Trending

Sunday, 7 June 2020

POKOK LIDAH JIN BOLEH SEJUKKAN RUMAH



Sebagai seorang Ahli Botani yang masih mengengsot dan cuba merangkak dalam bidang ni, saya tergerak untuk berkongsi sedikit ilmu yang saya ketahui.

Benar, fungsi tumbuhan bukan hanya sebagai pembekal oksigen, tetapi juga berguna dalam membersihkan udara kita. Tapi dalam skala yang banyaklah. Bak bait lirik lagu program Mentor TV3 "bersama berganding bahu menerajui impian yang satu".

Sebab itulah perlunya ditanam banyak pokok-pokok dan janganlah habis ditebang pokok-pokok yang kita ada demi mengejar kemajuan. Kalau bumi sejuk, kita pun selesa dan bahagia hendaknya.

TUMBUHAN SEBAGAI PENAPIS HABUK?
------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebenarnya pada bahagian daun tumbuhan terdapat suatu struktur rerambut yang dipanggil Trikom. Daripada pandangan mata kasar memang kita takkan nampak dengan jelas terdapat bermacam-macam jenis bentuk rerambut tu. Tetapi di bawah mikroskop, MasyaAllah, sangat cantik dan menakjubkan struktur trikom-trikom ini. Trikom ni ada yang unisel (hanya 1 sel) dan ada multisel (terbentuk daripada beberapa sel). Ada yang berbentuk bunga, ada yang berbentuk tapak tangan, ada berbentuk ranting, tanduk rusa ada juga yang berbentuk seperti jarum terbalik. Ada banyak penerbitan (journal dsb) berkenaan fungsi dan struktur trikom. Saya dan ahli kumpulan penyelidikan saya juga pernah menerbitkan manuksrip berkenaan struktur trikom ini dalam beberapa journal. Tapi citation masih sendu. Hahaha.

Trikom ini berfungsi sebagai perlindungan terhadap daun. Perlindungan daripada serangga dan juga melindungi daun daripada kehilangan air. Dan kebanyakan habuk bukanlah diserap sepenuhnya oleh daun tetapi lebih kepada "terperangkap" pada permukaan daun disebabkan struktur-struktur unik trikom ni lah. Eh ada jugak trikom yang mengandungi kandungan minyak patchoulli (essential oil) tau macam yang ada pada pokok Nilam. Haa cuba cari pokok Nilam (Pogostemon), boleh buat minyak wangi daripada minyak patchoulli ni tau.

Permukaan pokok lidah jin ni juga nampak macam biasa kan? tapi sebenarnya diselaputi lapisan lilin (wax) yang fungsinya untuk melindungi daun dan juga mengurangkan kehilangan air dalam daun. Kalau nak cuba tengok stomata untuk tumbuhan jenis ni, bertabah jugaklah nak kena kikis daunnya. Surgical blade tu boleh membazir berkeping-keping demi nak "bedah" daunnya.

APA ITU FITOREMEDIASI?
----------------------------------------------------------------------------------------------
Tumbuhan juga berguna dalam menyerap pelbagai bahan-bahan berbahaya yang ada di persekitaran kita dan membersihkan persekitaran kita. Ada tumbuhan yang boleh menyerap logam berat, toksin, boleh menyerap particulate matter (zarah halus), menyerap habuk kecik dan macam macam lagi.

Jadinya, fitoremediasi ini adalah satu teknologi percuma yang Allah s.w.t hadiahkan kepada manusia supaya boleh menyelamatkan alam sekitar dan menyihatkan manusia dan hidupan lain. Dah la yang merosakkan alam sekitar ni manusia jugak kan? Harusnya kita gunakan tumbuhan supaya kita dapat bersihkan balik bumi ni.

Banyak dah kajian fitoremediasi yang dijalankan oleh saintis2. Bolehlah kalian google dan baca. Memang menarikkkk... Hehehe..

POKOK LIDAH JIN BOLEH SEJUKKAN RUMAH??
------------------------------------------------------------------------------------------------

Bagi kes pokok lidah jin yang didakwa boleh menyejukkan rumah. Ada benarnya juga. Tapi kalau ada sepasu dua je dalam rumah, tak ada pun kita akan rasa rumah bertambah sejuk sangat. Hal ini terjadi disebabkan oleh Crassulacean Acid Metabolism (CAM) photosynthesis yang dilakukan oleh tumbuhan ini. Tumbuhan CAM ini dia tak ada banyak stomata. Jadinya adalah rugi bagi dia kalau dia buka stomata waktu siang, melainkan tanah dalam pasu tu ada kandungan air yang banyak, jadi air boleh diserap dengan banyak kedalam daun. Tapi tak perlulah pasu tu sentiasa bergenang dengan air, buat membiak nyamuk je nanti. Lagi pulak buat apa nak bagi air banyak-banyak kan? tumbuhan ni mampu beradaptasi dengan air yang sedikit. Hebat kan kuasa Allah mencipta makhluknya yang pelbagai?.

Lidah Jin ni adalah tumbuhan yang termasuk dalam kategori tumbuhan Xerofit iaitu tumbuhan yang boleh hidup dalam keadaan ekstrem seperti kekurangan air, cuaca terlalu panas atau cuaca terlalu sejuk dan beberapa keadaan ekstrem lain jugak. Jadinya, kalau tanam dalam rumah, pokok ni okay sebab dia tak kisah sangat akan keperluan cahaya matahari yang banyak. Lainlah kalau korang tanam pokok durian, pokok rambutan dalam pasu dalam rumah dengan niat murni membersihkan udara. Kalau tak dapat cahaya matahari yang cukup, matilah dia.

Pada waktu siang, stomata pada permukaan daun lidah jin ini akan tertutup. Ini bagi menghalang kehilangan air dari daun. Dan bila waktu malam, barulah daun-daun ini akan berfotosinstesis dengan cara menyerap Karbon dioksida. Proses fotosistesis ini juga boleh menyerap kelembapan (humidity) dan mengeluarkan oksigen. Sebab tu akan jadi makin sejuk. Tetapi cuba kalau korang berkhemah di dalam hutan pada waktu malam kat Malaysia ni. Tak sejuk sangat kan? sebab pada waktu malam, pokok-pokok di dalam hutan tak mengeluarkan oksigen tapi menyerap oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida (proses respirasi) sebab proses fotosistesis kebanyakkan dah berlaku waktu siangnya tadi. Respirasi ni berlaku 24 jam tapi lebih obvious pada waktu malam sebab proses fotosintesis dah terhenti pasal tak ada cahaya matahari.

Dulu masa waktu undergraduate, kena tangkap kelawar waktu malam, masuk hutan kat Sekayu tu, panas weh sampai berpeluh-peluh tau. Hahaha.. Tapi seronok jadi pelajar Biodiversiti. Haiwan kena belajar, tumbuhan kena belajar, Kulat-kulat kena belajar, genetik kena belajar, pencemaran kena belajar, serangga dan macam-macam lagi kena belajar.

Eh.. Panjang pulak benda yang ditaip ni. Hahaha
Jadinya, kalau nak rumah korang betul-betul sejuk, memang kena letak banyak-banyak-banyak pokok jenis ni. Barulah tetamu datang dan masuk je dalam rumah, "wahhhh... seperti berada di Jumanji - walaupun tak pernah pergi". Gurau je. Eh tapi Jumanji banyak binatang kan? hahaha.. Teehee..

[Gambar pertama dikongsi daripada Facebook Public Health Malaysia]

Updated: Ada ramai yang salah faham ni, haa tak baca betul2 lah tu. Pokok lidah jin ni bukanlah penyedut habuk pun, habuk dalam rumah kita tu memang akan jatuh dan melekat pada mana2 permukaan sekali pun. Kipas, lampu, meja, TV. Cumanya bagi tumbuhan, habuk mudah melekat sebab ada struktur rerambut dan lilin tu yg senang habuk terlekat. Jadinya makin besar daun pokok lidah jin tu, banyak laa habuk yang melekat. Jangan salah faham ya. Boleh je kalau nak letak pokok lain dalam rumah kita tu. Pokok plastik pun habuk melekat juga.

Lagi satu, pokok ni senang nak dijaga, tak mudah mati dan tak perlu siram selalu. Jadinya, kalau nak letak dalam rumah tu tak perlu penjagaan yang extra pun.

Tuntasnya, pokok lidah jin ada kebaikannya juga, tapi bukanlah seperti yang "dioverclaimed" oleh sesetengah pihak sampai harga kemain mahal dijual.

Marilah menjadi pengguna bijak. Sayangilah apa sahaja tumbuhan sekali pun. Tak begitu?



Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts