Trending

Thursday, 30 July 2015

Keluarga Akim terima Stacy


HUBUNGAN cinta di antara Akim dan Stacy sememangnya bukan lagi rahsia. Lebih menarik kini pertautan dua insan seni itu mendapat reaksi positif daripada kedua-dua keluarga.

Ketika diajukan soalan mengenai penerimaan keluarga terutama ibu terhadap hubungan cinta mereka, Akim bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak cukup positif.

"Semuanya positif, baik daripada sebelah saya termasuk keluarga Stacy. Jadi, tidak ada apa-apa isu yang berlaku antara keluarga kami.

"Alhamdulillah, keluarga boleh terima Stacy," katanya sambil menjelaskan beliau masih belum memikirkan soal jodoh.

Akui Akim, andai bercerita soal jodoh itu, esok pun beliau dan Stacy boleh berkahwin.

"Tetapi seru itu (kahwin) belum sampai lagi. Kalau sudah ada seru, InsyaAllah. Buat masa sekarang, tidak kot. Kita berkawan dulu macam biasa dan masih belum lagi memikirkan peringkat seterusnya. 

"Mana tahu tahun depan? Rezeki dan jodoh bagi saya sebenarnya adalah suatu benda yang saya tak tahu nak terangkan," jelasnya.

Selain itu, Stacy bertuah apabila baju raya warna sedondon yang dipakai bersama Akim pada pagi 1 Syawal lalu, rupa-rupanya pemberian ibu Akim.


Daripada jenis fabrik, warna dan potongan sehinggalah urusan tempahan, semuanya dilakukan ibu Akim. 

Nampaknya, hubungan cinta Akim dan Stacy yang bukan lagi rahsia, mendapat restu ibu. Malah seluruh anggota keluarga penyanyi The Majistret mengenakan pakaian warna sedondon ketika berkumpul di Skudai, Johor, pada pagi raya.

Bertemu Akim, penyanyi lagu popular, Mewangi itu berkongsi keseronokan meraikan 1 Syawal bersama insan tersayang bersama BHPlus.

"Raya tahun ini lebih istimewa buat saya kerana dapat bersama Stacy. Raya tahun ini adalah kali ketiga kami bersama meraikannya.

"Tahun lalu lagi, kami sudah memakai baju raya rona sedondon. Kalau tak silap, warna jingga sikit. Tahun ini, sekali lagi kami memakai baju raya sedondon iaitu hijau Emerald. 

"Kali ini, emak saya yang pilih. Baik daripada jenis kain, warna, malah emak juga yang membuatkan baju kurung dia (Stacy).

"Baju raya warna sama kali ini turut dipakai seluruh ahli keluarga saya termasuk kakak, abang, kakak ipar dan anak saudara yang menggayakan koleksi baju sama," katanya.
Selain meraikan detik kemenangan umat Islam bersama kekasih hati, Akim memberitahu, tahun ini adalah pertama kali beliau dapat beraya bersama keluarga Stacy di Johor.

Menurutnya, selain memeriahkan suasana hari raya, kunjungan keluarga Stacy yang berlainan budaya dan adat ke rumahnya dapat merapatkan hubungan keluarga selain ukhuwah sesama insan.

Sementara itu, Akim yang juga wajah produk keluaran syarikat makanan, Yeo's akan menjelajah ke enam lokasi di seluruh negara bagi menjayakan Konsert Patriotik Yeo's I Love Malaysia. Akim tidak bersendirian sebaliknya bersama kumpulannya, The Majistret dalam siri konsert itu.



Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts