SUMPAH PEREMPUAN BERSUAMI TUJUH.
Assalam.....Sahabat-sahabat yang aku hormati semua, tidak kira di mana jua berada. Baik dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala puji syukur kehadirat Allah swt. Selawat senantiasa dihatur keatas Junjungan Baginda Nabi Muhammad saw. Dan dengan kerendahan hati yang paling dalam, tiada setitik niat dihati untuk menggurui sesiapa. Hanya mencari redho Allah swt dan berzakat ilmu semata. Izinkan aku yang miskin ilmu lagi dhoif ini, berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama para sahabat-sahabat semua. Insyaallah....
Kisah ini lebih kurang seperti kisah Lagenda Cik Siti Jalang yang bersuami 100 yang dikatakan berlaku pada abad ke-17, kira-kira 200 tahun selepas kejadian Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang dikatakan berlaku di Kampung Tembioh di Kota Tinggi. Perbezaannya hanya bilangan suami yang berjumlah 7 orang. Macam mana ceritanya, mari sahabat-sahabat ikut aku...
Selekoh jalan melalui kawasan hutan di lereng bukit memang sukar kereta mahu bergerak laju. Terpaksa Amir perlahankan keretanya disebabkan malam gelap diselaputi kabus tebal tatkala menempuhi jalan berkenaan. Aku sengaja lelapkan mata disebabkan terasa mengantuk setelah hampir jam 2.00 pagi melintas di situ apabila balik dari Pelangai.
Memang seringkali juga aku melalui jalan yang banyak selekoh itu apabila ke Pelangai. Tetapi di selekoh jalan berkenaan sudah beberapa kali mereka yang lalu-lalang melebihi jam 12.00 malam terserempak perempuan mengendong anak kecil di belakangnya melintas jalan. Kemudian hilang di perdu pokok di tepi selekoh dalam jeritan nyaring yang menggerunkan. Beberapa kali aku melalui jalan berkenaan tidak pula terserempak perempuan mengendong anak itu. Tetapi Amir mengakui dia melihat perempuan tersebut berjalan menundukkan kepala semasa keretanya melalui kawasan tersebut tatkala hujan renyai turun merintik. Terpaksa Amir memberhentikan keretanya supaya tidak merempuh perempuan tersebut.
Setelah perempuan berkenaan melintasi jalan Amir nampak dia menuruni lurah di sebalik pokok besar. Sebaik sahaja kelibat perempuan itu hilang dia mendengar jeritan nyaring hingga bergema ke udara. Sejak beberapa waktu mereka yang melintasi selekoh berkenaan menamakan tempat itu Selekoh Minah.
Sebab itu apabila Amir menepuk bahu memberitahu aku keretanya sudah melalui Selekoh Minah, aku sekadar tersenyum sahaja. Perkara perempuan mengendong anak di belakang, tidak sama dengan Fitriati yang sudah meninggal dunia disebabkan pendarahan semasa melahirkan anak. Memang sebak benar hati Agus apabila kenang isterinya meninggal dunia dalam usia yang masih muda.
" Tenang Agus, jangan dipersoal urusan Allah." pujuk Dato' Bandaro meminta menantunya tidak ikutkan sangat perasaan sedih yang menusuk itu.
Kalau Agus kehilangan isteri dia juga kehilangan anak kesayangannya. Memang Fitriati satu-satunya anak perempuan Dato' Bandaro. Sewaktu aku jejak kaki ke Bukit Tinggi jenazah Fitriati sudah selamat dikebumikan. Masih terbayang kesedihan di wajah Dato' Bandaro sekalipun dia tetap melirik senyum tatkala memeluk aku. Sepanjang malam pula dia masih bergurau untuk menghilangkan kesedihan yang menusuk.
" Kalau masa dulu perempuan mati beranak dikatakan jadi hantu Kuntilanak." tutur Dato' Bandaro tersengih-sengih.
" Mayatnya akan terseksa ditusuk jarum pada jari, dibubuh emas dalam mulut dan telur sebiji di bawah ketiak." dia menambah dalam keluhan kesal apabila kenang orang tua-tua di masa lalu takut benar dengan mayat perempuan mati semasa melahirkan anak.
Mereka percaya perempuan yang mati semasa melahirkan anak akan menjelma menjadi hantu Pontianak sekiranya sepuluh jarinya tidak ditusuk jarum. Sudah tentu kukunya menjulur panjang sampai sejengkal kalau tidak ditusuk jarum semasa mayat dikapankan. Mayat itu juga akan mengilai sekiranya tidak diletakkan emas di dalam mulut, dan akan melayang terbang ke udara apabila tidak dibubuh telur sebiji di bawah ketiak.
" Perbuatan karut...!" Agus mendengus perlahan.
Dia akan membantah sekiranya orang-orang kampung mahu perlakukan demikian kepada mayat Fitriati. Biarlah mereka tidak mahu menghormati keluarganya lagi, Agus tetap pertahankan tidak rela mayat isteri nya di seksa.
Aku menggeleng-geleng kepala apabila diberitahu mengenai perempuan mati semasa beranak diperlakukan demikian. Bukan sahaja di Bukit Tinggi, tetapi di Semenanjung juga sudah menjadi amalan di masa lalu.
Menitis air mata aku apabila kawan aku abang Mahali di Kepala Batas beritahu mengenai emaknya yang menerima nasib demikian apabila meninggal dunia ketika melahirkan adik perempuannya.
Sekiranya dia sudah dewasa memang Mahali membantah juga. Tetapi emaknya meninggal dunia ketika dia berumur 10 tahun. Terimbau-imbau juga dalam perasaannya bagaimana emaknya menggelepar akibat darah banyak tumpah selepas sahaja melahirkan bayi. Lantas sahaja mereka menuduh emaknya tumpah darah disebabkan dihisap hantu Penanggal. Tidak siapa pun dapat menghalang hantu Penanggal berkenaan menghisap darah emaknya sampai perempuan itu terkejang tidak bergerak.
Sebab itu orang-orang kampung ingatkan ayahnya supaya mayat berkenaan ditusuk jarum pada setiap jarinya. Diletakkan emas dalam mulut dengan telur sebiji di bawah ketiak. Ayahnya tidak membantah apa-apa setelah didesak orang-orang kampung kerana bimbang mayat tersebut akan menjelma menjadi hantu Pontianak.
" Mereka dulu percaya sangat dengan perkara karut, Badai..." ujar Mahali meluahkan rasa kesal dengan kejadian bertahun-tahun dulu.
Tetapi bukan emak Mahali sahaja menerima padah demikian. Memang aku dengar juga mengenai kematian Utih Embun semasa anaknya songsang sampai tidak lepas keluar. Puas dibantu Bidan Minun tidak dapat juga dia selamatkan perempuan itu akibat lama sangat terkejang meneran. Darahnya tumpah banyak sangat sampai meleleh ke celah lantai. Dalam masa Utih Ernbun semakin lemah segera Bidan Minun menyuruh Anjang Paman letakkan duri mengkuang di bawah rumah.
Tidak bertangguh Anjang Paman turun ke bawah rumah sangkutkan duri mengkuang di bawah tempat isterinya terkejang. Memang dia melihat darah meleleh di situ akibat banyak sangat tumpah. Setelah disangkutkan duri mengkuang di situ cepat-cepat Anjang Parnan naik semula ke rumah. Belum pun sempat dia menaiki tangga Anjang Paman mendengar orang menghalau ayam di bawah rumah disebabkan beberapa ekor ayam mencatuk makanan di situ. Tatkala dia menjengah ke bawah rumah, Anjang Paman melihat selonggok usus bagaikan tali perut lembu selepas dilapah melambak setentang tempat tidur isterinya.
Ketika ini beberapa ekor ayam mematuk usus berkenaan bagaikan mengutip makanan yang diserakkan. Disebabkan mahu memastikan usus yang melambak di bawah rumah sampai dipatuk ayam, segera Anjang Paman berpatah balik menjengah semula. Tatkala pagi baru cerah melayah, Anjang Paman belum sempat lagi menaburkan padi memberi ayam ternak makan. Sebab itu ayam ternak yang baru keluar dari reban segera menerpa ke arah usus melambak di bawah rumah.
Terkejut benar dia disebabkan usus berjurai- jurai tersangkut pada kepala manusia tengah menjilat darah yang meleleh. Terkial-kial kepala berkenaan mahu melepaskan usus yang berjurai ke bawah itu melekat pada duri mengkuang. Lantas sahaja Anjang Paman dapat mengagak tentu kepala manusia tengah menjilat darah isterinya itu tidak akan menjelma sekiranya tidak disangkutkan mengkuang di situ.
Semasa dia turun ke tanah menetak mengkuang berduri di tepi sawah, memang Bidan Minun sudah bacakan jampi serapahnya. Tatkala dia menyeru di atas rumah, Anjang Paman sudah selesai ikatkan duri mengkuang di situ. Tentu syaitan yang menjelma macam kepala manusia mengheret usus berjurai-jurai itu tidak dapat lepas ke mana setelah duri mengkuang disangkutkan.
" Apa binatangnya di bawah rumah ni....?" seru Anjang Paman berasa hairan apabila terserempak kepala manusia mengheret tali perut meIambak.
Hanya kepala sahaja bagaikan buah kelapa tergantung melekap di lantai akibat ususnya tersangkut pada duri mengkuang. Sebab itu kepala berkenaan menghalau ayam setelah usus yang melambak sampai ke tanah dipatuk beberapa ekor ayam. Lantas Anjang Paman memanggil jiran-jiran yang berkumpul di atas rumah turun menjengah.
Sewaktu mereka semua menjengah turun, mata lembaga tersebut terkebil-kebil memerhati mereka yang tercongok berkeliling. Sukar juga mereka mahu cam muka lembaga tersebut disebabkan menggerutu laksana melecur dibakar api. Marah benar Anjang Paman setelah menyedari lembaga mengheret usus itu berkenaan memang jelmaan Penanggal yang mengganggu isterinya.
Tidak bertangguh dia menyerbu dengan parang di tangan lantas mencencang usus yang melambak di tanah. Kepala manusia yang tergantung pada duri mengkuang juga ditetak tidak bersisa. Ketika ini dia sekadar mendengar erangan sahaja melenguh bagaikan lembu disembelih. Siapa pun tidak berani meleraikan Anjang Paman dalam keadaan memberang demikian. Mereka dapat merasakan betapa marahnya Anjang Paman setelah isterinya tidak dapat melahirkan anak akibat songsang kedudukan.
Terkial-kial Utih Embun menggelepar menahan kesakitan hingga darah tumpah terlalu banyak. Masakan suami seperti Anjang Paman menahan sabar setelah melihat sendiri Penanggal tercongok di bawah rumah.
" Syaitan rupanya yang mengganggu Utih Embun..!" bentak Anjang Paman melepaskan geram mencincang usus melambak di tanah itu.
Setelah Anjang Paman dapat ditenteramkan oleh orang-orang kampung, mereka melihat kepala manusia mengheret usus yang dicincang lumat itu sekadar upih pinang sahaja. Ketika ini Bidan Minun menjengah di tingkap memberitahu Utih Embun sudah meninggal dunia dengan anak dalam kandungan tidak lepas keluar. Memang Bidan Minun sendiri ingatkan mereka supaya mayat Utih Embun ditusuk jarum sepuluh jarinya sebaik sahaja mahu dikapankan. Mereka letakkan cincin emas sebentuk dalam mulutnya dengan telur sebiji di bawah ketiak.
Tetapi setiap senja mereka mendengar hilaian halus dari arah kubur Utih Embun seperti musang mengekek di celah pelepah pokok enau. Tetapi ketika mayat Utih Embun dibujurkan tengah rumah, penduduk-penduduk kampung gempar fasal Embok Tipah meninggal dunia dengan tidak berkepala. Mengeluh panjang Anjang Paman apabila diberitahu emaknya mati tidak berkepala. Namun jauh di lubuk di hatinya ia dapat mengagak tentu emaknya menjelma jadi Penanggal dengan kepala tercabut dari badan.
" Aku tak bunuh emak aku, tapi aku bunuh syaitan...!" gerutu Anjang Paman berkeras tidak mahu menjengah mayat emaknya yang terkejang kaku.
Memang adiknya menemui mayat Embok Tipah mati tidak berkepala di tempat tidurnya. Selepas kematian emaknya baru Anjang Paman menjengah ke rumah berkenaan. Dia sendiri menyelongkar ke dapur mencari tempayan berisi air cuka penuh ternganga mulut. Sudah tentu kepala yang mengheret usus masuk berendam ke dalam cuka di tempayan biar kecut. Selepas itu barulah kepala berkenaan mengheret dapatkan tubuh bercantum semula macam sediakala.
Terpaksa pula Pawang Bidin kibaskan mayat dengan kain hitam panjang sedepa menyeru dengan membakar kemenyan. Tahu sangat Pawang Bidin mengenai bencana yang menimpa Embok Tipah menyebabkan dia terkejang mati di tempat tidur dengan tidak berkepala. Tatkala Embok Tipah turun ke sawah dia tidak perlu meraduk anak padi menghalau burung tiak turun memagut buah. Dia juga tidak akan membakar sabut atas permatang biar tikus tidak mengganggu. Asal sahaja musim menuai Embok Tipah sekadar longgokkan gemal padi di dalam bakul. Sewaktu senja menjelang nescaya bakul padi akan bergerak sendiri masuk ke kepuk. Memang Embok Tipah sudah amalkan semangat padi sejak turun temurun. Manalah dia tahu semangat padi berkenaan diserap polong hingga boleh tanggalkan kepalanya dari tubuh.
Kepala yang tertanggal itu akan mengheret ususnya ke mana sahaja untuk menjilat darah perempuan yang tengah bersalin. Kalau semangat padi tidak dapat menjilat darah perempuan tengah bersalin, sudah tentu keluarga sendiri menjadi mangsa. Memang sejak berbulan-bulan Embok Tipah menghidap sakit lenguh-lenguh seluruh badan setelah semangat padi yang mendampingi tidak dapat menjilat darah perempuan tengah bersalin.
Memang Pawang Bidin tidak hairan apa-apa sekiranya Utih Embun yang menjadi mangsa emak mentuanya sendiri. Tetapi apabila diberitahu mengenai Embok Tipah mati tidak berkepala dia perlu membantu juga. Kalau semangat padi berkeras dia akan sebut asal usulnya biar menjadi lemah tidak bertenaga.
Cubalah puaka apa pun berhadapan dengan Pawang Bidin sebaik sahaja dia membakar kemenyan...! Asal sahaja disebut asal usulnya nescaya puaka berkenaan akan tunduk tidak membantah apa. Memang Embok Tipah tidak sedar apa-apa tatkala semangat padi meresap dalam dirinya hingga kepala tercabut dari tubuh mengheret usus ke mana-mana.
" Aku tahu asal usul kamu, perempuan berlaki tujuh asal kau jadi, bukan aku yang punya pawang, inilah pawang tujuh beradik akan pemarak hati jantung engkau...!" seru Pawang Bidin tatkala kibaskan kain ke tubuh mayat Embok Tipah.
Ketika ini Pawang Bidin merasakan dirinya kembar tujuh berdiri menghadap Unyang Gadeh dengan rambut mengurai sampai ke tumit. Berligar-ligar Unyang Gadeh mahu membolos daripada kepungan tujuh kembar Pawang Bidin yang mengawalnya.
Jangan cuba Unyang Gadeh mahu permainkan dia setelah terserempak di situ. Lainlah sewaktu Unyang Gadeh sanggup berkahwin dengan tujuh lelaki semata-mata mahu kekalkan wajah mudanya sampai bila-bila. Bukan takat tujuh sahaja lakinya dalam masa yang sama, tetapi Unyang Gadeh akan cari uri tembuni perempuan tengah bersalin untuk dilumurkan ke mukanya. Siapa sahaja suaminya yang membantah nescaya akan diserbu ular hitam berkepala tujuh.
Tidak bertangguh ular hitam berkepala tujuh itu mematuk ubun-ubun suaminya. Apabila suaminya terkejang mati Unyang Gadeh terpaksa berkahwin lagi biar kekal suaminya tujuh orang. Dia tidak boleh melanggar pantang larang mesti berkahwin tujuh yang sudah menjadi amalannya.
Siapa sahaja yang menjadi suaminya tidak akan lepas ke mana kalau sengaja mahu meninggalkan dirinya. Bila-bila ular hitam berkepala tujuh akan terjongol sekalipun jauh meninggalkan kampung halaman. Hinggalah Unyang Gadeh berkahwin dengan Pawang Bongsu dia terperangkap dalam keangkuhannya sendiri. Sengaja pawang tujuh beradik benarkan adiknya yang bongsu menjadi suami Unyang Gadeh setelah seisi kampung tidak tertahan dengan ancamannya. Siapa sahaja tidak tunduk dengan kemahuan dia nescaya akan dipatuk ular hitam berkepala tujuh yang menjelma apabila diserunya.
Tatkala pawang tujuh beradik dijemput mereka datang ke kampung berkenaan, Pawang Bongsu sengaja melayani godaan Unyang Gadeh. Memang Pawang Bongsu boleh diharapkan kalau bandingkan dengan abangnya yang lain. Asal sahaja dia bersiul meniup daun beribu-ribu ekor burung akan berhenti serta merta mendengarkannya. Jangankan burung-burung yang berterbangan lantas hinggap sebaik sahaja mendengar siulan Pawang Bongsu, malah binatang yang melata juga akan mara mendapatkan dia. Bermacam-macam jenis ular lantas menjalar dari celah belukar tatkaIa mendengar siulan Pawang Bnngsu.
Setelah berkahwin dengan Unyang Gadeh sengaja pula Pawang Bongsu ceraikan perempuan itu disebabkan tidak mahu tinggalkan enam suaminya yang lain. Masakan Unyang Gadeh boleh menerima desakan Pawang Bongsu disebabkan sudah menjadi sumpahannya tidak boleh kurang dari tujuh orang suaminya dalam satu masa. Ular berkepala tujuh itu akan mematuk ubun-ubun siapa sahaja suaminya berani ceraikan dia...! Sebaik sahaja Pawang Bongsu ceraikan Unyang Gadeh tidak bertangguh ular hitam berkepala tujuh itu menyerbu. Tetapi Pawang tujuh bersaudara sudah bersiap sedia dengan buluh runcing bertemu ruas.
Tatkala tujuh kepala ular itu mahu mematuk, Pawang tujuh beradik itu meradak setiap kepala dengan buluh runcing bertemu ruas itu sampai tercancang pada pokok kesang. Seisi kampung melihat ular berkepala tujuh itu tercancang melekat pada pokok kesang di tubir sungai. Bangkai ular berkenaan kering sampai hancur melekat pada pokok berkenaan disebabkan tidak siapa pun berani menghampirinya.
Setelah bangkai ular itu hancur, mereka melihat buluh runcing bertemu ruas itu juga hilang entah ke mana. Tetapi Unyang Gadeh memang marah benar setelah menyedari ular kepala tujuh itu dibunuh pawang tujuh beradik. Dia juga menyimpan dendam setelah diperdaya Pawang Bongsu. Tetapi bukan mudah dia mahu membalas dendam melawan pawang tujuh beradik yang mampu membunuh ular hitam kepala tujuh itu. Kalau ular hitam berkenaan boleh dibunuh apa sangat dengan dendam yang membara dalam hati Unyang Gadeh.
Belum pun Unyang Gadeh dapat membalas dendam rumahnya sudah diserbu Pawang tujuh beradik itu. Seisi kampung melihat sendiri Pawang Bongsu memanggil Unyang Gadeh sekiranya tidak mahu rentung di dalam rumah dibakar penduduk-penduduk di situ. Terbahak-bahak Unyang Gadeh ketawa mengejek Pawang Bongsu yang cuba mahu menguji ketangkasan dia. Sudah ramai pawang cuba menewaskan dia tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Unyang Gadeh mampu menyemburkan api yang menyambar mangsa tatkala dia bernafas apabila terdesak. Kepalanya juga boleh tertanggal dari tubuh menghambur tinggi ke udara dengan silauan kilat memancar. Siapa sahaja disilau pancaran kilat itu akan terhumban ke tanah macam ulat-ulat dicucuh api.
Usaha Pawang tujuh beradik mahu tewaskan dia setelah dijemput orang-orang kampung tentu sia-sia sahaja. Memang Unyang Gadeh tidak bimbang apa-apa tatkala dicabar oleh Pawang tujuh beradik supaya tidak amalkan amalan syaitan. Dalam dendam marahnya dia mencabut kepalanya melayang ke udara mahu memancarkan silau cahaya yang panas.
Sekaligus pula Pawang Bongsu siramkan cuka pada tubuhnya yang tinggal di bumi hingga mengecut sampai kecil sebesar betis. Apabila kilau cahayanya memancar tidak bertangguh Pawang tujuh beradik lemparkan tujuh helai mengkuang berduri ke udara lantas mencangkuk kepala Unyang Gadeh.
" Sekarang jadilah puaka Penanggal kepala, kerana tubuh kamu sudah tidak ada...!" laung Pawang Bongsu sebaik sahaja kepala Unyang Gadeh jatuh tergolek ke tanah.
" Sampai hati kamu buat aku macam ni, Pawang Bongsu." gerutu Unyang Gadeh mendengus-dengus menahan kesakitan.
" Pergilah jadi semangat padi supaya diterima orang-orang kampung....!" tegas Pawang Bongsu semacam menghukum bekas isterinya yang terjerumus dalam amalan syaitan.
Semenjak itulah Unyang Gadeh terpaksa membawa ususnya ke mana sahaja disebabkan tubuhnya sudah mengecut tidak berguna apa-apa lagi. Disebabkan tidak dapat lagi menjalani kehidupan seperti biasa, terpaksalah dia mematuhi perintah Pawang Bongsu menjaga sawah padi penduduk kampung.
Setelah disiram oleh Pawang Bongsu kepalanya dengan air tujuh kuala sungai, Unyang Gadeh hanya boleh melayang di udara membawa ususnya yang berjurai-jurai.
Semenjak dia diperintah Pawang Bongsu mengawal sawah padi penduduk-penduduk kampung, tidak pernah lagi musuh tanaman mengganggu rumput padi mereka. Bertahun-tahun penduduk kampung melihat api memancar di kawasan sawah mereka setiap malam. Tahulah mereka memang Unyang Gadeh mengawal sawah padi menghalau tikus atau pianggang (belalang kecil) yang merosakkan tanaman.
Tatkala padi tengah berbuah muda mereka nampak kepala Unyang Gadeh membawa usus berjurai-jurai menghalau burung-burung Tiak(Tiong) yang galak hinggap. Lama-kelamaan setelah beberapa keturunan mereka tidak tahu lagi mengenai Unyang Gadeh. Tetapi orang tua-tua mereka ingatkan supaya tidak disebut nama Unyang Gadeh itu ditakuti terkena sumpahannya. Mereka tahu Unyang Gadeh hilang begitu sahaja setelah sekian lama mengawal sawah padi mereka. Asal sahaja perempuan tengah bersalin tumpah darah mereka menuduh Unyang Gadeh yang melakukan setelah terlepas daripada sumpahan pawang tujuh beradik.
" Bukan aku yang punya sumpahan, pawang tujuh beradik yang punya sumpahan, pulang pulih kamu seperti sediakala, huh..." Pawang Bidin kibaskan kain hitam berkenaan sampai tujuh kali ke tubuh mayat Embok Tipah yang terbujur.
Setelah dikibas Pawang Bidin itulah mayat Embok Tipah tiba-tiba berkepala semula, tetapi mukanya biru lebam bagaikan ditetak belakang parang. Orang-orang kampung kebumikan juga mayat Embok Tipah dengan sempurna sekalipun Anjang Paman tidak mahu menjengah.
Sewaktu mereka jejak kaki di kubur Utih Embun, terkejut benar Anjang Paman melihat adiknya Mat Lajak duduk di atas kubur mendongak ke langit. Dia menjerit macam musang mengekek di celah pelepah pokok enau. Dari tengah kampung mereka mendengar seolah-olah hilaian pontianak yang menggerunkan. Terpaksa mereka memujuk Mat Lajak disebabkan dia berkeras sangat mahu menunggu di atas kubur kakak iparnya.
Hairan juga mereka disebabkan Mat Lajak pula bagaikan tidak siuman di atas kubur kalau bandingkan dengan Anjang Paman. Sedangkan kematian emaknya Embok Tipah pun tidak menyedihkan sangat hati Mat Lajak, kenapa pula dia tidak dapat mengawal kesedihan dengan kematian kakak iparnya.
Dalam keadaan Mat Lajak tidak siuman itu mereka papah dia balik ke rumah. Semakin terharu Mat Lajak apabila dia dipaksa balik ke rumah. Terketar-ketar dia mengakui di hadapan orang kampung fasal dia berlaku curang dengan kakak iparnya sendiri. Hinggalah emaknya Embok Tipah sendiri terserempak mereka berdua mengadakan hubungan sulit. Selepas dimarahi oleh Embok Tipah serba salah juga Utih Embun sekiranya rahsia mereka berdua terbongkar. Sengaja Utih Embun berikan Mat Lajak nasi bercampur kotoran biar lelaki tersebut mengikut telunjuknya sepanjang masa.
Setelah Mat Lajak mematuhi apa sahaja kemahuannya, lantas dia menyuruh adik iparnya berikan makanan bercampur kotoran kepada Embok Tipah. Ketika inilah Embok Tipah yang memang mengamalkan semangat padi itu tidak dapat mengawal perasaan. Marahnya sentiasa meluap-luap apabila kenangkan Utih Embun tergamak melakukan perbuatan keji terhadapnya. Setiap malam sentiasa sahaja Embok Tipah mendengar bisikan semangat padi yang mendampinginya memberitahu mengenai perbuatan menantunya sengaja menganiaya dia anak beranak.
" Pawang Bidin tu memang bapa saudara saya, Badai." beritahu Amir apabila kenang kejadian yang menimpa kampung halamannya.
Memang Amir yang beritahu aku mengenai kejadian Embok Tipah meninggal dunia dengan tidak berkepala. Tetapi mayatnya pulih semula setelah dikibas dengan kain hitam panjang sedepa oleh Pawang Bidin. Ketika kejadian itu berlaku Amir masih kecil lagi tatkala umurnya 10 tahun.
" Saya tak tengok mayat tu tak berkepala, sebab ayah saya tak beri jengah." ujarnya sengaja memperlahankan kereta sebaik sahaja melalui selekoh Minah.
Setelah melalui selekoh Minah itu tidak pula ternampak jelmaan perempuan mengendong anak melintas di situ. Tetapi Amir percaya jelmaan itu berpunca daripada perempuan Orang Asli mengendong anak lalu di langgar lori balak semasa melintas jalan. Disebabkan ketakutan pemandu lori berkenaan terus sahaja melarikan diri setelah mangsa tercampak ke perdu pokok di tepi selekoh jalan berkenaan.
Apabila jalan kayu balak itu diturap minyak tar tempat berkenaan sudah menjadi jalan menghubungkan daerah kecil di situ. Semenjak itu pula mereka yang melalui jalan berkenaan seringkali terserempak jelmaan perempuan mengendong anak. Tetapi belum pernah jelmaan perempuan itu mengganggu mereka sampai kereta terbabas melanggar tebing. Jelmaan itu sekadar melintas dalam masa sekelip mata kemudian menghilang ke bawah gaung.
Amir pun sekadar diberitahu oleh mereka yang melalui kawasan tersebut. Beberapa Orang Asli yang tinggal berhampiran selekoh Minah itu ceritakan kepada Amir. Mereka juga sudah kerapkali melihat jelmaan yang mereka sendiri panggil Minah itu. Memang mereka percaya Minah dilanggar lori balak semasa mengendong anaknya di belakang kerana mahu mencari suaminya yang tidak balik ke rumah. Sejak pagi suaminya keluar mencari rotan hingga santak malam tidak balik ke rumah, terpaksa Minah keluar mencarinya. Dia sendiri tidak dapat mengelak sewaktu lori balak melalui selekoh. Sekali gus dia dirempuh hingga terpelanting tidak dapat bertahan. Ketika mayat Minah bersama anaknya ditemui oleh suaminya sebahagian tubuhnya sudah dimamah babi hutan. Sebab itu mereka tidak dapat mengagak sama ada benar Minah dirempuh lori balak. Tetapi di selekoh berkenaan jugalah lori balak terbabas merempoh pokok di lereng bukit. Pemandu lori mati tersepit diterjah kayu balak dari belakang.
Tetapi perkara yang di luar pengetahuan itu aku tidak ambil peduli sangat. Aku sekadar tersengih-sengih sahaja apabila diberitahu demikian oleh Amir. Dia sendiri pun sekadar mendengar cerita mereka sahaja, bukannya melihat kejadian tersebut sendiri. Memang Amir sendiri mengakui dia tidak pernah terserempak perempuan mengendong anak di selekoh Minah Itu. Lainlah sewaktu melalui Bukit Kijal di Terengganu memang Amir mengalami melihat bayangan putih mengekori keretanya. Sewaktu ke Kuala Terengganu bayangan putih yang menerpa cermin keretanya seolah-olah lembaga wanita melayang-layang di udara dengan tidak berkaki. Tidak lama selepas itu apabila melalui Bukit Kijal meninggalkan Terengganu dia diterpa bayangan putih seperti lembaga lelaki.
Aku tidak hairan sangat dengan pengakuan Amir, disebabkan dia sering memandu pada waktu malam. Kadangkala sudah jam 2.00 pagi pun Amir akan memandu keretanya melalui jalan berbatu-batu dari Kelantan menuju ke Pahang. Dia akan meraduk dingin malam melalui lebuh raya dari Kedah ke Kuala Lumpur dengan tidak hiraukan apa-apa. Perjalanan di waktu tengah malam memang bermacam-macam perkara boleh ditemui, apalagi tatkala mata tengah mengantuk. Sebab itu aku ingatkan juga Amir supaya berhentikan kereta di tepi jalan untuk tidur sekejap. Biarlah rasa mengantuk mata hilang kalau mahu meneruskan perjalanan.
" Kita berhenti kalau terserempak perempuan di tengah malam macam ni, Badai...!" sengaja Amir bergurau selepas jauh meninggalkan selekoh Minah.
" Kenapa tak cakap begitu masa melintas di selekoh tu...?" ujar aku mengusik Amir...
" Takkan jelmaan perempuan tu keluar kalau ada Badai...!" tersengih-sengih Amir menyahut.
" Kalau jelmaan tak keluar tak kira siapa pun ia keluar juga." jelas aku mengerling Amir.
" Masakan jelmaan perempuan tu boleh bertahan kalau terserempak Badai...!" sengaja Amir bergurau, tetapi jauh di lipatan hatinya dia percaya jelmaan demikian tidak akan tersergam di hadapan aku.
Tetapi aku bimbang juga dengan sikap Amir itu. Manalah tahu jelmaan tersebut akan menguji tatkala aku bersama Amir meranduk kegelapan malam. Tatkala balik dari Terung di Bruas menuju ke Pantai Remis, memang Amir juga mengusik demikian. Sewaktu melintas selekoh di keliling belukar, tiba-tiba sahaja keretanya mati enjin. Sempat juga dia ketepikan keretanya naik ke atas rumput. Belum sempat dia membuka pintu kereta mahu menjengah enjin, tergamam dia melihat seekor ular tedung selar mencodak kepala di depan lampu kereta.
Memang terkilan juga aku disebabkan dia celupar mulut sangat mahu melawan syaitan di mana-mana. Perkara melawan syaitan bukan macam berhadapan dengan musuh tunjuk keras kepala. Bukan mudah mahu menewaskan gangguan syaitan sekiranya tidak ada izin dari Allah Subhanahu Wataala.
Tatkala ular tedung selar itu mencodakkan kepala serba salah juga Amir mahu melompat keluar. Dia masuk semula ke dalam kereta memerhati ke arah aku. Terdiam Amir tidak bercakap sepatah apa pun disebabkan ular tedung selar itu bagaikan berdiri tegak dengan ekor cecah ke tanah.
Ketika inilah sebuah lori meluncur laju dari belakang. Serta merta sahaja ular tedung selar itu menerpa ke arah lampu lori mencarak menyilau ke mata. Sekaligus aku melihat ular tedung selar berkenaan terhumban dirempuh lori tersebut. Tetapi lori meluncur laju itu tiba-tiba menjunam ke dalam gaung di selekoh jalan hingga tidak kelihatan di dalam kegelapan malam.
Sebaik sahaja lori tersebut terhumban ke bawah gaung, tiba-tiba sahaja enjin kereta Amir boleh dihidupkan semula. Tetapi dia bertambah celupar cakapnya setelah keretanya meluncur semula di atas aspal jalan. Kadangkala memang serba salah juga aku dengan sikap Amir yang sudah terlepas cakap di mana-mana saja. Tetapi Amir juga akan rahsiakan daripada aku kalau terserempak jelmaan di mana-mana. Perkara dia terserempak jelmaan perempuan di selekoh Minah memang dia mengakui di depan aku tidak pernah terserempak apa-apa. Kalau tidak anak saudaranya Mat Fauzi yang beritahu sengaja dia rahsiakan daripada aku.
Sebab itu tahu sangat aku celupar muIut pun Amir dia tidak akan berundur sekiranya terserempak jelmaan demikian tatkala meranduk kegelapan malam.
" Hantu Pontianak tu sebenarnya malu, betul ke Badai..?" Amir terus mengusik apabila teringat mengenai kisah jelmaan perempuan mengendong anak di selekoh Minah.
Aku tidak menyahut. Manalah aku tahu disebabkan tidak pernah terserempak Hantu Pontianak. Sengaja Amir ungkit mengenai Pontianak disebabkan perempuan tengah bersalin mati akibat tumpah darah. Jelmaan perempuan itulah menjadi Pontianak yang mengilai panjang tatkala bulan mengambang penuh. Bukan Amir sahaja menuduh demikian, Agus juga bimbang Fitriati akan mengalami kejadian demikian. Sekalipun Agus tidak mempercayai dakwaan karut itu, tetapi dia berasa bimbang selagi tidak dapat membuktikan kebenarannya. Dia mahu buktikan Fitriati tidak akan menjelma menjadi Hantu Pontianak disebabkan jarinya tidak ditusuk jarum, mulutnya tidak dibubuh cincin emas, ketiaknya tidak diletakkan telur ayam sebiji.
Dato' Bandaro sendiri berkeras tidak mahu mayat anaknya diperlakukan demikian. Biarlah Fitriati menjelma menjadi Hantu Pontianak kalau perbuatannya rnelanggar petua demikian. Hiba juga hati aku disebabkan kepercayaan demikian masih membelenggu mereka yang percaya sangat dengan jelmaan pontianak.
" Wanita yang mati semasa melahirkan anak dikira syahid, macam mana boleh menjelma jadi Hantu Pontianak...!" tutur Haji Salim ingatkan Agus supaya tabah melalui ujian getir demikian.
Sebaik sahaja diberitahu mengenai kematian Fitriati tidak bertangguh Haji Salim datang dari Batu Sangkar. Sempat juga aku bertemu Haji Salim disebabkan seminggu aku di Bukittinggi bersama Amir dan Nasir Anglir. Keramahan Fitriati sewaktu mula bertemu dulu tentu tidak mudah aku lupakan. Sebab itu berat sangat hati aku meninggalkan Bukittinggi sekalipun seminggu habiskan masa di sana.
" Kalau adik Badai ke Batu Sangkar mesti singgah ke rumah...!" tegas Hajah Patomah isteri Haji Salim ingatkan aku.
Memang Hajah Patomah juga terlalu ramah sama macam arwah Fitriati. Tatkala aku singgah di madrasah Haji Salim di Batu Sangkar, dia merungut kerana Haji Salim habiskan masa di madrasah sahaja. Sebab itu Hajah Patomah bawakan aku melihat rumah tua di Kampai Nan Panjang, biar aku memahami mengenai kehidupan masa lampau nenek moyang dahulu. Di rumah tua itu aku dapat membayangkan bagaimana perempuan dijaga pelihara seisi keluarga. Saat ini aku tersengguk sedih apabila kenang kenapa perempuan mati semasa melahirkan anak dituduh akan menjelma menjadi pontianak...?
SEKIAN DAHULU....
Seperti biasa ambil sisi positif dari kisah ini. Yang negatif jangan diambil. Kekuatan yang tak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yang tak berkenan dihati para sahabat-sahabat semua, aku Tok Penjejak Badai dengan merendahkan diri memohon maaf..
TERIMA KASIH..
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.


No comments:
Post a Comment