Trending

Tuesday, 25 August 2015

Zizan buang kontroversi, fokus bisnes


MENJADI artis tanah air yang pertama memiliki rangkaian kedai serbaneka menggunakan nama sendiri, Zizan Razak optimis memastikan cabang perniagaan jenama ZizanMart memberikan variasi serta pilihan kepada kuasa pengguna di Malaysia. 

Selepas membuka cawangan pertama di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini, Zizan merancang untuk melebarkannya ke beberapa negeri lagi.

Ditubuhkan di bawah Zizan Group Sdn Bhd, pengacara Akademi Fantasia (AF) 2015 bergandingan dengan Faizal Ismail itu sebelum ini pernah menyertai perniagaan restoran makanan, Burgerbyte, menawarkan hidangan ala-Mexico tetapi bercita-rasakan Asia di bawah syarikat Burgerbyte Sdn Bhd. 

Syarikat restoran itu hasil perkongsian beberapa individu dan Zizan adalah seorang daripadanya. 

Zizan memaklumkan, dia memiliki empat rangkaian restoran makanan berkenaan dan kini tumpuannya kepada ZizanMart.

Seperti Burgerbyte yang membuka francais di seluruh negara, Zizan turut berharap kedai serbaneka miliknya juga akan menarik minat pihak tertentu untuk menjalin kerjasama pembukaan francais di mana-mana lokasi strategik bagi menyemarakkan perniagaan Bumiputera. 

Zizan meneruskan kelangsungan anak seni yang mempelbagaikan pengaruh dan nama yang ada dengan menceburi dunia perniagaan. 

Antara artis yang berjaya dalam perniagaan ketika ini adalah Neelofa dengan perniagaan kanta lekap dan tudung, Rozita Che Wan (tudung, jubah dan minyak wangi), Linda Onn (rangkaian nasi ayam), Datuk Siti Nurhaliza (produk kecantikan), Fizo Omar (burger) serta Mawi (tudung dan pakaian).

Apa yang dilakukan Zizan ketika ini juga membuktikan dia mahu terus mengorak langkah ke hadapan dan mengetepikan apa sahaja yang boleh melemahkan semangatnya. 

Ia termasuklah hal remeh seperti kontroversi dan gosip yang bukan perkara asing dalam kembara seni melanda jejaka kelahiran Terengganu itu. Zizan tidak mahu lagi menoleh ke belakang. 

"Saya tak mahu terus larut dan statik dengan mana-mana perkara yang boleh menjatuhkan nama serta semangat saya. Kisah pahit atau kontroversi lalu, saya mahu luputkan terus. 

"Saya sudah 31 tahun lagi dan usia saya itu bukan makin menurun. Saya optimis nak besarkan lagi perniagaan kedai serbaneka ini di seluruh Malaysia. 

"Sasaran seterusnya selepas Kota Bharu ialah Terengganu. Saya juga merancang membuka cawangan di Kuala Lumpur, Pahang dan Johor Bahru. Artis yang berniaga ini satu contoh yang baik. Nasihat Rasulullah sendiri menggalakkan perniagaan kerana ia kerja yang paling baik. 

"Saya sendiri menceburi dunia perniagaan ini bukan sekadar mahu berniaga semata-mata tetapi ia didorong dengan minat yang menebal. 

"Kalau ada yang melihat artis menceburi bidang perniagaan ini sebagai aliran (trend) terpulang. Bagi saya bidang ini bukan aliran semata-mata tetapi ia masa depan. 

"Saya tak ambil hal ini sebagai benda mudah. Kalau nak jadi aliran sekalipun, biar ia jadi bermakna dan bukan hanya hangat-hangat tahi ayam. 

"Perniagaan ini andai kata, saya sudah tiada lagi di muka bumi, setidak-tidaknya dapat diwariskan kepada keluarga dan generasi mendatang.

"Anggaplah ia apa sekalipun, seboleh-bolehnya ia perlu jadi aliran yang boleh menjana kehidupan lebih baik untuk masa mendatang," katanya yang bakal muncul dengan filem Polis EVO bergandingan dengan Shaheizy Sam, bulan depan.

Melihat nama dan pengaruhnya, jejaka yang bakatnya mula disedari sejak mendapat tempat kedua dalam pertandingan Raja Lawak di Astro itu pastinya dilihat begitu mudah untuk memastikan jenama ZizanMart terus berkembang. 

"Lihat saja akaun laman sosial yang dikendalinya sendiri seperti di Instagram dan Twitter, yang rata-rata pengikutnya melebihi jutaan orang.

Bagi Zizan, situasi itu adalah bonus. Mengendalikan perniagaan tidak semudah yang disangka, paling utama adalah kemahiran. 

Zizan mengakui beliau beruntung kerana syarikat Zizan Group Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun ini dibarisi ahli lembaga dalam kalangan mereka yang mempunyai latar belakang perniagaan yang baik.

"Orang mengenali saya itu, saya anggap ia sebagai batu loncatan. Tapi nak berniaga ini kena ada kemahiran. Bukan senang nak suruh orang beli barang yang kita jual atau sewenang-wenangnya mendorong orang keluar masuk ke kedai kita. 

"Lain orang, lain cara berniaga mereka. Seperti mana menjadi anak seni pun, masing-masing ada cara untuk memastikan nama mereka dikenali. 

"Tetapi, Insya-Allah, dalam apa yang kita lakukan, pasti ada jalannya. Saya punya fikiran jauh. Bukan mudah berentap dengan kedai serbaneka lain yang sudah kukuh namanya. 

"Nak memulakan perniagaan ini sebenarnya sudah saya rancang lama tapi perlu ada modal. Syukur saya dikelilingi rakan niaga dan pasukan yang cukup positif. 

"Saya juga berharap kedai serbaneka saya ini dapat membuka peluang perniagaan kepada anak muda. Kita juga nak buka francais buat yang berminat. Dalam perancangan juga saya mahu kedai serbaneka ini beroperasi 24 jam. 

"Selepas ini juga saya ada perancangan untuk menjual produk sendiri selain menjual barangan orang," katanya.

ZizanMart pertama yang dibangunkan dengan modal sebanyak RM200,000 itu dirasmikan pada 18 Ogos lalu oleh Exco Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

Lebih daripada itu, Zizan Group Sdn Bhd juga mahu mengembangkan perniagaan kedai serbaneka itu menjadi pasar raya besar. 

Zizan menyasarkan memiliki pasar raya Zizan di setiap negeri.

Di hujung bicara, Zizan turut ditanya mengenai skeptikal dunia hiburan satu kerjaya yang tak menjamin masa hadapan. 

Bagi lelaki bernama penuh Mohd Razizan Abdul Razak ini, dia mempunyai pandangannya tersendiri. 

"Perniagaan dan dunia artis itu cabang berbeza tetapi ia saling berkaitan. Tapi tak adil untuk mengatakan jika seseorang artis itu hanya menjadi anak seni dan tak ada perniagaan sampingan, maka ia sesuatu yang tak menjaminkan masa hadapan. 

"Kalau artis itu pandai menabung dan menyimpan, Insya-Allah boleh. Berniaga itu alternatif. Jika ada ruang berniaga kenapa nak persiakan. Tak selama-lamanya pun kita akan berada di atas. 

"Cuma jika memilih jalan menjadi artis itu, mereka perlu mencari kelainan. Persaingan itu kian sengit, kalau menawarkan bakat yang sama nescaya susah untuk pergi jauh. 

"Lihat sahaja Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Sudirman Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza, mereka memang tiada galang ganti. Bakat mereka sangat tersendiri. Jadi kalau nak jadi anak seni, carilah kelainan kerana manusia hakikatnya mudah jelak dengan perkara yang sama," katanya. 



Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts