Trending

Tuesday 25 August 2015

Rani Kulup jadi bintang filem



SELEPAS mencetuskan fenomena dengan rekod membuat hampir 1,000 laporan polis, Abdul Rani Kulup, 60, yang pasti menarik perhatian umum setiap kali tampil dengan beret merah dan seragam hitam, dijangka bertambah glamor selepas ini apabila membuat penampilan ke layar perak. 

Kelibat Rani atau lebih mesra dengan sapaan Ayah akan membuat kemunculan sulung di layar perak selepas dilamar Meltrowealth (MIG) untuk membintangi sebuah filem berjudul 'Kipidap! Selamat Hari Jadi' di samping Atikah Suhaime dan Hafeez Adam. 

"Saya anggap populariti yang diraih ini sebagai pembuka jalan dan memberi rezeki buat saya sekeluarga. Siapa sangka saya diberikan peluang untuk berlakon oleh pihak MIG dan peluang ini tidak akan saya sia-siakan begitu saja. 

"Saya akui tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang lakonan namun saya akan memberikan yang terbaik dan tidak akan menghampakan mana-mana pihak," katanya teruja.

Filem arahan Eyra Rahman itu sedang menjalani penggambaran di Kuala Pilah dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Beliau menganggap peluang keemasan itu sebagai rezeki bagi menampung dua isteri dan sembilan orang anaknya.

Menerusi filem komedi itu, Rani memegang watak sebagai Tok Daddy iaitu suami kepada Nanny Rockie dan atuk kepada empat orang cucu.

Tok Daddy adalah atuk yang sangat penyayang namun merancang majlis hari jadi cucunya sendiri kerana tidak mahu cucunya berkahwin dengan kekasih pilihan sendiri.

Tampil bersahaja, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu, berkata beliau tidak cepat melatah walaupun ada kata-kata negatif yang menuduhnya mendambakan perhatian dan populariti kerana penampilan sebegitu. 

"Populariti yang diraih bukannya dirancang kerana saya sendiri tidak sangka diterima baik sebegini. Malah, masyarakat dari pelbagai peringkat umur ingin bergambar dengan saya.

"Tidak dinafikan, lumrah kehidupan tidak semua akan menyukai kita jadi saya enggan terlalu ambil pusing kata-kata negatif yang dilemparkan. Biarlah saya dengan kehidupan saya sendiri kerana saya tidak mengganggu sesiapa pun sebenarnya.

"Selama 22 tahun berkhidmat dalam bidang ketenteraan mengajar saya erti kesusahan dan keadaan yang lebih berat. Banyak pahit getir yang dilalui seperti menentang komunis bagi mempertahankan negara kita.

"Jadi saya tidak mahu terkesan dengan perkara ini, kalau kita lihat laman-laman ini (troll) tidaklah terlalu teruk sangat malah memberi kelebihan kepada saya juga apabila lebih dikenali kini," katanya kepada BH PLUS.

Beliau yang sering menggunakan hashtag #kipidap (keep it up) berpendapat, mustahil untuk menghentikan pengguna laman sosial yang mengutuknya atau lebih popular dengan istilah troll kerana jumlah mereka yang terlalu ramai. Tetapi, beliau masih boleh menerimanya selagi tidak melampaui batas.

Pesara tentera itu berkongsi, beliau hanya bergantung kepada wang pencen sebanyak RM1,500 sebulan bagi menanggung dua isteri dan sembilan orang anaknya. Beliau ikhlas dalam membuat laporan polis tanpa dibiayai oleh sesiapa dan akan terus membuat laporan polis selagi laporannya itu diperlukan dan tidak kisah jika ada sesiapa yang mengkritiknya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tujuan beliau membuat laporan polis kerana terpanggil 'untuk menyelamatkan negara' daripada terus dirosakkan oleh tangan-tangan jahat yang mahu mengganggu gugat keamanan negara.

Rani mempunyai kumpulan muzik, Sometimes Group, yang membuat persembahan di majlis kenduri kahwin dan pernah menghasilkan sebuah album dengan lagu popular berjudul Tutup Pintu Tapi Tidak Berkunci.



Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts