Trending

Saturday, 4 August 2018

Kota Larangan 2 Kekalahan Hei Long Naga Hitam


Kota Larangan 2 - Kekalahan Hei Long (Naga Hitam)
Tiba-tiba satu tempikkan kuat memenuhi ruang udara ketika inilah muncul seekor Naga bewarna hitam dengan mata yang memerah. Asap hitam masih berkepul-kepul mengelilingi tubuh haiwan tersebut. Kali ini benar-benar memeranjatkan semua yang hadir di Lapangan Tempur tersebut. Pengawal-pengawal istana berkejar mengelilingi Maharaja, Maharaja juga cemas, inilah pertama kalinya dia melihat kehebatan Hei Long. Kini baru dia jelas mengapa Hei Long di panggil Naga Hitam dikalangan tenteranya. Sida-sida ada yang telah melarikan diri dan ada yang telah basah kainnya.
Datuk Bendahara dan seluruh rombongan Melaka juga terkejut bukan kepalang, inang-inang dan dayang-dayang menangis ketakutan ada sebahagian yang berlari bersembunyi disebalik tiang yang besar di Lapangan Tempur tersebut. Hang Kasturi terpaku tidak terkata dia bimbang keselamatan Abang Tuahnya.
Kesemua yang ada di situ kaget, Inilah pertama kali ke semua mereka melihat haiwan pemangsa yang bernama naga ini. Maharaja sendiri sudah pucat wajahnya mitos naga yang biasa di ceritakan oleh penglipurlara istana nampaknya bukanlah cerita dongeng baginya, naga ini benar-benar wujud. Namun bagi Hang Kasturi haiwan di depannya ini bukanlah haiwan sebenar melainkan hanya jelmaan sahaja. Nampaknya Hei Long mempunyai ilmu hitam yang hebat.
Haiwan pemangsa itu berlegar-legar mengelilingi Hang Tuah asap hitam yang berbau busuk mengapung-ngapung dibadannya. Sesekali ia bertempik keras ke arah Hang Tuah, angkuh dengan kekuatan yang dimiliki. Walaupun Hang Tuah juga masih terkejut dengan apa yang dilihat namun sebagai Laksamana yang mempunyai sejuta pengalaman, Hang Tuah dapat membaca haiwan ini adalah jelmaan dari ilmu hitam, kelihatan mata naga di depannya berkelip-kelip seperti mana manusia.
Bismillahi tawakal tu a’llahlah
Laa haula wala quwataillahbillah
Hang Tuah membulat tekadnya, menyerah diri kepada Allah dengan sepenuhnya, hanya pertolongan Allah yang diharapkan, ujian kali ini begitu getir dirasainya. Hang Tuah mula membaca sesuatu, dibacanya ayat pemangkas sihir. Mahu tidak mahu sekali ini “Hikmat Gerakkan Guruh” perlu di padu dengan “Ilmu Pelipat Bumi”
dan “Doa Senafas Roh”. Walapun Hang Tuah tahu risikonya ialah dia perlu mengerahkan seluruh kudratnya, jika gagal untuk menghapuskan jelmaan ini maka dia akan kehilangan seluruh tenaganya dan ini akan memberi peluang kepada lawan untuk membunuhnya.
Hang Tuah melompat tinggi sambil menetak haiwan jelmaan tersebut. Naga jelmaan itu juga mengelak dengan pantas. Sesekali ia cuba untuk membaham Hang Tuah sambil bertempik keras, tetapi ketangkasan dan kepantasan Hang Tuah benar-benar diluar kemampuan manusia biasa.
Kini barulah Datuk Bendahara dan seluruh rombongan Melaka dapat melihat dengan mata kepala sendiri kehebatan sebenar Datuk Laksamana Hang Tuah. Acapkali mereka tidak dapat melihat kepantasan pergerakkan Laksaman Agung itu dengan mata kasar mereka. Hanya debu-debu yang kelihatan berterbangan mengikuti pergerakkan yang bagaikan kilat, menunjukkan keberadaan Hang tuah di sana.
Jelmaan Naga Hitam terus menyerang kali ini dicubanya dengan menerkam menggunakkan kukunya yang tajam, Hang Tuah mengelak dengan berguling-guling di atas tanah kemudian melompat tinggi, ditetak ekor Naga Hitam itu, namun dengan pantas Naga Hitam melarikan ekornya meliuk-liuk seperti ular di atas air.
Pertarungan berlangsung agak lama sesekali pertarungan berlaku di atas angin. Laksamana Hang tuah acap kali hilang dari pandangan apabila melakukan Gerakkan Guruh dan Ilmu Senafas Roh.
“Subhanallah, Sungguh! Hari ini barulah Ayahanda melihat sendiri ketangkasan dan kepantasan Datuk Laksamana Hang Tuah. Anakanda Kasturi, apakah kesemua kamu mempunyai hikmat sebegini.?” Tanya Datuk Bendahara kepada Hang Kasturi. Lama Hang Kasturi mendiamkan diri sebelum menjawab soalan Datuk Bendahara. Hatinya masih galau, kebimbangannya tidak dapat disembunyikan matanya tidak lepas pandang dari Lapangan Tempur tersebut. Jelmaan Naga Hitam yang menakutkan itu bersungguh-sungguh nampaknya mahu membunuh Abang Tuah.
“Ayahanda Bendahara bukan semua di antara kami ini yang berjaya menguasai hikmat-hikmat ini. Kepantasan gerakkan Abang Tuah ini sangat istimewa dan diakui Pendeta Adi Putra sendiri.” Jujur Hang Kasturi membuka rahsia.
“Kalau begitu siapa lagi yang berjaya menguasai hikmat sebeini selain Laksamana Hang Tuah.?” Soal Datuk Bendahara lagi.
“Guru kami, Adi Putra juga mempunyai kepantasan seperti ini, selain Pendita Adi Putra tandingannya bagi Abang Tuah ialah Abang Jebat, Ayahanda Bendahara.” Jawab Hang Kasturi sambil matanya liar memandang Lapangan Tempur.
Tersentak Datuk Bendahara mendengarnya. Hang Jebat juga dianggap seperti anak sendiri namun Hang Jebat sangat sukar dibaca fikirannya. Kadangkala dia lebih banyak diam dari berkata-kata. Kadangakala dia hanya tersenyum tanpa ketawa, tetapi yang pasti dia amat tegas di dalam segala bab hukum agama.
Sehingga kini Datuk Bendahara belum pernah melihat sendiri kehebatan sebenar Hang Jebat. Dia amat perahsia orangnya.
Lapangan Tempur
Ketika ini Hang Tuah telah mengengam segumpal pasir, lalu dibacakan ayat surah al Zalzalah. “Allahu akbar!”, dengan laungan takbir yang begitu nyaring Hang Tuah meleparkan pasir tersebut ke arah jelmaan Naga Hitam itu, ketika ini kelihatan pasir yang dilempar oleh Laksamana Hang Tuah bertukar menjadi beribu-ribu lebah, lalu
terbang menyerang kepala haiwan pemangsa tersebut.
Serangan yang mengejutkan itu menganggu tumpuan serangan jelmaan Naga Hitam ke atas Hang Tuah,
Jelmaan Naga Hitam kini berusaha mengelak sengatan lebah-lebah tersebut, namun semakin kuat dia cuba melepaskan diri dari serangan lebah-lebah itu semakin banyak lebah-lebah tersebut menyerangnya, ada yang masuk ke mulutnya ada yang menyerang matanya. Kedengaran tempikan kuat dari Naga Hitam, ternyata kemarahannya tidak dapat berbuat apa-apa, kakinya menguis-menguis matanya yang dipenuhi lebah. Sesekali dia berpusing-pusing bagaikan layang-layang terputus tali.
Kesempatan ini digunakan oleh Hang Tuah untuk membuat serangan, serangkap ayat Quran dibaca oleh Hang Tuah
Wa Izabatashtom batashtom jabarin ( surah as Syura ayat 130)
“ Dan apabila kamu memukul atau menyeksa kamu melakukan yang demikian dengan kejam dan bengis”
Serentak dengan laungan takbir yang kuat Hang Tuah membuat tetakkan ke bahagian badan haiwan pemangsa tersebut. Kali ini jelmaan Naga Hitam tidak sempat mengelak. Satu jeritan kuat bergema di Lapangan Tempur. Lapangan Tempur tersebut bergegar dengan begitu kuat. Bumi seperti dilanda gempa bumi. Hang Tuah hampir-hampir sahaja terpelanting ke belakang, mujur Hang Tuah sempat memperkemaskan kuda-kuda dan menahan dirinya dengan Sundang yang di pacak ke tanah malah ada dayang istana yang telah pengsan kerana dihambat kejutan yang dasyat ini.
Ketika ini sesuatu yang aneh telah berlaku jelmaan Naga Hitam yang ditetak oleh Hang Tuah tiba-tiba bertukar menjadi debu lalu diterbangkan oleh asap hitam, Asap hitam yang berdebu itu mula berputar-putar di dada langit lalu bergumpal dengan awan hitam sesekali kilat memancar dicelah awan hitam itu, ketika inilah awan hitam tersebut membentuk seraut wajah bertanduk yang menakutkan di dada langit matanya yang merah merenung Hang Tuah.
“Siapakah kamu ini!” jerkah wajah bertanduk yang terbentuk dari gumpulan awan hitam itu.
“Belum ada yang dapat mengalahkan aku sebelum ini.” Kata Wajah jelmaan itu dengan sombong.
Hang Tuah mendongak ke langit melihat asap hitam yang menyerupai seraut wajah bertanduk itu. Lalu dicabut keris Taming Sarinya dan diangkat mengahala ke awan hitam tersebut. “Cis! Makhluk terkutuk, Aku Hang Tuah, Laksamana dari Kerajaan Melaka.”
“Ha! Ha! ha! Jahanam kau Laksamana Melaka! Aku tidak akan lupa hari ini. Aku belum kalah lagi, kita akan bertemu lagi wahai Laksamana, bersiap-siaplah untuk mati ketika itu.”
Habis sahaja jelmaan wajah bertanduk dari awan hitam itu memberi amaran kepada Hang Tuah, awan hitam itu mula bergumpal kembali bergulung-gulung dengan kuat lalu berarak pergi dengan pantas, seketika itu langit kembali cerah seperti biasa, cahaya matahari kembali menyinar Lapangan Tempur tersebut tiada tanda-tanda pun hujan akan turun, bayu dingin kembali terasa. Hang Tuah menghela nafas lega pertarungan ini benar-benar melelahkan dirinya.
Ketika inilah Hang Tuah perasan ada sekujur tubuh yang terlentang di Lapangan Tempur tersebut. “ Hei Long” bisik Hang Tuah perlahan. Tiba-tiba terdengar bunyi gendang di palu dengan kuat. Hang Tuah mendongak ke astaka Maharaja. Dengan dahi yang berkerut seribu Hang Tuah berlari kencang ke arah astaka Maharaja. Cheng Di, canselor Maharaja cemas...


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts