Trending

Thursday, 30 July 2015

Kamal Adli 'cinta baru' Emma Maembong






KUALA LUMPUR: Pernah digandingkan buat pertama kali menerusi drama Syurga Tanpa Cinta di RTM suatu ketika dahulu, Emma Maembong dan Kamal Adli sekali lagi dipertemukan dalam drama Jodoh Sebelah Pintu yang diarahkan Michael Ang. 

Kedua-dua drama berkenaan menyaksikan perbezaan ketara antara Emma dan Kamal.

Jika drama Syurga Tanpa Cinta, kedua-duanya dilihat masih terikat dengan cinta. 

googletag.display('div-gpt-ad-1406188242562-0');





Kamal ketika itu dengan Intan Ladyana dan Emma pula bahagia dengan Zizan Razak. Berbeza pula dengan drama Jodoh Sebelah Pintu pula mereka masing-masing gagal dalam percintaan terdahulu. 

Malah ada yang mula menghidu sudah ada bibit-bibit cinta antara Kamal dan Emma ketika penggambaran drama kedua gandingan mereka bersama itu.

Jika benar sekalipun tak salah dan kedua-duanya juga dilihat terbuka berkongsi perkembangan hubungan mereka. Cuma sejauh mana hala tuju perhubungan mereka itu masih terlalu awal untuk ditebak.


PELAKON, Emma Maembong bersama Kamal Adli. - Foto Nurul Syazana Rose Razman



Tetapi andai sudah tertulis jodoh mereka bersama, itu semua urusan Tuhan. Kamal sebelum ini mendedahkan memang selesa mengenali Emma.

Bertemu Emma baru-baru ini, wanita berdarah campuran itu turut berkongsi getar rasa yang sama.

"Siapa yang tak nak kahwin. Semua perempuan mahu bahagia bersama lelaki yang dicintai. Tapi semuanya berbalik kepada jodoh. Melihat teman lain yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, saya sendiri juga mahukan kebahagiaan yang sama. Cuma saya tidak mahu terlalu galak bercakap soal kahwin dan jodoh kerana semua itu aturan Tuhan.

"Macam dengan Kamal sekalipun, saya tak nafikan sangat selesa dengannya. Dialah lelaki yang rapat dengan saya ketika ini. Dengannya, saya tak perlu jadi orang lain. Saya ini jenis keluar rumah bergaya sempoi dan dia juga bercita rasa sama.

"Kami jenis yang tak kisah pakai pakaian jenama atau tidak dan makan di tempat mahal sekalipun. Janji selesa dan kami menjadi diri sendiri apabila bersama," katanya yang tertarik dengan Kamal kerana sikap sempoi dan sederhana.


PELAKON, Kamal Adli. - Foto Nurul Syazana Rose Razman



Kali kedua bergandingan dengan Kamal, Emma tidak melihat wujud kejanggalan dan barangkali kedua-duanya sudah selesa serta rapat, lalu keserasian itu pantas tercipta. Malah saat ini, andai diusik persoalan jodoh mahupun apa sahaja mengaitkan dirinya dengan Kamal, Emma tidak melihat itu sebagai tekanan yang memeningkan kepala.

"Orang usik kami tak kira di set penggambaran atau mengenai keakraban kami, masing-masing okey. Cuma kalau drama Syurga Tanpa Cinta dahulu, ia lebih kepada genre sedih dan saya menangis 24 jam tetapi drama Jodoh Sebelah Pintu ini kami berlakon penuh santai. Drama yang akan disiarkan di Hypp TV dan Hypp Sensasi itu memang cerita lawak dan sikit-sikit akan ada babak kami bertekak dan bergaduh. 

"Saya tidaklah sampai ke tahap rimas, sekalipun diajukan banyak kali ditanya mengenai hubungan saya dan Kamal. Kalau bukan dengan Kamal pun, orang akan tanya. Cukup kalau ada yang tanya saya mengenai Kamal, saya jawab dia antara lelaki yang buat saya selesa mendekatinya.


EMMA menganggap Kamal di antara lelaki yang selesa untuk didekati. - Foto Nurul Syazana Rose Razman



"Ketika ini pun saya bebas berkawan dan berjumpa dengan sesiapa tanpa terikat dengan itu dan ini," katanya yang turut menjadi wajah ilham koleksi raya Melinda Looi di bawah label EMEL by Emma Maembong. 

Seperti orang lain, Emma juga bercita-cita untuk memanfaatkan pengaruh dan populariti yang dikecapinya untuk menceburi bidang perniagaan. Cuma selama ini, nama Emma digunakan untuk mempromosikan jenama orang lain. 

"Perancangan masa depan memang saya nak keluar jenama pakaian dan tudung sendiri. Siapa yang tak nak keluar produk sendiri. Insya-Allah semua masih dalam perancangan. Ada rezeki memang saya nak keluarkan jenama sendiri. Kalau dapat keluarkan produk kosmetik dan restoran sendiri pun okey juga. Tengoklah macam mana nanti," katanya. 

Di sebalik perpisahan dengan Zizan, Emma percaya hidup mesti diteruskan.


DI sebalik perpisahan dengan Zizan, Emma percaya hidup mesti diteruskan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman



"Ada hari kita akan berada di atas dan di bawah. Cuma dalam hidup ini saya selalu katakan insan yang kita sayangi termasuk ibu dan bapa sekalipun pasti suatu hari nanti mereka akan meninggalkan kita. Tipulah saya tak pernah menangis dan kecewa 'menonggeng'. Tapi saya bersyukur ada keluarga, kawan dan peminat yang menggelarkan mereka sebagai Emma Vengers. 

"Malah ada insan yang tak kenal saya sekalipun hadir memberikan sokongan moral tanpa dipinta. Kalau nak meratap pilu perkara yang diharapkan menjadi milik kita tetapi punah akhirnya pun tak guna. Buat apa nak menangis terhadap benda yang sudah pergi. Ia tak berbaloi. Saya harus bangun dan bina semangat baharu. Alhamdulillah saya sudah boleh lupakan memori lalu," katanya. 

Dalam pada itu, biarpun sudah bertudung, Emma tidak melihat dirinya seperti 'malaikat'.

"Saya hanya manusia biasa yang tak pernah putus belajar dan menjadi yang terbaik. Sebelum ini pun, saya akui khilaf diri. Saya sedar apabila bertudung, ada perkara itu dan ini yang kita perlu elak bagi mengundang kecaman. Memang betul tapi saya tidak mahu terlalu drastik berubah. Saya hanya menjadi diri sendiri dan mengharapkan perubahan ke arah kebaikan itu akan terus membuatkan saya beristiqamah.

"Soal hati dan ketetapan diri, biarlah antara saya dengan Tuhan. Saya juga terbuka dengan teguran tapi janganlah menegur seperti mereka itu sempurna. Ada yang tegur cara saya berpakaian selepas bertudung tak okey, saya terima dan ambil positif. Tapi ada yang lantang menegur tanpa sedar diri. Apabila dilihat diri mereka sendiri ada yang tak bertudung dan melakukan perkara yang lebih teruk.


EMMA jarang menyekat dan memadamkan komen yang bersifat negatif. - Foto Nurul Syazana Rose Razman



"Biasalah pengikut di laman Instagram ini ada yang nak cipta perhatian dengan memberikan komen pedas dan negatif. Kalau nak tegur pun atau menghukum orang pun, janganlah sampai begitu daring," katanya.

Kata Emma lagi, dia jenis yang tidak memadamkan komen negatif atau menyekat pengikut yang cenderung menghentamnya.

"Saya memang jarang menyekat dan memadamkan komen yang ditulis bersifat negatif. Orang negatif sebegini adakalanya mereka tak cermin diri pun. Nak mengata orang, tapi diri sendiri lebih teruk. Normallah. Nasihat saya kepada orang sebegini, lebih baik nasihatkan diri sendiri dahulu. Senang cerita, nasihat positif saya ambil jadikan pegangan dan teladan manakala yang negatif itu saya tolak ketepi," katanya.

Info drama Jodoh Sebelah Pintu

- Drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang mula bersiaran di saluran 116 Hypp TV pada 29 Julai depan.

- Ia mengisahkan Mona lakonan Emma berjiran dengan Badrul atau Alang (Kamal) dan jatuh cinta. Ia turut diserikan dengan Lia Natalia, Erwin Dawson, Azhan Rani dan Datuk Eizlan Yusof.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

No comments:

Post a Comment

About

Popular Posts