Trending

Sunday 10 May 2015

TAKZIAH !! Akhirnya Jenazah Selamat Tiba Di Tempat Kelahiran .. Al- Fatihah ..


Sepang: Jenazah Nor Atikah Alias, 25, penuntut Malaysia yang meninggal dunia di Russia, 22 April lalu, selamat tiba di KLIA dengan pesawat Emirates dari Moscow, 9.45 malam tadi.
Nor Atikah penuntut perubatan tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Russia di Moscow meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo akibat melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki.
Segala kos untuk membawa pulang jenazah Nor Atikah ditanggung Kerajaan Terengganu berikutan Allahyarham adalah penuntut tajaan Yayasan Terengganu (YT).
Sejurus tiba, jenazah arwah kemudian dibawa masuk ke dalam van jenazah sebelum bertolak ke Kampung Bukit Jeram Linang, Pasir Puteh, Kelantan dari Kompleks Kargo KLIA, 10.40 malam tadi.
Jenazah Nor Atikah ditemani bapa, Alias Yacob; ibu, Najihah Mat Jusoh dan tunangnya, Wan Mohamad Ikhwan Wan Ahmad Sayutti, 28.
Alias ketika ditemui berkata, van yang membawa jenazah arwah dijangka tiba di Kelantan kira-kira 8 pagi. Allahyarham dijangka dikebumikan sekitar 10 pagi.
Menurutnya, beliau sekeluarga bersyukur kerana banyak pihak membantunya untuk menyegerakan proses membawa balik jenazah arwah ke Malaysia.
"Saya ingin berterima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT), Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Moscow, Russia; Persatuan Pelajar Malaysia di Russia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas segala bantuan yang diberikan," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Pendidikan YT, Dr Hashim Azmi Che Noh, berkata turut serta mengiringi van jenazah ialah dua kenderaan membawa ahli keluarga arwah dan kereta peronda polis (MPV) yang membantu melancarkan trafik sepanjang perjalanan.
Menurutnya, van jenazah akan melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sebelum dibawa melalui Terengganu sebelum ke Pasir Puteh, Kelantan.
"Saya difahamkan, jenazah arwah akan disembahyangkan sekali lagi di kampung halaman arwah di Kelantan biarpun sudah menjalani proses berkenaan di Moscow," katanya.
Selain itu, 15 mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bernaung di bawah Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) turut berada di luar Kompleks Kargo KLIA bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts