BERMULA menanam sebatang pokok durian Musang King, 35 tahun lalu, mengubah hidup anak kelahiran Gua Musang, Kelantan, Chong Yok Fong atau dikenali sebagai Tina Chong daripada pereka fesyen kepada ratu Musang King.
Lima tahun bekerja sebagai pereka fesyen di Singapura, akhirnya disebabkan minat menanam pokok durian dan makan buah itu membuatkan beliau tekad menjadi pekebun.
Anak keenam daripada 10 beradik berusia 51 tahun itu sendiri tidak menyangka kehidupannya kini jauh berbeza dengan berbanding dahulu dan mengabdikan diri dalam bidang itu sehingga dikenali bukan sahaja di Kelantan, malah di luar negara.
Kebun seluas 16 hektar dengan lebih 1,000 pokok itu kebanyakannya ditanam dengan Musang King.
Lebih membanggakan, anak jati dari Kampung Batu Papan 2, Gua Musang ini adalah individu pertama menamakan durian kunyit kepada nama baharu, iaitu Musang King, bersempena nama daerah berkenaan sehingga digunakan di seluruh negara.
Penulis sempat meluangkan masa hampir sehari bersama Tina bagi melihat lebih dekat cara wanita itu mengendalikan kebunnya yang menghasilkan buah sedap dan berkualiti.
Ketika penulis dibawa ke kebunnya, terletak di atas bukit, mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda dan perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit dari bandar Gua Musang.
Sepanjang perjalanan, penulis berkali-kali memuji kehebatan Tina mengendalikan kenderaan pacuan empat roda walaupun keadaan jalan agak curam dan sempit.
Namun, Tina hanya tenang memandu sambil ada ketikanya ketawa apabila melihat penulis agak gusar dan takut melihat laluan untuk sampai ke kebunnya.
Sebaik tiba di kebun, kami disambut 15 ekor anjing yang menjaga kebun itu dan memandangkan penulis tidak biasa di situ sudah tentu menjadi sasaran anjing menyebabkan penulis dan jurugambar tidak boleh berenggang dengan Tina sepanjang berada di lokasi.
Melihat ketangkasan Tina mengendalikan kebun dan memanjat pokok, selain kejayaannya cemerlang dan kecekalan, tidak mustahil mengapa namanya meniti di bibir penggemar Musang King setiap kali musim itu.
Bayangkan, ketika berjalan melihat kebun berkenaan, secara tiba-tiba Tina berhenti sambil memaklumkan ada buah yang jatuh sedangkan penulis sendiri tidak mendengar ada buah gugur.
Sebaliknya Tina memaklumkan beliau tahu ada buah gugur tidak jauh daripadanya berdasarkan bau dan tidak sampai dua minit, wanita itu berjaya menemui buah itu seberat 1.5 kilogram dijual dengan harga RM50 sebiji.
Beliau berkata, pokok pertama yang diusahakan dulu sehingga sekarang masih hidup dan berbuah lebat.
Ketika beliau mula menanam di atas bukit itu, ramai yang menganggapnya gila kerana membuat benda sia-sia dan tidak masuk akal, namun siapa sangka kini semakin ramai mengikut jejak langkahnya yang mampu meraih pendapatan lumayan.
Cetuskan nama Musang King>
Asal usul durian Musang King bermula apabila Tina mengahwinkan durian biasa dari Kampung Pulau Raya, Tanah Merah dengan dengan durian kunyit
Tina berkata, ketika itu Musang King dikenali sebagai durian kunyit dalam kalangan orang Melayu dan kemudian beliau memberi nama baharu sempena pucuk pokok pertama yang diambil.
“Bermula daripada situ saya menamakan sebagai Musang King bersempena nama Gua Musang. Saya minat menanam dan makan durian meskipun, ketika itu saya masih bekerja bekerja di Singapura sebagai pereka fesyen.
“Beberapa tahun kemudian saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana merasakan jiwa lebih tenang apabila menghabiskan masa di kebun,” katanya.
Separuh daripadanya pokok durian yang ditanamnya sudah mengeluarkan hasil.
Katanya, pokok pertama mengambil masa 15 tahun mengeluarkan buah.
Bagaimanapun, selepas mengikut kursus khas, kini setiap pokok mengambil masa lima hingga tujuh tahun berbuah.
Beliau bangga setiap kali musim buah, Musang King akan dieksport ke China, Singapura dan Hong Kong.
“Musang King hanya diperoleh dua bulan, iaitu akhir Jun hingga Ogos, manakala bulan lain, saya menghabiskan masa menjaga kebun dengan membaja dan menyiram air supaya pokok itu mengeluarkan hasil lumayan.
“Setiap kali musim durian, jadual harian saya padat dan tidur beberapa jam sahaja sehari kerana lebih empat kali masuk ke kebun bermula jam 4 pagi untuk mengutip buah sebelum dijual kepada pelanggan serta pemborong.
“Tahun ini, durian agak menjadi seperti tahun lalu dan sekilo bagi durian Musang King gred A dijual dengan harga RM50 manakala, gred B pula RM35 bagi sekilogram. Sambutan diterima memang menggalakkan setiap tahun sehingga saya tidak menang tangan.
“Bagi memastikan isi buah elok, hampir semua kawasan kebun dipasang pukat supaya buah tidak jatuh ke tanah. Isi yang sedap saya perlu memastikan pokok diberi baja organik mengikut jadual dan perlu bekalan air mencukupi,” katanya yang turut dibantu adik-beradik.
Harga durian Musang King setiap tahun berbeza, bergantung kepada hasil diperoleh.
Hasil banyak dijual harga murah. Dulu pada 2015, harga Musang King RM100 sekilogram.
“Walaupun sekarang ramai tanam buah itu, namun saya tidak gusar kerana cara tanaman setiap orang berbeza dan sambutan setiap tahun tidak pernah berkurangan serta rasanya tidak dapat ditandingi di tempat lain.
No comments:
Post a Comment