Bukan mahu menunjuk solat atas rumput
“BUKAN niat saya untuk menunjuk alim sebaliknya memilih solat di situ kerana bimbang tak sempat memandangkan waktu Maghrib hampir tiba,” kata Noor Aliyah Ali Choon, 26.
Noor Aliyah memberi reaksi berhubung gambarnya solat di rumput yang tular di laman sosial hingga mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
Gambar itu dimuat naik sepupunya, Nur Ainul Jannah Mohamed Alijan, Isnin lalu dan sehingga kini mendapat lebih 2,800 tanda suka dan 2,000 ulang ciap.
Menurut Noor Aliyah, dia tidak tahu Nur Ainul Jannah mengambil dan memuat naik gambarnya ketika solat sehingga ciapan berkenaan tular di Twitter.
Menceritakan perkara sebenar, Noor Aliyah berkata, dia dan Nur Ainul Jannah menetap di Jitra, Kedah dan ke Kuala Lumpur Isnin lalu kerana ada urusan kerja di sebuah kafe di Sri Petaling.
“Kami tiba di Kuala Lumpur agak lewat iaitu 5 petang dan terus ke Sri Petaling menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) untuk urusan kerja di situ.
“Selesai tugasan, kami cuba mencari surau atau masjid berhampiran namun tak menemuinya kerana tidak biasa dengan kawasan itu dan mulanya bercadang solat di stesen LRT saja.
“Malah kami sudah menempah perkhidmatan Grab untuk ke stesen LRT berkenaan tetapi pemandu itu dijangka tiba lewat disebabkan kesesakan lalu lintas dan disebabkan masa suntuk, saya nekad solat Jamak di atas rumput saja.
“Namun saya sudah memeriksa kawasan berkenaan terlebih dulu dan tidak teragak-agak untuk solat di situ kerana persekitarannya bersih,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Noor Aliyah, lebih mengharukannya apabila pemandu Grab itu sanggup menunggunya sehingga selesai solat.
“Walaupun pemandu itu bukan Muslim, dia faham dengan situasi saya dan tak keberatan menunggu.
“Sikapnya itu menunjukkan dia tidak berkira dan tahu menghormati penumpang berlainan agama.
“Tiada apa dapat saya katakan padanya melainkan ucapan terima kasih,” katanya.
Sementara itu, Nur Ainul Jannah , 25, berkata, tujuannya memuat naik gambar Noor Aliyah sekadar untuk berkongsi pengalaman dilalui mereka dan tanda penghargaan kepada pemandu Grab.
“Sejak tularnya ciapan itu, banyak maklum balas diterima dan ada salah faham dengan mengatakan saya memuat naik gambar itu untuk menunjuk-nunjuk ibadat dilakukan.
“Tidak kurang juga mempersoalkan kebersihan tempat solat dan persepsi itu mungkin timbul disebabkan ia (solat di kawasan terbuka) bukan satu kebiasaan di negara ini.
“Sedangkan mesej yang cuba disampaikan adalah sikap tolak ansur pemandu Grab itu yang menjadi bukti masih ramai rakyat Malaysia tahu menghormati satu sama lain tanpa mengira warna kulit dan agama,” katanya.
No comments:
Post a Comment