Trending

Saturday, 4 August 2018

BANGKAI BABI HUTAN JADI LELAKI TUA BONGKOK




......" BANGKAI BABI HUTAN JADI LELAKI TUA BONGKOK "......
Assalam...sahabat2 yg aku hormati semuanya,tak kira di mana jua berada. Baik Dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt dan Selawat senantiasa ditujukan keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw.
Dgn mengharap Ridho Allah dan dgn kerendahan hati yg paling dalam,izinkan aku yg miskin ilmu dan doif ini,berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama para sahabat2 semua...Insya Allah.....
Kisah ini berlaku di Negeri Terengganu,ketika kami,Tok Bomoh Karim,aku dan Man Tiger berburu di hutan simpanan Cherul,Kemaman.
Nah...macam mana ceritanya,mari sahabat2 ikut aku,kita flash back ke tahun 2001...
Aku memang suka berburu,apa lagi mengikut Tok Bomoh Karim berburu binatang hutan di Cherul,Kemaman. Sekiranya Tok Bomoh Karim tahu aku berada di rumah keluarga angkat aku di Kampung Pasir Panjang,Kuala Terenggau,pasti dia akan menjengah mengajak aku berburu.
Disebabkan hujan turun dengan lebat mencurah- curah, Tok Bomoh Karim pun berhenti berteduh dahulu di bawah sebuah pokok besar. Aku yang mengekor di belakangnya bersama Man Tiger segera melencong ke bawah bukit untuk mencari daun pisang karuk. Kemudian kami berdua datang semula mendapatkan Tok Bomoh Karim, lalu menyelitkan daun- daun pisang karuk itu pada anak- anak kayu supaya dapat berlindung dari simbahan hujan yang lebat itu.
" Hah...! Dah habis basah....buat apa daun pisang karuk ni lagi ??? " kata Tok Bomoh Karim sambil membukakan bajunya yang basah itu. Dia pun memulaskan bajunya supaya kering.
Aku hanya tersengih- sengih sahaja. Dia tahu memang kami semua sudah dibasahi hujan, tetapi apabila daun pisang karuk itu disisip dijadikan atap berlindung dari simbahan hujan, tidaklah kami berterusan basah. Setidak - tidaknya kami sudah boleh memerah baju yang basah supaya airnya kering. Tidaklah sejuk sangat menjelang tengah malam.
" Kau sejuk ke, Man ? " tanya aku sambil mengerling kepada Man Tiger yang sedang berpeluk tubuh menahan sejuk itu.
" His, adakan tak sejuk....." ujar Man Tiger sambil terketar- ketar.
Kami bertiga berteduh di bawah pokok besar itu sambil menunggu hujan teduh. Tetapi hujan di dalam hutan itu tidaklah sama dengan hujan di tengah kampung kerana hujan tidak terus menyimbah ke tubuh mereka. Daun- daun pokok yang tinggi menjulang itu telah menampan hujan, menyebabkan kami tidaklah kuyup sangat disimbahi hujan. Bagaimana pun memang terasa sejuk jugalah sementara menanti hujan reda.
Tok Bomoh Karim menyarung semula baju basahnya yang sudah diperah air itu. Dia sudah biasa mengalami ditimpa hujan sewaktu berburu ke hutan. Kadangkala sehingga semalaman hujan turun tidak berhenti, dia tidak ambil peduli pun. Apabila hujan reda, dia akan terus juga menyuluh mencari binatang buruannya. Menjadi pantangan dia kalau masuk berburu ke hutan, apabila balik hanya dengan tangan kosong.
Sudah lama pula dia tidak pergi ke hutan bersama aku. Memang Tok Bomoh Karim serasi benar ke hutan bersama dengan aku , kerana kami berdua saling bantu membantu jikalau menghadapi apa- apa masalah. Lagi pun memang Tok Bomoh Karim tahu benar akan selok belok jalan di dalam hutan Cherul,Kemaman itu.
" Dah teduh hujan ni, Tok Karim..... " ujar Man Tiger sambil mendongak memerhatikan titis hujan yang jatuh satu- satu menimpa kepala.
Tok Bomoh Karim tidak menyahut. Dia pun keluar dari bawah tempat berteduh lalu meranduk belukar yang masih lembab akibat dibasahi hujan tadi. Aku dan Man Tiger pun mengikut langkahnya dari belakang.
" Lepas hujan macam ni elok la. " kata Tok Bomoh Karim.
Aku hanya mengangguk.
" Senang la kita nampak jejak. " sahutnya sambil menahan kesejukan akibat ditimpa hujan tadi.
Malam bertambah gelap disebabkan awan kelam tidak disinari cahaya bulan. Selepas hujan lebat turun mencurah- curah, kegelapan mula menyerkup kawasan hutan tersebut. Hanya silauan lampu picit di tangan sahaja menjadi pedoman mereka mencari lorong ditengah belukar di hutan berkenaan.
Tok Bomoh Karim memang gemar berburu kalau ditimpa hujan. Binatang hutan juga akan keluar selepas berlindung dari hujan lebat yang turun mencurah- curah itu. Ia akan melalui denai- denai yang selalu ditempuhinya lalu akan meninggalkan jejak berlubuk akibat tanah lembut selepas ditimpa hujan itu. Mudahlah kami mengekori denai tersebut lalu mengendap arah yang dituju oleh binatang berkenaan.
" Kawasan hutan ini banyak kijang. " beritahu Tok Bomoh Karim sambil mencecap- cecap bibirnya.
Memang dia selalu masuk ke situ untuk mengendap kijang. Tok Bomoh Karim tahu sangat di kawasan mana mahu menghambat rusa, kijang atau pun memipih pelanduk. Dia tahu sangat kawasan mana yang sesuai untuk mengendap ayam denak atau pun mahu menjerat napuh. Sejak berpindah ke Kemaman, dia tahu sangat akan hutan di situ. Sama juga ketika di Sungai Durian, Tok Bomoh Karim dan Ulung Sali amat mengetahui sangat akan ceruk solok hutan di Mentaus. Sejak mereka di kampung lagi memang berburu ke hutan sama- sama menjadi kegemarannya.
" Banyak kijang pun, bukannya dia nak menyerah diri kepada kita... " ujar Tok Bomoh Karim seakan mengejek.
" Rezeki yang datang bergolek pun bukannya nampak bergolek- golek macam bola, kenalah digerakkan ketiak. Kalau tangan bersimpai, nasi di tangan pun tak dapat nak disuapkan ke mulut...!!! " katanya pula menyindir.
Tok Bomoh Karim tersenyum sahaja. Tetapi dia percaya memang kawasan hutan itu mempunyai bilangan kijang yang banyak. Hentak kaki ke tanah pun Tok Bomoh Karim sudah dapat mengagak sama ada terdapat kijang, rusa atau napuh yang selalu bermain di situ.
Bagaimana pun berburu bukanlah semudah mengendap ayam denak di pinggir kampung. Sekiranya terdengar bunyi kokokan ayam memanjang, sudah pasti ada ayam denak yang mengekas. Bila- bila masa sahaja menggalas senapang ke situ, pasti tidak akan balik dengan tangan kosong. Tetapi berburu ke hutan terpaksa meranduk paya dan belukar untuk mencari denai binatang. Setelah bertemu denai pun, belum tentu lagi akan ditempuhi oleh binatang tersebut atau pun tidak. Kadangkala denainya ada berbekas jejak, diikuti sampai habis jejak pun tidak seekor binatang pun yang kelihatan.
Kami terpaksa mencari denai yang lain pula sehingga terpaksa meranduk belukar tebal sekali pun. Setelah puas menyusur denai, mengendap dibalik belukar, menunggu dibalik tabir tetapi kadangkala tiada juga seekor pun binatang yang terjongol muncul.
" Banyak manau di hutan ni, Man ?? " soal Tok Bomoh Karim sambil kepalanya terhangak- hangak memanjangkan leher.
" Ada juga agaknya... " sahut Man Tiger perlahan.
" Aku tak pernah cari manau. Kalau petai tu, tak berapa pokok sangat. " katanya sambil terangguk- angguk kepala.
Orang yang biasa ke hutan tidak sekadar mengetahui mengenai binatang buruan sahaja, tetapi juga tahu berapa batang pokok petai yang tumbuh di setiap bukit, berapa banyak rumpun manau yang merimbun, berapa anak - anak bukit di tengah lurah bukit besar. Kalau tidak hafal semuanya, tidak berertilah menjadi pemburu yang mengetahui setiap ceruk dan solok di hutan berkenaan.
" Selalu kau cari petai? " tanya Tok Bomoh Karim lalu berhenti menyandarkan badannya pada sepohon pokok di tubir lorong.
" Ah..! Untuk makan sendiri tu adalah juga. " beritahu Man Tiger lantas berhenti juga di depan Tok Bomoh Karim.
Dia kemudian menghenyakkan punggungnya ke atas banir pokok yang menungkal tinggi itu.
Man Tiger juga turut berhenti melepaskan lelah. Dia hanya mendengarkan sahaja bapa mertuanya dan aku berbual- bual mengenai hutan di situ. Lagi pun memang tabiat dia tidak suka mencampuri bila orang lain bercakap. Bagaimana pun memang Tok Bomoh Karim suka mengajak menantunya itu berburu ke hutan.
" Macam mana Man, penat tak ? " tanya aku sambil mencebikkan bibir kepadanya.
" Emmm, dah biasa berjalan di dalam hutan macam ni. " beritahu Man Tiger sambil tersengih- sengih.
Man Tiger tahu, letih macam mana pun tidak akan berasa apabila binatang buruan sudah tergolek di depan mata. Lainlah kalau tiada seekor pun binatang buruan yang melintas, bukan sekadar keletihan sahaja yang menghantui perasaan malah kehampaan juga tidak dapat digambarkan yang mengguris hati.
Selepas berehat beberapa minit, kami bertiga pun meneruskan perjalanan meranduk belukar lembab di tengah kegelapan malam. Man Tiger berjalan di depan sekali dengan memegang lampu picit bersambung ubat 6. Dibelakangnya, aku yang memegang lampu picit kecil sementara Tok Bomoh Karim yang dibelakang sekali hanya menggalas senapang patah laras duanya sahaja.
Sekali sekala Man Tiger akan tergelincir apabila kakinya terserandung akar - akar yang merintangi jalan, tetapi cepat- cepat pula dia berpaut pada anak - anak kayu. Lorong di tubir bukit juga menjadi licin akibat ditimpa hujan yang turun mencurah- curah sebelumnya tadi. Namun Tok Bomoh Karim masih juga tidak menemui denai kijang yang dicari. Kalau tidak menemui denai kijang pun, manalah tahu mereka akan menemui denai rusa pula.
Mereka tidak akan kehilangan jejak sekiranya sudah bertemu dengan denai binatang buruan. Melihatkan bekas jejaknya sahaja, Tok Bomoh Karim sudah tahu berapa lama denai itu telah ditempuhi. Dia akan dapat mengagak sejauh mana binatang buruan itu telah meninggalkan denainya. Ke mana arah yang ditujuinya ? Semuanya sudah dihafali di dalam kepala Tok Bomoh Karim.
Apalagi Man Tiger yang sama masuk ke hutan dengannya. Dia tahu benar akan kebolehan Tok Bomoh Karim kalau sudah menjejakkan kakinya ke tengah hutan. Binatang buruan tidak akan dapat lari ke mana apabila denainya sudah ditemui oleh Tok Bomoh Karim. Bekas jejak binatang tersebut akan dipasaknya ke tanah hingga binatang berkenaan tidak dapat bergerak jauh.
Tatkala Tok Bomoh Karim sampai menggalas senapang, bintang tersebut hanya akan tercegat sahaja menunggu bidikan senapang patah berlaras dua Tok Bomoh Karim berdentum meletup. Sekali gus pula pelurunya akan melayang hinggap mencari sasaran di kepala. Binatang buruan itu akan tergolek menggelupur dengan darah membuak- buak di kepala. Serentak dengan itu, Man Tiger akan menerkam sambil menghunuskan parangnya lalu menyembelih ke batang leher. Mereka berdua sudah cukup mahir kalau berburu binatang di dalam hutan.
" Tak jumpa denainya lagi, Badai ?" tanya Tok Bomoh Karim sambil menghelakan nafas.
" Belum, Tok.... " sahut aku sambil menggelengkan kepalanya.
" Agaknya fasal hujan tadi ni... " Man Tiger pula mencelah.
" Dia pun tak mahu keluar. " kata Man Tiger lagi sambil tersengih- sengih semacam gelihati sangat apabila kenangkan rusa, kijang dan napuh pun kesejukkan ditimpa hujan sampai tidak mahu keluar dari tempat persembunyiannya.
"Ah...! Kalau ada rezeki tak akan ke mana. " ujar aku memberikan keyakinan.
Hujan tidak ada lagi menitik tatkala malam makin menjadi sepi. Sekali sekala burung kuang berbunyi juga memecahkan kesepian yang mencengkam perasaan itu. Tok Bomoh Karim mula terkuap- kuap sambil menggalas senapang patah berlaras dua nya dibelakang sekali mengekori aku dan Man Tiger. Apabila matanya sudah mengantuk, Tok Bomoh Karim tidak peduli di mana sahaja dia tetap akan melelapkan matanya. Sambil berjalan pun dia boleh melelapkan mata hingga sampai bersenar kuat.
Aku dan Man Tiger memang tahu mengenai perangai Tok Bomoh Karim yang boleh melelapkan mata tatkala berjalan di dalam hutan. Sebab itulah mereka tidak hiraukan sangat apabila menyedari Tok Bomoh Karim sudah tersengguk- sengguk di belakang mahu melelapkan matanya. Kalau tidak diganggu sampai ke pagi pun Tok Bomoh Karim akan terus terlena.
" Ayah kau dah berdengkur, Man. " ujar aku sambil menjuihkan bibir.
" Dah jadi kebiasaan dia. " sahut Man Tiger sambil mengerlingkan matanya ke belakang.
Dia nampak bapa mertuanya tersengguk- sengguk berjalan, tetapi bunyi dengkurnya memang kedengaran memecah keheningan tengah malam yang diselubungi kesepian malam itu.
Kadangkala ia menghairankan Man Tiger juga, bagaimana bapa mertuanya boleh tidur dengan nyenyak tatkala berjalan merentas belukar di hutan. Kakinya tidak akan tersepak tunggul atau terjelantus pada akar- akar pokok yang merentangi jalan mereka. Man Tiger juga nampak bapa mertuanya tidak perlu menyusup tunduk bawah akar merentang itu, tapi beliau tetap dapat melepasinya.
Apabila mereka berhenti melepaskan lelah, Tok Bomoh Karim juga ikut sama berhenti. Tetapi dia tidak akan duduk menghenyakkan punggungnya. Sebaliknya dia akan berdiri dengan sebelah kaki sahaja, dengan sebelah lagi kakinya akan dibengkokkan hingga tapak kakinya akan tertampan pada paha. Selagi dia tidur nyenyak, Tok Bomoh Karim akan berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Man Tiger dan aku memang tahu sangat mengenai kebolehan diri Tok Bomoh Karim jikalau dia terlalu mengantuk semasa berburu di dalam hutan itu.
" Kalau tak jumpa denai, sampai ke pagilah nampaknya ayah kau nyenyak. " kata aku sambil tersengih- sengih menyuluh lorong di hadapan.
" Eeh...! Kalau ayah dah lelap, kejap lagi jumpalah denai tu. " beritahu Man Tiger dengan perlahan.
Dia sudah memahami sangat jikalau mengikut bapa mertuanya berburu.
Bapa mertuanya memang mudah mengantuk apabila tidak terserempak dengan binatang buruan. Ketika inilah dia akan terlena dengan tidak mempedulikan lagi apa pun yang terjadi di sekelilingnya. Tok Bomoh Karim memang tidak akan melawan rasa mengantuknya apabila jam sudah melewati pukul 12 tengah malam, sekiranya binatang buruan tidak juga terjongol muncul.
" Tak faham aku dengan ayah kau ni....." rungut aku yang keletihan meranduk belukar lembab yang dibasahi hujan.
" Cepat sangat rasa mengantuknya, tak menyempat- nyempat... " sambung aku sambil tersengih- sengih seolah- olah menyindir sikap bapa mertuanya itu.
Man Tiger hanya tersengih- sengih sama. Dia tidak peduli pun sama ada aku merungut fasal bapa mertuanya nyenyak tidur atau pun tidak. Tetapi dia memang tahu akan kebolehan bapa mertuanya jika berburu ke hutan. Tidak pernah bapa mertuanya balik dengan tangan kosong sama ada dia terlelap atau pun tidak semasa berburu.
Memang dia tahu sangat akan sikap bapa mertuanya. Sejak sebelum menikah dengan Bibah iaitu sebelum Tok Bomoh Karim menjadi bapa mertuanya, dia sering mengikut orang tua itu berburu ke hutan. Dia tahu sangat pantang larang Tok Bomoh Karim, tahu apa yang perlu dibuat bila orang tua itu membuka kain hitam ikat kepalanya dan juga tahu bila mahu menerpa menindih kepala rusa dengan lutut sebaik sahaja Tok Bomoh Karim sudah menghunuskan mata parangnya. Sebab itulah Tok Bomoh Karim suka membawa dia ke hutan, sekali pun setelah menjadi menantunya.
" Hhhiss...ini dia..!! " aku pun mendepakan tangan seolah- olah menghalang Man Tiger daripada meneruskan perjalanan ke hadapan. Dia pun menyuluh denai yang berbecak itu masih terdapat kesan tapak kaki kijang yang berbekas di situ.
" Ini bekas tapak kakinya.... " kata aku dengan perlahan sambil menyuluh lagi dengan berhati- hati bagi memastikan yang dia sudah terjumpa akan denai yang dicari- carinya.
Man Tiger juga membongkok bagi mengamati akan jejak kijang yang berbekas pada lumpur berbecak di denai tersebut. Dia pun mengangguk - anggukkan kepalanya tanda berpuas hati setelah menemui jejak berkenaan. Setidak- tidaknya dia sudah boleh menyimpan harapan bahawa kijang tersebut tidak akan dapat lari kemana lagi.
" Kejutkan ayah kau...!! " bisik aku sambil tersenyum lebar.
Tangannya tidak lepas menyuluh denai berbecak yang keruh bukat bekas ditempuhi kijang itu.
Cepat- cepat pula Man Tiger memegang bahu bapa mertuanya sambil menggoncang- goncang kuat. Tok Bomoh Karim pun terkuap- kuap lantas menggengam penumbuknya lalu terus disumbatkan ke dalam mulutnya.
" Dah ada denainya. " bisik Man Tiger.
"Emmm...aku tahu. " beritahu Tok Bomoh Karim sambil terkuap - kuap lagi.
" Kita ikut denai ini ? " soal aku yang masih membongkok- bongkok menyuluh akan kesan jejak kijang yang berbekas di dalam becak berlumpur itu.
" Tak payah... " sahut Tok Bomoh Karim.
" Kita tunggu di situ. " dia menuding pula ke arah kawasan lapang di bawah pokok besar yang berbanir itu.
Aku dan Man Tiger pun tidak membantah apa. Kami menurut sahaja apa yang disuruh oleh Tok Bomoh Karim. Kami tahu orang tua itu lebih mahir kalau melihat jejak berbekas di denai. Sama ada mahu mengikut jejak tersebut atau tidak hanya terpulang kepada keputusan Tok Bomoh Karim sendiri.
Memang aku sendiri mengakui akan kemahiran Tok Bomoh Karim apabila berburu di hutan. Kalau menepuk daun palas, Tok Bomoh Karim tahu bila pelanduk akan datang bertandak. Beberapa ekor pelanduk akan datang menyerbu sebaik sahaja mendengar daun palas ditepuk pada busut. Semua pedoman Tok Bomoh Karim memang tidak pernah mengecewakan mereka.
