Trending

Wednesday, 9 January 2019

SIAPAKAH ISKANDAR ZULKARNAIN PART 1


SIAPAKAH ISKANDAR ZULKARNAIN? [PART 1]
Terdapat kekhilafan dikalangan ulama berhubung dengan siapakah Zulkarnain itu.
Ada ulama yang berpendapat Zulkarnain itu ialah iskandar Zulkarnain yang dikenali juga sebagai ‘Alexender The Great’ ataupun Alexender Yang Agung.
Tetapi semakin hari semakin ramai yang menolaknya termasuklah Imam Bukhari,Ibnu Taimiyyah, Sayyid Qutb dan Ibnu al-Qayyim.
Terdapat lagi beberapa pendapat yang dapat membuktikan perbezaan kedua-dua individu ini :
1. ZULKARNAIN 'TIADA' ISKANDAR
Mengapa Zulkarnain dipanggil Iskandar Zulkarnain sedangkan dalam Al-Quran hanya dipanggil Zulkarnain?.
Baiklah.
Iskandar atau Alexander sebenarnya membawa erti nama seorang raja,begitulah jolokan kepada Zulkarnain (Zulkarnain the Great atau Zulkarnain Penakluk Agung).
Dengan kemasyhuran nama Iskandar Zulkarnain ini,ramai raja-raja termasuk raja melayu kita menggunakan nama Iskandar. Tidak ketinggalan raja-raja di India yang menggunakan gelaran “Rajendra” yang membawa maksud sama iaitu Iskandar atau Alexander.
Gelaran Zulkarnain ini cukup mempengaruhi manusia di zaman itu dan zaman seterusnya sehinggalah kepada raja dari Macedonia yang menggelarkan dirinya Alexander the Great.
Ternyata penggunaan gelaran ini menunjukkan Zulkarnain hidup lebih awal berbanding Alexander dan ia mengukuhkan lagi pendapat Zulkarnain dan Alexander the Great adalah individu yang berbeza.
2. PERBEZAAN KAREKTOR YG KETARA
Terdapat percanggahan dalam sejarah hidup Alexander the Great dengan yang diceritakan dalam Al-Quran mengenai ciri-ciri Zulqarnain.
Alexander merupakan raja yang lahir dalam empayar Macadonia yang dikisahkan telah berjaya menguasai Parsi yang merupakan empayar paling berkuasa ketika itu.
Tidak sampai sedekad,ia telah berjaya membawa tenteranya berjalan sejauh 22,000 batu dan menguasai 3 benua.
Namun kini secara perlahan-lahan kepercayaan itu mula sangsi.
Ini kerana kajian pada karektor dan kisah sejarahnya membina empayar melalui peperangan dan kezaliman.
Beliau juga dikenali raja yang kufur,suka membunuh,bergelumang dengan arak, menganggap dirinya tuhan atau anak tuhan dan persundalan.
3. Alexander Tiada dalam catatan Kitab Yahudi
Menurut Afareez Abd. Razak Al-Haffiz penulis buku “Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain”, nama Alexander the Great tidak dinyatakan dalam kitab-kitab Yahudi sedangkan sebab turunnya ayat dalam surah Al-Kahfi adalah bagi menjawab soalan pendeta yahudi kepada Rasulullah SAW dalam membuktikan kenabian baginda.
Justeru pastinya pendeta Yahudi tersebut sudah mengetahui siapa penakluk agung tersebut kerana sudah pun dinyatakan dalam kitab-kitab mereka.
Dalam hal ini,penulis lebih cenderung untuk menamakan Zulqarnain ialah Cyrus II atau Cyrus the Great,juga dikenali Kaurasyh Al-Ikhmini raja terbilang di Parsi.
* Rujuk semula pendapat Abul Kalam Azad (Bekas Menteri Pendidikan India).
4. CYLINDER CYRUS
Berdasarkan kajian budaya dan sejarah Iran berdasarkan ukiran pada batu silinder yang ditulis selepas kematiannya oleh Darius yang hebat selepas 550 atau 540 sebelum masihi.
Cylinder Cyrus adalah artifak dari zaman Empayar Parsi.
Cylinder Cyrus disifatkan sebagai piagam pertama dan telah dijadikan asas piagam hak asasi manusia kini yang menyatakan hak beragama tanpa paksaaan.
Dikatakan pernah dilawati Alexander untuk memberi penghormatan kepada tokoh pemimpin yang hebat ini.
Sekali lagi fakta ini menyokong dakwaan Zulkarnain hidup lebih awal berbanding Alexander.
Ibnu Katsir dalam kitabnya Al-Bidayah Wan Nihayah menjelaskan,meskipun terdapat nama dan plot cerita yang hampir sama iaitu dari kekuasaannya merentangi dari Barat sampai ke Timur,terdapat perbezaan jarak dan waktu kira² 2000 tahun antara mereka.
“Hanya mereka yang tidak memahami sejarah yang bertegas mengatakan mereka adalah orang yang sama”,katanya.
5. Agama yang di Anuti
Wisnu Sasongko,penulis buku “Alexander adalah Zulkarnain”,berpendapat penasihat Zulkarnain adalah Aristotle.
Manakala Socrates yang juga guru kepada Aristotle adalah ahli falsafah hebat.
Wisnu mendakwa Socrates sebenarnya seorang Islam yang cukup mulia iaitu Luqman al-Hakim, seorang tokoh yang diabadikan namanya di dalam al-Quran di dalam surah Luqman.
Walaubagaimanapun terdapat pendapat yang kuat yang ditarjihkan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azim dan disokong oleh as-Syahid Syed Qutub dalam tafsirnya 'Fi zilalil Quran'.
Sebenarnya Zulkarnain yang disebut dalam al-Quran bukanlah ‘Alexender The Great’ kerana Alex itu adalah seorang raja kafir menyembah berhala,dewa dewi ataupun Zeus.
Malah ada fakta menyatakan Alexander memegang aspek semidivine zalim Asia, memakai pakaian Parsi di upacara dan 'menerima' sujud di hadapannya.
Alexander bertanggungjawab dalam penaklukannya menyebar pengaruh Yunani. Tidak lama sebelum dia meninggal dunia, Alexander mengarahkan penduduk bandar-bandar Yunani untuk menyembahnya sebagai tuhan.
Tambahan pula penasihat atau menteri kanannya adalah seorang ahli falsafah yang tidak percaya kepada Allah.
Ini turut disokong dengan beberapa pandangan ulama-ulama Islam yang lain seperti:
Imam Ghazali dalam kitabnya al-Munqiz min adh-Dhalal dengan pendapat yang agak keras: “..maka sewajarnya mereka (Socrates, Plato dan Aristotle) itu DIANGGAP KAFIR dan juga mengkafirkan pengikut-pengikut mereka dari kalangan ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi.”
Kata Ibnu Qayyim, “Dia (Alexander) ialah anak Phillips,bukannya Zulqarnain yang dikisahkan oleh al-Quran.
Bahkan perbezaan masa antara kedua-duanya adalah sangat jauh.
Agama yang mereka berdua anuti juga memberikan satu jurang yang amat luas. Empayar Macedonia ini ialah musyrik dan penyembah berhala.”
Kata Ibnu Taimiyyah, “Sesungguhnya Zulqarnain berada dalam satu zaman yang terlalu jauh darinya (Aristotle) dan beliau membina benteng Yakjuj dan Makjuj.”
(Sumber- buku ‘Iskandar Zulkarnain’ oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf)
6. Perjalanan Alexander
Bukti-bukti menunjukkan perjalanan Alexander Macedonia tidak sampai pun ke negara China, paling jauh pun di pinggirnya saja.
Kemudian dia menemui ajal dalam usia yang muda (33 Tahun) akibat malaria.
Alexander juga tidak membina apa-apa benteng sedangkan Zulqarnain membina benteng kukuh antara gunung (dipercayai binaan awal Tembok Besar China sebelum diteruskan menjadi beribu-ribu kilometer kerana memang ada bahagian tembok itu berteraskan logam bersalut tembaga di sebelah dalamnya untuk menyekat kaum Yakjud Makjud (bangsa-bangsa gasar di utara China).
7. Dasar Takwa vs Ketamakan Kekayaan
Dalam pengembaraan Zulkarnain,beliau mendapati satu kaum di antara dua gunung yang meminta bantuan dan sanggup membayar kepada beliau sekiranya membantu menghalang pencerobohan dan keganasan Yakjuj & Makjuj.
Dan di dalam al-Quran,Allah berfirman:
"Zulkarnain menjawab: (kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya,lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh."
Cara Zulkarnain menjawab menunjukkan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam keuntungan material di dunia ini.
Misinya adalah untuk menjadi adil dan baik kepada golongan yang tertindas, dan keras kepada orang-orang yang mendatangkan kesusahan kepada golongan yang tidak berdaya.
Sebaliknya,apabila kita menganalisis Alexander dalam kapasiti yang sama,kita akan mendapat gambaran yang bertentangan dengan sikap Zulkarnain.
"Di Susa dan Persepolis beliau (Alexanders) mendapatkan khazanah imperialis berupa emas.
Dalam peperangannya di Damsyik Parsi,harta dan bekalan telah dirampas untuk memberikan kekayaan Alexander buat kali pertama. Justeru itu,dari kedua-dua catatan sejarah,ternyata Zulkarnain adalah bukan Alexander.
LICIKNYA BARAT
Jadi bagaimana kedua-dua individu ini disamakan?
Sumber-sumber Barat pada awalnya tidak menyentuh tentang Alexander Macedonia dengan pembinaan sebarang benteng atau tembok.
Namun mereka mula menyentuhnya apabila menyedari wujudnya kisah tembok Zulqarnain dalam Al-Quran.
Beberapa pengkaji berpendapat bahawa barat yang terkenal dengan sikap gemar memanipulasi fakta sejarah memainkan peranan penting untuk men’Zulqarnain’kan Alexander Macedonia.
Mereka cukup sakit hati jika apa-apa kelebihan memihak kepada ‘Timur’(Islam) termasuklah dalam isu Zulqarnain.
Barat mahu Alexander Macedonia diyakini semua orang sebagai Zulqarnain dalam Al-Quran.
Al-Quran dengan bijaknya menyanggah perkara itu apabila menyentuh bab keagamaan Zulqarnain yang jauh berbeza dengan sifat liar Alexander Macedonia.
Begitu juga dengan sejarah Rom dan Parsi yang saling beralih kuasa pemerintahan (pentadbiran dunia digilir-gilirkan antara Timur dengan Barat).
Kedua-duanya ada raja yang bernama ataupun bergelar Iskandar.
Rom pastinya iri hati dengan Iskandar Zulqarnain Parsi yang gah suatu masa dahulu.
Atas sebab itu Rom (Barat) mahu membuktikan Iskandar merekalah yang paling ulung.
Seboleh-bolehnya mereka mahu menutup kisah Iskandar Zulqarnain dari Parsi.
Sekali lagi Kalamullah begitu hikmah menyanggah hal ini dengan menyebut tokoh ini sebagai ‘Zulqarnain’ sahaja tanpa ‘Iskandar/ Alexander’.
‘Zulqarnain’ hanya ada di Parsi dan bukan di Rom (ketika itu berpusat di Macedonia).
Sepertimana filem Alexander keluaran Barat, arahan Oliver Stones menggambarkan Alexander sebagai seorang biseksual,gila kuasa, penyembah Dewa-dewi dan lemah pendirian.
Segala tindak-tanduknya dibawah kawalan ibunya,Olivia.
Sepertimana yg di lakon layarkan Alexander adalah anak kepada Raja Philips II yang memerintah Macedonia.
Setelah bapanya terbunuh Alexander menjadi raja.Seterusnya memulakan penaklukan dengan memusnahkan Empayar Parsi di bawah pemerintahan Darius I.
Penaklukan diteruskan sehingga meliputi Asia Barat,Tengah dan Asia Selatan.Alexander gagal memasuki India setelah angkatannya musnah di tangan Raja Chola.
Kemuncaknya,Alexander di bunuh dengan racun oleh pengikutnya.Hayatnya berakhir pada usia 33 tahun.
Ironiknya Alexander diabadikan dalam sejarah dunia sebagai Penakluk Agung bagi mengelirukan umat Islam pada masa kini dalam usaha men’Zulqarnain’kan Alexander.
PENDAPAT-PENDAPAT LAIN
Dalam mencari siapakah Zulkarnain,penulis mendapatkan sumber dan pendapat yang masyhur tetapi tidak dinafikan terlalu banyak pendapat dan kajian yang dibuat sehinggakan kekeliruan berlaku.
Walaubagaimanapun haruslah mempunyai bukti dan sanad yang meyakinkan dalam menerima atau menolak hujah atau pendapat-pendapat yang dikeluarkan.
Antara pendapat lain,ringkasannya:
1) Dikatakan Zulqarnain ialah anak Nabi Ibrahim daripada isteri(gundik)nya iaitu Qanturah/ Ketura.
Anak inilah yang berguru dengan Aristotle. Banyak pendapat menyatakan pandangan ini tidaklah begitu kukuh.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, Iskandar/ Alexander yang berguru kepada Aristotle ialah anak Raja Phillips (Filaqus), bukan anak Nabi Ibrahim.
Tentang keimanan ketiga-tiga tokoh falsafah itu,tidaklah didatangi dengan maklumat yang selengkapnya.
2) Yusuf Ali, salah seorang ulama yang terlibat dalam menterjemah dan mentaksirkan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris,menyimpulkan bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam Quran dan sejarah Islam sama dengan Alexander The Great di barat.
Perbezaan nama itu timbul kerana beliau menguasai empayar yang luas melangkaui dari benua Eropah sampai ke Timur Jauh.
Beliau memerintah 2 kerajaan dunia iaitu Timur dan Barat.Jadi ia hanya merupakan gelaran dan bahasa kepada individu yang sama.
3) Mengikut Wisnu Sasongko, penulis buku “Alexander the Great” memang Zulqarnain. Menurut buku yang ditulis,ia mempunyai plot yang mirip dengan penulisan Afareez iaitu “tempat terbenam matahari” adalah wilayah penguasaan pertama Alexander (matahari terbenam di pantai Laut Tengah), ke arah timur (India) dan wilayah dua gunung (antara Laut Hitam dan Laut Kaspia).
Begitu juga dengan tempat laluan yang di nyatakan di dalam al-Quran yang dilalui oleh Zulqarnain.
Yang membezakan ialah beliau bertegas laluan tersebut dilalui oleh Alexander the Great tetapi tidak dilalui oleh Cyrus the Great.
Ini dibuktikan dengan peta-peta laluan Alexander the Great daripada beberapa buah buku sejarah ada dimuatkan dalam bukunya itu.
Bahkan mengatakan bahawa Alexander the Great seorang yang beriman dengan Allah s.w.t dengan hujahannya yang tersendiri memangkas pendapat Afareez Abd Razak Al-Hafiz.
Walaubagaimanapun, penulis berpendapat hujahan Afareez hanyalah meletakkan individu yang sesuai iaitu Cyrus the Great bukanlah satu yang muktamad.
Yang jelas sekiranya Alexander the Great dikatakan seorang yang beriman, berkemungkinan Zulqarnain adalah adalah orang yang sama.
Cuma Alexander the Great yang dimaksudkan bukanlah lipatan sejarah Alexander dari Raja Macedonia.
KESIMPULAN
Sesungguhnya perdebatan siapakah Iskandar Zulkarnain tidak ada penghujungnya.
Tahun demi tahun,pengaksesan maklumat dan informasi yang disediakan memberi pengetahuan sosial,akademik dan saintifik kepada umat manusia dalam mencari kebenaran siapakah Zulkarnain.
Pelbagai sumber dikemukakan demi membuktikan kesahihan kajian dan analisis yang dijalankan bagi menjelaskan tafsiran dan telahan mereka.Kita tidak boleh menyalahkan mereka untuk tafsiran yang mereka kemukakan sama ada mengelirukan atau sama sekali salah.
Ini kerana mereka terikat dengan elemen kerja,pengaruh agama dan budaya mereka. Walaubagaimanapun sebagai umat Islam sewajarnya merujuk dan menjelaskan teks al-Quran denan cara yang terbaik menerusi tafsiran ulama-ulama yang diyakini selari dengan sumber-sumber yang ada padamerek.
Sebagaimana pendapat Muhammad Khair Ramadhan Yusuf,cukuplah bagi kita beriman bahawa Zulkarnain yang di sebut di dalam Al-Qur’an itu sebagai seorang raja agung yang beriman dan berperibadi mulia.
Siapapun beliau,Allah telah memberi kuasa dan pemerintahan yang luas.
Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui segala-galanya.
Bersambung Part 2.....
Sumber:Notahidupku


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts