Monday, 13 March 2017
MELAWAN JIN 5 BERSAHABAT HIZIB JIBROIL
MELAWAN JIN 5 BERSAHABAT.
HIZIB JIBROIL.
Assalam.....sahabat2 yg aku hormati semua, tidak kira di mana jua berada. Baik dari dunia nyata mahu pun sahabat dari dunia ghaib. Segala Puji Syukur Kehadirat Allah s.w.t. Selawat senantiasa dihaturkan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Dgn mengharap ridho Allah s.w.t. Dan dgn kerendahan hati yg paling dalam, izinkan aku yg miskin ilmu lagi dhoif ini berbagi sedikit ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama sahabat2 semua. Insya 'Allah....
Ramai sahabat2 Tok Badai yg mengadu masalah keuangan, ada yg mengadu rezeki sempit, niaga tak lancar, hutang banyak, duit tak lekat(berkah). Duit masuk poket banyak, tapi tak tahu mana pergi duit- duit tu semua.
Hairan dengan rezeki setiap hari, tidak tahu kemana dibelanjakan. Kalau mahu dikatakan boros, Latip Sopak bukanlah habiskan duit membazir tidak menentu. Tetapi kadangkala habis beras di tempayan pun dia tergagau-gagau mahu cari wang membelinya. Lainlah kalau dimasa dulu padi banyak dikepuk asal sahaja selesai musim menuai setiap tahun.
Memang Latip sopak tidak putus rezeki. Kalau tidak hasil kebun kelapa, hasil kebun pisang pun mencukupi. Apa lagi dia memang berniaga kecil-kecilan di kawasan kampungnya. Masakan sempit sangat hidupnya kalau dilihat dari zahirnya. Tetapi dia mengeluh didepan Ustaz Salam dengan keadaan yang menimpa dirinya sebaik sahaja membeli tanah pusaka Anjang Sahar.
Tentu dia tidak lepaskan peluang apabila Anjang Sahar sanggup jualkan tidak sampai dua ribu tanah seluas tiga ekar. Apa sangat duit sebanyak itu pada Latip Sopak kalau bandingkan dengan tanah tersebut. Dia tidak peduli sebab Anjang Sahar mahu menjual tanah berkenaan murah sangat. Tentu Anjang Sahar tidak larat lagi mahu menjengah tanah berkenaan setelah berpindah ke kawasan perumahan.
" Itu di antara tanda-tanda rezeki yang tidak berkat...." ujar Ustaz Salam ingatkan Latip Sopak mengenai rezki yang tidak membawa berkat kepada keluarga.
Tertunduk Latip Sopak menahan rasa terharu apabila dituduh rezeki yang diperolehinya tidak membawa berkat. Seingat-ingat Latip Sopak tidak pernah dia mendapat rezeki yang tidak halal, melainkan dari titik peluhnya berusaha sepanjang hari. Lainlah kalau dia menipu orang-orang kampung hingga mendapat untung berlebihan.
" Adakah rezeki itu tidak halal, tuan....?" bimbang juga Latip Sopak kalau dia menerima rezeki yang tidak halal sepanjang hidupnya.
" Wallahhua' lam, tak tahu saya....." sahut Ustaz Salam menggeleng lemah.
Dia sekadar menerangkan sahaja mengikut pengetahuannya, tetapi kalau mahu didesak perkara yang di luar pengetahuannya memang Ustaz Salam tidak boleh memberitahu apa-apa. Tetapi dia tidak menuduh Latip Sopak mendapat rezeki yang tidak halal menyebabkan ianya tidak membawa berkat. Manalah tahu Latip Sopak tidak membayar zakat setelah mendapat rezeki yang banyak....?
Perkara demikian tentu Latip Sopak sahaja yang lebih maklum. Tentu Latip Sopak berasa hairan apabila Lebai Sidin tidak bimbang apa-apa kalau berkenduri disuraunya. Semasa belajar di surau Lebai Sidin sudah beberapa kali Ustaz Salam terserempak dengan kejadian hidangan yang sedia tatkala tetamu yang datang terlalu ramai. Mengeluh juga isterinya Ummi Saadiah disebabkan suaminya tidak tentukan jumlah tetamu yang datang dengan hidangan yang disediakan.
Lebai Sidin sekadar mengucapkan, 'Subhanallah'. Dia sendiri tidak menyangka jumlah tetamu yang ramai. Kalau mengadakan kenduri disurau tentu menyambut majlis Maulud, Isra' Miraj, Awal Muharam atau lain-lain. Manalah dia tahu jumlah tetamu yang akan datang jejak kaki ke surau.
Tetapi tidak pernah tetamu yang datang tidak dapat menjamah hidangan. Kadangkala cukup pula dibekalkan balik untuk keluarga dirumah. Memang tetamu yang datang tidak tahu apa-apa mengenai hidangan yang sedikit. Tetapi Ustaz Salam tahu sangat dengan kejadian yang dialami oleh gurunya Lebai Sidin yang sering ingatkan dia mengenai rezeki yang berkat disisi Allah. Memang Ustaz Salam gelisah semasa diajak makan oleh Lebai Sidin kerumah. Dia sendiri membantu Ummi Saadiah hidangkan makanan dengan menyenduk nasi di periuk. Belum pun mereka menyuap nasi, lima orang tetamu mengunjungi rumah Lebai Sidin. Tidak bimbang apa-apa Lebai Sidin mengajak semua tetamunya menjamah hidangan.
Beberapa kali bertambah nasi dengan gulainya, tetapi hidangan tidak berkurangan. Asal sahaja habis nasi, segera Lebai Sidin memanggil isterinya. Ummi Saadiah akan menyenduk nasi didalam periuk dengan tidak luak sedikit pun. Gulai di belanga juga tidak susut selagi Lebai Sidin menyuruh sendukkan untuk tetamunya.
" Macam mana Ummi tahu makanan sentiasa cukup....?" sengaja Ustaz Salam mendesak Ummi Saadiah.
" Entahlah, kamu tanyalah tuan Lebai sendiri...." tersenyum Ummi Saadiah apabila kenangkan Ustaz Salam hairan sangat dengan kejadian yang dialaminya bersama Lebai Sidin.
Tetapi Ustaz Salam tidak berani buka mulut kalau berhadapan dengan gurunya itu. Tentu Lebai Sidin akan memarahi dia bertanyakan perkara yang demikian. Bukan sekali dua dia dijerkah Lebai Sidin kalau bertanyakan perkara yang mudah sangat dia berasa hairan.
Masakan dia tidak berasa hairan apabila Lebai Sidin mengepal tanah dibelakang surau lantas disuap ke mulut. Selepas itu beberapa hari dia melihat Lebai Sidin tidak akan menjamah nasi yang dimasak oleh Ummi Saadiah(sama dgn Abah Anom). Dia akan duduk sahaja disurau berhari-hari amalkan ibadat.
Memang Ustaz Salam beberapa kali mengendap mahu memastikan kenapa gurunya mengepal tanah hingga disuap ke mulut. Tentu Lebai Sidin akan memarahi dia kalau ungkit memamah tanah yang dikepal dengan tangan itu. Memang Lebai Sidin ingatkan dia supaya tidak ungkit apa-apa kalau melihat keganjilan berlaku disitu. Sebab itu Ustaz Salam sengaja rahsiakan sahaja dari pengetahuan Lebai Sidin setiap kali dia mengendap dibelakang surau.
Terkejut juga dia apabila tiba-tiba Lebai Sidin menggamit supaya mara ke hadapan tatkala mencangkung di belakang surau. Dengan tidak berpaling ke belakang pun Lebai Sidin tahu dia memang mengendap dibelakang. Setelah tanah dibelakang surau itu dikepal lantas dihulurkan kepada Ustaz Salam. Dia tidak berpaling kebelakang semasa menghulurkan tanah yang dikepal itu.
Serba salah Ustaz Salam mahu mencapainya kerana bimbang akan dijerkah Lebai Sidin. Sebaik sahaja dia memegang kepalan tanah itu Ustaz Salam melihat seolah-olah dodol yang digenggamnya. Apabila dia menjamah dodol itu, terasa kelazatan yang tidak pernah dinikmatinya.
Seminggu dia terasa kenyang hingga tidak berselera untuk menjamah nasi. Rasa dodol lazat itu juga seolah-olah melekat dikerengkung sampai seminggu. Sebab itu tidak segan-segan Ustaz Salam mendesak gurunya itu memberikan dia kepalan tanah dibelakang surau itu lagi. Tetapi Lebai Sidin ingatkan dia supaya tidak meminta sesuatu yang bukan hak sendiri.
" Rezeki masing-masing sudah ditentukan Allah...." tegas Lebai Sidin ingatkan Ustaz Salam fasal mendesak sangat mahu menjamah dodol yang pernah diberikannya.
" Jangan minta rezeki yang bukan hak kita..." dia menambah kerana enggan memenuhi permintaan anak muridnya itu.
Beberapa kali pula selepas itu dia menghendap ke belakang surau, nescaya Lebai Sidin tidak kelihatan lagi sebaik sahaja membelok ke belakang surau berkenaan. Puas dia cam betul-betul tempat Lebai Sidin mencangkung, namun kelibatnya juga tidak kelihatan disitu.
Apabila dia menjengah Lebai Sidin ada dirumahnya berdekatan surau berkenaan, Ustaz Salam nampak gurunya itu tidur dikerusi. Saat ini memang Ummi Saadiah tidak benarkan siapa pun menganggu. Biarlah Lebai Sidin tidur dikerusi dengan tidak bergerak sedikit pun. Hanya sekali sekala Ummi Saadiah mendengar suaminya beristighfar bagaikan tengah merungut tidak menentu.
Memang Ustaz Salam tidak bertanya apa-apa pun mengenai guru agamanya yang dilihatnya dibelakang surau, tiba-tiba berbaring dirumahnya dalam masa beberapa minit sahaja. Ketika Mat Sobak berhenti didepan surau minta tumpangkan motosikal tengah malam akibat kehabisan minyak, Ustaz Salam nampak Lebai Sidin cedok air dalam tempayan dikaki tangga lantas tuangkan kedalam tangki minyak motosikal Mat Sobek.
" Jangan kamu buka tangki minyak ini...." Lebai Sidin pesankan kepada Mat Sobek yang sudah membuat keputusan mahu berjalan kaki sahaja balik kerumah dalam jarak lima batu dari surau berkenaan.
" Bolehkah pakai air aje, tuan....?" serba salah juga Mat Sobak mahu membantah semasa Lebai Sidin tuangkan air di tempayan dalam tangki motosikalnya.
" Kenapa awak nak tanya-tanya sangat ni....?" gerutu Lebai Sidin menepuk tangki motosikal itu dengan tapak tangan beberapa kali.
Hairan juga Mat Sobek apabila dihidupkan enjin motosikal dia melihat meter tangki minyaknya penuh.
Ustaz Salam yang tercegat dipintu surau juga macam tidak percaya apabila enjin motosikal Mat Sobek boleh dihidupkan. Tersengih-sengih sahaja Mat Sobek meninggalkan halaman surau.
Sebulan selepas kejadian itu Mat Sobek datang juga jejak kaki ke surau menemui Lebai Sidin. Hairan sangat dia disebabkan motosikalnya tidak pernah kehabisan minyak semenjak di tuangkan air kedalam tangkinya oleh Lebai Sidin. Meter minyaknya tidak turun hingga naik lampu merah isyarat. Sebab itu dia bimbang juga motosikalnya boleh terbakar akibat minyak kering dalam tangki.
" Dah sebulan saya tak isi minyak motosikal ni, tuan....?" jelas Mat Sobek serba salah dengan keadaan yang dialaminya itu.
" Kamu tak pakai motosikal tu, manalah minyak nak habis....." tersenyum Lebai Sidin disebabkan pemuda itu hairan benar sejak sebulan tidak pernah isi tangki minyak motosikalnya.
" Saya berulang alik dari pekan ke rumah tiap-tiap hari, tuan...." beritahu Mat Sobek fasal motosikal itu digunakan setiap hari.
Disebabkan tangki minyaknya menunjukkan minyak masih penuh, tidak berani pula dia membuka tangki menjengah kedalam.
Bimbang juga sebab Lebai Sidin sudah pesankan supaya tidak dibuka tangki minyak itu selagi meternya menunjukkan masih ada minyak dalam tangki.
" Kenapa kamu tak buka tengok dalam tangki tu....?" ujar Lebai Sidin bagaikan menyindir lelaki berkenaan.
" Tuan dah pesan jangan buka, sebab tu saya tak berani buka...." tutur Mat Sobek tetap ingatkan pesanan Lebai Sidin.
" Kalau macam tu, sekarang kamu bukalah...." lantas Lebai Sidin menyuruhnya buka sahaja tangki minyak motosikal berkenaan.
Sebaik sahaja Mat Sobek membuka tangki minyak motosikalnya, dia menjadi pucat muka apabila tangki berkenaan berasap. Didalamnya kering kontang tidak ada setitik pun minyak petrol.
Memang Lebai Sidin memarahi juga Mat Sobek kerana tidak sabar dengan keadaan motosikalnya sentiasa penuh minyak di tangki. Kalaulah Mat Sobek tidak ungkit apa-apa sampai bila pun motosikalnya tidak akan kering minyak. Tetapi dia diantara percaya dengan tidak sahaja dengan minyak didalam tangki yang dicurah oleh Lebai Sidin.
Semakin lama dia belajar di surau Lebai Sidin memang banyak sangat pengalaman yang dilalui. Ustaz Salam tidak dapat lupakan tatkala melihat Lebai Sidin berjalan meniti diatas cahaya yang memancar di tengah kegelapan malam. Ketika ini mereka yang datang ke surau menjadi gempar disebabkan rumah Akop Sendeng terbakar bumbung.
Dalam masa jiran-jiran kelam kabut membawa air ditimba bergilir-gilir simbahkan kearah api yang maraK menyala, Ustaz Salam nampak cahaya yang memancar dari udara seperti galah melintang. Dia nampak Lebai Sidin meniti di atas cahaya itu melintasi api yang menyala di bumbung rumah Akop Sendeng.
Kemudian dia mendengar Lebai Sidin azan tiga kali menyebabkan api yang menyala itu merendap serta merta. Mereka yang menyimbah air dari tengah halaman tertegun apabila melihat api merendap mendadak sebaik sahaja Lebai Sidin azan tiga kali. Tidak payah pun disimbah dengan air memang api seolah-olah sumbu pelita tidak berminyak.
Sebaik sahaja api mula merendap bersama angin bertiup sepoi-sepoi ditengah kedinginan malam lantas Lebai Sidin berdoa :
" Wahuwallazi kholaqossamawati wal ardho bilhoqqi. Wa yau ma yaqulu kun fayaqun qauluhul haqqu, Walahul mulku yau ma yunfakhu fisori, 'Alimul ghaibi wasy syahadati wahuwal Hakimul Khobir."
Setelah api padam mereka semua melihat rumah Akop Sendeng hanya sedikit sahaja dimakan api. Memang Akop Sendeng anak beranak sudah mengeluh panjang tatkala melihat api menjulang tinggi menyambar hingga ke bumbung rumahnya. Jiran-jiran sudah mengagak tentu semuanya habis rentung sebelum sempat mereka padamkan dengan simbahkan air bertimba-timba.
Hanya bahagian dinding rumah sahaja disambar api, manakala barang-barang didalam rumah tidak satu pun musnah sekalipun lantainya berbekas juga terbakar hangus. Macam tidak percaya Akop Sendeng dengan keadaan rumahnya tidak musnah sekalipun api marak tinggi menjulang hingga ke bumbung.
" Kalau tak ada tuan, sudah tentu rentung rumah saya...." tidak segan-segan Akop Sendeng memeluk leher Lebai Sidin.
" Mana kamu tahu kerana aku ada disini....?" keras sahaja suara Lebai Sidin macam tersinggung sebaik sahaja Akop Sendeng menuturkan demikian.
" Saya nampak tuan meniti cahaya naik ke udara....." jelas Akop Sendeng melepaskan pelukannya.
" Kalau kerana aku, api pun sambar aku jadi macam sampah..." ujar Lebai Sidin mencebik bibir.
" Kamu lupa, hanya Allah sahaja maha berkuasa...." gerutunya terus meninggalkan mereka yang masih berkumpul di depan rumah Akop Sendeng.
Cepat-cepat Ustaz Salam mendekati Akop Sendeng beritahu dia mengenai Lebai Sidin tidak boleh dituturkan demikian didepannya. Dia mahu biarlah Akop Sendeng bersyukur kepada Allah setelah rumahnya diselamatkan dari api. Tidak ada upaya manusia seperti Lebai Sidin mahu memadamkan api yang marak menyala, melainkan dengan izin Allah.
Sebab itu Lebai Sidin tersinggung benar apabila Akop Sendeng ungkit fasal dia yang memadamkan api. Biarlah seisi kampung melihat Lebai Sidin meniti diatas cahaya putih, kemudian azan diatas nyala api yang membakar rumah Akop Sendeng, tetapi segala yang berlaku adalah dengan izin Allah semata-mata. Memang Lebai Sidin tersinggung kalau dituduh dia yang memadamkan api berkenaan.
Banyak kejadian yang berlaku di surau Lebai Sidin memang tetap Ustaz Salam kenang sampai bila-bila. Semasa mula-mula bertemu aku pun Ustaz Salam sebut mengenai pengalamannya di surau Lebai Sidin sebelum belajar keluar negeri. Sedih benar hatinya apabila habis belajar diluar negeri dia diberitahu mengenai Lebai Sidin sudah meninggal dunia.
Apabila dia beritahu pernah belajar di surau Lebai Sidin sebelum keluar negeri, lantas aku dapat mengagak mengenai Lebai Sidin yang sama belajar pondok dengan sepupu Amir keluarga angkat aku di Terengganu, iaitu Ustaz Mat Deh. Memang dia akan mengesat pelupuk matanya menahan keharuan tatkala aku beritahu mengenai hubungan aku dengan Ustaz Mat Deh itu.
Lama dia belajar pondok bersama Mat Deh sepupu Amir, hingga Mat Deh itu menghidap batuk darah pun memang Lebai Sidin yang membantu. Semasa dirawat dihospital Mat Deh dikatakan mengidap batuk kering yang teruk. Sekalipun dia tidak menghisap rokok, tetapi mereka syak Mat Deh terlalu banyak berjaga tengah malam hingga tidak cukup tidur.
Setelah diberitahu kepada Lebai Sidin fasal Mat Deh mengidap batuk darah, tidak bertangguh dia datang menjengah. Semasa Lebai Sidin menepuk belakangnya tiga kali dengan membacakan doa :
" Bismillahhil lazi layadhurru ma'asmihi syai-un fil-ardhi wala fis-sama-iwahuwas sami'ul 'alim, Fa-uttahazat min dunihim hijaban fa-arsalna ilaiha rohana fatamath thala laha basyaran sawiya." tiba-tiba segumpal rambut tersembur keluar dari mulutnya.
Ketika Lebai Sidin menguis-nguis rambut segumpal yang terjeluih keluar dari mulut Mat Deh, mereka yang sama disitu melihat berkeping-keping darah bercampur serbuk kaca halus. Beristighfar panjang Lebai Sidin melihat gumpulan rambut berkenaan.
Batuk darah yang dialami oleh Mat Deh itu berterusan ketika dia sama-sama belajar melanjutkan pengajian dengan Lebai Sidin. Sebab itu Lebai Sidin tidak dapat menahan rasa terharu apabila kenangkan Mat Deh kawannya meninggal dunia dipangkuannya akibat batuk darah sebelum sempat dibawa ke hospital.
Tetapi Ustaz Salam sekadar ingatkan guru agamanya Lebai Sidin apabila Latip Sopak sebut fasal rezekinya macam disekat-sekat. Tidak pernah dia mengalami kejadian demikian sebelum membeli tanah dusun Anjang Sahar. Kalau mahu dikatakan hidupnya susah sangat, masakan hasil kebun kelapanya tidak mencukupi. Latip Sopak tahu sangat hasil kebunnya boleh menampung seisi keluarga. Tetapi hasil kebun itu habis tidak tentu kemana. Bukan takat peraih-peraih kelapa liat mahu membayar wang, malah wang yang banyak diperolehi juga habis tidak ada berkat apa-apa.
Semasa menemui Saleh Gonjeng dihujung parit, Latip Sopak sudah beritahu masalah yang dihadapinya sejak beberapa tahun. Biarlah dia dituduh percayakan sangat amalan dukun apabila memberitahu kejadian demikian kepada Saleh Gonjeng. Manalah dia boleh biarkan keadaan gangguan demikian berlarutan. Bukan takat rezekinya sahaja disekat-sekat, tetapi seisi rumahnya mengidap sakit gatal-gatal seluruh badan.
Mahu dikatakan kudis buta, dia sudah sapukan minyak akar tuba seluruh badan, tetapi gatal-gatal itu berterusan hingga tinggalkan parut menggerutu hitam. Setiap tengah malam isterinya Bedah dengar bunyi pasir diserakkan di bumbung rumah. Kadangkala batu-batu kecil itu jatuh juga ke bilik tidur.
Masakan pasir yang diserakkan dibumbung atap boleh bolos ke bilik tidur, disebabkan ada siling dipasang. Sebab itu Latip Sopak gagahi juga menemui Saleh Gonjeng. Kalau tidak menemui dukun siapa lagi boleh diharapkan kalau berhadapan dengan kejadian demikian. Kadangkala mereka yang menuduh dia percayakan sangat amalan dukun itu pun tidak tahu mahu selesaikan masalah yang dihadapinya.
" Jangan dengar cakap orang sangat....." desak isterinya Bedah apabila dia teragak-agak mahu menemui Saleh Gonjeng.
Ramai orang menemui Saleh Gonjeng apabila diganggu penyakit ganjil, apalah salahnya mereka pula mencuba.
" Kita berubat, kita sendiri cari ubatnya...." tegas Bedah tidak mahu suaminya bertangguh lagi.
Terpaksa pula dia sediakan tujuh jenis bunga, air tujuh kolah masjid dan tanah kubur setelah diminta oleh Saleh Gonjeng. Malam pertama dia menemui Saleh Gonjeng, hairan juga Saleh Gonjeng disebabkan tiba-tiba sahaja perut sakit memulas-mulas. Cepat-cepat Saleh Gonjeng berkejar ke tandas hingga berpeluh seluruh badan menahan sakit perut.
" Tak pernah saya kena macam ni...." ujar Saleh Gonjeng tersengih-sengih.
Tetapi dia tidak bimbang apa-apa kalau diuji sekeras mana pun tatkala mengubati sesiapa pun. Setelah memegang ibu jari kaki Latip Sopak terasa pada Saleh Gonjeng tangannya seolah-olah dirempuh tunjalan kuat. Ketika ini pula Latip Sopak menjerit kesakitan tatkala merasa ibu jari kakinya seolah-olah dicucuh besi panas. Sebaik sahaja melihat air didalam geluk di depannya lantas Saleh Gonjeng meminta sediakan kelengkapan berubat.
Sebab itu Latip Sopak bersusah payah carikan tujuh jenis bunga, sekepal tanah kubur, air dari tujuh kolah masjid dan bunga teratai yang belum kembang kelopak. Apa sangat mahu cari tujuh jenis bunga, kerana seisi kampung jiran-jiran banyak menanam pokok bunga. Dia boleh kutip Bunga Raya kembang merah, bunga Kenanga, bunga Kemboja Kubur, bunga Melur, bunga Mawar, bunga Tanjung atau bunga Kekwa. Tentu jiran-jiran tidak bantah apa-apa sekiranya petik sekuntum dua untuk dibuat ubat.
Apalagi air dari tujuh kolah masjid, dia boleh dapatkan dari tujuh kariah. Cukup cedok sedikit sahaja biar penuh sebotol. Tanah kubur sekepal dimana-mana tanah perkuburan pun dia boleh singgah dibungkus dengan kain putih. Dia sekadar mencarikan kelengkapan ubat yang diminta oleh Saleh Gonjeng sahaja, perkara mahu mengubatinya sudah diserahkan kepada urusan Saleh Gonjeng sendiri.
Sebaik diserahkan kepada Saleh Gonjeng, memang terkejut juga Latip Sopak apabila mendapati tanah kubur sekepal itu lekit seolah-olah berlumuran darah. Mengeluh panjang Saleh Gonjeng kerana tidak menyangka tanah tersebut bagaikan digaul darah merah.
" Aku tak gentar...." lantas sahaja Saleh Gonjeng menggertap bibir.
" Aku bukan nak uji ilmu sesiapa, tapi kenapa nak aniaya orang...." marah benar dia tatkala membelek-belek kepalan tanah yang dibawa oleh Latip Sopak bertukar merah berlumur darah.
Dia masukkan bunga Teratai kedalam geluk, lantas dibukakan kelopaknya. Ditusuknya kelopak bunga Teratai itu dengan tujuh batang jarum. Apabila Saleh Gonjeng membakar kemenyan dia lilitkan kain hitam ke kepala dan memakai selimpang hitam dibahu. Kemudian air didalam geluk dikocak-kocaknya dengan hujung keris usang hingga merenik-renik seperti dijerang atas tunku menyala api.
" Hah....., dia tuduh kita nak mencabar....." Saleh Gonjeng mengeleng-ngeleng kepala apabila melihat air didalam geluk berasap bagaikan tengah mendidih.
Marah benar Saleh Gonjeng dengan keadaan yang dialaminya lantas ditujahnya mata keris menusuk kelopak bunga Teratai itu. Ketika ini Latip Sopak nampak darah menitik dari bumbung rumah ke dalam gobok air. Lantas Saleh Gonjeng berundur sedikit ke belakang, kemudian mendongak ke bumbung atap. Dia mengertap bibir dengan mengisar tapak tangannya.
Serentak itu pula Latip Sopak terdengar pasir disirakkan dibumbung rumah. Tetapi Saleh Gonjeng tidak mengalah. Keris kecil pusaka usang Naga Siluman itu dicacakkannya ke lantai hingga bunyi pasir bersirak di bumbung hilang. Sewaktu dia mencabut keris yang tercancang dilantai itu tiga bungkusan kecil sebesar ibu jari seolah-olah melantun dari hujung keris berkenaan. Dia tunjukkan bungkusan berkenaan kepada Latip Sopak kain putih yang sudah lusuh seolah-olah terlalu lama tertanam dalam tanah. Didalam kain putih yang hampir reput itu dibungkus limau sudah kering dengan ditusuk duri limau. Tersenyum Saleh Gonjeng sambil menguis-nguis bungkusan itu dengan hujung mata keris Naga Siluman.
" Aku tak berani nak cakap apa-apa, tapi awak sendiri dah tengok, Latip..." ujar Saleh Gonjeng mencebek bibir.
" Dalam sehari dua ni kalau tidak ada perubahan, cubalah awak cari Ustaz Salam...." jelasnya dalam keluhan pendek.
Bukan bermakna Saleh Gonjeng mengalah apabila dia menyuruh Latip Sopak menemui Ustaz Salam. Tetapi dia tidak mahu Latip Sopak berulang jauh sampai ke Pantai Remis semata-mata mahu berubat daripada gangguan demikian. Bukan cukup sekali jengah kalau mahu berubat, sama juga macam berulang alik ke hospital sekiranya penyakit teruk. Kadangkala terpaksa ditahan didalam wad pun supaya boleh dirawat setiap masa.
Gangguan syaitan juga tidak akan pulih kalau takat sekali atau dua kali didoakan. Apalagi amalan Dukun Saleh Gonjeng yang terpaksa menurun dengan menyeru segala pendampingnya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tatkala dia tusukkan mata kerisnya kedalam geluk air, manalah Latip Sopak tahu sebenarnya Tok Ketayan Bumi melompat menombak dada lembaga hitam bertubuh besar yang menyeringai dibumbung atap.
Tentu Latip Sopak terketar lutut sekiranya nampak jelas lembaga berkenaan dengan giginya sebesar mata kapak. Tikaman kuat Tok Ketayan Bumi itulah menyinggahi lambung kiri lembaga hitam itu hingga darahnya menitik jatuh kedalam geluk air. Sekaligus pula Tok Ketayan Angin melayang keudara menyusup mencari di setiap pelusuk rumah Latip Sopak hingga menemui tiga bungkusan kecil sebesar ibu jari itu.
Macam mana dia mahu menerangkan kepada Latip Sopak perkara yang tidak boleh dilihat dengan pandangan mata biasa. Bukan lembaga hitam bertubuh besar itu sahaja yang tercangkung dibumbung atap, dipenjuru pagar rumah juga lembaga berkepala botak menunggu dengan berkeliling tidak berhenti. Beribu-ribu ekor belalang pelesit pula melekap pada dinding rumah hingga keluar hama merayap dimana-mana. Hama dari belalang pelesit itulah yg membuat badannya gatal- gatal.
Lembaga kucing hitam pula tercangkung didalam bilik tidur dengan menyeringai taring, manakala lembaga ular tedung hitam berlingkar dimerata ceruk rumah. Semua yang dilihat oleh Saleh Gonjeng bukan lagi bayangan sahaja, tetapi wujud di sekeliling rumah Latip Sopak. Sebab itu dia mendesak Latip Sopak menemui Ustaz Salam di Bagan Datoh sahaja.
Setelah beberapa kali Latip Sopak menemui Ustaz Salam itulah dia ajak menemui aku. Memang Ustaz Salam sudah beberapa kali doakan. Tetapi setiap kali Ustaz Salam bacakan doa, Latip Sopak akan merentap-rentap rambut. Dia memang sedar tangannya merentap-rentap rambut, tetapi tidak dapat melawan tenaganya. Serba salah juga Ustaz Salam mahu teruskan baca doa, apabila Latip Sopak semakin kuat merentap-rentap rambut. Manalah tahu akan mendatangkan mudarat pula sekiranya Latip Sopak berterusan merentap rambut dalam keadaan tidak dapat mengawal tenaganya.
" Badai lebih banyak pengalaman dari saya....." tersengih-sengih Ustaz Salam mendesak aku supaya mendoakan Latip Sopak biar dijauhkan daripada gangguan tersebut.
Lantas sahaja Latip Sopak memberitahu mengenai tanah Anjang Sahar yang dibelinya dengan harga yang murah. Tidak segan silu Anjang Sahar ceritakan mengenai Tok Kosim sejak beberapa keturunan lagi memiliki tanah berkenaan. Memang neneknya cucu Limah waris terdekat Tok Kosim yang memang berdamping dengan hantu tinggi. Sekalipun sekadar mendengar cerita dari arwah neneknya, tetapi Anjang Sahar memang gerun kalau kenangkan hantu tinggi peliharaan Tok Kosim. Manalah tahu hantu tinggi itu mahu mencari saka hingga hinggap pada dirinya. Sebab itu Anjang Sahar sanggup menjual tanah peninggalan sejak turun temurun itu dengan harga murah.
Biarlah Tok Kosim semasa hayatnya tidak cedera apa-apa tatkala dihempap pokok kelapa ditebang orang. Malah semasa meneroka tanah hutan pun kawan-kawannya tidak sempat melaung semasa pokok leban enam pemeluk tumbang ke bawah bukit. Tok Kosim terperusuk dibawah pokok leban berkenaan disebabkan tidak sempat kawan-kawan menyuruh dia berundur.
Lebih satu jam pula kawan-kawannya menetak ranting-ranting dan dahan sebesar peha mahu keluarkan Tok Kosim. Kalau mati pun mereka mesti keluarkan mayatnya dari tindihan pokok besar berkenaan. Setelah ditetak habis mereka melihat Tok Kosim merangkak keluar dengan badannya calar balar sedikit sahaja.
" Macam mana tok kosim terselamat....?" kawan-kawannya berasa hairan setelah melihat Tok Kosim tidak mengalami cedera pun dihempap pokok leban enam pemeluk.
" Entah...., Tok nampak ada lembaga tinggi tumpangkan tangan menghalang pokok tu...." jelasnya kerana memang Tok Kosim sendiri merasakan dia tidak dapat mengelak dari ditindih pokok besar.
Tetapi sekonyong-konyong lembaga tinggi tercegat didepannya. Sekaligus lembaga tinggi itu menupang tangan menyebabkan pokok leban enam pemeluk tidak terus menindih Tok Kosim. Kalau tidak disebabkan ranting-ranting kayu itu banyak bercabang, memang Tok Kosim boleh merangkak keluar. Tetapi dia terperangkap dibawah ranting dan daun-daun rimbun hingga tidak dapat melihat apa-apa. Setelah pokok leban itu rebah, dia tidak nampak kemana pula menghilangnya lembaga tinggi berkenaan.
" Takat itu cerita Tok Kosim yang saya tahu, Ustaz..." ujar Anjang Sahar rasa bersalah dengan kejadian yang menimpa Latip Sopak.
" Kalau begitu, lebih baik saya jual aje tanah tu...." lantas Latip Sopak membuat keputusan setelah menyedari tanah itu menjadi punca dia ditimpa bencana.
" Terpulang pada awak, Latip...." sahut Anjang Sahar menawarkan diri mahu membantu Latip Sopak jualkan tanah tersebut.
" Macam mana kalau bencana itu menimpa orang yang membelinya nanti....?" sengaja Ustaz Salam mengingatkan mereka berdua.
Terkebil-kebil mata Latip Sopak tidak dapat menjawab apa-apa. Tentu orang yang membeli tanah itu akan terkilan juga sama seperti yang dia alami Latip Sopak setelah Anjang Sahar jual dengan harga murah. Nescaya orang itu akan salahkan Latip Sopak pula sengaja mahu menganiaya.
" Tak ada kena mengena dengan Tok Kosim...." tutur aku perlahan setelah mereka berbantah-bantah.
Kenapa mahu ungkit lagi Tok Kosim yang sudah berlalu beberapa keturunan, sekalipun Anjang Sahar tahu mengenai hantu tinggi peliharaan Tok Kosim. Tetapi amalan itu sudah berakhir selepas kematian Tok Kosim. Lagi pun Tok Kosim tidak amalkan apa-apa petua, kecuali sikap teraniaya menjadikan dia tidak bimbang apa-apa semasa menerkam lembaga tinggi yang menghadang jalannya.
Memang tidak siapa pun yang pernah melihat Tok Kosim menerkam lembaga tinggi menghalang jalannya tatkala tengah malam gelap gelita. Siapalah mahu percaya kalau tidak melihat sendiri. Samalah macam Mat Terra mahu lepaskan geram pada arwah Ngah Mahat Hitam semata-mata disebabkan permatang sawah bersempadan terpokah. Sudah beberapa kali diingatkan oleh bapa mentuanya Itam Saat supaya tidak ikutkan perasaan sangat, tetapi Mat Terra berdegil mahu jerkah Ngah Mahat Hitam.
Perkara permatang sawah bersempadan terpokah bukanlah boleh menjadi pekung kudis hingga bermasam muka. Apa salahnya bercakap terus terang biar segala yang terpendam di hati sama-sama diselesaikan.
Tetapi Mat Terra tidak puas hati apabila anak padinya habis acup air disebabkan Ngah Mahat Hitam buangkan air dari lopak sawahnya. Kalau Ngah Mahat Hitam mahu buang air dari lopak apa salahnya aliran sahaja ke parit. Sebab itu dia menuduh Ngah Mahat Hitam sengaja mahu tunjuk keras kepala.
" Mahat tu bapa saudara angkat Badai(Amir), segan silulah sikit....." pujuk Itam saat memintanya supaya tidak terburu-buru luahkan perasaan marah yang memuncak.
" Habis, anak padi kita habis, Badai tu nak bayar ganti rugi....?" sahut Mat Terra tidak peduli siapa pun mahu menghalangnya.
" Tapi, anak kamu belajar mengaji mukadam pada Amir.." Itam Saat sengaja berdalih disebabkan menantunya sudah tidak boleh dipujuk lagi.
" Biar dia berhenti mengaji pun tak apa...." keputusan Mat Terra mahu menyerbu Ngah Mahat Hitam sudah tidak dapat dihalang lagi.
" Kamu nak lawan Ngah Mahat tu..." keras Itam Saat ingatkan dia setelah menantunya tetap bertahan.
" Mahat tu ada hantu tinggi, kamu tahu....?" sengaja dia tinggikan suara biar menantunya surut semula.
" Hah..., biar Hantu Tinggi ke, Hantu Raya ke, Jalan Raya ke, Jin Pelesit ke, biar Mat Terra tengok jantannya...." terus sahaja Mat Terra menyerbu ke tengah sawah dengan parang tersisip dipinggang.
Dia sudah tidak dapat menahan sabar apabila diberitahu isterinya sudah beberapa kali Ngah Mahat Hitam cebak permatang sawah disempadan. Air dari lopak Ngah Mahat mencurah masuk kedalam lopak sawahnya hingga anak benih baru diubah acup pucuk ditenggelami air. Manalah dia dapat menahan sabar seolah-olah Ngah Mahat Hitam tidak peduli langsung jiran bersebelahan.
Tetapi Itam Saat tahu bukan Ngah Mahat Hitam yang cebak permatang sawah dengan cangkul. Memang Itam Saat sendiri yang cebak disebabkan mahu aliran air dari lopak sawah Ngah Mahat. Apa salahnya dia alirkan air dari sempadan permatang Ngah Mahat Hitam, biar mengalir ke dalam lopak sawahnya juga.
Puas dia jelaskan kepada Mat Terra tetapi menantunya tetap berkeras menuduh dia mahu lindungkan Ngah Mahat. Sudah beberapa kali isterinya Saenah beritahu pasal anak benih acup pucuk ditenggelami air disebabkan permatang sempadan sawah terpokah. Siapa lagi berani mencebak permatang di sempadan sawah dia kalau bukan Ngah Mahat Hitam.
Seisi kampung tahu memang tidak siapa pun berani berdepan dengan Mat Terra yang sanggup cekak leher sesiapa pun kalau cuba membantah keputusannya. Cubalah berkeras didepannya mahu tunjuk jantan, bila-bila Mat Terra sanggup hunus parang menetak tidak bertangguh. Dia tidak peduli siapa pun tetap akan diserbu kalau cuba mencabarnya.
Dukun Sikup pun dicekak leher apabila anak gadisnya Lijah diganggu Pelesit hingga meracau-racau. Tidak bertangguh dia menyerbu rumah Dukun Sikup mencekak leher. Marah sangat dia pada Dukun Sikup yang dituduh sengaja gunakan Pelesit mengganggu keluarganya. Kalau gunakan Pelesit memang dia tidak mampu tetak dengan parang, sebab itu dia mahu Dukun Sikup jangan cuba perolok-olokkan dia. Terketar-ketar Dukun Sikup beritahu dia sendiri tidak tahu mengenai Pelesit berkenaan.
Masakan dia menyimpan Pelesit sekiranya orang-orang kampung diganggu Pelesit meminta dia datang ubatkan. Tetapi Mat Terra tidak percaya lagi dengan Dukun Sikup yang dituduhnya sengaja gunakan Pelesit, kemudian dia sendiri berpura-pura mengubati.
Tetapi semenjak Mat Terra cekak leher Dukun Sikup memang tidak pernah lagi orang kampung diganggu Pelesit. Mereka juga tidak cemas hingga terkejar-kejar kerumah Dukun Sikup apabila keluarga diganggu Pelesit sampai meracau-racau tidak menentu. Memang seisi kampung tahu sangat dengan sikap Mat Terra berani berdepan dengan sesiapa pun.
Semasa sampai di sempadan permatang sawah Mat Terra melihat Ngah Mahat Hitam terbongkok-bongkok mencabut rumput diperdu rumpun anak padi. Tidak bertangguh dia jerkah Ngah Mahat Hitam tunjukkan anak padinya acup pucuk ditenggelami air. Tersengih-sengih sahaja Ngah Mahat Hitam disebabkan Mat Terra berani langgar bahasa didepannya menuduh dengan tidak usul periksa. Sebelum Itam Saat cebak permatang sawah memang sudah diberitahu pun kepada Ngah Mahat Hitam. Kenapa tiba-tiba sahaja Mat Terra menuduh dengan tidak usul periksa....?. Lagi pun tidak pernah sesiapa pun didalam kampung berani jerkah dia kalau tidak bersebab.
" Tunjukkan hantu tinggi kau pada aku, Mahat...." lantas sahaja Mat Terra menghunus parang siap dikilir tajam. Ketika itu matahari tegak dikepala hingga silau cahaya matahari memancar ke mata parang.
" Apa yang kau cakapkan ni Mat Terra....?" hairan juga Ngah Mahat Hitam apabila dicabar dibawah silau matahari tegak dikepala.
" Kau fikir aku takut sebab kau bela hantu tinggi...." jerkah Mat Terra mengibas-ngibas mata parang ke dada Ngah Mahat Hitam.
Belum sempat Ngah Mahat Hitam tanya punca dia mengaruk, tiba-tiba sahaja mata parang ditangan Mat Terra terpelanting. Dia mendongak langit terus berundur lari dengan terjerit-jerit. Dalam masa Mat Terra berlari lintang pukang itulah aku dan Amir jejak kaki ke sawah setelah dipanggil Pak Itam Saat. Cepat-cepat Mat Terra berlindung di belakang aku dengan menundukkan kepala tidak berani mendongak langit.
" Kenapa kamu ni Mat Terra....?" desak Itam Saat gelabah tidak menentu dengan keadaan menantunya ketakutan tidak menentu.
" Ngah Mahat Hitam tinggi sangat, kepalanya cecah ke langit...." gerutu Mat Terra menyorokkan muka dibelakang aku.
" Mengarut lah kamu, aku tengok Mahat macam tu aje...." ujar Itam Saat kerana dia nampak Ngah Mahat hanya tercegat sahaja ditengah sawah sama seperti biasa.
Setelah aku bacakan al-fatihah 3 kali lantas ditepukkan di ubun-ubun Mat Terra, dia macam tersentak. Kemudian terpinga-pinga bertanyakan apa telah berlaku kepada dirinya. Ngah Mahat Hitam yang datang mendekati dia selepas itu juga tersengih-sengih kerana Mat Terra menuduh dia memelihara hantu tinggi.
Sebab itulah aku ingatkan Anjang Sahar mengenai Hantu Tinggi Tok Kosim itu mungkin sama seperti pernah dialami oleh Ngah Mahat juga. Tetapi perkara yang diluar pengetahuan kita, manalah aku sendiri dapat mengagak dengan tepat. Kalau pun Hantu Tinggi itu sering menjelma bersama Tok Kosim, mungkin ianya jenis syaitan juga yang menjadi musuh manusia yang nyata.
Tetapi apabila aku melihat Latip Sopak merentap-rentap rambut selepas dibacakan 17 kali ayatul Qursi, kabus hitam menyelubunginya seolah-olah menipis ditiup angin. Sewaktu dibacakan kepadanya sambil menghembus di ubun-ubun :
" Alahumma inna naj'aluka fi-nuhurim, Wana'uzubika min syururihim."
Terhuyung-hayang dia mahu bingkas berdiri.
" Kalau Tok Kosim tak mahu kamu, kenapa kamu nak ganggu orang lain...." bentak aku seolah-olah di bumbung Latip Sopak terconggok lembaga hitam bertubuh besar.
Dibilik tidurnya bayangan kucing hitam tercangkung menjilat-jilat tubuh, manakala beratus-ratus belalang pelesit melekap pada dinding. Dipenjuru pagarnya pula lembaga berkepala botak tercegat bersama ular tedung hitam berlingkar dibawah tangga.
Lembaga hitam bertubuh besar itu bagaikan memberi isyarat mahu membalas dendam kerana Tok Kosim tidak mahu menerimanya. Biarlah Tok Kosim sudah bertahun-tahun meninggal dunia tetapi dendamnya tetap berterusan. Disebabkan lembaga hitam itu berdegil aku terus zikirkan :
" Ya Muntaqim, Ya Muntaqim, Ya Muntaqim......"
Hingga 6,900 kali. Dan aku sambungkan dengan membaca Cemeti Jibril 21 kali. Ketika ini guruh berdentam kuat dengan api menyambar berterusan.
Belalang beratus-ratus ekor melekap pada dinding luruh ke tanah rentung akibat disambar api. Kucing hitam ditengah bilik tidur juga melilau mencari pintu keluar. Ular hitam berlingkar di bawah tangga juga mengeliat-liat disambar api kilat memancar. Kemana sahaja mereka berlindung api terus memancar setaip kali guruh berdentum.
Terjerit-jerit lembaga botak dipenjuru pagar menahan kepalanya. Dia melambai-lambai tangan meminta tolong dari lembaga hitam bertubuh besar dibumbung atap. Tetapi lembaga hitam itu juga terkial-kial menahan panahan petir laksana panah berapi memancar-mancar.
" Macam mana kau nak lindungkan Tok Kosim, diri kau sendiri pun tak boleh nak lindungkan...." lembaga berkepala botak dipenjuru pagar menuding jari ke arah lembaga hitam di bumbung atap.
Ketika ini Latip Sopak yang merungut-rungut dengan tanganya semakin lemah mahu merentap rambut. Ustaz Salam mengusap-usapkan tapak tangannya ke muka Latip Sopak lantas bacakan surah al-Ikhlas. Latip Sopak terkulai lalu tertidur pulas disambut Ustaz Salam. Selepas kejadian ini tidak pernah lagi aku menemui Latip Sopak, kecuali dia tidak pernah lupa kirimkan aku kad Hari Raya asal sahaja menjelang Aidil Fitri......
Seperti biasa, ambil sisi positif dari cerita ini. Yg negetif jangan diambil. Kekuatan yg tak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt, Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yg tak berkenan di hati para sahabat2 semua, aku. Tok Penjejak Badai, dengan merendahkan diri memohon maaf....
TERIMA KASIH.....
HIZIB JIBROIL.
AMALANYA :
" Bismilahirahmanirahim bihaqi Jibroil alaihis salam. Wa bihaqi Mikail alaihis salam. Wa bihaqi Isrofil alaihis salam. Wa bihaqi Izroil alaihis salam. Innahu min Sulaiman wa innahu bismillahi Rahmani Rahim. Alla ta' lu alaiyya wa tuuni muslimin."
CARANYA :
Cukup di amalkan setiap habis shalat fardu lima waktu 7x atau cukup di baca sehabis shalat Maghrib dan Subuh semampunya.
KHASIATNYA :
Tidak kalah dengan Ilmu Asma Sunge Rajeh, tidak kalah dengan Asmak Malaikat, tidak kalah dengan Ilmu Tingkat Tinggi.
CARA GUNANYA :
Di baca 7x sambil dgn niat kita. Contoh untuk kekebalan, baca 7x lalu niat kita untuk kekebalan, dan yg lain2 lagi.
TAMBAHAN :
Ilmu ini baru boleh di fungsikan setelah selesai melakukan penyelarasan selama 7 hari. Dan setelah itu baru lah dapat di gunakan.
Ilmu ini aku dapat ijazah dari guru tua di Cianjur Jawa Barat yg tidak mahu di sebut namanya di sini, dan beliau telah mengijazahkan ilmu ini sepenuhnya kepada aku. Semoga bermanfa’at bagi yg mengamalkan nya. Aamiin....
Seperti biasa, ambil sisi positif dari kisah ini. Yg negetif jgn diambil. Kekuatan yg tak bisa ditandingi adalah kekuatan daripada Allah swt, Sang Maha Pencipta.
Sekiranya ada tutur bahasa dan tingkah laku yg tak berkenan dihati para sahabat2 semua, aku. Tok Penjejak Badai dgn merendahkan diri memohon maaf....
TERIMA KASIH....
OLEH :
TOK PENJEJAK BADAI.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
About
Popular Posts
-
MANTRA UNTUK SEMUA JENIS JUDI AGAR MENANG. TANPA SYARAT TANPA PANTANG. Assalamualaikum Wr. Wb sahabat-sahabat yang aku hormati sem...
-
TAWASSUL WALI SONGO UNTUK MENDAPATKAN ILMU ASMA'. Assalamualaikum wbt wt....sahabat-sahabat yang aku hormati semua, tidak kira dim...
-
RAJA DARI SEGALA RAJA SHOLAWAT. SHOLAWAT AL FATIH.. SAYYIDUSH SHOLAWAT. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh….Sahabat-sahab...
-
VIRAL SEMULA DIMEDIA SOSIAL VIDEO BERDURASI HAMPIR SETENGAH JAM ADEGAN HENJUT ATIKAH SUHAIMI DAN IDRIS KHAS TERSEBAR MELUAS!! AWAS VIDEO ...
-
ASMA' SUNGE RAJEH LENGKAP. IJAZAH ASMA' RAJEH DIRAJEH. 2 Sanad. Assalamu’alaikum wr wb para sahabat-sahabat ahli Kampus seka...
-
Saya bawakan batu petir asli yakni item rare utk pakaian diri shbt shbt yg ikhlas dan yakin diri..inshaAllah Batu petir ini sanga t...
-
AMALAN ILMU SYAHADAT GHOIB. CARA UNTUK MENEMBUS ALAM GHAIB. ILMU MERAGA SUKMA. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh….Sahabat-...
-
KUNCI MEMANGGIL KHODAM DOA NURUN NURBUAT. DOA NURBUAT - NURUN NURBUWAH - CAHAYA KENABIAN. Itulah beberapa penyebutan doa ya...
-
Kenalan : Salam, ada ke cara ringkas contoh pengiraan kepingan atap genting untuk rumah ? Ambo : Wasalam, cara pengiraan asas yang amb...
-
3 CARA MEMBUKA MATA BATIN. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh….Sahabat-sahabat yang aku hormati semuanya, tidak kira di man...
No comments:
Post a Comment