Trending

Thursday, 15 August 2019

Durian kampung vs Durian kawin



Asal usul Durian
Durian kampung vs Durian kawin
Pengenalan
Durian dinobatkan sebagai raja buah, kerana keistimewaan rasa dan aroma yang menyelerakan. Nama Durian berasal dari perkataan melayu iaitu "Duri" ciri pada dikulitnya. Kerana durinya banyak ditambah "an" menunjukkan ciri umum buah ini.
Hanya satu nama tradisional umum disebut ialah Durian Tembaga. Selain itu tidak mempunyai nama atau ada nama tetapi tidak umum dikenali. Oleh itu Jabatan Pertanian diberi bertanggungjawab untuk mengenalpasti jenis-jenis durian dan memberikan kod pengenalan. Bermula dengan huruf D1, D2 dan seterusnya sehingga kini D204.
Baka dan nama
Sebenarnya baka durian ada beratus-ratus jenis kerana ia selalu terjadi proses pendebungaan dan akan terjadi jenis baru. Asal terjadi proses pendebungaan berlainan baka (kacukan), samada melalui serangga, angin atau percubaan petani. Jika sebuah kebun durian mempunyai beberapa jenis baka maka proses pendebungaan akan bercampur baur dan menghasilkan durian jenis baka baru.
Contoh pokok baka A mendapat debungan dari pokok B, ia akan menghasilkan jenis kacukan baru, baka C yang mewarisi ciri kedua-dua baka. Kebiasaannya buah yang mendapat debunga kacukan lebih bermutu jika dibandingkan dengan durian yang tidak mendapat debunga kacukan.
Untuk mengenalpasti sesuatu jenis baka perlukan mereka yang arif untuk mengenalinya. Satu pangkalan data atau rekod diperlukan sebagai rujukan bagi mengelakkan satu baka mempunyai nama berlainan.
Walaubagaimanapun Jabatan Pertanian telah memainkan peranan untuk menanam baka contoh dan merekodkan bagi tujuan pembenihan dan pengenalan. Namun, ruang untuk menjalankan ujian menghasilkan baka baru masih terbuka luas. Untuk menjalankan ujian ini para petani perlu melakukan sendiri proses pendebungaan dengan mengambil bunga dari baka terbaik, contoh baka A lalu didebungakan dengan bunga baka terbaik B, nanti apabila menjadi buah bolehlah diberi nama baru jika sekiranya ia unik dan berpotensi. Walau bagaimana pun, proses ini mengambil masa yang terlalu lama, melebihi 7tahun dan jarang dilakukan oleh penanam durian. Untuk mengelakkan dari tidak dikenali dan pupus bakanya ia perlu dilaporkan kepada Jabatan Pertanian untuk diambil contoh benih bertujuan untuk pembiakan dan penjenamaan.
Sebagai contoh baka A memiliki buah yang besar tetapi isi yang bewarna pucat, anda boleh cuba mencari baka jenis isi merah dan jalankan proses pendebungaan, nanti insyaallah jika jadi buah, isinya kemerahan dan bersaiz besar.
Penting - Beza antara durian saka dan durian kahwin
Ramai penanam kita tidak faham antara durian saka dan durian kahwin (klon).
Durian saka ialah pokok yang ditanam menggunakan biji, seterusnya tumbuh, membesar sampai mengeluarkan buah. Ini dipanggil durian saka. Tidak kiralah apa bakanya ia tetapi ada kelemahan iaitu lambat berbuah 7-10 tahun. Namun jangka hayatnya sangat lama mungkin sehingga ke 100 tahun atau lebih tahan penyakit dan sebagainya. Tetapi kebiasaannya semakin lama umurnya, bertambah hebat rasa dan kualitinya, mungkin peringkat anak cucu nanti baru dapat buah yang betul-betul sedap dan baik.
Durian kahwin (klon) pula, satu pokok yang ditanam menggunakan biji, biasanya benih durian kampung kerana mempunyai ciri kekuatan daya tahan. Setelah tumbuh dalam sekaki tinggi lalu dibuat cantuman tunas, tunas ini diambil dari pokok bermutu contoh D24, nanti yang akan membesar dan berbuah ialah dari tunas D24 sementara batang bawah dan akarnya hanya berfungsi sebagai tapak sahaja. Buah yang dihasilkan ialah D24.
Pokok jenis kahwin lebih cepat berbuah anggaran 4-7 tahun. Isi yang lebih berkualiti, berbuah lebat dan lebih menguntungkan. Pokok tidak tinggi tetapi rendang. Jangkahayat biasanya tidak lama iaitu sekitar 20-50 tahun. Jika didapati pokok ini sudah malas berbuah disebabkan faktor usia dan berpenyakit, jangan fikir nak sayang lagi, tebang terus dan gantikan dengan pokok baru, atau dipangkas pada batangnya pada aras pinggang, supaya tumbuh tunas baru menjadi pokok utama. Sebab memang pokok kahwin kalau dah tua dia akan malas dan tak produktif.
Di Malaysia terdapat 204 klon durian telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 1934 untuk dijadikan piawaian kepada durian. Penggunaan istilah klon mewakili cara varieti pokok durian itu dibiakkan iaitu dengan teknik tampang. Setiap klon adalah unik dan mempunyai ciri-ciri tersendiri sama ada dari segi fizikal mahupun rasa. Terdapat beberapa usaha meningkatkan lagi klon durian di Malaysia yang telah dijalankan oleh MARDI Perak.
Jangan silap, tanam durian klon yang berkualiti.
Silap faham boleh menyebabkan penanam merasa kecewa apabila terpaksa menunggu lama pokok tersebut untuk berbuah. Jika nasib tak baik langsung tak berbuah kecuali bila dah tua. Jika berbuah pun tidak lebat dan tidak membanggakan. Jikalau kita mahu puas makan durian dan buah lebat tanamlah durian kahwin, benihnya perlu dibeli dari nuseri yang diakreditasi oleh Jabatan Pertanian.
Disunting oleh:
Pejabat Pertanian Daerah Muar
11.8.2019


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts