Trending

Thursday, 6 August 2015

Sharnaaz nak buang imej jahat



BAKAL menginjak usia 30 tahun pada 30 Ogos ini, pelakon Sharnaaz Ahmad, mahu menghilangkan sisi ganas, imej jahat atau `bad boy' dan sifat panas baran yang sentiasa membayanginya.

Sebagai manusia biasa, jejaka kacak kelahiran Pulau Pinang itu juga mahu berubah. Tidak mahu terlalu drastik, Sharnaaz percaya peningkatan usia dan pengalaman yang ditimba menjadi faktor terbesar untuknya menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Malah, pelakon yang meledak dengan drama Bukan Aku Tak Cinta di sisi Nelydia Senrose itu juga tidak mahu terlalu menunggu lama lagi untuk menamatkan zaman bujang. Biar pernah dikecewakan yang menjadi adat dalam percintaan, Sharnaaz optimis jodohnya ada dan dia berhak mengecapi bahagia seperti pasangan lain.

"Jujur cakap apabila umur meningkat, ..orang kata meningkat di hujung angka 30-an atau 'remaja akhir', pemikiran kita jadi matang. Cara kita menerima keadaan dan menguruskan sesuatu itu berbeza. Ia ada peralihan normal dalam fasa hidup manusia. Ia terjadi tanpa dikawal atau boleh dicakap itu dan ini. Saya percaya semua orang di dunia ini mahu jadi lebih baik.

"Sebelum ini, mungkin saya tak boleh tahan atau paksa amarah itu menjadi tenang. Ia berbalik kepada hormon kita dan cara otak kita berfikir. Kalau nak kata jahat dari kecil sampai besar itu seperti mustahil juga. Memang saya tak nafikan sebelum ini, saya jenis yang cepat panas baran. Hal ini bersangkut paut soal umur. Darah mudalah katakan.

Malah, pelakon yang meledak dengan drama Bukan Aku Tak Cinta di sisi Nelydia Senrose itu juga tidak mahu terlalu menunggu lama lagi untuk menamatkan zaman bujang. Biar pernah dikecewakan yang menjadi adat dalam percintaan, Sharnaaz optimis jodohnya ada dan dia berhak mengecapi bahagia seperti pasangan lain.

"Saya masih mencari pasangan hidup. Saya tak mahu tunggu lama. Saya percaya jodoh saya ada di luar sana cuma belum pasti yang mana satu.

"Takkanlah saya nak tunggu lama lagi tak kahwin-kahwin. Takkan saya nak tunggu umur anak umur 11 tahun dan saya sudah 55 tahun. Kelakar pula kalau begitu. Macam datuk bermain dengan cucunya pula. Ada rezeki dan jodoh, saya memang nak kahwin dan tidak mahu lagi melengah-lengahkan masa. 

"Saya tak kisah siapa wanita itu. Yang penting dia baik dan boleh menghormati keluarga saya. Dia juga boleh jaga saya seperti ibu bapa saya menjaga saya. Di usia sekarang, saya punya nakal memang menjadi-jadi walaupun muka nampak garang. Saya suka kacau dan usik orang. Biasalah kalau lelaki single seperti saya mengusik perempuan. Nama pun lelaki, nak buat macam mana," katanya.

Namun, walaupun ada sisi nakal, Sharnaaz mengakui beliau seorang yang sangat setia apabila berpasangan.

"Tanya bekas teman wanita saya," katanya.

Pernah mengeluarkan kenyataan selesa menerima jodoh dalam kalangan artis sebelum ini, Sharnaaz bagaimanapun kini sudah mula berfikir banyak kali untuk mengekalkan pendirian itu. Jika diamati sejarah percintaan Sharnaaz, dia pernah menjalinkan cinta dengan Shila Amzah dan terbaharu, Anis Al Idrus. Tetapi jodoh tak panjang dan ia berakhir di tengah jalan.

Lalu apakah Sharnaaz kini sudah serik bercinta sesama artis?

"Kalau nak kata saya serik dengan artis, bolehlah dikatakan begitu. Kalau boleh saya nak orang biasa. Kalau boleh, saya nak wanita yang bekerja sebagai ahli perniagaan. Saya suka wanita yang ada otak. Saya nak wanita yang guna otak apabila bercakap dan bukannya dengan nafsu serta amarah. Tetapi kalau dia bekerjaya pun, janganlah abai tanggungjawab kepada saya dan layan saya macam kawan pula.

"Memang sebelum ini, saya mungkin cakap kalau bercinta sesama artis satu bidang boleh memahami. Tapi kalau sama-sama artis terlebih faham bahaya juga. Takut pasangan anggap dan ingat kita ambil kesempatan pula," katanya.

Sharnaaz turut ditanya apakah sikap panas baran yang dimilikinya sebelum ini membuatkan ramai wanita takut untuk mendekatinya. 

"Tak saya nafikan apabila sebut sahaja perihal panas baran, ia akan mewujudkan perasaan takut. Tapi sebenarnya saya percaya, sikap sebegini juga boleh menarik minat perempuan yang suka imej 'bad boy'. Ia sangat subjektif kerana cita rasa manusia berbeza-beza. Tapi apabila meningkat dewasa dan matang, ia akan letak persepsi betulkah saya panas baran atau sebaliknya.

"Tapi ada yang cakap saya sebaliknya. Ada yang cakap saya panas baran tetapi bertempat. Setiap orang yang kenal saya ada persepsi berbeza. Sebab itu, Tuhan cipta perempuan daripada tulang rusuk lelaki. Kalau tak ngam dan bukan 'tulang rusuk' kita, bukan jugalah maknanya. Tak payah nak bergetar tulang rusuk sangatlah. Kalau sudah tertulis jodoh kita, insya-Allah tetap akan jadi milik kita. 

"Secara jelasnya juga, orang yang berperwatakan jahat akan tarik minat dengan mereka yang sama wataknya. Begitu juga dengan yang baik, pasti akan menarik minat mereka yang sama. Sebagai contohlah, kalau saya lelaki seperti ustaz... mungkin juga saya akan bertemu dengan wanita yang seperti ustazah. Ia berbalik kepada soal psikologi," katanya. 

Diaju mengenai soal kerjaya dan masa depan, Sharnaaz juga mensasarkan untuk bergelar jutawan sebelum usia 30 tahun. Ia mungkin dilihat mustahil tetapi bagi Sharnaaz yang mula meluncur ke arena seni hiburan tempatan menerusi drama Tari Tirana arahan Sharul Ezad Mohamedin itu, semuanya sesuatu yang tidak mustahil.

Kini, selain berlakon, Sharnaaz juga sudah bergelar ahli perniagaan. Dia sudah membuka pusat gimnasium di Segambut di bawah nama Sharnaaz Ahmad Fitnes Centre selain menjalankan perniagaan produk kecantikan serta kesihatan, Sciencetech Industries. Namun, lakonan tidak dilupakan begitu sahaja biarpun sebelum ini pernah berhasrat untuk bersara daripada dunia seni. 

"Saya bukan melalui jalan mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Saya pernah muda dan kini sedang dihambat usia. Saya melalui fasa indah dan getir ketika memilih jalan bergelar anak seni. Saya jatuh dan bangun tetapi satu perkara yang saya percaya, saya tak pernah berputus asa. Macam sebelum ini pernah ketika berdepan fasa genting dihimpit kontroversi demi kontroversi dalam hidup, saya pernah cakap nak berhenti berlakon.

"Tapi ia sekadar cakap sahaja kerana saya tak realisasikan pun. Jika saya boleh bangkit semula selepas 100 kali jatuh, takkan sekali jatuh dan kena teruk, saya sudah nak berputus asa. Tak saya nafikan sekitar 2013, kontroversi melanda memang buat saya jatuh terduduk. Ia kejatuhan paling teruk. Tapi saya tak pernah menyesal menyertai persada seni. 

"Alhamdulillah, masih ada yang hargai bakat seni saya biarpun perangai macam 'kera'. Orang tahu saya kuat maki, kaki gaduh. Tapi saya jadi macam itu bersebab. Saya jenis yang tak puas hati memang tak simpan dalam hati. Nanti memang makan dalam kalau pendam dan simpan semuanya sampai boleh meletup," katanya. 

Mengulas lanjut, Sharnaaz berkata, dia memang serius mahu menjadi jutawan pada usia 30 tahun. 

"Boleh atau tak... saya kena optimis dalam hal ini. Saya nak jadi jutawan dengan melakukan kerja dengan cara halal. Saya akan kembangkan perniagaan Sciencetech Industries yang khusus kepada produk kecantikan dan kesihatan. Ramai tak tahu sebenarnya saya mempunyai ijazah dalam perniagaan kerana orang di luar sana hanya nampak saya sebagai pelakon.

"Apa yang saya lakukan sekarang ini sebagai mengamalkan setiap ilmu yang dipelajari. Mungkin sebelum ini saya tak ada peluang tetapi sekarang saya akan buat sehabis baik. Saat ini saya akan melunaskan baki penggambaran drama Mencintaimu terbitan Global Station. Selepas itu saya akan berehat seketika dan memberi tumpuan kepada perniagaan. 

"Karya seni sekarang macam saya pernah cakap sebelum ini agak sedih mutunya. Kebanyakannya memang begitu. Alhamdulillah juga perniagaan Sciencetech Industries mendapat sambutan. Cuma ketika Ramadan lalu, perniagaan agak perlahan. Tapi setakat ini, produk yang dikeluarkan tak ada masalah atau isu berbangkit untuk di jual di pasaran. Perancangan jitu sedang diatur, termasuk menukar perancangan strategi yang lebih baik. Perniagaan ini tak akan lenyap begitu sahaja. Insya-Allah," katanya. 

INFO

Dalam drama Mencintaimu menghiasi slot Akasia TV3 bermula 19 Ogos ini setiap Isnin hingga Khamis, Sharnaaz buat pertama kali bergandingan dengan pelakon baharu yang sedang mendapat perhatian, Zahirah MacWilson. Sharnaaz membawa watak Hisham, anak orang kaya yang tinggal di bandar manakala Zahirah melakonkan watak Annisah, seorang gadis kampung. 

Drama Mencintaimu arahan Raja Ahmad Alauddin. 

Sharnaaz pernah bergandingan dengan ramai pelakon jelita, termasuk Nelydia Senrose, Amyra Rosli dan Fathia Latiff. 




Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts