KUALA LUMPUR: Zizan Razak nampaknya terus berteka-teki mengenai soal peribadi berhubung pengakuannya ingin menamatkan zaman bujang dengan memilih gadis berusia 24 tahun dari negeri kelahirannya bernama Nor Edura Diyana Hashim.
Namun hingga saat ini, perkembangan itu bagaikan ternoktah sehingga desas-desus bahawa hasrat ingin berkahwin itu ditangguhkan.
Tidak kurang yang mengatakan hubungan mereka sudah berakhir dan ada yang mengandaikan keputusan mendedahkan cerita berkenaan hanya menutup kisah kontroversi yang pernah menghantui apabila dikaitkan sebagai pelawak kasanova.
Zizan atau Mohd Razizan Abd Razak, 31, yang ditemui BH Plus sejurus selesai sidang media mengumumkan barisan pengacara, tenaga pengajar, peserta dan pengetua Akademi Fantasia (AF) 2015 di Bandar Utama semalam nyata masih terus mengunci mulut.
"Macam mana pun saya mesti kahwin. Saya kena kahwin. Sebagai lelaki saya pun nak kahwin dan ada keluarga sendiri. Insya-Allah, semua yang dirancang bagaimana biarlah ia menjadi rahsia keluarga saya.
"Tak ada apa pun sebenarnya. Saya suka cara Fahrin Ahmad yang berkahwin secara 'tiba-tiba' dan 'mengejut'. Cara itu nampak lebih afdal. Kalau boleh saya nak ikut cara dia," ungkapnya yang masih memikul mandat sebagai hos AF untuk kali ketiga.
Benarkah ada yang mengatakan Zizan sudah putus dengan gadis yang dimaksudkan? Atau mungkin sudah berpunya kekasih hati baharu?
"Rahsia. Saya tak nak cakap. Saya sedar artis memang ada peminat dan mereka nak tahu kisah luar dalam. Tapi pastinya ada bahagian yang boleh cerita dan sebaliknya. Ini soal peribadi saya. Jadi saya memilih untuk tidak terlalu terbuka berbicara mengenainya. Saya tak mahu memberikan jawapan klise. Tapi soal saya sudah peribadi saya... biarlah rahsia dahulu," katanya.
Daripada sudut kerjaya seninya, Zizan kini dikatakan sedang melalui fasa kejatuhan dek siri kontroversi yang mula bertandang. Ironinya, kembara seni Zizan dilihat bermula cukup baik.
"Saya hanya tahu bekerja dan menghiburkan orang. Untuk fikir secara tuntas jatuh bangun ini, ia bukan kerja kita. Saya percaya ia kerja Tuhan. Kalau ada yang boleh ukur dan hakimi saya seperti dianggap itu, hebat juga sebenarnya manusia sebegitu. "Terserahlah kepada apa yang orang nak fikir. Saya masih meneruskan kerjaya seni seperti biasa," katanya.
Malahan ada yang menyifatkan Zizan sudah mula kurang tawaran kerja seni dan kontraknya dengan Astro juga kononnya bakal ditamatkan. Tetapi Zizan memaklumkan jadual seninya penuh hingga hujung tahun.
Bahkan dia masih lagi dipilih menggalas kerusi pengacara AF2015 buat kali ketiga. Saat ini Zizan menegaskan, dia tidak mahu terlalu larut dengan cerita atau skeptikal negatif sekali gus mahu terus fokus kepada amanah yang diberi.
"Saya tak rasa apa-apa atau terkesan dengan apa yang terjadi. Semua buat saya jadi kuat dan matang. Apa yang lebih utama, orang yang sentiasa belakang saya termasuk peminat terus menyokong. Saya laluinya seperti tiada apa yang berlaku. Kontroversi itu biasalah mainan dunia seni dan menjadi cabaran kepada golongan artis.
"Tetapi sebagai manusia, kerjaya atau kerja bidang lain pun nescaya ada masalah serta fasa turun naik. Ia permainan dan pada akhirnya berbalik kepada bagaimana kita mahu menyelesaikannya. Jangan risau, doa dan usaha terus menjadi azimat untuk saya terus tabah melalui cabaran hidup. Apa yang tak baik itu pastinya daripada kita dan baik itu daripada Tuhan. Insya-Allah saya boleh lalui dan tanganinya sebaik mungkin.
"Kerjaya seni itu biasalah ada turun naik. Tak semestinya kita akan selalu berada di atas. Pegangan saya hingga saat ini, cukup apa saya buat ini boleh buat ibu bapa saya tersenyum, bahagia dan ceria. Saya utamakan ibu bapa dan tak mahu sia-siakan mereka. "Peminat dan mereka yang menyayangi saya akan saya hargai dan jadi keutamaan. Yang berada di belakang saya tak kira waktu baik atau buruk itu lagi saya sayang," katanya.
No comments:
Post a Comment