Trending

Friday, 7 December 2018

JEMBALANG TANAH BUSUT HITAM



JEMBALANG TANAH BUSUT HITAM.
Assalamualaikum wt wbt.....sahabat-sahabat yang aku hormati semua. Tidak kira di mana jua berada. Baik dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala Puji Syukur Kehadirat Allah s.w.t. Sholawat dan salam senantiasa dihatur kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Dengan mengharap ridho Allah s.w.t. Dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, izinkan aku yang miskin ilmu lagi dhoif ini berbagi sedikit ilmu yang dititipkan serta secuil pengalaman untuk dikongsi bersama sahabat semua. Inshaa' Allah.....
Tentu sahabat-sahabat masih ingat ketika di kampung, bermacam-macam pantang larang yang diajarkan oleh nenek moyang kita. Tetapi, adakalanya kita yang bersekolah modern selalu saja mengabaikan nasihat ini. Bermacam alasan kita orang muda memberinya. Tetapi, zaman nenek moyang kita mereka memegang kukuh pantang larang yang di beri. Seperti nenek aku ini....
Pantang larang turun- temurun tetap dipegang oleh nenek kukuh-kukuh menjadi petua yang mesti dipatuhi. Dia tidak akan melanggar pantang larang dari yang sekecil-kecil hinggalah yang besar-besarnya. Kalaulah tidak disebabkan dia sudah bertekad tidak mahu menjadi bidan lagi selepas aku dilahirkan, memang neneklah satu-satunya bidan yang diharapkan oleh orang-orang kampung.
Apalagi tatkala orang kampung tidak lagi menumpu ke hospital seperti sekarang, memang bidan seperti nenek aku inilah tempat mereka bergantung harapan. Bukan nenek sahaja bahkan Dukun Embah Bosri dengan Mudim Encol juga menjadi tumpuan mereka.
Sewaktu Mudim Encol sunatkan Madun Calet, tetiba saja darah turun membuak tak henti terpaksa dia menjemput Dukun Embah Bosri. Selepas Dukun Bosri bubuhkan tasak (sarang labah2) yang diambil dari sawang di kasau atap cepat sahaja darah Madun Calet berhenti macam air disekat empangan. Dukun Embah Bosri juga tergesa-gesa menyuruh dijemput nenek aku sewaktu dia mengubati Melah yang meracau-meracau tidak menentu. Apabila nenek aku potongkan bawang merah ditenyeh ke dalam piring berisi minyak kelapa, lantas sahaja Melah bangun tercengang-cengang tidak tahu apa telah berlaku pada dirinya.
Memang mereka saling kerjasama menghadapi kesukaran sewaktu dijemput orang kampung lantaran jauhnya pusat kesihatan dan jalan pula bertanah merah dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke pekan atau bandar.
" Saya tidak sanggup lagi berbidan." jelas nenek aku apabila dijemput orang setelah dia memutuskan tidak mahu lagi berbidan.
Tidak sanggup dia untuk menempuh geruh jika digagahi juga membidankan ibu sarat mengandung. Sudah jadi pantang larang dia tidak boleh membidankan anak sendiri. Namun tatkala emak aku terlantar sarat mengandung, nenek sendiri tidak dapat mengagak sama ada emak aku sampai resa ataupun belum. Tidak ada tanda-tanda emak aku akan bersalin sewaktu dia sarat mengandungkan aku.
Sebab itulah bapa aku ke rumah Tok Talib dan Nenek Aji kerana kenduri sambutan Maulidur Rasul. Memang menjadi kelaziman setiap tahun akan diadakan kenduri menjelang maulid di surau untuk sama-sama bertahlil dan berselawat.
Hanya sebelum Maghrib tiba-tiba emak aku mula merasa perutnya sakit lantas melaung nenek dari tingkap disebabkan rumah kami berdekatan. Sewaktu nenek datang bersama bapa saudara aku Busu Ju, hujan mula turun rintik-rintik. Memang nenek sudah tahu emak aku tengah sakit nak bersalin. Kalau mahu dipanggil bidan lain tidak sempat pula Busu Ju ke surau Tok Talib dan Nenek Aji memberitahu abah aku. Dalam keadaan terdesak itu nenek terpaksa menyuruh Busu Ju memberitahu abah aku fasal keadaan emak aku.
Sebaik sahaja diberitahu mengenai emak aku hampir mahu bersalin abah aku cepat-cepat balik ke rumah. Maulud Nabi terpaksa juga teruskan kenduri disebabkan jiran-jiran sudah diberitahu. Hairan juga abah aku dengan keadaan tersebut disebabkan emak aku tidak ada tanda-tanda hendak bersalin, kecuali ikut ramalan bidan sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu lagi.
Tetapi nenek aku sudah meraba perut emak aku memang terasa jelas resa akan melahirkan itu sudah diketahuinya. Belum pernah lagi nenek tidak dapat mengesan fasal ibu sarat mengandung mahu melahirkan. Dia satu-satunya bidan yang berpengalaman di kampung itu. Bidan lain pun meminta tunjuk ajar selepas dia bertekad tidak mahu berbidan lagi.
" Memanglah sudah sampai resanya." kata nenek kepada abah aku.
Ketika ini Abang Man yang disuruh jemput Bidan Nah belum lagi menjengah muka. Hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan abah aku tidak senang duduk. Abang Man adalah anak angkat nenek. Kalau dah menjemput Bidan Nah tentu boleh singgah di rumah Long Daud. Kalau Long Daud datang sebelum emak melahirkan tidaklah bimbang sangat nenek. Tetapi saat cemas ini tidak dapat dielakkan juga, apabila emak semakin sakit sebelum Bidan Nah datang. Sebaik sahaja azan Isya' di surau bersama deruan hujan lebat itulah aku dilahirkan dan nenek terpaksalah membidankan. Mahu tidak mahu nenek terpaksa juga melanggar pantang larang turun- temurun, apabila membidankan anak sendiri yang dalam kecemasan demikian.
Sebaik sahaja aku dilahirkan, nenek jadi serba salah kerana aku tidak menangis seperti lazimnya bayi yang baru lahir. Dua belah tangan aku melekap ke telinga seolah-olah bercantum tidak boleh direnggangkan. Dalam keadaan tidak tahu apa yang mahu dilakukan itu, inilah Tok Talib dan Nenek Aji datang dengan berpayungkan daun pisang.
" Siapa bidankan anak ini....?" Nenek Aji tanya sebaik sahaja naik kerumah.
" Saya sendiri, bisan." sahut nenek lemah disebabkan terpaksa melanggar pantang larangnya sendiri.
" Tetapi budak ini tidak menangis nampaknya." ujar nenek kesal dengan kejadian menimpa aku.
Nenek percaya tentulah akibat melanggar pantang larang yang menyebabkan aku dilahirkan tidak menangis langsung seolah-olah bayi tidak bernyawa.
Cepat-cepat Tok Talib mengambil aku terus melekangkan tangan aku daripada melekap ke telinga dengan membacakan al Fatihah 3x. Sebaik sahaja tangan aku lekang daripada telinga barulah aku menangis sama seperti bayi lain. Saat inilah Abang Man sampai dengan Bidan Nah dalam keadaan basah kuyup. Setelah Bidan Nah sampai nenek serahkan semua urusan kepadanya untuk mengerat pusat dan memandikan bayi.
" Kawan serahkan pada awaklah Bidab Nah." ujar nenek terus sahaja mengelak.
" Tak usahlah risau bisan." Tok Talib sengaja mengusik nenek yang resah dengan kejadian itu.
" Agaknya budak ini lahir tengah menyeru azan, sebab itu dia tak menangis." jelas Tok Talib sambil ketawa lembut disebabkan nenek aku kenal benar apabila melanggar pantang.
Sudah beberapa kali anak-anaknya melahirkan memang nenek tidak akan membidankan. Setelah menyedari anak-anaknya hampir bersalin, nenek akan segera menjemput Bidan Nah. Tahu sangat Bidan Nah pantang larang nenek tidak boleh bidankan anak sendiri. Bukan tidak membidankan sahaja, nenek pegang pantang larang tu kejap-kejap, malah mencabut akar kayu di tepi hutan juga dia tidak akan melanggar petua. Selepas berselawat 3x sekiranya anak kayu tidak boleh dicabut selepas sekali direntap nenek tidak akan mengulanginya. Dia akan cari anak akar kayu yang lain pula.
Sebab itulah apabila mencari limau berlanggir nenek mudah sahaja dapatkan limau tatkala semua pokok-pokok limau lebat tidak berbuah. Selepas puas mencari limau dalam kampung sekiranya tidak ada juga pokok yang berbuah, nescaya nenek duduk tercongok diperdunya. Setelah menepuk perdu pokok 3x nenek akan membacakan jampi serapahnya.
" ASSALAMUALAIKUM HAI NENEK KAYU, NENEK PENUNGGU SEGALA BATU, AKU NAK MINTA SEBIJI LIMAU BUAT SI ANU AKU TAHU ASAL USUL KAU LIMAU, LIMPA ANU ASAL KAU LIMAU, BERKAT LAA ILAHA ILLALLAH, HU....."
Setelah dihembus 3x ke perdu pokok nenek akan mencungkil diperdu pokok dengan hujung mata parangnya. Di situ nescaya tersembul sebiji limau sekalipun pokoknya tidak berbuah langsung. Memang siapapun hairan bagaimana nenek boleh dapatkan buah limau tatkala sebatang pun pokok limau dalam kampung tidak berbuah.
" Macam mana Kak Ibah dapat buah limau....?" Bidan Nah sendiri hairan disebabkan dia puas mencari limau untuk melanggir tembuni uri.
" Hah, ada disebalik daunnya, awak tengok betul-betul." sahut nenek sengaja berahsia, tetapi mereka tahu selepas nenek mencungkil perdu pokok berkenaan akan layu daun dalam tempoh 3 hari.
Hanya selepas nenek membidankan emak aku itulah nenek menghidapi tokak dibuku lali kakinya. Terpaksa dia pupukkan dengan pucuk daun Kenan sampai berkerak-kerak keras namun tokaknya tidak juga sembuh. Ketika ini pusat aku juga membengkak macam buah pinang tengah merah.
Apabila diberitahu kepada Tok Talib mengenai pusat aku itu membengkak hingga bernanah dia pangkah sahaja dengan kapur sirih. Tok Talib bacakan al Fatihah dan al Ikhlas masing-masing 3 kali diikuti dengan doa yang khusyu' daripada sanubarinya.
" ALLAHUMMA RABBINNASI AZHIBALBASA ISYFIANTASY SYAFI....LA SYIFA' A ILLAH SYIFA' UKA SYIFA' AN LAYU GHADIRU SAQAMAN."
Dalam sehari semalam saja bengkak dipusat aku surut tidak bertahan. Serentak itu tokak di buku lali kaki nenek aku juga mengecut macam terung dicelur air panas. Memang nenek dapat mengagak segala geruh yang ditempuhinya disebabkan melanggar pantang larang berbidan.
Bukanlah sehari dua dia mengamalkan petua yang diturunkan oleh arwah emaknya sebelum jadi bidan kampung yang berpengalaman. Dia terpaksa ikut sama mencabut akar kayu buat ramuan ibu bersalin sebelum diturunkan amalan berbidan. Setiap akar kayu ditentukan khasiatnya biar hilangkan rengat gunakan akar Pasak Bumi pecahkan angin diramu dengan akar Tutup Bumi. Kalau senggugut pula carikan akar Sangka Buana. Nenek dilatih supaya mengenali setiap jenis akar sebelum diturunkan petua tidak boleh merentapnya diulang-ulang, sekiranya tidak dapat dicabut sebaik sahaja digenjur sekali.
Selepas tahu ramuan akar kayu barulah diajar amalan mengurut menurun kalau terkena angin bisa perlu dijampi sambar urat. Semuanya amalan yang diturunkan oleh arwah emaknya mempunyai pantang larang yang wajib dipatuhi.
Setelah mahir fasal urut mengurut baharulah dia dilatih dengan menyambut bayi. Kalau sampai resa beri minum air selusuh. Jikalau songsang jampikan uri, kalau disampuk syaitan nenek akan membakar kemenyan menyeru pendampingnya membantu. Disebabkan menyeru pendampinglah dia mesti mematuhi pantang larangnya, biar sempurna segala amalan yang diturunkan kepadanya.
" Kalau saya dah langgar pantang, cukuplah saya berbidan." tutur nenek perlahan sebaik sahaja tidak berdaya mengubat tokak dikakinya.
Ketika ini dia sudah membakar kemenyan menyeru pendampingnya bersemuka setelah menyedari dia melanggar pantang.
" Kenapa awak bidankan anak sendiri....?" gerutu Tok Syeikh@Anjang Aki menjelma didepannya dengan jubah serba kuning.
" Habis nak biar saja anak kawan beranak tidak berbidan....!" sahut nenek mencebek bibir meluahkan rasa hati yang mendongkol.
" Tapi awak tak kerat pusat, awak juga tak mandikan bayi itu." ujar Anjang Aki perlahan memujuk nenek kerana nenek tidak melanggar pantang larang yang ditetapkan.
" Memang kawan tak langgar pantang, tapi kenapa tokak di buku lali kaki kawan tak baik....?" marah benar nenek disebabkan tokaknya belum surut setelah berminggu.
" Hah, tokak awak bukan fasal langgar pantang." kata Anjang Aki menyakinkan nenek.
" Jadi apa ke halnya....?" nenek berang dengan riak Anjang Aki yang tersengih-sengih memandangnya.
" Awak terpijakkan tempat jembalang tanah berumah." ujar Anjang Aki menunding ke arah ular hitam yang garang mengangkat kepala di tepi belukar tempat nenek menebas tapak semaian padi.
" Kenapa Tok Syeikh tak lindungkan kawan....?" lantas nenek menyindirnya kerana tidak dapat bertahan daripada gangguan syaitan yang menjelma menjadi ular hitam di tepi belukar.
" Macam mana nak lindungkan, sebab awak lalai sampai terpijak tempat dia." dalih Anjang Aki terpaksa berundur apabila ular hitam itu mahu menerkam ke arahnya.
Sambil berligar-ligar Anjang Aki terpaksa memukul kepala ular itu dengan tongkat Rotan Songsang berwarna kuning. Terpelanting ular hitam itu akibat dipukul kepala hingga bergulung-gulung menggelepar. Tetapi ular hitam itu tidak mengalah sekalipun terkial-kial kepala selepas dipukul kuat. Tubuhnya beransur-ansur jadi asap debu hingga bertukar menjadi perempuan tua dengan rambut beruban mengerbang serta muka berkerut hodoh. Belum sempat Anjang Aki mara ke hadapan memukul tongkat Rotan Songsangnya, perempuan tua itu menghentakkan tongkat batang bembannya hingga memancar api yang menyambar. Terpaksa Anjang Aki undur kebelakang lantas membuka serbannya terus dikibarkan ke api yang menyala marak.
Api yang marak itu bagaikan ditiup angin kencang meliuk ke arah perempuan tua itu hingga hampir menyambar rambutnya yang mengerbang putih. Termengah-mengah perempuan tua itu mengelak api. Terketar-ketar dia melompat ke atas busut hitam dalam keadaan termengah-mengah.
" Nak berlawan sangat awak ni Tok Syeikh@ Anjang Aki....!" ejek perempuan tua hodoh itu melenggok-lenggok kepalanya laksana ular di terpa musuh.
" Kalau awak nak cuba apa salahnya." sahut Anjang Aki menghentak-hentak tongkat Rotan Songsangnya.
" Awak Penghulu Bunian, kenapa nak tolong Bidan Ibah ni....?" terketar-ketar perempuan tua itu bersuara sambil mengerling nenek yang bersimpuh membiarkan asap kemenyan berkepul-kepul ditengah rumahnya.
" Kenapa pulak awak Jembalang Tanah nak mengganggu dia....!" jerkah Anjang Aki mengejeknya.
" Selagi aku ada, jangan cuba nak ganggu sahabat aku ini." dia memberi amaran menundingkan tongkatnya ke muka perempuan tua berambut putih mengerbang itu.
Tertunduk perempuan tua itu apabila Anjang Aki menuduhnya Jembalang Tanah. Saat ini dia tidak dapat menyembunyikan dirinya setelah nenek dapat membaca rahasia perempuan tua berkenaan. Apabila perempuan tua itu cuba memusingkan badan, Anjang Aki menghembus ke arahnya, menyebabkan tiba-tiba sahaja jaring besi jatuh dari udara menyerkupnya. Terlalu marah perempuan tua rambut mengerbang itu disebabkan terkurung dalam serkup jaring besi. Puas diketuk-ketuknya dengan tongkat Batang Bemban jaring besi itu tetap tersergam kukuh. Kemudian dia membongkok mengambil genggaman pasir lantas dilemparkannya ke arah jaring besi itu hingga terpokah bagaikan cair dilebur ke api.
Terkekeh-kekeh dia ketawa mengejek sebaik sahaja dapat membolos keluar daripada serkup jaring besi itu. Ketika ini Anjang Aki membisikkan kepada nenek supaya membacakan;
" UNGGUN-UNGUN ANGGAH-ANGGAH DATANG NENEK TONGKAT BESI.
TERLANDA ENGKAU PATAH TERPIJAK ENGKAU MATI.
MATA KAMAK MATA KAMU.
KAMU BUDANG BADANG.
SIAH KIRI SIAH KANAN SIAHKAN KATA AKU.
AKU TAHU ASAL KAU JADI.
DARAH ULAR SEKATI MUNUR ASAL KAU JADI.
YASSIN KATA ALLAH.
YASSIN KATA MUHAMMAD.
YASSIN KATA BAGINDA RASULULLAH.
BERKAT LAA ILAHA ILLALLAH, HU.........."
Habis sahaja membaca jampi serapah yang diajarkan oleh Anjang Aki, dia melihat Anjang Aki berundur ke belakang. Perempuan tua rambut mengerbang putih itu terpinga-pinga apakala mendengar tanah bergegar bagaikan dipijak tapak kaki sebesar bukit.
Nenek terus memejamkan mata membiarkan asap kemenyan melabun sehingga menyelubungi seluruh badannya. Di tengah-tengah gegaran tanah itu dia mendengar Tok Talib mendehem jauh di udara. Apakala nenek mendongak dia melihat Tok Talib berjalan di udara laksana berjejak di tengah halaman.
" Saya tidak sanggup lagi lindungkan Bidan Ibah, Haji." lemah sahaja suara Anjang Aki menunduk sebaik sahaja Tok Talib tercegat di depannya.
" Kamu juga makhluk Allah, tidak berhak melindungi sesama makhluk." Tok Talib mengingatkan Anjang Aki yang tersengih-sengih malu disindir.
Tok Talib memang mengetahui sememangnya perempuan tua rambut putih mengerbang yang dipanggil Jembalang Tanah itu tidak akan mampu menewaskan Tok Syeikh@Anjang Aki, Penghulu Bunian itu. Tetapi Anjang Aki sendiri tidak berupaya melindungkan nenek sekiranya di ganggu. Kalaulah tidak disebabkan hati nenek cekal melawan gangguan itu nescaya dia juga tewas tidak dapat bertahan.
Kemunculan Tok Talib secara tiba-tiba itu menyebabkan perempuan tua berambut putih mengerbang itu menggelisah tidak menentu. Tatkala dia cuba menghambur dari busut hitam, kakinya tiba-tiba menjadi lemah. Menyeringai dia menampakkan gusi yang bergigi jarang laksana anjing disorongkan kayu ke rahang.
" Aku bukan nak bermusuh dengn awak, Haji." ujar perempuan itu ketakutan menjadikan kulit mukanya yang berkedut bertambah hodoh.
Tok Talib tidak peduli apapun yang dituturkan oleh perempuan tua berkenaan. Dia merenung tepat muka hodoh perempuan tua yang tergolek ke tepi busut hitam, terkial-kial berpaut disitu. Belum sempat dia bangun berdiri tegak, Tok Talib mengisar tapak tangan membacakan al Ikhlas 3x, menyebabkan perempuan tua itu terhenyak. Terketar-ketar dia memegang pinggangnya bagaikan patah dihentak kuat.
" Nak bunuh aku ke, Haji....?" runggut perempuan tua itu menyeka rambutnya yang beruban mengerbang hingga menutup muka.
Tetapi Tok Talib tidak hiraukan gerutu perempuan tua berkenaan. Dia bacakan ayatul Qursi 17x, dihembuskan sekaligus ke muka perempuan tua itu. Hingga tiba-tiba sahaja kulit mukanya cair bagaikan lilin dicucuh api. Kulit mukanya juga luruh laksana kertas buruk terendam di air yang diramas-ramas kasar.
Apakala perempuan tua itu mahu meraba kulit mukanya, biji matanya juga tersembul keluar menyebabkan dia menjerit-jerit tidak ketentuan. Anjang Aki yang melihat kejadian itu juga menjadi gementar hingga tidak berani bercakap sepatah pun.
Sebaik sahaja tubuh perempuan tua melebur menjadi debu, nenek juga tersentak ditengah rumah. Bara tempat membakar kemenyan juga sudah padam menjadi arang. Terasa seluruh tubuh badannya berpeluh dengan ombak dada termengah-mengah. Busu Ju yang berbaring diserambi sekadar mendengar nenek merungut-rungut sahaja ditengah rumah.
Jikalau nenek membakar kemenyan tengah malam memang Busu Ju tidak ambil peduli sangat, dia tahu nenek menyeru Tok Syeikh@Anjang Aki datang menjelma sekiranya dia terdesak. Lainlah kalau nenek memanggilnya ambilkan air atau perkakas ubat-ubatan yang diperlukan barulah Busu Ju membantu. Bangun pagi esoknya nenek merasakan tokak di buku lali kakinya tidak lagi berdenyut sakit. Bengkaknya juga sudah mula mengecut. Tatkala dia datang menjengah aku, memang nenek menghela nafas lega setelah melihat bengkak di pusat aku sudah seruh benar. Dia tahu memang Tok Talib yang doakan supaya bengkak di pusat aku cepat sembuh.
Tak lama setelah kejadian itu, tiap-tiap malam pula aku kembung perut sehingga menangis santak dinihari. Gelabah juga emak dan abah aku disebabkan kembung perut itu sampai keras macam kulit tabuh surau. Puas abah aku doakan, tetapi kembung perut itu hanya reda untuk seketika sahaja. Tatkala aku tenar menangis, abah aku bacakan sahaja surah al Ikhlas sampai 100x. Habis sahaja abah aku bacakan surah tersebut, lantas sahaja aku terberak tidak bertahan. Selepas terberak barulah aku tidur lenyak sampai ke pagi.
Tetapi malam esok pula kembung perut itu berulang lagi. Kesal juga nenek kerana dia melanggar pantang larang berbidan, sekalipun Anjang Aki memberitahu dia tidak melanggar apa-apa pantang larang yang ditetapkan kerana tidak memotong pusat dan tidak memandikan bayi. Macam manapun nenek tetap merasa dirinya bersalah menyebabkan aku sentiasa sakit sahaja semasa baru dilahirkan sampai berusia enam bulan.
" Biarlah nenek tak berbidan lagi." beritahu nenek bertahun-tahun dia mengambil keputusan nekad berhenti terus menjadi bidan.
Puas dipujuk orang-orang kampungnya, nenek tetap dengan keputusannya. Dia tidak akan menjadi bidan lagi selepas sahaja aku dilahirkan.
" Kenapa nenek mesti terima pantang larang....?" sengaja aku mengusik apabila sesekali berkunjung ke rumahnya.
" Hah, adat kita berbidan mestilah ikut pantang larang." jelas nenek perlahan.
" Kalau di hospital nak jadi bidan kena berpakaian serba putih, jadi pantang larang inilah pakaian bidan kampung." tersengih-sengih nenek macam menyindir aku.
Nenek percaya gangguan yang aku alami semasa kecil memang jelmaan Jembalang Tanah yang mengambil kesempatan apabila nenek melanggar pantang larang. Tetapi Tok Talib sekadar menjelaskan.
" Apapun penyakit datangnya daripada Allah s.w.t. untuk menguji kesabaran hamba-hamba-Nya."
Kejadian yang aku alami itu memang tidak pernah aku tahu langsung. Kalaulah tidak diceritakan oleh nenek, manalah aku tahu kejadian pusat aku membengkak sebesar buah pinang masak menyebabkan pusat itu tersembul sebaik sahaja sembuh. Bimbang juga emak aku kalau-kalau bengkak berkenaan boleh menyebabkan perut berkulit lembut itu akan berlubang pesuk.
" Tapi Allah mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi." tutur nenek apabila kenangkan kejadian yang menimpa aku semasa baru dilahirkan dulu.
Terkejut juga aku apabila Ngah Min yang sudah lama berpindah ke Kampung Jalan Berseri, Batu 13 di Singapura memberitahu fasal nenek aku pernah membidankan menantunya tengah mengerang sakit sebelum menjemput bidan klinik dijemput datang. Memang menantunya Busu Salma dibenarkan bersalin di rumah sahaja disebabkan bersalin kali kedua.
Sebaik sahaja anaknya Sidin menunggang motorsikalnya ke klinik, tetapi bidan yang bertugas sudah ke kampung lain untuk membidankan orang. Gelabah juga Sidin disebabkan seorang sahaja bidan bertugas di kampung berkenaan dalam masa dua orang ibu sarat mengandung hampir melahirkan anak.
Sehinggalah nenek meninggal dunia memang dia tidak lagi mahu membidankan sesiapa sahaja, setelah dia nekad membuat keputusan. Tetapi ke mana pun dia pergi orang-orang kampung tetap memanggilnya bidan juga.
Setelah 7 hari nenek meninggal dunia itulah, sudah seminggu aku hilang tidak balik ke rumah setelah pulang dari sekolah. Padahal hanya sehari sahaja aku di ajak Anjang Aki ke Kampung Bunian. Tetapi di alam nyata, aku sudah seminggu hilang tidak diketahui kemana aku pergi. Sehinggalah, abah aku meminta bantuan dari Embah Bosri, dan ternyata aku dibawa ke Alam Bunian di kampung Tok Syeikh@Anjang Aki dan Ali cucunya...
SEKIAN DULU....
Seperti biasa, ambil sisi positif dari cerita ini yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tidak bisa ditandingi, adalah kekuatan daripada Allah s.w.t. Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tidak berkenan di hati para sahabat semua, aku. TOK PENJEJAK BADAI dengan merendahkan diri, memohon maaf.....
TERIMA KASIH.....
*********************************************************************
KAMPUS TOK PENJEJAK BADAI II.
RAWATAN UNTUK RESDONG.
Resdong selalunya orang2 Asia macam kita yg sering kena resdong. Ketahui lah puncanya resdong adalah dari ulat resdong yg lama menetap di bahagian muka, terutama hidung. Mungkin kerana cuaca, persekitaran atau cara permakanan kita yg membuat ulat resdong membiak. Tetapi yg penting, penyakit resdong ini boleh di rawat dan di hapuskan hingga ke akar2nya sekali agar tidak berulang kembali setelah di rawat.
BAHAN2 YG DI PERLUKAN.
1.) Limau Nipis 8 biji.
2.) Daun Pandan 10 helai.
CARANYA :
- Siapkan 8 buah limau nipis dan 10 helai daun pandan.
- Hiris halus-halus daun pandan.
- Perah buah limau hingga menghasilkan air limau yang banyak, saring air untuk memisahkan bijinya.
- Campurkan air perasan limau dengan daun pandan.
- Ramas daun pandan beberapa minit sehingga air berubah menjadi kehijauan.
- Tapiskan sampai tertinggal air saja.
- Bacakan ayat-ayat di bawah ini pada bahan-bahan tadi.
- Basuh atau cuci muka terlebih dahulu.
- Basuhkan air tadi ke wajah Anda, elakkan terkena mata atau bibir.
- Tunggu wajah kering lalu sapukan lagi.
- Lakukan setiap 3 jam untuk hasil yang lebih baik.
- Selepas berakhir, cuci wajah Anda dengan air biasa.
* Bacakan ayat-ayat ini :
1.) Al fatihah. 1x.
2.) Sholawat Syifa'. 1x.

أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ طِبِّ الْقُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأَبْدَانِ وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأَبْصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ.

ALLAAHUMMA SHOLLI 'ALAA SAYYIDINAA MUHAMMADIN TIBBI ALQULUBI WADAWAAIHA WA'AFIYATI AL'ABDAANI WASYIFAA'IHAA WANUURI ALABSHORI WADLIYAA'IHA WA'ALAA ALIHI WASHOHBIHI WABARIK WASALLIM.
3.) Doa Resdung. 7x.

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ. 7x

Inshaa Allah, akan elok selepas itu.
Buat 3 kali seminggu. Lebih afdal lakukan antara jam 10 pagi - 3 petang, kerana waktu ini ulat resdong sedang aktif. Lebihan dari bahan-bahan ni boleh di simpan dalam peti sejuk. Tapi yang masih baru lagi baik.
Inshaa Allah, dalam beberapa minggu akan nampak perubahan pada wajah kita dan tidak ada lagi bersin atau hinggus yang mengganggu aktiviti kita seharian.
Mudah-mudahan dengan petua ini dapat membantu para sahabat yang menghidapi resdung, tidak lagi merasa malu atau segan untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian. Dan para sahabat yang mengalami jerawat batu di muka, akan dapat melihat kesan pada muka sahabat. Tiada lagi jerawat batu di wajah. Aku berbesar hati sekiranya sahabat berhasil dengan petua ini...Aamiin..
TERIMA KASIH.....
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts