Trending

Saturday, 9 December 2017

Tanamnya Adalah Lebih Mudah, Boleh Dituai 4 Kali Setahun Dan Permintaan Tinggi


Adalah menjadi tanda tanya, kenapa petani di negara kita tidak berminat menanam bawang? Sedangkan bawang ini lebih mudah untuk ditanam jika hendak dibandingkan tanaman lain seperti padi atau lain-lain tanaman.

Selain bawang, daunnya juga mendapat permintaan yang tinggi di pasaran kerana menjadi salah satu bahan dalam masakan rakyat Malaysia.

Berdasarkan cuaca di Malaysia terdapat beberapa jenis bawang merah yang mudah ditanam iaitu jenis Siam, Indonesia dan India, tetapi kini kita 100% bergantung dengan bawang yang diimport.

Selain cuaca, tanah di Malaysia juga sesuai untuk penanaman ini. Tanah yang sesuai bagi bawang merah ialah tanah yang pengaliran airnya sempurna seperti tanah gembur berpasir atau tanah pasir peroi yang kaya dengan bahan reputan. Tanah gambut juga didapati sesuai dan keasidan tanah ialah antara 6.5-7.8.  Sekiranya tanah kurang subur, penambahan baja organik seperti tahi ayam dan sebagainya adalah digalakkan.




Apa yang penting jika menanam bawang ini, pengairan yang mencukupi dalam lima minggu selepas menanam dan kering setelah pokok berumur 8 minggu.  Penggunaan sungkupan seperti jerami padi/daun lalang dapat mengekalkan kelembapan dan mengawal suhu tanah.  Kawalan rumpai dibuat pada peringkat awal pertumbuhan dan semasa penyediaan tanah.

Bawang boleh dituai setelah hampir semua daunnya rebah iaitu dalam masa 35-45 hari selepas bawang bercambah. Seeloknya tuai 2-3 hari jika tak hujan bagi memastikan bebawang benar-benar kering dan mudah disimpan nanti. Dianggarkan bawang ini mampu dituai 4 kali setahun.

CARA PENANAMAN
Cara penanamannya tidaklah terlalu rumit, ikuti langkah-langkah berikut.

Penyediaan Batas



Di tanah gambut atau gambut halus (muck) yang tidak menakung air, bawang boleh ditanam di tanah rata tanpa batas.  Bagi tanah-tanah lain dan di kawasan-kawasan air senang bertakung, batas disediakan setinggi 20-30 cm (8-12 inci) dan 91-122 cm (36-48 inci) lebar.  Jarak antara batas selalunya 66-91 cm (26-36 inci) dan panjang batas bergantung kepada petani sendiri.




Bawang jenis India adalah lebih baik dari jenis yang lain (Thailand, Filipina dan Cina) dari segi pertumbuhan, ketahanan terhadap gejala 'White Tip' (iaitu kekeringan bahagian hujung daun) dan penghasilan bawang. Saiz bebawang yang digunakan semasa menanam tidak memberikan kesan yang bererti ke atas jumlah hasil. Bagi jenis berlabu panjang rencong memerlukan sebanyak 1,210 kg untuk sehektar manaka jenis bulat pendek, kadar benih yang diperlukan untuk sehektar ialah sebanyak 1,512. Untuk mendapatkan hasil yang baik, benih hendaklah dipilih dari labu yang matang, tidak berpenyakit dan telah dikeringkan sekurang-kurangnya 6 minggu selepas dituai.

Penanaman



Labu-labu bawang untuk dijadikan benih didebu atau dicelup di dalam racun kulat sebelum menanam. Benih ditanam dengan menimbus 1/3 bahagian dari labu benih dengan tanah dan meninggalkan 2/3 bahagian lagi di permukaan tanah. Amalan memotong di bahagian atas hujung bebawang sebelum menanam tidak menunjukkan kesan dalam mempercepatkan percambahan, sebaliknya cara ini akan menggalakkan jangkitan penyakit seperti jangkitan Fusarium. Dengan itu amalan memotong bahagian atas hujung bebawang sebelum menanam adalah tidak digalakkan.



Jarak tanaman yang diguna ialah 12 x 12 cm (6 x 6 inci).

Bekalan air yang secukupnya di peringkat awal pertumbuhan bawang mungkin dapat mengurangkan kejadian penyakit mati pucuk dan reput bebawang. Penggunaan sungkupan adalah digalakkan di mana kandungan air dan suhu tanah dapat dikawal. Bagi mengurangkan masalah, penanaman bawang hendaklah dijadualkan mengikut keadaan cuaca.  Kerja-kerja menanam dan peringkat awal pertumbuhan hendaklah jatuh pada musim hujan dan memungut hasil pada musim kering.

Pembajaan

Sepanjang tempoh penanaman bawang, kita perlulah membajanya sebanyak 2 kali iaitu semasa penanaman dan beberapa minggu selepas penanaman.


 Penaburan baja perlulah di sekitar barisan antara bebawang. Buat beberapa alur parit di tepi bawang dan taburkan baja. Pastikan tidak terkena bawang kerana baja boleh melecurkan bawang dan akarnya nanti. Kambus alur kemudiannya agar dapat mengurangkan larut lesap baja.

Daun bawang boleh dituai 2 minggu selepas penanaman apabila sudah panjang.
  • Penggunaan racun pra-cambah (Lasso) selepas menanam adalah digalakkan.  Cara mencabut dengan tangan perlulah dilakukan dari peringkat awal lagi agar pertumbuhan akar bawang tidak terjejas.
Bagi mengawal musuh dan penyakit bawang. Terdapat beberapa cara dan racun yang boleh digunakan.

1. Musuh
Bagi tanaman bawang merah (Alliaceae) tidak terdapat musuh yang merbahaya tapi untuk langkah berjaga-jaga, sembur 2 minggu sekali dengan Dipterex kekuatan 0.1% bahan aktif. Ulat ratus (spodoptera litura) memakan daun secara berkelompok. Buat giliran tanaman.

2. Penyakit dan cara kawalannya
Hawar daun / Tumpuk mungu dan cumut
Sembur dengan Maneb (Manzate D) sebanyak 280-560 gm / 898 liter air sehektar.(4-8 oz / 80 gelen air/ekar).
3. Reput bawang
Pastikan saliran air sempurna. Rendam benih dalam racun kulat sebelum menanam.  Jangan lukakan bawang sebelum dan selepas menuai dan amalkan tanaman giliran.

4. Tompok ungu (Alternaria porri)
Bintik-bintik pada mulanya berwarna kelabu. Bintik akan membesar dan merekah berwarna ungu.  Akhirnya daun menjadi kering dan layu.  Rawat benih dengan racun kulat sebelum menanam.  Semburkan dengan thiram, ziram atau maneb.
5. Pucuk putih (fisiologi)
Hujung daun menjadi putih dan kering. Hasil akan berkurangan. 

Cantas Kuntum Bunga Bawang


Kuntum bunga bawang perlu dicantas atau cubit segera sebaik sahaja ia muncul agar dapat menghasilkan bebawang yang besar. Jika tak dibuang akan mengakibatkan segala nutrient disalurkan kepada bunga menyebabkan bebawang mengecut.


Selalunya bunga bawang akan muncul selepas 21 hari percambahan. Jadi boleh lah bersedia untuk potong bunga bawang ketika itu. Antara petunjuk daun tersebut adalah daun bunga bawang adalah daun lebih panjang daripada yang lain dan ia keras. Boleh potong sebelum ia jadi kumtum bunga.

HALANGAN PENGELUARAN

Bawang merah boleh ditanam dengan jayanya di kebanyakan tempat di Malaysia. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan sebelum sebarang projek berekonomi berskala besar dapat dilaksanakan. Antara masalah utama adalah seperti berikut:
  • Kos yang tinggi dan ketiadaan biji bebawang yang bermutu untuk digunakan sebagai bahan tanaman.
  • Jika benih (true seeds) murah digunakan, amalan-amalan agronomi yang diwujudkan untuk biji bebawang perlu diubahsuai.
  • Kejadian 'keputihan-hujung' daun bawang adalah masalah biasa yang tidak menentu dan boleh timbul bila-bila masa di sepanjang pengeluaran bawang merah tempatan.  Bergantung pada peringkat pembesaran pokok bawang, apabila simptom pertama kelihatan, boleh menyebabkan sedikit atau kesemua tanaman musnah (tiada hasil langsung).
  • Hujan yang sukar diramal boleh menyebabkan kehilangan hasil ketika dan selepas penuaian bebawang.
  • Kurangnya maklumat tentang keperluan penyimpanan bebawang kultivar benih tulen (true seeds).
Jadi, jika ada program galakan daripada pihak terlibat, tamanan ini amat sesuai diusahakan kerana permintaanya yang tinggi dan menjadi salah satu ekonomi pertanian baru kepada rakyat Malaysia.




Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts