Trending

Thursday, 23 March 2017

BERPELUK DAN PEGANG TANGAN, ITU ANTARA SAYA DENGAN TUHAN - EMMA MAEMBONG


Pelakon Emma Maembong bersedia andai lakonan babak romantik bersama aktor gandingannya Aiman Hakim Redza dalam filem Kimchi Untuk Awak menerima kritikan penonton.
Emma, 24, berkata, dia sedar perkara yang dilakukan itu adalah salah di sisi agama dan mengakui dalam proses untuk belajar memperbaiki diri menjadi seorang muslimah yang lebih baik.
"Saya bersedia terima nasihat atau kritikan penonton yang menganggap lakonan saya itu bertentangan dengan imej saya sebagai wanita berhijab.
"Saya sendiri akui ia memang salah, namun saya enggan komen tentang perkara itu kerana ia biarlah antara saya dengan tuhan sahaja," ujarnya memetik laporan mStar Online.
Pelakon drama Sayang Papa Saya Tak? ini ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem pertamanya Kimchi Untuk Awak yang diadakan di ibu negara, Sabtu.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail ini menjelaskan tentang adegan berpegangan tangan dan berpelukkan yang dilakonkan dalam filem berkenaan bakal mengundang persepsi negatif penonton terhadap imejnya sebagai wanita berhijab.
Dalam pada itu, Emma berkata, penonton tidak mengetahui situasi sebenar yang dilalui sebagai pelakon ketika di set penggambaran.
"Penonton tidak tahu bagaimana saya cuba mengelakkan adegan-adegan seperti itu dalam setiap lakonan saya, tapi dalam keadaan tertentu saya akui gagal berbuat demikian.
"Saya tidak salahkan siapa-siapa dalam hal ini kerana pilihan memang ditangan saya sama ada saya mahu buat atau tidak. Cukuplah saya katakan sebagai manusia biasa saya akan cuba belajar menjadi elbih baik," ujarnya.
Sementara itu, Emma yang membawakan watak sebagai Bella dalam filem tersebut mengakui menghadapi banyak cabaran sepanjang penggambaran yang dilakukan di Korea Selatan tahun lalu.
Katanya, cuaca yang terlalu sejuk turut menjadi salah satu cabaran paling sukar untuk menjayakan sesebuah babak.
"Ini kali pertama saya ke Korea Selatan dan cuaca agak sejuk kira-kira 7 ℃ sehingga membuatkan bibir saya menggeletar ketika berdialog.
"Kami perlu berdialog dalam keadaan yang biasa tanpa kelihatan sejuk, walhal ketika itu ingin bercakap pun susah," ujarnya.
Filem Kimchi Untuk Awak yang merupakan filem pertama arahan Micheal Ang ini turut menampilkan beberapa pelakon popular seperti Janna Nick, Sharifah Sakinah, Dira Abu Zahar, ungku Haris, Annuar Chew dan Normah Damanhuri.
Filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 30 Mac ini.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts