ZIANA teruja sertai siri komedi Mak Cun.
Menginjak usia 50-an, nama penyanyi dan pelakon Ziana Zain masih utuh. Malah, pengikut yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang masih setia menyokongnya.
Penyanyi Madah Berhelah itu juga mengakui, meski sudah tiga dekad dalam industri, rezekinya tidak pernah putus.
“Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan walaupun sudah berusia 50 tahun. Selagi terdaya saya akan kongsi bakat dengan peminat,” katanya. Menariknya, dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri komedi popular, Mak Cun.
“Saya sudah lama berkawan dengan Erma Fatima. Dia mengajak saya untuk buat kemunculan khas dalam drama popular ini.
“Tidak terlalu banyak babak, tetapi saya teruja melakukannya. Mana tidaknya, kebanyakan pelakon kawan rapat saya,” katanya.
Menurut Ziana, cabaran kali ini dia perlu bertutur dalam loghat utara memandangkan drama itu memaparkan kisah penduduk kampung di Kedah.
“Mujurlah, saya ramai kawan dari utara tanah air dan mereka banyak ajar saya cara bercakap dan sebagainya,” katanya.
Kata Ziana, dia bagaimanapun tidak boleh menerima tawaran lakonan yang memerlukan komitmen masa terlalu lama memandangkan banyak hal lain yang perlu diuruskan.
“Kalau tawaran untuk drama yang terlalu panjang, saya terpaksa tolak.
Selain seni, saya perlu fikirkan mengenai perniagaan dan juga karier nyanyian. Jadi, semuanya perlu diatur dengan baik,” katanya.
Ditanya mengenai single baru, Ziana memaklumkan akan ada kejutan buat peminatnya dalam tahun ini.
“Saya tak boleh beritahu sekarang, tapi yang pasti ada perbincangan mengenainya dan kalau semuanya berjalan lancar, akan ada buah tangan baru daripada saya,” katanya.
Seiring peningkatan usia, banyak perubahan cara kerja yang dirasakannya selaku artis senior.
“Setiap perkara yang kita lakukan perlu dirancang dengan lebih awal. Ini penting untuk memastikan setiap yang dilakukan, berjaya direalisasikan.
“Dengan merancang lebih teliti, kita akan tahu juga kemampuan diri dan sejauh mana boleh pergi dalam mempertaruhkan sesuatu karya seni,” katanya.
Bagaimanapun, Ziana sentiasa mengharapkan agar industri seni tanah air sentiasa dimeriahkan dengan kehadiran bakat baru.
No comments:
Post a Comment