PETALING JAYA 20 Mac – Pelakon terkenal, Elizad Sharifuddin, 34, tanpa berselindung mengakui dia tidak sanggup hidup bermadu meskipun telenovela Syurga Yang Kedua lakonannya banyak mengetengahkan norma-norma positif kehidupan berpoligami.
Bagaimanapun Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin menyifatkan, drama tersebut berjaya membuka mata banyak pihak terutama golongan wanita terhadap isu poligami yang menjadi igauan ngeri buat para isteri.
“Tidak dinafikan, memang ada pengikut di laman sosial saya berbincang secara terbuka mengenai isu ini. Dari situ, saya boleh nampak daya pemikiran mereka yang matang dan positif.
“Pada masa yang sama, masih ada lagi yang takut jika poligami berlaku terhadap diri mereka. Tidak kurang juga ada pengikut yang berkongsi pengalaman hidup bermadu,” ceritanya.
Pun begitu, ketika diajukan soalan sama ada dia bersedia menjalani kehidupan seperti yang digambarkan menerusi drama arahan Zamri Zakaria dan Bahri Uma Bajuri itu, Elizad tidak berdolak-dalih menjawabnya.
“Jika suami mahu berkahwin lain, saya benarkan. Akan tetapi, dia harus lepaskan saya dahulu. Biarlah suami meneruskan kehidupan dengan isteri baharunya.
“Jujurnya, saya tidak cukup kuat untuk mengharungi kehidupan yang dilalui oleh watak Sabrina. Lebih baik saya undur diri,” katanya berterus terang. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment