TIADA siapa menyangka, lelaki gelandangan yang sering dilihat di sekitar kawasan Ladang Telok Gadong, Tanjong Sepat, lima tahun dahulu adalah seorang anggota polis dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Mula dilihat berada di kawasan sekitar Telok Gadong selepas beberapa hari berita kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, tersebar. Anggota polis terbabit, dikatakan sering tidur di sebuah hentian bas berdekatan ladang milik peguam N Pathmanabhan.
Penduduk, M Muniandy, 40-an, berkata anggota terbabit juga sering dilihat memasuki kawasan ladang berkenaan ketika beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gadong.
"Setiap hari, anggota terbabit akan merayau-rayau di kawasan sekitar seperti pengemis atau gelandangan yang biasa kita lihat. Tiada apa yang mencurigakan.
"Lagaknya seperti 'orang gila' dengan berambut panjang juga menyebabkan tiada siapa yang mahu ambil tahu dari mana beliau datang dan hanya membiarkannya.
"Tetapi selepas beberapa hari beliau berada di sini (Telok Gadong), ladang berkenaan diserbu oleh polis dan terbongkarlah tragedi pembunuhan kejam membabitkan Sosilawati dan tiga individu lain," katanya kepada BH ketika ditemui, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar, 43, berkata apabila menonton berita mengenai kes pembunuhan berkenaan, ramai penduduk tempatan terkejut apabila melihat lelaki 'gila' yang selama ini merempat di kampung berkenaan mengiringi empat suspek pembunuhan ketika itu.
"Saya terkejut melihatnya dan dari situlah kami tahu beliau sebenarnya adalah anggota polis yang menyamar untuk mendapatkan bukti mengenai kes berkenaan.
"Ketika beliau menyamar seperti 'orang gila', beliau juga sering meminta duit atau rokok daripada penduduk kampung, malah saya juga ada memberinya rokok jika terserempak.
"Kami terkejut apabila mendapat tahu beliau terbabit dalam kemalangan maut selepas hampir setahun kes pembunuhan itu berlaku," katanya.
Dalam kejadian pada Mac 2011 itu, motosikal ditunggang anggota terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ehsan, Kepong, dilaporkan terbabas dan merempuh tembok menyebabkan mangsa terhumban ke dalam longkang dipenuhi air.
Kes pembunuhan yang menggemparkan itu sebenarnya turut menimbulkan isu lain, termasuk perkauman antara penduduk berbilang bangsa di Banting ketika itu.
Bagaimanapun, keadaan tegang itu dapat dileraikan selepas Ketua Polis Daerah Kuala Langat ketika itu, Superintendan Nordin Manan, bertindak bijak dengan mengumpulkan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, yang baharu saja dirasmikan tidak lama sebelum itu.
Sementara itu, pemimpin masyarakat, Ketua UMNO Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli berkata, kisah pembunuhan berkenaan pasti akan menjadi ingatan anggota polis yang bertugas kerana beberapa hari sebelum penahanan Pathmanabhan, IPD Kuala Langat yang juga menempatkan Balai Polis Banting, baru saja dirasmikan.
"Saya yang dipanggil untuk merasmikan pembukaan IPD Kuala Langat dan balai polis baharu berkenaan turut menyatakan dalam ucapan saya ketika itu supaya tiada kes jenayah berat berlaku di daerah ini.
"Itu yang menyebabkan kami terkejut apabila mengetahui ada pembunuhan ngeri berlaku di kawasan ini beberapa hari kemudian," katanya sambil memberitahu tidak pernah mengalami kejadian pelik dan mistik, yang dikaitkan dengan kes pembunuhan itu.
No comments:
Post a Comment