ELAWAK dan penyampai radio Hot FM, Syuk, 31, tidak menyalahkan bintang undangannya, pelakon Uqasha Senrose yang menyebabkan dia tewas di gelanggang akhir Bintang Bersama Bintang (BBB) disiarkan TV3 pada malam Ahad lalu.
Ini kerana, Syuk yang sentiasa konsisten dalam persembahan lawaknya setiap minggu adalah antara calon pelawak disebut-sebut sebagai juara.
Apapun, akibat terlalu banyak kesilapan di atas pentas terutama yang didakwa berpunca daripada Uqasha secara tidak langsung menutup peluang Syuk dinobatkan sebagai juara.
Syuk ketika dihubungi berkata Mark Adam memang layak menang pada malam itu dan dia kalah bukan berpunca daripada persembahan Uqasha.
“Bukan salah Uqasha dan jangan salahkan dia (Uqasha). Jujur diakui, saya tidak menuding jari kepada Uqasha di atas apa yang sudah berlaku pada gelanggang akhir BBB itu.
“Kami sudah berlatih dengan sebaiknya, cuma adatlah apabila perancangan yang sudah dibuat dari awal itu tiba-tiba tidak menjadi. Ia adalah ketentuan Yang Maha Esa.
“Hendak tuding jari pada setiap orang yang terbabit dalam persembahan saya ketika itu, rasanya tidak adil. Sudah rezeki saya tidak menang,” katanya.
Memuji komitmen diberikan oleh Uqasha, pemilik nama sebenar Muhammad Shukri Mohamed Sahar ini berkata dia sebenarnya sangat berterima kasih apabila Uqasha sudi menjadi bintang undangannya.
Mengulas juga mengenai niat murni Mark Adam yang sedia berbahagi hadiah RM100,000 dimenangi bersama empat peserta lain, Syuk berkata perkara itu adalah persetujuan bersama.
“Selepas kami berlima iaitu saya, Mark, Achey, Ajak dan Issey diumumkan akan mara di pentas final BBB, perbincangan dibuat untuk membahagikan hadiah kemenangan diraih itu.
“Tidak kira siapa di antara kami berlima yang akan muncul juara, hadiah kemenangan akan diagihkan iaitu 40 peratus menjadi milik juara manakala 60 peratus lagi akan dibahagikan kepada empat peserta lain,” katanya.
Menurut Syuk lagi, persetujuan itu dibuat untuk berlaku adil kepada semua finalis bertanding supaya tidak ada seorang pun balik dengan tangan kosong kerana hadiah hanya disediakan untuk juara.
Apapun, katanya dia berpuas hati kerana persembahan kesemua finalis di gelanggang akhir BBB lalu boleh dianggap terbaik dan menghiburkan penonton.
No comments:
Post a Comment