AJARAN ARIANISME SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Arius adalah seorang pendakwah tauhid yang lahir pada 256 M iaitu 315 tahun sebelum lahirnya rasul junjungan kita, Muhammad saw.
Seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, Arius membawa ajaran yang sangat berlawanan dengan ajaran Triniti iaitu menyatakan Nabi Isa as adalah makhluk dan Rasul Allah.
Arius memiliki jalan dakwah yang berliku dek kerana kelancangannya menyoal pendirian ajaran triniti yang ternyata sudah terpesong jauh daripada ajaran sebenar Nabi Isa as.
BERGURU DENGAN "LUCIAN OF ANTIOCH"
Arius yang dipercayai lahir di Libya dan berketurunan Berber itu telah berguru dengan seorang paderi Nasrani terkemuka, Lucian of Antioch.
Lucian of Antioch adalah individu yang paling berpengaruh dalam diri Arius kerana daripada Lucian inilah, Arius mendapat didikan tauhid yang sebenar dalam mengesakan Allah swt.
Menurut ajaran Lucian, Nabi Isa as hanya seorang Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada manusia bagi memandu mereka ke jalan tauhid yang sebenar. Fahaman inilah yang membawa kepada konsep unitriniti kemudian hari.
BERDAKWAH KEPADA GEREJA ORTODOKS
Arius ternyata individu yang paling berani pada abadnya. Pada 319 M, dia telah menulis surat kepada gereja Ortodoks dengan niat untuk membetulkan kesyirikan mereka kepada Allah swt.
Ramai juga paderi dan bishop memeluk ajaran tauhid Arius. Ini menimbulkan rasa tidak senang pada paderi-paderi fahaman Triniti.
Pada 325 M, Arius mendapat tentangan yang sengit apabila diajak berdebat di Persidangan Nicaea.
Arius tidak sedikit pun gentar dengan pelawaan itu meskipun tahu bahawa di dalam persidangan itu dihadiri 22 orang bishop yang hampir kesemuanya adalah berfahaman Triniti. Dia hanya mendapat sokongan rakan rapatnya, Eusebius of Nicomedia dan beberapa rakan lain.
MEMULAKAN PERDEBATAN DENGAN AYAT JOHN 14:28
Meskipun ketika itu umur Arius dalam lingkungan 69 tahun, ia tidak menghalangnya daripada memberi tentangan yang terbaik kepada setiap paderi yang berdebat dengannya. Arius dianugerahi Allah swt dengan kepetahan berbicara dan ketinggian ilmu agama. Ini diakui oleh “Epiphanius of Salamis”.
“Tinggi dan kurus, perwatakan seorang tokoh dan tutur kata yang bersopan. Kaum wanita sangat suka padanya dek kerana tarikan ketampanan dan tersentuh dengan kezuhudan dirinya. Kaum lelaki pula kagum dengan aura ketinggian ilmu pengetahuannya.”
Dalam satu rekod sejarah Persidangan Nicaea 325 M, Arius telah memulakan perdebatan dengan membaca ayat dalam kitab Injil kepada hadirin yang bermaksud,
“Kamu dengar aku berkata: Aku pergi tetapi aku akan kembali lagi pada kamu. Jika kamu sayang aku, kamu akan gembira bahawa aku pergi kepada Tuhan, (yang mana) Tuhan adalah jauh lebih AGUNG daripadaku.” (John 14:28)
Ayat Injil itu dipercayai intipati sebenar ajaran tauhid Arius. Dipercayai bahawa Injil yang digunakan Arius adalah jauh berlainan dengan Injil yang terdapat pada hari ini. Injil yang terdapat pada hari ini adalah Injil yang telah disusun selepas Persidangan Nicaea 325 M.
Dalam Injil tersebut, segala ayat-ayat yang bertentangan dengan ajaran Triniti telah dibuang dan diganti dengan ayat yang lebih sesuai dengan doktrin mereka. Dotrin mereka telah diisytiharkan secara rasmi sebagai “Nicean Creed”.
Daripada detik itulah Injil mula terpesong secara rasmi sehingga hari ini.
PERDEBATAN DENGAN "NICHOLAS OF MYRA"
Di Persidangan Nicaea 325 M, perdebatan paling diingati adalah antara Arius dan Nicholas of Myra yang ketika itu berusia 55 tahun. Perdebatan itu ternyata sampai ke tahap paling sensitif dalam ajaran Nasrani.
Meskipun Arius telah diasak dengan soalan bertubi-tubi oleh paderi-paderi Triniti sebelumnya, namun Arius kelihatan tenang menjawab setiap soalan mereka. Kini giliran Nicholas of Myra pula tampil berdebat dengan Arius. Ternyata, Nicholas bukanlah pasangan debat Arius.
Oleh kerana tidak mampu lagi menjawab debat Arius, Nicholas terus menerpa Arius dan menampar mukanya sehingga tersungkur. Arius yang terkenal dengan kezuhudannya tidak melawan tindakan Nicholas of Myra.
Dalam kejadian itu, Nicholas of Myra ditangkap dan dihumban ke dalam penjara tetapi dibebaskan kembali oleh Maharaja Constantine.
Nicholas of Myra diangkat oleh penganut Triniti sebagai “Saint” dan tindakannya menampar Arius telah dipertahankan oleh mereka sebagai satu tindakan suci untuk membela ajaran syirik mereka.
Saint Nicholas of Myra adalah asal usul bagi nama “Santa Claus” yang sentiasa mewarnai Hari Natal menjelang 25 Disember.
ARIUS DIISYTIHARKAN TEWAS
Seperti dijangkakan oleh Arius, dia telah diisytiharkan tewas kepada paderi-paderi Triniti. Ia disebabkan oleh pengaruh Maharaja Constantine yang telah dirasuki dengan fahaman Triniti yang menebal.
Arius dan rakan-rakannya telah diusir keluar daripada wilayah kekuasaan Constantine ke Illyricum.
Rakan seperjuangan Arius adalah Euzoios, dua orang paderi daripada Libya, Theonas of Marmarica dan Secundus of Ptolemais.
Mereka diusir kerana tidak menandatangani “Nicaean Creed” seperti yang diperintahkan oleh Maharaja Constantine.
Sahabat rapat Arius iaitu Eusebius of Nicomedia, Maris of Chelcedon dan Theognis of Nicaea telah mendapat pengampunan Constantine kerana menandatangani “Nicaean Creed”.
Walau bagaimanapun, mereka tidak setuju untuk mengutuk Arius seperti yang dilakukan oleh paderi Triniti iaitu Athanius of Alexanderia, Nicholas of Myra dan ramai lagi.
Kemuncak kepada tewasnya Arius dalam persidangan tersebut adalah buku-buku ajaran Arius terutamanya buku “Thaleia” dan Injil tauhid Arius telah diarahkan dibakar oleh Maharaja Constantine.
Malah segala Injil yang dikatakan ‘bidaah’ seperti Injil Barnabas, Injil Judas, Injil Gnostic dan sebagainya telah diarahkan untuk dibakar.
Pada hari ini, ajaran sebenar dan hukum-hakam ajaran Arianisme tidak dapat diketahui sumber asalnya. Yang tinggal hanya asas ajaran Arianisme dan ‘rakaman’ dialog Persidangan Nicaea serta surat-surat yang Arius tuliskan kepada sahabatnya seperti surat kepada Eusebius of Nicomedia.
AJARAN ARIANISME TERUS BERKEMBANG
Arius meninggal dunia pada tahun 336 M pada usia 80 tahun. Kematian Arius masih lagi diselubungi misteri. Arius dipercayai telah diracun oleh paderi-paderi Triniti yang sudah lama tidak senang duduk dengan perkembangan ajaran Arianisme.
Setahun sebelum Arius meninggal dunia, Arius sudah mula mendapat tempat di Istana Constantinople. Maharaja Constantine juga sudah mula mengampunkannya dan memujuk dia kembali daripada pelarian.
Malah terdapat pendapat mengatakan Constantine telah memeluk ajaran Arianisme pada penghujung usianya. Ia diperkuatkan dengan kisah Constantine dibaptiskan oleh sahabat Arius, Eusebius of Necomedia di katil semasa nazak.
Anak kepada Constantine iaitu Constantine II (316-340) juga adalah penganut ajaran Arianisme yang sangat taat. Manakala Maharaja Valens (328-378) juga adalah penganut Arianisme.
Ajaran Arius terus berkembang. Anak murid Eusebius of Necodemia iaitu Ulfilas telah berkelana ke Eropah Timur untuk mengembangkan ajaran Arianisme. Ulfilas telah berjaya berdakwah sehingga sampai ke masyarakat Vasigoth, Ostrogoth, Vandals, Franks, Burgundians dan Lombards.
Di Eropah Timur, Arius telah diangkat sebagai “saint” dan “matyr” sebagai menghargai pergorbanannya dalam mempertahankan ajaran tauhid.
Bangsa-bangsa yang kebanyakan berasal daripada Jerman ini telah berjaya membina empayar mereka sehingga ke Afrika Utara dan Sepanyol (Vasigoth), utara Itali (Ostrogoth, Lombards) serta Perancis (Franks).
Di sana, mereka telah menyebarkan ajaran Arianisme kepada masyarakat yang ditakluki mereka yang mana pada masa itu kebanyakan mereka masih lagi mengamalkan ajaran paganisme.
Ajaran Arianisme telah bertahan di Eropah Timur dan wilayah sekitarnya sekurang-kurangnya sehingga abad ke-6 apabila raja Franks, Clovis I telah memeluk ajaran Triniti Katholik pada 496 M dan raja Vasigoth, Liuvigild pula memeluk ajaran tersebut pada 586 M.
Namun ia tidak bermakna rakyat mereka turut menyertai raja mereka mempercayai ajaran tersebut.
“(Ingatlah), ketika Allah berfirman: Hai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku serta membersihkan kamu dari orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian hanya kepada Akulah kembalimu, lalu Aku memutuskan di antaramu tentang hal-hal yang selalu kamu berselisih padanya.” (Al-Imran : 55)
ISLAM PENGGANTI IDEAL
Allah Maha Mengetahui, dalam manusia semakin hampir hilang pegangan mereka kepada ajaran Tauhid, Allah swt telah mengutus Rasulullah saw sebagai pembawa ajaran Tauhid yang mengesakan Allah swt iaitu ISLAM.
Allah swt telah mengutuskan Muhammad saw di kalangan masyarakat Arab kerana ketika itu masyarakat Arab adalah masyarakat yang paling teruk terpesong daripada ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Hampir kesemua masyarakat mereka menganut ajaran paganisme. Malah bapa saudara Rasulullah saw, Abu Talib adalah penganut ajaran paganisme yang sangat tegar.
Archbishop Dmitri daripada Gereja Ortodoks Amerika pernah mendakwa Islam adalah pengganti ideal ajaran Arianisme berikutan hampir 100% ajaran Islam menyamai ajaran Arianisme.
Sehingga kini, terdapat masyarakat Kristian selalu menyebut istilah Arian untuk merujuk kepada individu yang mempercayai dan menyayangi Isa as tetapi menolak “Nicaean Creed”.
Arianisme amat sesuai untuk dinyatakan sebagai ajaran yang hampir 100% datangnya daripada Nabi Isa as selain beberapa ‘mazhab’ anti-triniti yang lain. Ajaran Arianisme adalah Islam sebelum datangnya ISLAM!
"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad saw) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (An-Nisa' : 170)
-Debu-
No comments:
Post a Comment