DENGAN anggaran kerugian RM1.2 juta bagi setiap belia yang maut, negara kehilangan potensi ekonomi yang amat besar apabila sejak tahun 2006 hingga Disember lalu, seramai 34,766 belia maut di jalan raya.
Jumlah itu menjadikan nilai kerugian negara mencecah RM41.7 bilion hanya bagi tempoh lapan tahun dan ia dijangka terus bertambah berdasarkan statistik Ops Selamat tahun ini yang menunjukkan peningkatan jumlah korban di jalan raya berbanding tahun lalu.
Justeru, kehilangan belia dalam lingkungan umur masih produktif untuk menyumbang kepada ekonomi negara akibat kemalangan jalan raya perlu ditangani dengan kaedah yang berkesan dan tersusun.
Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan, berkata kerugian hampir RM42 bilion yang dialami negara dalam tempoh lapan tahun itu adalah satu nilai yang besar.
"Kita bukan sahaja kehilangan belia, malah tenaga kerja dan bakat yang sepatutnya mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya sambil menjelaskan kebanyakan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal berusia 16 tahun hingga 20 tahun.
Mengulas lanjut, Muhammad Marizwan berkata, nilai kerugian bagi setiap belia yang maut itu adalah berdasarkan kajian dan pengiraan yang dibuat pada tahun 2001.
"Pengiraannya dibuat berdasarkan perangkaan yang mengambil kira pelbagai aspek dari segi purata jangka hayat individu di negara ini dan sumbangannya jika dia hidup lama seperti jumlah kewangan yang diperoleh, status perkahwinan, kematian dan kehilangannya yang dialami negara.
"Sebagai contoh, bagi seorang individu yang berkahwin dengan gaji sebanyak RM3,000 dan memiliki dua anak, dia akan menyumbangkan hasil RM1 juta sepanjang hayatnya secara purata dan jika dia mati, itulah hasil kerugian yang dikira," katanya kepada BH.
Muhammad Marizwan bagaimanapun berkata, anggaran kerugian itu kemungkinan sebenarnya lebih tinggi pada masa kini iaitu tiga kali ganda atau RM2.4 juta berdasarkan kenaikan kos sara hidup, inflasi serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Kajian pada tahun 2001 itu dilakukan oleh bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya, Prof Madya Dr Mohd Fauzi Mohd Yusoff dan MIROS kini sedang melaksanakan kajian baharu, yang dijangka siap hujung tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abdul Haris Lakar, berkata statistik Trafik Bukit Aman 2006 hingga Disember tahun lalu itu menunjukkan angka kematian membabitkan belia amat membimbangkan kerana mereka adalah generasi pelapis yang akan mentadbir negara pada masa depan.
Peringkat umur awal belia iaitu 16 tahun hingga 20 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh lapan tahun iaitu dengan 9,671 kematian, diikuti peringkat umur 21 tahun hingga 25 tahun dengan 9,113 kematian.
Katanya, walaupun jumlah kematian tanpa mengira peringkat usia tahun lalu menurun sebanyak 241 kematian iaitu 6,674 kematian berbanding tahun sebelumnya (6,915), jumlah kematian membabitkan belia tidak menunjukkan penurunan.
"Berdasarkan statistik sama, kebanyakan belia yang terkorban akibat jalan raya terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal," katanya ketika ditemui BH.
Abdul Haris berkata, tahun lalu sahaja, 4,179 kematian membabitkan pengguna motosikal iaitu 62.6 peratus daripada jumlah keseluruhan 6,674 kes kematian.
Malah, katanya, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 1,074 pengguna motosikal terkorban berbanding 1,014 kematian pada suku pertama tahun lalu dan ia dikhuatiri meningkat jika langkah mengawalnya tidak diambil.
Beliau berkata, peratusan kematian tinggi membabitkan motosikal adalah berikutan ia kenderaan paling banyak digunakan di negara ini. Berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sehingga April lalu, 46.29 peratus atau hampir 12 juta daripada 25,530,188 kenderaan terkumpul di negara ini adalah motosikal.
Mengulas mengenai punca kemalangan membabitkan motosikal, Abdul Haris berkata, ia disebabkan faktor individu, persekitaran dan masalah pada kenderaan itu sendiri.
Sehubungan itu, JKJR meminta pengguna motosikal supaya lebih berhati-hati dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
"Sebagai agensi keselamatan, antara usaha kami ke arah mengurangkan kadar kemalangan ialah dengan menggantikan topi keledar lama kepada yang baharu, memberikan jaket keselamatan dan mengedarkan risalah keselamatan," katanya.
No comments:
Post a Comment