AYER KEROH: Hati mana yang tidak luluh apabila anak kandung yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, ditatang bagaikan minyak yang penuh bertindak mencemuh dan menyisihnya daripada hidup mereka.
Bukan sahaja kepercayaan yang diberi si ayah dipersiakan, malah tubuh yang pernah berhempas pulas menyara hidup mereka sekeluarga itu diherdik dan dihalau bagaikan anjing kurap.
Bagaikan kisah hikayat si Tanggang, namun itulah yang berlaku kepada seorang warga emas di sini yang kini menagih simpati setelah dirinya diperlakukan sebegitu rupa oleh anak-anak kandungnya sendiri.
Daut @ Md Kassim Jali, 83 tahun, tampil mengharap keadilan setelah dirinya dianiaya tujuh anak kandungnya sendiri selepas menyerahkan semua aset bernilai lebih RM4 juta.
Daut yang dahulunya hidup serba mewah dengan perniagaan tiga buah stesen minyak, ladang ternakan ayam seluas 10 ekar dan dua ladang tanaman sawit, memberi kepercayaan sepenuhnya kepada tujuh anak berusia 41 tahun hingga 58 tahun untuk meneruskan legasi perniagaan yang telah diusahakan sejak tahun 70-an lagi secara berperingkat.
Daut yang diserang angin ahmar pada 2013 ibarat jatuh ditimpa tangga apabila dipinggir anak-anaknya dan terpaksa menyara kehidupan serta rawatan kesihatan sendiri dengan sisa baki kudrat yang ada.
Menceritakan detik itu, Daut dikurniakan empat anak lelaki dan tiga anak perempuan hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama.
Menurutnya, ketika dalam keadaan sakit dan tidak mampu berfikir dengan waras, dia telah diperdaya salah seorang anaknya untuk menukar segala hak milik pegangan saham sebuah syarikat ladang ternakan ayam daging kepada nama anaknya itu.
Bukan itu sahaja, malah sebuah rumah di Cheras yang dibeli dengan harga RM600,000, deposit overdraf perniagaan stesen minyak bernilai RM800,000, serta akaun simpanan semasa syarikat bernilai RM100,000 turut beralih tangan.
Kata Daut, dia kini yang hidup menumpang kasih dengan isteri kedua serta tujuh anak tirinya Di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah.
Daut bersyukur kerana anak-anak tirinya begitu bertanggungjawab menjaganya biarpun dalam keadaan dirinya yang kini uzur.
Malah katanya, masih segar di ingatan kenangan empat tahun lalu, di mana dia memandu seorang diri dan secara tiba-tiba minyak keretanya habis sebelum membuat keputusan untuk singgah di stesen minyak yang pernah dibina suatu ketika dahulu sebelum ia diserah kepada anak perempuan kesayangannya.
Dengan nada sebak, katanya, dia menunggu hampir dua jam untuk mendapatkan minyak percuma, malah bukan sahaja dihalau, dia turut diherdik anaknya sendiri.
“Di Kuala Sungai Baru empat tahun lepas, ketika saya bawa kereta minyak habis. Saya pergi ke stesen minyak minta pekerja di situ tolong isikan, tapi dia tak bagi sampailah ke malam.
“Dekat dua jam saya tunggu, saya telefon dia, dia hentam saya balik.
“Saya yang bina stesen minyak tu… saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan,” kata Daut.
Daut ditemui di Pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) Kota Cemerlang Ayer Keroh bersama peguamnya Mohd Adli Ithnin.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN Negeri, Amir Hamzah Aziz berkata, isu warga emas berkenaan pernah diketengahkan dan dibawa ke mahkamah pada 2014 lalu sebelum mahkamah memutuskan hak tanah perusahaan reban ayam seluas 10 ekar perlu diserahkan sepenuhnya kepadanya.
Namun, langit tidak selalunya cerah apabila September lalu, reban ayam yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan harian warga emas itu dirampas semula oleh anak-anaknya.
Harapan Daut hanyalah keadilan untuk dirinya bagi meneruskan sisa hidup yang berbaki.
Sumber : astroawani
DEWAPK^^ agen judi terpercaya, ayo segera bergabungan dengan kami
ReplyDeletedicoba keberuntungan kalian bersama kami dengan memenangkan uang jutaan rupiah
ditunggu apa lagi segera buka link kami ya :) :) :* :*