Ludin Dobok memang terkenal sebagai penangkap ikan. Kadangkala tidak memerlukan jala, jeramak, tangguk atau tiruk, dia menangkap ikan di sungai. Jarinya akan meraba2 di bawah akar pokok teberau yg menjuntai tepi tebing. Atau ke bawah akar pokok kelepung di tubir tebing. Atau di sawah akar aur memaut tebing. Di situ ikan menyusup mencari tempat selamat.
Kadangkala di tengah air di bawah kapar bertimbun pun ikan gemar bermain. Tahu saja Ludin Dobok memerangkap ikan2 supaya terasak ke tepi. Tangannya akan cepat menangkap kepala ikan supaya tidak mudah terlepas. Keahlian Ludin Dobok menangkap ikan itu memang diketahui oleh penduduk2 kampung. Malah kalau mereka sama2 mencari ikan sungai di lombong, tidak siapa pun mahu mengekori Ludin Dobok. Siapa yg mengekori Ludin Dobok nescaya tidak akan mendapat seekor pun ikan. Semua ikan masuk ke dalam keruntung Ludin Dobok.
Apabila mendengar bunyi deburan bapak haruan menangkap anak ikan ini, Ludin Dobok mula gecur liur. Dia mesti menangkap bapak haruan tengah galak menangkap anak ikan. Alangkah enaknya kalau dapat ditangkap. Digulai masak lemak cili api. Dia akan berebut2 dgn Akop mahukan daging pipi bapak haruan yg rasanya seakan2 daging ayam. Inilah menyebabkan dia tidak terus mandi.
Cepat2 dia menuju ke arah bunyi deburan kuat berdekatan rumput benta menyerungkup tebing. Seperti biasa dia meraba2 ke tebing. Mencari ke pangkal akar rumput benta kalau bapak haruan menyusup di situ. Ketika tangannya meraba2 dia terasa belakang bapak haruan, tetapi cepat2 bapak haruan melompat ke atas.
Nampak oleh Ludin Dobok kilauan sisik ikan tersebut semasa dia menghambur melepasi permukaan air. Ludin berdiri mengagak2 arah yg dituju oleh bapak haruan. Kemudian dia meraba lagi ke hilir sedikit. Memang kebiasaan ikan akan lari menyusup ke hilir sungai.
Apabila sampai kearah pokok medang, Ludin Dobok mula mengagak bapak haruan bersembunyi di situ. Dia pun meraba2 ke situ sampai tangannya masuk ke tebing yg berteluk di bawah pohon medang. Ketika ini dia dapat mengesan bapak haruan terselit di celah akar. Cepat2 dia mengasak supaya membolehkan tangannya memegang arah kepala.
Tidak heranlah bagaimana Ludin Dobok boleh memerangkap bapa haruan tersebut. Selama ini keahliannya menangkap ikan di sungai sudah diketahui. Dia tahu bagaimana mahu memperdayakan ikan2 supaya melepaskan diri bila tangannya sudah memegang kepala sambil dua jarinya mencangkuk insang.
Bapak haruan tidak dapat melepaskan diri. Tangan keras Ludin Dobok lebih pintar darinya. Semasa Ludin Dobok dapat mengamgkat bapak haruan itu ke atas, Akop terlalu gembira. Bukan mudah mahu mendapat bapak haruan sebesar betis budak. Jarang boleh mereka temui kalau sekadar memancing di sungai atau di lubuk.
""Hei.....besarnya haruan....." Akop melompat keriangan apabila ayahnya membawa ikan ke tebing.
Ludin Dobok tersenyum mendengar pujian anaknya. Tetapi belum sempat dia melimparkan bapak haruan itu ke atas pasir supaya di pungut oleh Akop, didapatinya mata bapa haruan itu berkedip. Belum pernah dilihatnya selama ini mata ikan berkedip. Dia mula merasakan ada sesuatu yg tidak kena. Ludin Dobok memerhati mata ikan haruan itu tepat2. Memang matanya berkedip seperti manusia.
"Kau nak cari geruh aku ke ?" kata Ludin Dobok marah.
Ikan haruan mengotek2 ekor mahu lepas. Tetapi Ludin Dobok tidak akan melepaskan selagi tidak ada jaminan dirinya selamat.
"Kalau kau sengaja nak cari geruh aku, apa jadi pun aku bunuh kau !" dia mengertap bibir sambil ibu jari dan telunjuknya menyengkang insang ikan tersebut.
Pada kerdipan mata ikan itulah Ludin Dobok nampak seorang anak muda teruna duduk. Anak muda itu tersenyum mengerling Ludin Dobok. Ketika ini dia dapat merasakan bahawa ancaman sudah mula menganggu dia. Mahu tidak mahu Ludin Dobok terpaksa juga menghadapinya.
Tidak ada gunanya dikesalkan lagi. Kalau dia tidak terburu2 menangkap ikan tersebut tatkala, matahari tegak di kepala. Tentu mala petaka demikian tidak mengganggu. Sudah dipantangkan oleh orang tua2 supaya tidak terburu2 melakukan apa saja perkerjaan tatkala matahari tengah tegak di kepala.
Bila sudah geruh di depan mata dia tidak dapat mengelak lagi. Sama ada mara atau berundur geruh tetap ada. Dia mesti menghadapinya dgn tabah. Kalau dia berkeras mahu melawan bimbang juga dia tidak dapat tanduk telinga dipulas. Mana tahu kalau Akop pula menjadi mangsa.
"Sekarang awak nak baik atau nak jahat ?" soal Ludin Dobok.
"Terpulang pada awak....." sahut anak muda yg terpancar dari mata ikan berkenaan.
"Aku tak kira, kalau awak nak baik, aku terima dgn baik, kalau awak nak jahat, apa boleh buat aku terima jahat juga." ujar Ludin Dobok macam menyimpan dendam.
"Semuanya di tangan awak....." anak muda itu menyindir.
"Awak yg memulakan, bukan kita. Awak yg menggangu kita tengah mandi." jelasnya bagaikan tersinggung dgn perbuatan Ludin Dobok yg pantang saja mendengar ikan haruan melompat menangkap anak ikan.
"Kenapa awak mandi di sini ?" jerkah Ludin Dobok.
"Mana lagi kita nak mandi. Sini kolam kita, di sinilah kita mandi." balas anak muda itu mendongkol.
"Kalau kita nak berkira boleh. Tapi jgn ganggu keluarga aku." sahut Ludin Dobok meminta pertimbangan.
"Aku lepaskan kau, tapi lain kali saja kita berjumpa." katanya merendah.
"Kita tak peduli." anak muda itu berkeras tidak mahu berdamai.
"Kita boleh maafkan awak, tapi awak kenalah terima pinangan kita." jelasnya perlahan.
"Pinangan apa pula ?" terkejut juga Ludin Dobok mendengar lamaran tersebut.
"Kita nak Midah. Kita nak kawin dgn Midah." katanya.
"Mana boleh....." Ludin Dobok membantah.
"Kamu makhluk halus, kami makhluk kasar." tegasnya masih berkeras.
"Terpulanglah pada awak....." anak muda itu ketawa kecil macam menyindir.
Ludin Dobok menjadi serba salah. Kalau dia berkeras tidak mahu melepaskan bererti dia terpaksa menentang. Kalau dilepaskan pula mesti menerima syarat peminangan. Midah mesti diserahkan kepada bunian yg menjelma dalam tubuh ikan haruan berkenaan.
Memang dia boleh membunuh ikan haruan berkenaan. Mungkin yg mati ialah ikan haruan tersebut. Bunian yg menjelma dalam tubuh ikan itu tidak akan terjejas. Dialah yg akan membalas dendam kalau kemahuannya tidak dituruti.
Mahu tidak mahu dia mesti lepaskan juga haruan tersebut. Perkara syaratnya mahu meminang Midah boleh diperhitungkan kemudian. Dia boleh mendapatkan bantuan dari sesiapa pun. Menentang orang bunian bukannya seperti menentang manusia biasa. Kelebihan ilmu bunian hanya boleh ditentang dgn kelebihan ilmu juga.
"Kalau nak meminang pun berilah tangguh....." Ludin Dobok mengalah.
Belum sempat Ludin Dobok mendengar jawapan anak muda tersebut, haruan di tangannya melompat keras terjun ke air semula. Terkebil2 mata Ludin Dobok mengenangkan peristiwa yg berlaku tiba2 itu.
"Mengapa ayah lepaskan ikan itu.....?" laung Akop yg memerhatikan ayahnya sejak tadi tertegak di tengah air sambil merungut2 bercakap dgn ikan haruan tersebut.
"Kenapa ayah lepaskan ?" ulangi Akop berlari mendapatkan ayahnya.
Ludin Dobok berpaling ke arah Akop. Dia seolah2 baru bangun dari tidur yg diulit mimpi. Beberapa kali dia beristighfar mengenangkan peristiwa yg dialaminya baru sebentar tadi.
"Mengapa ayah lepaskan ?" tanya Akop lagi.
"Tak apalah....." sahutnya perlahan.
"Kita dah banyak dapat ikan menimba di lubuk tadi." dia cuba menyembunyikan kejadian tersebut dari anaknya.
"Tapi haruan tadi besar. Sedap masak dgn daun kunyit campur tempoyak." kata Akop kesal dgn langkah ayahnya melepaskan ikan haruan yg sudah ditangkap di tangan.
"Cukuplah....." Ludin Dobok serba salah dgn pertanyaan anaknya.
"Cukuplah tu, lain kali kita tangkap lagi." ujarnya menyuruh Akop cepat2 mandi.
Akop tidak mengerti apa2. Dia tidak banyak soal jawab lagi, terus mandi menyelam ke dalam air sungai sambil berkocak kuat. Ludin Dobok juga tergesa2 mandi. Biarlah semua peristiwa yg dialaminya sebentar tadi disembunyikan saja. Dia tidak akan memberitahu Hawa mengenainya. Ludin Dobok tidak mahu Hawa resah gelisah bila diterangkannya kejadian tersebut.
Tetapi dia juga tidak dapat menyembunyikannya, bila melihat keadaan Midah tersengih2 bermain dgn ikan haruan di dalam timba. Ludin Dobok cepat2 menangkap haruan bersisik kemerah2an di dalam timba. Mahu saja dia membunuh ikan haruan berkenaan, biar hatinya puas.
Bila kenangkan peristiwa di sungai, Ludin Dobok tidak jadi membunuhnya. Perkara geruh demikian tidak boleh diselesaikan dgn cara membunuh, kerana nyawa akan dibalas dgn nyawa juga. Dia mesti mencari jalan supaya semuanya dapat diselamatkan. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga melepaskan ikan tersebut balik ke lubuk di hujung sawah. Dia tahu haruan tersebut tidak boleh diganggu lagi.
Dgn tidak bertangguh Ludin Dobok berkejar ke hujung sawah melepaskan semula haruan berkenaan di dalam lubuk. Setidak2nya buat sementara waktu dia masih boleh berikhtiar mahu selamatkan Midah yg sudah masuk dalam perangkap bunian. Memang Ludin Dobok sudah menduga bahawa Midah tersampuk bunian yg menjelma di dalam tubuh haruan tadi.
"Kenapa awak lepaskan haruan tu ?" tanya Hawa keheranan melihat kelakuan suaminya.
"Sudahlah, diam....." gerutu Ludin Dobok.
"Bawa saja Midah ni ke tempat tidur, aku nak ke rumah Tok Bomoh Karim." jelasnya dalam keadaan gopoh gapah.
Hawa tidak menyahut. Dia patuh perintah suaminya. Dia tahu perangai Ludin Dobok, kalau katanya dibantah sampai berpanjanganlah mukanya masam. Ada saja yg dibuat tidak kena kepadanya. Lagipun sudah tentulah ada petua2 tertentu pada Ludin Dobok menyebabkan dia bertindak demikian. Setidak2nya lama juga dia berguru pada Tok Bomoh Karim. Sebab itulah Hawa tidak membantah sangat.
"Mari Akop....." Hawa memanggil Akop yg masih tercegat di halaman.
"Mari bawa kakak kau ke dalam. Cepat....." katanya mulai merasa cemas.
Akop juga tidak menyahut. Dia cepat2 naik ke pelantar untuk membantu emaknya. Sejak balik dari sungai lagi Akop sudah melihat perubahan kakaknya. Tetapi dia tidak tahu apakah yg berlaku. Bagaimana pun dia dapat mengagak kakaknya tersengih2 mestilah dalam keadaan tidak siuman.
Ketika Tok Bomoh Karim sampai, jiran2 sudah ramai berkumpul. Mereka diberitahu oleh Akop tentang Midah tiba2 tidak sedarkan diri. Ikan2 yg diperolehi ketika menimba di lubuk pun tidak siapa yg menyiang. Hanya dibubuh dalam pasu besar ditutup dgn dulang, kemudian dihimpit dgn sengkalan. Hawa sendiri sudah tidak peduli lagi tentang ikan2 tersebut.
Jiran2 juga merasa heran dgn kejadian yg menimpa Ludin Dobok. Kalau disebabkan ikan2 di lubuk, mereka juga sering menimba ikan yg terdapat di sawah mereka. Setakat ini tidak ada pun sebarang kejadian demikian berlaku.
Tetapi inilah keadaan sebenarnya. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menghadapi hakikat tersebut. Sewaktu Tok Bomoh Karim masuk ke bilik, dia dapati Midah masih tidak sepatah pun dia bercakap.
"Buat apa kau datang sini ?" soal Tok Bomoh Karim keras.
"Datang kemana pula ? Ini rumah aku." sahut Midah tersengih2.
Itulah pertama kali dia mahu bercakap sejak dilihat oleh jiran2.
"Mana rumah kau ?" jerkah Tok Bomoh Karim.
"Eh, bodoh orang tua ni. Tak tau ke ni rumah aku." jelas Midah macam mengejek.
"Baiklah....." Tok Bomoh Karim mengangguk kepala.
"Aku beri tempoh lima menit supaya kau pergi dari sini." ujarnya memberi amaran.
"Nak pergi ke mana ?" sahut Midah tersengih2.
"Siapa yg bercakap ni Midah atau setan ?" Tok Bomoh Karim mengeraskan suara.
Midah tidak menyahut lagi. Tetapi dia tersengih2 juga. Dia mengilai-ngilai ketawa.
"Aku beri tempuh lima menit !" tegas Tok Bomoh Karim.
Midah terus tersengih2. Dia tidak peduli sama ada Tok Bomoh Karim memberi amaran atau tidak. Ketawanya kadangkala nyaring, kadangkala tersengih2 saja. Selepas lima menit Tok Bomoh Karim bangun memanggil Ludin Dobok mengikutinya. Dia tidak bercakap sepatah apa pun.
Tidak lama selepas Tok Bomoh Karim pergi, kelihatan Midah menjerit2 minta tolong. Dia cuba bangun untuk meluru keluar. Beberapa orang jiran lelaki memegangkannya. Meronta2 Midah mahu melepaskan diri. Empat lima orang lelaki yg memegangnya hampir2 terpelanting ditolak Midah.
Kira2 satu jam dia meronta2 akhirnya dia kelihatan lemah. Kemudian tertidur akibat keletihan. Lebih kurang setengah jam dia tertidur barulah dia bangun, tetapi dalam keadaan heran melihatkan orang ramai di rumahnya. Ketika inilah Tok Bomoh Karim balik semula ke situ.
"Alhamdulillah....." ucapnya sebaik sahaja melihat Midah pulih seperti sedia kala.
Sebenarnya Tok Bomoh Karim sudah tahu keadaan Midah, sebaik saja dia masuk ke bilik. Dia sudah melihat gangguan yg dihadapi Midah. Tetapi yg dihadapinya di dalam bilik itu semata2 jasad Midah, sebab itulah dia mengajak Ludin Dobok menunjukkan lubuk yg ditimbanya.
Sampai di tepi lubuk Tok Bomoh Karim menghentakkan kakinya tiga kali, sambil membaca mantra pembuka hijab alam ghaib(bunian). Di depannya tidak ada lagi lubuk. Ludin Dobok juga melihat lubuk yg ditimba sudah tidak ada. Mereka berdua sampai ke sebuah bangunan yg indah. Tetapi Ludin Dobok tidak merasa heran dgn keadaan demikian, kerana dia memang memahami kehebatan Tok Bomoh Karim.
Tok Bomoh Karim terus masuk ke dalam rumah besar itu dgn tidak meminta izin. Ludin Dobok juga mengikuti ke mana saja Tok Bomoh Karim pergi. Ketika mereka sampai ke tengah kawasan bangunan, seorang lelaki tua berjubah kuning menunggunya. Di tangannya terpegang tongkat dari kayu bengkang bengkok.
"Apa hajat awak semua ?" tanya lelaki tua berjubah kuning.
"Hajat besar....." sahut Tok Bomoh Karim keras.
"Sama ada cara baik atau cara jahat aku nak bawa anak Ludin ni." katanya bercekak pinggang.
Mata Tok Bomoh Karim dilihat oleh Ludin Dobok bersinar memancarkan api.
"Kami tak faham maksud awak....." orang tua itu menjelaskan.
"Aku tak peduli awak faham atau tak faham, kalau tempat ni tak mahu dibakar, sekarang serahkan Midah !" dia terus mengancam orang tua berjubah kuning.
"Jgn begitu kawan." orang tua berkenaan memujuk.
"Cakaplah apa yg sebenarnya berlaku." dia macam meminta penjelaskan dari Tok Bomoh Karim.
"Aku tak mahu cakap apa. Aku mahu anak Ludin Dobok, itu saja !" Tok Bomoh Karim tetap berkeras.
"Aku beri tempoh satu menit....." katanya bagai mencabar.
Tiba2 Ludin Dobok mendapati orang tua berjubah kuning itu bertukar menjadi anak muda teruna yg ditemuinya di sungai. Cepat2 dia memegang tangan Tok Bomoh Karim berbisik mengenai anak muda berkenaan. Anak muda itu tersengih2 melihat Tok Bomoh Karim.
Cukup saja tempoh yg diberi Tok Bomoh Karim menghembuskan ayat cemeti Jibril ke segenap penjuru bangunan. Tiba2 semuanya musnah terbakar. Api marak menyala. Anak muda itu juga menghembuskan ke udara lalu turun hujan menyimbah api yg marak menyala.
Anak muda itu tertawa memerhatikan Tok Bomoh Karim, tetapi Tok Bomoh Karim tetap tenang. Hujan yg turun dari udara tiba2 bertukar menjadi minyak menyebabkan api semakin marak menyala. Ketika ini anak muda tadi berlari2 mencari tempat berlindung.
Ketika inilah Ludin Dobok mendengar Tok Bomoh Karim membaca:
"Sum Mum Buk Mun Um Yum Fahum Layarji 'un...." sekaligus petir berdentum lalu menyambar ke arah anak muda tadi.
"Aku dah cakap sama ada cara baik atau cara jahat !" rungut Tok Bomoh Karim.
Anak muda itu terjerit2 minta tolong. Dia merayu2 supaya Tok Bomoh Karim tidak menyerangnya lagi. Dia berjanji akan memulangkan Midah. Tetapi Tok Bomoh Karim tidak peduli. Dia tidak akan percaya kata2 anak muda itu, dia terus membacakan ayat2 tertentu lalu dihembuskan ke arah anak muda itu.
"Cukup, aku tak ganggu lagi." rayunya berulang kali.
"Sudah terlambat......" sahut Tok Bomoh Karim.
"Kalau kau berani mengganggu anak buah aku lagi, ke lubang cacing pun kau pergi aku tetap ikut !" tegasnya dgn suara yg keras.
Ketika inilah Ludin Dobok nampak Midah berlari2 mendapatkan dia. Midah memeluknya erat2 dalam keadaan ketakutan. Kemudian mereka bertiga keluar dari kawasan bangunan itu. Apabila sampai semula di tepi lubuk, Ludin Dobok mendapati cuma dia dan Tok Bomoh Karim saja di situ tercegat.
"Sekarang kita balik....." Tok Bomoh Karim mengajaknya.
Peristiwa dia mengikut Tok Bomoh Karim menyelamatkan anaknya Midah ini tetap menjadi kenangan yg tidak dapat dilupakan oleh Ludin Dobok. Tetapi dia tidak dapat menceritakan kepada orang lain, yg tidak mengalaminya. Apa lagi setelah Tok Bomoh Karim meninggal dunia, tidak ada siapa pun yg mungkin percaya dgn ceritanya. Bagaimana pun aku tetap yakin dgn kebenaran cerita Ludin Dobok yg diceritakannya kembali kepada aku ini......
Aku nasihatkan kepada sahabat2 yg nak sangat masuk ke alam bunian, hati2lah tak semua orang bunian itu baik. Mereka juga macam manusia juga, ada yg baik dan ada yg jahat/jahil. Apa lagi bagi sahabat2 yg tidak ada pengetahuan tentang dunia ghaib, boleh mendatangkan bala dan fatal. Jadi aku nasihatkan, hati2lah dgn bangsa ghaib........
Seperti biasa, ambil sisi positif dari cerita ini, yg negetif jgn diambil. Kekuatan yg tak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt, Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yg tak berkenaan di hati para sahabat2 semua,aku. TOK PENJEJAK BADAI, dgn merendahkan diri memohon maaf......
AYAT MEMANGGIL IKAN..
CARANYA :
Bacalah di mata kail yg telah berumpan akan ayat ini sebanyak 3x, Insya Allah Wabiaunillah tidak mungkin jikalau hanya ada seekor ikan pun melainkan pasti mengena..
AYATNYA:
" Allahul Lazi Sakh Khara Lakumul Bahra Li Tajriyal Fulka Fihi Bi Amrihi. Wa Li Tabtaghu Min Fadlihi Wala 'Allakum Tash Kurun."
TERIMA KASIH.....
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.




Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts