Pelakon Zul Ariffin mengakui bukan kali pertama peminat menjodohkannya dengan heroin gandingannya dalam drama lakonannya.
Kata Zul, fenomena yang sedang berlaku antara dia dan Neelofa hingga wujud hashtag #Zulofa pernah berlaku ketika dia berlakon bersama Ayda Jebat (M.A.I.D & Rindu Awak 200%) dan Farah Nabilah (Titian Cinta).
“Sejak awal penggambaran drama bersiri Ti Amor Sweetheart 100 Hari lagi sudah ada yang mula mencipta hashtag #Zulofa dan saya tidak terkejut pun.
“Ini bukan kali pertama terjadi antara saya dan pelakon yang digandingkan bersama.
“Namun, apa yang boleh saya katakan bukan saya yang mengawal peminat kerana tugas saya hanya berlakon dan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya kepada Astro Gempak.
Zul ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugera MeleTOP Era (AME2018) di Timbre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelakon itu tercalon dalam tiga kategori iaitu Bintang Filem MeleTOP (J Revolusi & Tombiruo), Pelakon TV MeleTOP dan Drama MeleTOP.
Sepanjang penggambaran drama bersiri Ti Amor Sweetheart 100 Hari bersama Neelofa, Zul menegaskan kontroversi yang berlaku tidak menjejaskan tugasnya.
“Saya fokus kerja saya, selepas habis penggambaran 16 hari masing-masing balik buat hal sendiri.
“Apabila sudah hampir bersiaran saya akan kembali menjalankan tugas untuk mempromosi dan sebagainya.
“Itu sahaja ruang kerja saya, tidak lebih daripada itu,” tambah Zul.
Terdahulu, timbul perdebatan antara netizen yang menyelar tindakan Zul dan Neelofa yang berpelukan dalam salah satu adegan drama arahan Michael Ang itu.
Menerusi naskah adaptasi novel karya Suri Ryana itu, drama bersiri itu turut dibintangi oleh Scha Alyahya, Elvina Mohamad, Fahad Iman, Sharifah Shahora, Raja Afiq dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment