Trending

Sunday, 2 August 2015

Nana kurus 'didera' anak



KUALA LUMPUR: Anak sudah dua tetapi badan masih persis anak dara. Itu persepsi awal umum terhadap bintang program realiti TV popular, Akademi Fantasia (AF) musim pertama. 

Malah selepas melahirkan dua anak, Althea dan Aaqib hasil perkongsian hidup dengan Mohamed Raqeem Brian sejak Jun 2009, badan Nana tetap langsing. Apa sebenarnya yang menyebabkan Nana kekal kurus?

Lucunya saat diajukan apakah rahsia yang membuatkan dia kembali ramping, pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan ini menyatakan beliau tiada apa untuk dikongsikan. 

Ketika bertemu beliau baru-baru ini pada majlis sidang media Akademi Fantasia 2015 di Bandar Utama, Nana berkata:

googletag.display('div-gpt-ad-1406188242562-0');





"Memang tak ada rahsia pun yang saya nak kongsi. Saya memang tak pernah berdiet atau mencuri masa ke gimnasium untuk mendapatkan berat badan yang diingini seperti orang lain. Saya nikmati makanan sedap macam orang lain juga. Mungkin orang akan pelik saya boleh kurus tanpa perlu berbuat sedemikian. Tapi itulah hakikatnya. 

"Saya boleh kata, semua ini terjadi sebab anak yang terlalu lasak dan selalu 'dera' saya. Bayangkan kalau di rumah, perangai dan gelagat anak memang buat saya jadi berpeluh. Saya terkejar ke sana ke mari. Ditambah pula saya memang tak gunakan khidmat pembantu rumah, jadi semua kerja rumah termasuk basuh serta lipat baju saya lakukan. Sudah nama tanggung jawab, nak tak nak memang saya perlu lakukan," katanya membuka bicara.


NURUL Hana Che Mahazan atau lebih dikenali sebagai Nana. - Foto Hazim Mohammad



Januari lalu pun, Nana ada berkongsi pengalamannya dari hati ke hati untuk peminat mengenai fasa beliau melalui pengalaman bergelar isteri kepada Raqeem Brian dan ibu kepada dua anak menerusi buku setebal 108 helai muka surat diberi judul 'Life's A Na.. Na.. Na..'. Dalam buku itu, Nana berkongsi ilmu keibuan serta rutin hariannya tanpa dibantu pembantu rumah. 

Nana juga nekad memperlahankan karier seninya dengan meninggalkan kerjaya penyampai radio demi memberi tumpuan kepada rumah tangga dan anak yang mula membesar. Pengorbanan Nana meninggalkan dunia glamor ketika berada di puncak populariti itu dilakukannya demi tanggung jawab hakiki di rumah. 

Namun semua ini berubah selepas Nana dipilih sebagai hos Diari AF 2015. Baru-baru ini Nana sudah mula mendapatkan khidmat pembantu rumah kerana tidak mahu membebani semua tanggung jawab itu kepada ibunya yang selama ini tidak berkira menjaga anaknya. 

"Memang selama ini saya lebih selesa melihat anak membesar di depan mata dan melakukan kerja rumah sendirian. Sebab itu juga saya sanggup mengorbankan kerjaya seni buat seketika. Ikutkan memang saya 'paranoid' dan trauma dengan pembantu rumah. Tapi sebab komitmen di AF 2015 setiap hari membuatkan saya perlu menggunakan khidmat pembantu rumah juga. 

"Macam sekarang memang saya jadi pelik dengan keadaan rumah yang terlalu bersih dan kain dilipat rapi. Saya memang tak biasa dengan keadaan itu. Tapi kena biasakan. Saya tak mahu bebankan emak untuk uruskan rumah dan jaga anak pada yang sama. Ibu bukan pembantu rumah. Kehadiran pembantu rumah ini harapnya dapat melancarkan lagi urusan di rumah ketika saya memberi perhatian kepada AF2015.


NANA tidak pernah berdiet atau mencuri masa ke pusat gimnasium untuk mendapatkan berat badan yang diingini seperti orang lain. - Foto Hazim Mohammad



"Setidak-tidaknya rumah saya tidaklah seperti 'tongkang pecah'. Mahu suami saya tak bising, kalau keadaan rumah terabai begitu sahaja. Sekurang-kurangnya ketika keluar bekerja, rumah dan anak dijaga rapi. Dapat juga saya bekerja dengan fokus tanpa perlu memikirkan hal yang tak sepatutnya," kata Nana. 

Kata Nana, niatnya kembali untuk terus memeriahkan persada seni tiada langsung untuk mencari glamor atau berharap untuk dipuja kembali seperti 12 tahun lalu ketika namanya meledak. Baginya cukup dia dapat mencari rezeki untuk membantu keluarga membesarkan anak. Nana mahu tanggungjawab itu serba sedikit dipikul bersama suami. 

"Semasa nekad berhenti kerja dan memberi perhatian kepada anak, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat orang di luar sana termasuk peminat akan melupakan saya. Tetapi Alhamdulillah selepas 12 tahun, saya masih diterima dan diingati sekalipun dulu pernah dicaci dan dicerca. Saya masih diberi peluang untuk mengendalikan konti radio serta menjadi pengacara. 

"Saya sebenarnya tak hadkan diri untuk melakukan apa saja kerja yang boleh mendatangkan pendapatan. Selagi ia tak mengganggu perhatian saya terhadap keluarga dan anak, baru saya terima sesuatu tawaran kerja. Jika tak boleh buat dan akan menyukarkan rutin saya sebagai ibu dan isteri, saya tidak akan menerimanya. 

"Kembalinya saya ke persada seni memang tidak diiringi segunung harapan untuk dipuja atau diangkat seperti dahulu. Niat saya hanya nak menjaga anak. Kembalinya saya kini pun sebab mereka. Rezeki yang datang ini untuk anak juga yang semakin membesar. Dalam dunia yang penuh materialistik ini, saya kena kerja kuat," katanya.


NANA berpendapat peluang mengendalikan diari AF 2015 pastinya memberikan terjemahan tersendiri dan ia sangat berhubung kait dengan dirinya. - Foto Zunnur Al Shafiq



Mengenai mandatnya sebagai hos Diari AF 2015, Nana mengakui amat teruja untuk menceriakan program realiti yang pernah mengangkat bakatnya sekitar 12 tahun lalu. Sambil berseloroh, Nana mengatakan dia bukannya hadir atas tiket bertanding sebagai peserta sebaliknya mahu mengembalikan semula nostalgia serta menghangatkan program pencarian bakat popular itu. 

"Gembira saya bukan kepalang untuk menjadi sebahagian daripada AF kali ini. Malah ketika sidang media diadakan pun dan saat mendengar lagu tema AF, 'Menuju Puncak' pun saya sudah rasa sebak. Ia memori indah dalam hidup saya kerana menjadi sebahagian daripada AF yang pertama. Itu 12 tahun lalu dan kini saya memang Nana Mahazan yang berbeza. Saya kini sudah ada dua anak.

"Peluang mengendalikan diari AF 2015 pastinya memberikan terjemahan tersendiri dan ia sangat berhubung kait dengan diri. Mungkin itu juga antara sebab Astro pilih saya menggalas tanggungjawab ini. Saya mengambil pendekatan selesa menjadi diri sendiri untuk kerja ini. Saya tak reti nak jadi orang lain. Mungkin sebab itu saya tak berlakon.


NANA berpendapat peluang mengendalikan diari AF 2015 pastinya memberikan terjemahan tersendiri dan ia sangat berhubung kait dengan dirinya. - Foto Zunnur Al Shafiq



Rangkaian program AF 2015 akan mula bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Program pengenalan Tirai AF 2015 mula ke udara selama dua episod bermula 1 hingga 2 Ogos ini jam 9 malam. Selain itu, rutin seharian pelajar menjalani kehidupan di akademi juga dapat ditonton melalui liputan harian Diari AF 2015 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam bermula pada 3 Ogos. 

Konsert Mingguan AF2015 pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam mulai 9 Ogos. Bagi merancakkan lagi penerbitan musim ini, AF 2015 bakal membuat kejutan sewaktu Konsert Penentuan di minggu yang pertama kelak. Semua 16 orang pelajar akan membuat persembahan secara langsung buat julung kalinya di khalayak ramai. 

Seratus peratus keputusan dan kuasa penjurian adalah berdasarkan pemilihan oleh Pengetua dan Barisan Tenaga Pengajar AF 2015. Jumlah pelajar yang bakal meneruskan perjuangan dalam AF 2015 hanya akan terjawab pada malam Konsert Penentuan itu nanti. Sekali lagi Zizan Razak dan Faizal Ismail diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara Konsert Mingguan. 

INFO

* Pernah mewakili daerah untuk pertandingan Suara Emas ketika usia 12 tahun.

* Kereta pertama dibeli pada usia 20 tahun.

* Anak perempuan tunggal dalam empat beradik.

* Berkahwin dengan Mohamed Raqeem Brian Abdullah pada 6 Jun 2009.

* Mempunyai dua anak, Althea (21 Oktober 2010) dan Aaqib (17 Disember 2013).

* Menjadi penyampai radio apabila menyertai Era FM pada 2004 kemudian berpindah ke XFM pada 2009.

* Akrab dengan Fara Fauzana



1 comment:

  1. Dengan minimal deposit 10.000, kalian bisa mencoba keberuntungannya bersama dengan kami
    segera add pin bb kami D87604A1, ditunggu ya di D3W4PK**

    ReplyDelete

About

Popular Posts