Trending

Wednesday, 21 March 2018

Saya ketika mahu bernikah dengan suami tidaklah merampas hak orang


PELAKON Zarina Zainuddin, 48, mengakui dia sudah 25 tahun menjalani hidup bermadu dalam suasana harmoni dengan isteri pertama suaminya.
Ibu empat anak itu memberitahu dia setuju menjadi isteri kedua selepas bertemu dan meminta restu daripada isteri pertama untuk berkongsi suami.


“Saya dahulu, ketika mahu bernikah dengan suami tidaklah merampas hak orang. Sebaik suami ajak berkahwin, saya minta padanya untuk bertemu dengan isteri pertama.
“Ketika itu, niat saya mahu berkongsi kasih dan sudah jodoh dengan suami orang. Jadi, saya kena berani bertemu dengan isteri pertama suami untuk meminta restu.
“Alhamdulillah, apa yang saya lakukan itu memberi kebahagiaan buat kami sekeluarga. Sudah 25 tahun, hubungan saya dan madu sentiasa dalam kedaaan baik,” katanya.
Menurut pelakon drama Ku Kirim Cinta ini, pada awal perkahwinan dia dan suami pada usianya 22 tahun dahulu berpaksikan simpati.


“Saya berkahwin pada usia muda ketika nama masih di puncak dalam karier seni. Saya dan suami, kami tidak bercinta sakan.
“Suami hendak berkahwin dengan saya ketika itu kerana simpati. Itu pun, suami memberitahu saya selepas tiga bulan kami berkahwin,” katanya.
Menurut Zarina lagi, dia tidak berkecil hati dengan pengakuan itu kerana yakin niat suaminya ikhlas walaupun harus bermadu.
Ujarnya, dia sangat bersyukur dipertemukan jodoh dengan suami. Malah, berkat kesabaran, sentiasa mengalah dan sedar diri sebagai isteri kedua, Allah SWT memberikan kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
“Adat menumpang kasih, saya harus tahu kedudukan diri. Apatah lagi, tiada wanita pun yang mahu berkongsi suami.
“Sejak dari dulu, saya sangat menghormati hak madu sebagai isteri pertama suami. Susah senang memang banyak mereka lalui bersama sebelum kemunculan saya.
“Apapun, indahnya kehidupan dijalani kini, saya dan madu tinggal berjiran. Rumah kami bersebelahan dan saling membantu di antara satu dengan lain termasuk berniaga pulut kuning bersama,” katanya.
Zarina berkata dia dan madunya juga sering memasak bersama dan jika sibuk dengan penggambaran drama maka isteri pertama dan suami akan menjaga anak-anaknya.
Hasil perkongsian hidup Zarina dan suami, mereka dikurniakan anak kembar istimewa, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 22, Muhammad Naim Azrai, 15, dan Muhammad Adam Azrai, 12.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts