Trending

Monday, 29 July 2019

Duri Hitam Vs Musang King Yang Mana Lebih Sedap


ALOR SETAR - Pemilik dusun durian Serene Ochard, Heng Mee Oo lebih memilih untuk mengatakan durian Duri Hitam dan Musang King kini berada pada standard yang setara, namun tidak dapat menahan "hantu durian" membuat pilihan.

Heng berkata, citarasa peminat durian adalah hak individu yang tidak boleh dihalang, namun bagi mereka yang berkunjung ke dusun duriannya secara majoriti mendakwa Duri Hitam adalah lebih enak rasanya berbanding Musang King.

"Musang King rasanya sangat bagus. Jika dibanding dengan Duri Hitam, saya lebih memilih untuk berkata kedua-duanya mempunyai standard yang sama.

"Dari segi rasa, ia terpulang kepada individu sama ada suka Musang King atau Durian Hitam.

"Namun maklum balas dari ramai peminat durian yang datang ke sini untuk merasai sendiri Duri Hitam, mereka berpandangan bahawa Duri Hitam adalah lebih baik berbanding Musang King. Dari 10 orang, 7 orang berpandangan begitu," katanya kepada Kedahnews.com.


Walau bagaimanapun, Heng secara peribadi berpandangan bahawa adalah tidak adil untuk mengatakan Duri Hitam lebih baik dari Musang King pada waktu ini memandangkan keadaan stok buah berkenaan di pasaran dan permintaan yang terlalu tinggi.

Jelasnya, harga Duri Hitam pada musim ini meningkat dua kali ganda kepada RM110 hingga RM120 sekilogram ekoran kekurangan durian jenis itu dan permintaan tinggi pasaran, berbanding Musang King yang dijual pada sekitar RM50 hingga RM60 sekilogram.

"Buat masa sekarang ini, adalah tidak adil bagi saya untuk mengatakan Duri Hitam lebih baik dari Musang King kerana jumlah Durian Hitam di pasaran adalah sangat kurang dan permintaannya sangat tinggi.

"Jadi tidak adil jika dibandingkan terutama berdasarkan harga yang dipengaruhi permintaan dan jumlah durian ini pasaran," jelasnya yang menjelaskan bahawa dusunnya kini tidak mampu memenuhi permintaan pasaran yang tinggi.

Katanya, perbandingan secara adil dijangka hanya boleh dibuat beberapa tahun selepas permintaan dan penawaran durian Duri Hitam adalah setanding dengan Musang King yang kini lebih mudah diperoleh di pasaran.


 Jelas Heng, Duri Hitam agak kurang menjadi pada musim durian kali ini dan dusunya hanya mampu mengeluarkan sekitar 5 tan sahaja sehari dan kira-kira 80 peratus daripadanya dieksport ke China bagi memenuhi permintaan yang sangat tinggi di sana.

"Mereka di sana sedang 'gilakan' Duri Hitam," ujar Heng yang tidak lokek dengan informasi dan sangat berpengalaman mengusahakan pokok durian berkualiti tinggi.

Sekumpulan wakil media semalam dijemput Exco Kerajaan Negeri, Dato' Norsabrina Mohd Noor, untuk melawat dusun Heng yang merupakan pengeluar kepada 90 peratus pasaran Duri Hitam, sekaligus yang terbesar di negara ini.

Berkeluasan kira-kira 37 hektar, Heng memiliki sebanyak 6,000 pokok durian Duri Hitam yang mana 2,000 pokok daripada jumlah itu sudah matang dan membuahkan hasil yang membawa pulangan lumayan kepadanya. - Kedahnews.com


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts