Trending

Thursday, 31 January 2019

Limpa ikan terusan dijual RM60000 sekilogram


SARIKEI: RM60,000 sekilogram, itulah harga ‘tidak masuk akal’ limpa ikan terusan jantan, sekali gus menjadikannya buruan kaki pancing di Sungai Rajang sejak sekian lama.
Dikenali dengan panggilan ‘lupar ikan’ dalam bahasa tempatan, khazanah berharga Sungai Rajang itu dikatakan mempunyai khasiat yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kronik.
Peniaga, King Chiew Ming, 55, berkata, limpa ikan berkenaan dijadikan sebagai bahan campuran dan popular dalam kalangan pengamal perubatan alternatif.
Katanya, limpa ikan itu didakwa mampu menjadi bahan awet muda selain penawar penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan lemah tenaga batin.
“Harga limpa ikan ini berbeza mengikut jenis dan kualiti, namun kebiasaannya spesis ikan jantan lebih mahal berbanding betina kerana dikatakan mempunyai khasiat yang lebih baik.
“Limpa ikan jantan boleh dijual sehingga RM60,000 sekilogram manakala betina pula kira-kira RM3,300 hingga RM5,000 untuk sekilogram. Sudah pasti dengan harga yang tinggi ia menjadi buruan pemancing dan nelayan,” katanya kepada NSTP.
Menurut Chiew Ming, sebelum dijual, limpa ikan perlu dikeringkan terlebih dulu dan disimpan di tempat yang sesuai bagi mengekalkan kualitinya.
Katanya, kebanyakan limpa yang dijualnya diperoleh daripada nelayan selain pemancing tempatan dan hanya dipasarkan di pasaran tempatan berikutan permintaannya yang tinggi tanpa mengira waktu.
“Walaupun harganya mahal, permintaan pelanggan untuk limpa ikan ini sentiasa ada, sekali gus menyebabkan ia antara tumpuan nelayan dan pemancing di Sungai Rajang,” katanya.
Bagi nelayan, Firdaus Jemain, 43, ikan terusan boleh diperoleh di sepanjang Sungai Batang Rajang terutama di kawasan muara sungai.
Katanya, bagi menangkap ikan berkenaan tidak semudah disangka kerana hanya mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mampu menaikkan ikan yang dianggap dan sensitif itu.
“Sifatnya yang liar dan sensitif dengan persekitaran menyebabkannya sukar diperoleh. Jadi, mereka yang berpengalaman saja mampu menjinakkan ikan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pendapatan lumayan membuatkan pemancing sanggup bersabar dan bersengkang mata kerana lebih banyak ikan ditangkap, semakin tinggi pulangan dapat diraih.
Firdaus berkata, rezeki menaikkan ikan terusan dianggap tuah kerana ia mampu memberi pulangan yang tidak mengecewakan selain permintaan yang sentiasa tinggi sepanjang masa.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts