KUALA LUMPUR: Keputusan 'berani mati' Datin Umie Aida untuk memenuhi impiannya terapung di udara dengan ketinggian mencapai altitud penerbangan 15,000 kaki ternyata tidak membuatkan pelakon berbakat besar itu untuk kecut perut atau jauh sekali berasa gentar.
Pendek kata, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil itu memang 'berani mati'.
Keputusan untuk melakukan terjunan udara di Sydney Skydivers itu menjadi sebahagian daripada impiannya mencuba atau merasai apa sahaja pengalaman semasa hayat masih di kandung badan.
Ironinya, Umie pernah menyempurnakan 'bucket lists' yang lain seperti mendaki Gunung Kinabalu, Gunung Tahan, bermain ski, selam skuba, menaiki roller coaster yang paling 'brutal' (di Los Angeles) dan menjejaki Taj Mahal, India.
Umie berkunjung ke Sydney, Australia selama tujuh hari sejak 24 Julai lalu. Malah turut sama melakukan aksi terjunan itu ialah dua temannya, Rosix dan Azian yang bekerja di sana.
Adik kepada sutradara Erma Fatima itu tak ketinggalan melawat bangunan masyhur dunia seperti Sydney Opera, Circular Quay, The Rocks dan Walsh Bay. Umie turut melakukan aktiviti memanjat jambatan Sydney Harbour.
"Saya rasa macam burung sewaktu berada di udara. Sangat menyeronokkan. Ia antara memori indah yang saya akan kenang sampai bila-bila. Pengalaman terapung di udara ini amat terbaik setakat ini. Saya sendiri memang suka mencabar diri termasuklah melakukan aktiviti lasak. Jangan ingat saya ini penakut dan jenis perempuan yang 'control' ayu semata-mata pula.
"Akhirnya 'bucket list' saya yang ini dipenuhi. Tapi tipulah kalau saya cakap jantung tak berdebar sebelum melakukan aktiviti itu. Tambah pula saya takutkan apa sahaja yang membabitkan ketinggian.
"Jantung saya mula terasa debarnya saat memakai baju khas untuk aktiviti berkenaan lagi. Hanya Tuhan sahaja tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Debaran kian memuncak apabila saya mula menaiki kapal terbang.
"Pendek kata, macam-macam ayat yang saya baca untuk mengurangkan rasa takut dan gementar. Perlahan demi perlahan, perasaan itu bagaikan sudah imun. Ketika melakukan terjunan udara itu, saya dibantu jurulatih bernama Cindy. Dia sendiri banyak menenangkan saya.
"Biasalah sudah nama pun tugasnya. Saat pintu kapal terbang dibuka dan saya bersedia untuk terjun, segala perasaan bercampur baur termasuk teruja hilang begitu sahaja," katanya yang dihubungi menerusi khidmat aplikasi WhatsApp.
Menurut Umie, saat badannya terapung di udara, beliau terus menikmati pengalaman berkenaan sehabis baik sekalipun hanya dalam tempoh pantas selama 75 saat ketika terjunan bebas berlangsung.
"Kenikmatan yang diperoleh itu tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Mungkin siapa yang nak tahu nikmatnya kena cabar diri untuk mencubanya. Saat terjunan bebas selama 75 saat itulah yang paling menyeronokkan. Tapi apabila payung terjun sudah dibuka, perasaan itu kembali menjadi biasa. Perasaan biasa itu macam melakukan paragliding.
"Setiap manusia mempunyai perspektif berbeza terhadap apa yang mahu dilakukan. Saat berada di udara itu umpamanya seperti kenikmatan hidup yang diberikan Tuhan pada kita semua dan bila-bila masa sahaja nyawa kita boleh dicabut-Nya. Sekali lagi terima kasih kepada Rosix dan Azian yang turut serta melakukan aktiviti sama," katanya.
Pada masa mendatang, Umie mahu terus mencabar dirinya melakukan aktiviti yang tak tercapai dek akal manusia.
"Insya-Allah bulan Oktober nanti saya mahu ke New Zealand untuk melakukan terjunan udara dan lompatan bungee. Saya juga berhajat mahu melakukan lompatan bungee di Beijing, China," katanya yang turut gemar bermain badminton bagi membakar kalori.
Sementara itu, berbalik kepada persoalan kenapa beliau jarang berlakon, Umie sebenarnya sangat selektif. Kali terakhir beliau muncul di kaca TV sekitar dua tahun lalu. Namun dalam tempoh itu, Umie sebenarnya tetap aktif di pentas teater di Istana Budaya. Terbaharu Umie baharu sahaja muncul dalam drama lapan episod Mak Cun arahan Bade Azmi di TV3. Ia turut dibintangi Datuk Rahim Razali dan Erma Fatima.
"Lakonan sudah sebati dalam hidup saya. Ia bukan sekadar mengisi masa lapang. Cuma prinsip kini, saya akan berlakon apabila jatuh cinta dengan watak yang akan dibawakan. Perasaan itu akan datang apabila saya membaca skrip.
"Kalau saya suka dengan watak itu, nescaya saya akan buat. Kalau tak memang saya akan tolak dan terus terang cakap tak boleh buat. Sebab itu juga sebelum menerima tawaran berlakon, saya lebih gemar meneliti skrip. Saya berlaku jujur dalam lakonan yang akan dibuat.
"Apabila kita jatuh cinta dengan sesuatu watak, saya akan laksanakan tugas itu sebaik mungkin. Sebab itu dalam setiap apa yang kita buat kena ada rasa cinta. Maka daripada situ lahirlah sebuah perasaan bernama kejujuran," katanya yang terbabit selama 20 hari untuk melunaskan watak Zennat Manisah di Kedah beberapa bulan lalu.
No comments:
Post a Comment