Sudah beberapa kali aku camkan pedoman yang diberi oleh Tok Bomoh Karim semuanya tidak pernah meleset. Kalau dia kata mesti diikut jejak pada denai, tentulah rusa atau kijang itu sudah tidak jauh dari situ. Tok Bomoh Karim akan mengendap seorang diri ke hadapan. Tapak kakinya yang terpijak ranting kering pun tidak akan mengeluarkan bunyi berderap. Binatang buruannya tidak akan dapat menyangka yang Tok Bomoh Karim sedang mengendapnya dengan senapang berlaras dua tergengam di tangan.
Bila Tok Bomoh Karim sudah memberitahu tidak perlu dijejak, cukuplah sahaja menunggu di tempat denai yang ditemui itu. Selalunya tidak lama selepas mereka menunggu, sudah tentu binatang buruan itu akan terjongol terlangah- langah. Tok Bomoh Karim juga sudah dapat mengagak sama ada binatang buruan itu sudah semakin hampir menjengah atau pun masih jauh lagi dari kedudukan mereka. Kemahiran Tok Bomoh Karim ini memang benar- benar mengagumkan aku.
" Dah sampai dia, Tok Karim ? " tanya aku yang tidak sabar lagi itu.
" Kejap lagi agaknya " sahut Tok Bomoh Karim sambil mendehem dehem.
" Selalunya tak lama kalau ditunggu ..... " keluh Man Tiger yang berdebar - debar menanti dengan penuh harapan itu.
Jauh di lipatan hatinya dia sudah berdoa agar kijang tersebut datang menjengah juga. Sudah lama juga dia tidak menikmati daging kijang hasil buruan bersama bapa mertuanya.
" Emmm...tak sabar- sabar kau ni. " kata Tok Bomoh Karim sambil tersengih - sengih seakan menyindir menantunya.
" Orang punya, kenalah tunggu sampai tuannya lepaskan dari gembala.... " jelasnya mengingatkan Man Tiger.
Man Tiger terdiam. Memang dia tidak bermaksud terlalu gelojoh mahu melihat kijang buruan itu tersungkur ditembak. Dia hanya sekadar mengingatkan kebiasaannya bila mengikut bapa mertuanya berburu, memang tidak perlu menunggu lama setelah tersua denai yang dilalui binatang buruan berkenaan. Binatang berkenaan akan berpatah balik semula ke belakang sebaik sahaja telah tercium bau Tok Bomoh Karim. Ia seolah- olah menyerahkan dirinya sahaja kepada orang tua itu.
Sudah lebih setengah jam kami bertiga menunggu di dalam gelap malam itu, tetapi tidak ada tanda- tanda kijang yang diharapkan itu akan menjengah di denai. Tok Bomoh Karim mengeluh perlahan setelah melekapkan telinganya ke tanah beberapa kali. Kemudian dia pun bangun lalu memangkas beberapa anak- anak kayu sebesar ibu jari dan dikerat - keratnya panjang sejengkal sebanyak 7 batang.
Anak kayu tersebut kemudian dibelahnya had 3 suku sahaja lantas dicancangnya ke tanah dengan keadaan terkangkang. Dia pun mengatur anak kayu tercancang itu berbaris lurus dengan jarak satu hasta antara satu cancang dengan cancang yang lain. Man Tiger dan aku hanya memerhatikan sahaja Pak Tua Mahat menjentik- jentik ketujuh- tujuh cancang kayu tersebut.
" Hah...! Bersiap sekarang....!!! " kata Tok Bomoh Karim perlahan tapi terus juga menjentik jentik. Dia kelihatan tersenyum puas sambil menghela nafas panjang.
Di dalam kegelapan malam di tengah hutan itu hanya bunyi ngiang - ngiang saja yang melangsing, disamping hembusan angin sepoi- sepoi yang menderu memukul pucuk- pucuk kayu yang tinggi. Sekali sekala dengkung katak juga bersahut- sahutan di bawah gaung selepas hujan berhenti reda. Tetapi dengkung katak yang sayup- sayup di bawah gaung itu tenggelam juga oleh kelangsingan bunyi ngiang- ngiang yang berbunyi di segenap penjuru hutan itu.
" Siap Badai, Man.... " dalam kelangsingan ngiang- ngiang itulah Tok Bomoh Karim berhenti menjentik kayu yang tercancang di tanah. Dia mula meraba - raba senapangnya. Kemudian menghalakan muncung senapang ke arah denai yang mereka temui tadi.
Hanya dalam beberapa minit sahaja, mereka terdengar bunyi becak di denai bercepau- cepau di lalui binatang. Mereka dapat mengagak tentu kijang yang ditunggu sudah terlangah- langah datang setelah diseru oleh Tok Bomoh Karim melalui kayu tercancang yang dijentik- jentiknya itu. Kalau kijang berkenaan bersembunyi di sebalik 7 bukit pun, pasti ia akan datang juga bila sudah diseru oleh Tok Bomoh Karim. Tidak ada seekor kijang pun yang akan dapat bertahan kalau baunya sudah dapat dicium oleh orang tua itu.
Kami bertiga nampak 2 biji mata kehijau- hijauan mara dicelah- celah semak berdenai. Memang itulah mata kijang yang kami nanti- nantikan sejak lebih setengah jam tadi. Ketika aku dan Man Tiger masih lagi berdebar- debar dengan kemunculan 2 mata kehijau- hijauan itu, dentuman senapang Tok Bomoh Karim pun menggegarkan kegelapan malam yang hanya disulami bunyi ngiang- ngiang melangsing itu. Rengekan memanjang pun kedengaran dicelah- celah semak sambil 2 biji mata kehijau- hijauan terpelanting ke situ.
" Cepat tengok...!!! " perintah Tok Bomoh Karim sambil berdiri tegak. Dia merasa bangga kerana dapat melepaskan tembakan tepat mengenai sasarannya.
" Cepat..... " katanya lagi bagaikan mendesak.
Aku dan Man Tiger pun serentak melompat sambil memasang lampu picit lalu menyuluh ke arah semak- semak yang terdengar bunyi rengekan memanjang itu. Lampu suluh yang bersambung ubat 6 di tangan aku itu pun terang benderang menyilau sebentuk punggung hitam yang tertongggeng di balik semak itu.
" Bukan Man ...!!! " laung aku seakan- akan kecewa.
" Apa dia ?? " laung Tok Bomoh Karim lalu cepat- cepat menerpa mendapatkan aku dan Man Tiger.
" Bukannya kijang tapi babi hutan. " keluh aku yang masih menyuluh ke arah tubuh babi hutan yang terkinjal- kinjal kaki di sebalik semak itu.
Terdiam Tok Bomoh Karim sebaik sahaja melihat tubuh babi hutan yang tertonggeng di celah semak itu. Kaki babi hutan itu masih terkinjal- kinjal lemah. Dia masih tidak mati sekali pun peluru senapang patah telah menyinggahi tepat di sasarannya. Rengekannya yang terputus- putus itu menandakan nyawanya masih bercerai dengan badannya.
Kemudian Tok Bomoh Karim tersenyum sambil mengerling ke arah tubuh babi hutan yang masih tergolek itu.
" Emmm....kita kena perdaya Man, Badai " ujarnya seolah- olah menyindir.
" Hah...!! Kalau dia nak tunjuk jantan, kita pun boleh tunjuk jantan juga. " gerutu aku pula sambil menggertapkan bibir bagaikan bersedia menyambut cabaran dari sesiapa pun jua.
" Tak apa, kau tengokkan Man.. " beritahu Tok Bomoh Karim yang meminta aku melindungkan menantunya dari gangguan yang sedang mengancam kami itu. Dia memang tahu aku juga mampu bertindak. Tetapi biarlah kebolehan aku itu digunakan untuk melindungi Man Tiger yang tidak tahu apa- apa mengenai permainan puaka hutan itu. Manalah tahu Man Tiger pula yang akan menjadi sasaran sekiranya aku tidak melindunginya.
" Kau tengokkan Man.... " ulang Tok Bomoh Karim sambil membuka ikatan kain hitam yang terikat di kepalanya.
" Biar aku tengok permainannya. " katanya sambil memegang kain hitam yang sepanjang 2 hasta itu di tangan kirinya.
Aku mengangguk.
" Duduk di bawah kangkang aku, Man. " kata aku sambil menggamit Man Tiger.
Man Tiger tidak membantah. Dia terus duduk di bawah kangkang aku dengan tidak bercakap sepatah pun. Memang dia sudah menduga ancaman tersebut, sebab itulah dia mematuhi apa sahaja yang disuruh oleh bapa mertuanya atau pun aku .
Man Tiger kemudiannya melihat bapa mertuanya berjalan berhampiran semak di tempat tubuh babi hutan itu tergolek selepas ditembak. Babi hutan yang ditembaknya itu masih belum mati kerana kakinya masih terkinjal - kinjal menendang angin. Rengekannya juga masih kedengaran merintih - rintih di dalam kelangsingan bunyi ngiang- ngiang dari segenap penjuru itu.
" Bangun kau...!!! " bentak Tok Bomoh Karim sambil memukul punggung babi hutan itu dengan kain hitam di tangan kirinya itu.
Tiba- tiba sahaja babi hutan itu bergerak bangun daripada celah- celah semak itu. Tetapi sebaik sahaja mengangkatkan kepala sambil memusingkan badan, kelihatan bukan tubuh babi hutan yang tergolek tadi yang berdiri tegak. Sebaliknya Man Tiger nampak tubuh seorang lelaki tua yang bongkok berlipat yang kelihatan tersengih- sengih sambil berpaut pada anak- anak kayu. Dia menepis- nepis sampah sarap yang terlekat pada seluar dan bajunya yang sepasang hitam itu.
" Hah...!!! Tau pun kau nak tunjukkan diri kau yang sebenarnya. " ejek Tok Bomoh Karim.
" Dah orang tak beri, kenapa Tok Pawang degil juga hendak ??? " sahut lelaki tua bongkok itu bersuara keras.
" Kenapa nak memandai- mandai dengan aku...!!! " jerkah Tok Bomoh Karim lantas melompat tinggi menyepak dagu lelaki tua itu. Sekali gus pula lelaki tua itu terpelanting jatuh ke atas tanah.
" Hak kita, kita punya suka laa... " orang tua itu membentak marah sambil menyapu- nyapu dagunya bekas disinggahi tapak kaki Tok Bomoh Karim itu.
" Awak jangan berdalih....!!!! " aku pula mencelah.
" Tak ada siapa pun yang berhak di hutan ini. Semuanya kepunyaan allah. " kata lagi lantas membacakan ayat surah al ikhlas sebanyak 7 kali.
Tersengih- sengih sahaja lelaki tua tubuh berlipat itu. " tak ada budi bahasa langsung kawan awak tu, Tok Pawang ".
" Dengan setan apa gunanya budi bahasa..!!! " jerkah aku keras.
Aku terus membacakan ayatul Qursi sebanyak 33 kali sambil tidak bergerak dari tempat aku berdiri tegak.
Ketika ini lelaki tua itu menggigil seperti pohon aur yang sedang ditiup angin kencang. Selepas itu dia bertempik kuat lantas mahu menerkam ke arah aku, tetapi cepat- cepat disiku rusuknya oleh Tok Bomoh Karim. Lelaki tua itu melayang ke udara dan berlegar- legar mahu mengancam Tok Bomoh Karim. Bagaimana pun dia tidak berani mahu mendekati Tok Bomoh Karim.
" Pencuri awak semua ni...!! " jerkah lelaki tua itu marah.
" Kau jembalang yang menjadi pencuri. " sahut Tok Bomoh Karim lantas menghentakkan tapak kakinya ke tanah.
Sewaktu lelaki tua itu berlegar- legar di udara, angin pun mula bertiup kencang. Hutan yang lengang di dalam kegelapan malam itu bagaikan dilanda ribut dari segenap penjuru. Pokok- pokok kayu pun meliuk- liuk menampan terjahan angin. Deru kencang angin tersebut menenggelamkan bunyi ngiang- ngiang yang melangsing memanjang di bawah gaung itu.
Hanya deru ribut kencang sahaja yang kedengaran memukul pokok- pokok kayu di situ, Man Tiger gementar juga sekiranya pokok- pokok besar itu tumbang jongkang kalang menimpa kami. Dia tahu angin ribut yang muncul secara mendadak itu memang berpunca dari puaka hutan yang sedang mengganggu kami. Apa lagi kemarahannya semakin memuncak apabila aku pula mencabarnya dengan membacakan ayat- ayat al quran.
Di dalam ribut kencang itu, aku berdiri dengan tidak bergerak- gerak. Mata terpejam tapi hanya mulut sahaja yang terkumat - kamit. Tetapi ribut itu tidak juga reda dengan memukul pokok- pokok kayu besar hingga meliuk - liuk.
Melihatkan ribut itu tidak juga berhenti, lantas aku pun melaungkan azan beralun- alun di dalam tengah kegelapan malam itu. Gema suara yang lantang itu menyebabkan ribut itu mulai reda secara perlahan- lahan. Melihatkan ribut mulai berhenti, Tok Bomoh Karim pun membongkok lalu menggengam sekepal tanah. Diramas- ramasnya tanah tersebut, kemudian ditiupkan ke arah lelaki tua yang berlegar- legar di awangan itu.
Sekaligus pula lelaki tua itu jatuh berdebap ke tanah. Punggungnya terhenyak menyebabkan dia menggeliat- geliat kesakitan.
" Balikkan semula kijang aku...!!! " bentak Tok Bomoh Karim.
" Mana ada kijang. " sahut lelaki tua itu sambil tersengih - sengih.
" Yang kau tembak tadi babi hutan. " katanya semacam mengejek Tok Bomoh Karim.
" Kau takkan menang..! " kata Tok Bomoh Karim seakan memberi amaran. " Kalau kau nak tunjuk keras kepala, cepatlah...!! " bentak Tok Bomoh Karim lagi keras mencabar lelaki tua bongkok berlipat itu.
Dengan tidak disangka- sangka, lelaki tua itu menerkam ke arah Tok Bomoh Karim. Secepat kilat pula Tok Bomoh Karim mengelak hingga lelaki tua itu terbabas.
" Jaga Man tu, Badai....dia niat salah nampaknya ni. Jaga jangan geruhnya berpindah pada Man... " Tok Bomoh Karim mengingatkan aku supaya bertahan sahaja di situ.
Kemudian Tok Bomoh Karim membawa lelaki tua itu ke bawah pokok tempat kami menunggu denai sebelumnya tadi. Beberapa kali lelaki tua itu cuba menerkam ke arah Tok Bomoh Karim tetapi dengan mudah sahaja Tok Bomoh Karim mengelaknya.
Hinggalah suatu ketika lelaki tua itu menerkam dari arah atas lalu tersembam pada pokok kayu tersebut. Man Tiger nampak tangan lelaki tua itu terlekat pada pokok berkenaan dan tidak dapat melepaskan cengkamannya yang tertusuk pada pokok tersebut. Sekaligus pula Tok Bomoh Karim mencabutkan semula anak kayu yang dicancangnya ke tanah tadi, lalu ditaupkan semula kangkangnya.
" Aku dah cakap, kau takkan menang..!! " ujar Tok Bomoh Karim seakan menyindir sambil memerhatikan sahaja lelaki tua itu terkial- kial akibat cengkamannya melekat pada pokok kayu besar itu.
Selepas itu dia memancangkan semula anak- anak kayu tersebut disekeliling semak tempat babi hutan yang terbaring selepas ditembak tadi. Kesan- kesan darah masih berbekas pada daun- daun kayu di sekitar semak.
Tok Bomoh Karim lalu mengambil kain hitam lilit kepalanya dan dikibaskan sampai 7 kali di kawasan yang dipancangnya anak kayu itu. Barulah nampak pada Man Tiger di sebalik semak itu berubah sedikit demi sedikit punggung binatang yang tertonggeng itu dari hitam kepada perang kemerahan.
" Cukuplah tu, Badai. " Tok Bomoh Karim berpaling lalu menggamit aku.
" Sembelihlah binatang ni.. " katanya sambil menghunus parang lalu dihulurkan kepada aku .
Cepat - cepat aku menerpa bersama Man Tiger. Ternyatalah kijang yang terbaring disebalik semak, masih menggeletek- geletek menahan kesakitan. Setelah siap disembelih, Tok Bomoh Karim terus mengajak aku dan Man Tiger balik.
Teringin juga Man Tiger mahu menyuluh ke arah pokok kayu tempat lelaki tua tadi terlekat, tetapi dia merasa takut pula. Tetapi dari dalam kegelapan itu dia tidak nampak apa- apa pun pada pokok tersebut, selain daripada kehitaman yang menyeramkan pandangannya. Tok Bomoh Karim pula tidak berkata apa- apa selepas peristiwa itu sampailah balik ke rumah Tok Bomoh Karim.......
Seperti biasa,ambil sisi positif dari cerita ini,yg negetif jgn diambil.Kekuatan yg tak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt,Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yg tak berkenan di hati para sahabat2 semua,aku. TOK PENJEJAK BADAI,dgn merendahkan diri memohon maaf.....
TERIMA KASIH....
.........." CARA MENARIK MUSTIKA JAGAD RAYA "...........
MERAH DELIMA
Setelah aku berfikir beberapa lama...nah,kali ini aku ijazahkan ilmu cara menarik Mustika Merah Delima,kepada sahabat2 dan ahli Kampus Tok Badai yg ingin memiliki sendiri Mustika Merah Delima. Dan tak perlu membeli Mustika Jagad Raya ini yg belum tentu keasliannya. Nah..dgn ilmu ini,sahabat2 boleh mencuba dan merasai sendiri getaran aura apabila Mustika Merah Delima berada di gengaman tangan.
Tetapi bukanlah mudah yg di sangkakan,Ia memerlukan media sarana yg agak mahal. Harus di sediakan barang2 keperluan ketika ritual penarikan Mustika number 1.ini.
Untuk mengkaji ilmu ini,memerlukan hati yg bersih,zahir dan batin. Kita harus melawan hawa nafsu sendiri,menuju suatu puncak ilmu tahqiqul ilmi.
CARA2NYA:
Membaca tawasul al Fatihah.
Sesudah itu.bacalah doa ini buat perlindungan.
Doa Perlindungan.
ALLAHUMMA ROBBA IBROHIM WA ISMAIL WA ISHAQ WA YAQUB WA ROBBA JIBRIL WA MIKAIL WA ISROFIL WA IZROIL WAMUNDZILAT TAUROTI WAL INJIL WA JABUR WAL QURANIL ADZIM IDRO’ANI SYARO MINAL JINNI Aj MAIIN.11x.
KUNCINYA:
Waila hadroti nabiyullah sulaiman bin daud as waila hadroti sultonul jin aba yusuf al baghdadi waila hadroti syekh abdul jabbar waila hadroti khodamus syarifah an adzimah merah delima as alukasy syaafa’ah wassalamah walbarokah wal ijabah, wasysyafa’ah,wak syiful hijabah min ridho illah syai’ul lillahi lahum al fatiha.3333x.
Syahadat. 101x.
Bismillahir rohmanir rohim…1300x.
Ya Rohman Ya Rohim..300x.
Allahu…150x…
Allahu..9x. tahan nafas.
Ya Ruhi..1400x.
Ya Rofi’u…300x.
Ya Ruh Khodam Azimat Merah Delima.(hadir..1700x)
Bismillahir Rohmannir Rohim Allahu Akbar..3x.
Cara ritual.
Bakar Buhur Magribi dan Minyak Sayidina Ali di campur jadi satu.
Bentangkan kain Mori putih 1/2 m x1/2 meter.
Di dalamnya tabur bunga 7 jenis dan percikkan minyak Ponibal salwa.
Barulah dimulakan ritualnya.
Biasanya Mustika Merah Delima berada di pinggir laut,sungai atau air terjun.
Selamat Mencuba,jgn putus asa sekiranya hari pertama tidak berhasil.Lanjutkan ke hari kedua dan ke tiga.
DI IJAZAHKAN OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts