Trending

Thursday, 7 September 2017

Viral punya pasal 1 tan udang celup tepung terjual sehari!

 
 
Bayangkan betapa murahnya jika anda dapat satu pinggan dipenuhi 45 ekor udang celup tepung dengan harga RM10 sahaja. Bukan sahaja murah, udang yang dijual juga dikatakan segar dan terjual hampir satu tan sehari lebih-lebih jika ada cuti umum.
 
Pemilik kedai makan Trizai, Zainab Mohamed, 26 tahun, berkata bahawa kedai makan yang diusahakan selama lima tahun bersama suaminya, Mohd Fitri Md Yusof, 31 tahun, tular di laman sosial baru-baru ini akibat penangan udang 45 ekor berharga RM10 yang dijual olehnya.


“Ia mula ditularkan oleh pelanggan selepas saya memasang papan iklan mengenai harga murah udang celup tepung dan ikan selayang celup tepung,” kata pemilik kedai yang terletak di Penarik, dekat Permaisuri, Terengganu itu.

“Sebelum ini, udang celup tepung bersaiz kecil dijual dengan harga RM10 untuk 30 ekor tetapi kini saya menambahnya kepada 45 ekor pada harga sama,” jelasnya.

“Ikan selayang celup tepung pula dijual dengan harga RM1.90 seekor berbanding sebelum ini dijual pada harga RM3 seekor,” tambahnya sambil memberitahu mereka turut menyediakan minuman percuma seperti teh o ais dan air sirap kepada pelanggan mereka.




Justeru itu, Zainab mula menambah bilangan pekerja bagi memudahkan operasi kedai berjalan lancar setelah kedai makannya ‘diserbu’ orang ramai baru-baru ini.

Berikutan itu, dia menyediakan bekalan udang segar sebanyak tiga tan untuk empat hari namun ia habis dalam tempoh tiga hari semasa cuti perayaan pada minggu lepas.

“Kami dapat menjual dengan harga murah untuk menarik pelanggan kerana mudah mendapat bekalan udang segar dari pembekal iaitu bapa mentua saya sendiri (Md Yusuf Embong) yang diperoleh dari ladang ternak udang Kampung Nyatoh,” sambungnya sebelum mengakhiri perbualan.

Dengan harga yang murah dan kualiti makanan yang elok, tidak hairan kedai ini mendapat
 sambutan hangat dari dalam Terengganu dan ada juga sanggup datang dari Kuala Lumpur untuk makan udang 45 ekor RM10 ini sambil bercuti ke Terengganu.
 

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts