Trending

Monday 21 January 2019

RIWAYAT HIDUP IMAM SYAFIE RA BINTANG YANG MENERANGI BUMI


RIWAYAT HIDUP IMAM SYAFIE R.A.
BINTANG YANG MENERANGI BUMI.
Assalamualaikum Wr. Wb sahabat-sahabat yang aku hormati semua, tidak kira di mana jua berada. Baik dari dunia nyata mahupun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Sholawat dan salam senantiasa dihatur keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dengan mengharap ridho Allah swt dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, izinkan aku yang miskin ilmu dan dhoif ini, berbagi sedikit ilmu yang dititipkan dan pengalaman untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat semua....Insha Allah...
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.
Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.
Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestine pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara, diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.
KEHEBATAN DAN KELEBIHAN IMAM SYAFIE R.A.
Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun. Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik r.a (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa. Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.
Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi. Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi. Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.
Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat..! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari ke semua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulama' sebelum mereka iaitu Syeikh Abu Hasan As Syaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.
Imam Syafie juga melarang Taklid( fanatik ), baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan :
" Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis."
Beliau juga berpesan :
" Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti."
NOTE :
Ramai yang tidak mencatatkan nama Mursyid Tarbiah Ruhani bagi Imam As-Syafie kerana nak menafikan pendapat-pendapat yang memisahkan ilmu Fiqah dengan Tasauf, guru beliau dalam bidang ini ialah Syuhbban Ar-Raie dan Abu Hamzah As-Sufi. Untuk makluman, ketiga-tiga Imam Mujtahid punyai mursyid dalam ilmu tarbiah ruhani.
Imam Abu Hanifah guru Imam Jaafar Shodiq. Imam Malik pula guru Imam Musa Kadzim dan Ma'aruf Al-Khurki manakala bagi Imam Ahmad pula gurunya ialah Abu Hamzah As-Sufi dan Bisyru Al-Hafi. Semua Imam-imam agung dari ke-empat mazhab ada guru khusus mereka dalam Tasawuf, hanya orang- orang yang bodoh sahaja menganggap Tasawuf dan Tarbiah Ruhani berasal dari Hindu-Buddha. ALLAHU ALIM..!
PUJIAN DAN PANDANGAN ULAMA' TERHADAP IMAM SYAFIE R.A.
Imam Malik r.a bekas gurunya pernah berkata :
" Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie."
Imam Ahmad Bin Hambal r.a berkata :
" Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh."
Beliau juga berkata :
" Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie."
Kata Imam Ahmad lagi :
" Setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie."
Imam Muhammad al-Hakam berkata :
" Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya, lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya, lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie."
Beliau berkata lagi :
" Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie."
PROSES PEMBELAJARAN.
Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali. Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil. Ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.
Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu. Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun. Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quran, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya. Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu..!
Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal. Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.
Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya.
Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Fiqah pula. Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula. Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.
Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera. Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.
Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah. Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.
Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof. Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.
Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.
IMAM SYAFIE TELAH DIFITNAH DAN DITANGKAP.
Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai. Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.
Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud :
" Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
Itulah diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini. Beliau sangat mencintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata :
" Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya...!" sambil merujuk kepada Imam Syafie.
Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata :
" Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya. Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya. Siapa yang mempelajari bahasa, lembut hatinya. Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya."
Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.
Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu Isya', malam Jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah ( tahun 820 M ) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.
MEMINDAHKAN KUBUR IMAM SYAFIE.
Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi Perdana Menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan.
Bila perkara ini diketahui oleh Perdana Menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina. Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.
BIODATA IMAM SYAFIE R.A.
Muhammad bin Idris al-Syafii
Cendekiawan Islam.
Zaman Kegemilangan Islam.
NAMA : Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Usman bin Syafie bin As-Saib.
GELARAN : Imam Syafie.
LAHIR : Tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi.
WAFAT : Pada 29 Rejab, tahun 204 Hijrah bersamaan 820 Masihi.
BIDANG : Fiqah, Hadis.
PENDIRI : Mazhab Syafie.
PENGARUH : Imam Malik r.a. Pendiri Mazhab Maliki.
Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Usman bin Syafie bin As-Saib, juga dikenali sebagai Imam Syafie adalah ahli fiqah Islam yang terkemuka dalam sejarah Islam. Beliau adalah pengasas kepada Mazhab Syafie, salah satu daripada mazhab Islam yang banyak diikuti oleh penganut agama Islam di India, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
RIWAYAT HIDUP IMAM SYAFIE R.A.
Imam Syafie dibesarkan di Hijaz, tanah asal Ahli Sunah Waljamaah. Pada awalnya, beliau berpegang kepada ajaran Imam Malik r.a. ( Mazhab Maliki ) sebelum berhijrah ke Iraq dan di sana beliau didedahkan kepada pemahaman logik Islam yang diamalkan oleh ahli fiqah Iraq. Setelah itu, Imam Syafii berhijrah ke Mesir di mana beliau memperkenalkan pemikiran, sistem pentaakulan/pemahaman dan ajaran beliau yang pada hari ini dikenali sebagai mazhab Syafie. Pengajian beliau dalam ilmu fiqah terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat permulaan ialah ketika beliau di Makkah dan Madinah, Hijjaz. Setelah dilatih untuk menjadi ahli fiqah yang mengutamakan Sunnah nabi, beliau dihantar ke Iraq. Di Iraq lah bermula peringkat kedua pengajian beliau, dengan mendapat pendidikan mengenai pentaakulan dalam menentukan syariat Islam. Peringkat terakhir adalah ketika beliau di Mesir dan pengasasan Mazhab Syafie.
Imam Syafie dilahirkan di Gaza, daerah Esqalan, di Palestine. Selepas kemangkatan bapa beliau, keluarganya berhijrah ke Palestine bersama-sama dengan Bani Yaman, yang merupakan satu keturunan ibu beliau. Ketika berumur 10 tahun, beliau berhijrah sekali lagi ke Makkah. Imam Syafie mula mempelajari al-Quran ketika berumur tujuh tahun dan mula mempelajari dan mengingati kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik pada umur 10 tahun. Ketika berumur 15 tahun, beliau diberi pengiktirafan untuk mengajukan/memberi fatwa pendapat beliau di dalam bidang fiqah.
Bapa beliau berasal daripada Bani Quraisy, dan nenek moyang Imam Syafie adalah al-Mutalib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Bani Quraisy merupakan penyokong Nabi Muhammad S.A.W setelah Perang Badar. Sejarah keturunan beliau memberikan beliau martabat dan mungkin juga menjadi sumber inspirasi untuk beliau mempertahankan ajaran Sunah.
Membesar di kalangan puak Badwi, Imam Syafie kemudiannya kembali ke Makkah dan memulakan pengajian syariat beliau dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, Mufti Mekah ketika itu, Sufian bin Uyaina, dan lain-lain lagi. Walaupun telah diiktiraf untuk menjadi hakim, beliau membuat keputusan untuk meneruskan pengajian dengan Imam Malik. Imam Syafie meninggalkan Mekkah ke Madinah untuk bertemu dengan Imam Malik, dan umur beliau ketika itu ialah 22 tahun. Satu riwayat menyatakan beliau pergi menemui gabenor Madinah dengan berbekalkan surat pengenalan dari gabenor Makkah dan meminta dipertemukan dengan Imam Malik. Pada mulanya gabenor Madinah itu agak keberatan tetapi akhirnya dia menemani Imam Syafie pergi ke rumah Imam Malik. Imam Malik kagum dengan kepintaran Imam Syafie lalu Imam Malik membenarkan Imam Syafie mempelajari al-Muwatta' di bawah bimbingannya.
Imam Syafii kekal tinggal di Madinah sehinggalah Imam Malik meninggal dunia. Keilmuan Imam Syafie menarik perhatian gabenor Yaman yang sedang mengerjakan haji di Makkah. Ketika itu Imam Syafie berusia 30 tahun. Gabenor Yaman mempelawa Imam Syafie untuk menjadi Qadhi di Yaman. Kerjaya Imam Syafie berjalan dengan baik. Bagaimana pun, perkhidmatan Imam Syafie ini berjangka hayat pendek. Terbukti Imam Syafie adalah seorang Qadhi yang adil, tetapi beliau tidak lama kemudian tersangkut dalam pertelingkahan dan perselisihan tempatan yang menyebabkan Imam Syafie bukan sahaja kehilangan jawatan malah diheret dengan rantai ke Iraq atas tuduhan menyokong Imam Zaydiyyah Yahya ibn Abdullah yang menjadi saingan kepada khalifah Abbasiyyah. Imam Syafie dibawa ke hadapan Khalifah Harun al-Rashid di al-Raqqa, Iraq bersama-sama tawanan-tawanan lain pada tahun 187 H/803 M. Tawanan-tawanan lain dihukum bunuh tetapi Imam Syafie diampunkan setelah beliau berjaya membuktikan kesetiaannya kepada khalifah. Dikatakan bahawa faqih mazhab Hanafi yang terkenal, Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani yang hadir ketika itu juga membela Imam Syafie. Dikatakan Khalifah Harun berasa sukacita dengan penghujahan Imam Syafie dan kemudiannya menjadi penaung beliau. Selepas insiden ini, Imam Syafie makin rapat dengan al-Shaybani dan makin giat menumpukan kepada pembelajaran fiqah dan tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan kerajaan.
Pada tahun 188 H/804 M, Imam Syafie meninggalkan Iraq dan melalui Harran dan Syria lalu ke Makkah. Imam Syafii kembali ke Baghdad pada tahun 194 H/810 M. Pada tahun 198 H/814 M, Imam Syafii meninggalkan Iraq lalu menuju ke Mesir atas jemputan Abdullah ibn Musa. Pada tahun itu juga al-Ma'mun menjadi khalifah setelah menewaskan saudaranya al-Amin setahun yang lalu.
Di Mesir, Imam Syafie mempunyai hubungan yang baik dengan gabenor Mesir. Di Mesir, beliau mengabdikan diri pada pengajaran dan penulisan. Antara murid-muridnya di Mesir adalah al-Rabi' ibn Sulayman al-Muradi, Abu Ya'qub al-Buwayti dan Abu Ibrahim Ismail ibn Yahya al-Muzani. Mereka ini banyak mencatat kata-kata Imam Syafie. Di akhir hayat Imam Syafie, beliau terlibat dalam perdebatan dengan seorang pengikut mazhab Maliki di Mesir yang bernama Fityan. Fityan yang kalah dalam perdebatan dengan Imam Syafie berasa tidak puas hati lalu mencaci Imam Syafie. Gabenor yang menjadi penaung Imam Syafie mengarahkan Fityan diarak di jalan-jalan sambil memegang sekeping papan yang bertulis ;
" Inilah hukuman kerana mencaci keturunan saudara terdekat Nabi."
Marah dengan hukuman itu, teman-teman Fityan menyerang Imam Syafie seusai beliau mengajar. Imam Syafie cedera parah lalu dibawa ke rumahnya di Fustat. Beberapa hari kemudian iaitu 30 Rejab 204 H/820 M, beliau meninggal dunia. Beliau dimakamkan di perkuburan Bani Abd al-Hakam berdekatan Gunung al-Muqattam. Pada tahun 608 H/1212 M, Sulthan Ayubiyyah Mesir, al-Malik al-Kamil membina sebuah kubah di atas makam Imam Syafie yang masih wujud sehingga ke hari ini dan sentiasa dilawati pengunjung.
SELESAI...
SEKIAN DULU...
QUL HU ALLAHU AHAD. LAA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ ZALIMIN. LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH..HASBUNALLAH WANIKMAL WAKIL.
Seperti biasa, ambil sisi positif dari keilmuan ini. Yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt, Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat-sahabat semua, aku. Tok Penjejak Badai dengan merendahkan diri memohon maaf.....
TERIMA KASIH....
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts